Monday, March 02, 2009

A Trip To London dan Europe

Gambar beramai-ramai di Sweden, biras Pak Rahim, sebelah kanan, barisan belakang, di sebelah kereta, di hadapannya isteri dan anaknya Syarif, di hadapannya.


A Trip To London dan Europe (Coretan biras, Pak Teh Abdul Rahim ketika bersama-sama aku ke Hull, Tahun lepas, 2008)

Hari Pertama ( 20 Mac 2008 – Khamis)

Bertolak dari Penang jam 2.30 petang menaiki Nissan Serena dipandu oleh pemandu PSP. Terima kasih Tuan Pengarah kerana membenarkan penggunaan kenderaan Politeknik bagi menghantar ke Airport Bayan Lepas. Khidmat kebajikan pekerja agaknya. Check-in jam 3.15 petang beg yang dibawa terlebih berat 21 kg. Had yang ditetapkan hanyalah 15 kg seorang. Belum apa-apa member kita bersungut....bawak barang apa lebih sangat kena bayar RM210. waduh..!!! sengket member…makan punya pasal maggi, ikan masin hampir 10 kg beratnya, sardin, ayam kurma dalam tin, belacan, keropok kering, daun kesum, serai dan pelbagai serunding daging dan ikan termasuk sambal kering ikan bilis yang sempat juga disediakan pada tengah malam tadi. Tak apa, asal boleh bawak, bayarpun bayarlah..Pesawat Airasia ke LCCT mulai berlepas tepat jam 4.05 petang. Tiba di LCCT jam 5.00 petang. Sampai di LCCT tertanya juga kenderaan apa yang paling murah untuk ke KLIA, mencuba bertanya dengan polis di sini, tambang teksi ke KLIA dari LCCT hampir RM60 satu teksi, dengan menaiki bas ( tambang 4.50 sen untuk tiga orang) kami ke KLIA (kalau naik teksi 20 ringgit). Kami menunggu keluarga abang E (bersama Kak Ngah dan Muzaffar). Turut serta Pak De Razali dan Kak Faridah. Lama juga menunggu di KLIA, sehingga jam 11:00 malam, dapat juga bertemu rakan Pengarah Kolej Komuniti Sg. Petani Tn. Hj Mohd Noor, bersembang dia macam tak percaya kami akan bercuti ke London. Orang kebanyakan macam kita..siapa nak percaya bercuti ke London.. kami ’check-in di kaunter M ke Dubai dengan menaiki pesawat Emirates.

Gembira sungguh dapat bawak masuk semua beg yang berat peruntukan 30 kg seorang so, kami satu group 240 kg semua.. Berat beg keseluruhan hanya lebih kurang 150 kg masih ada lebihan lagi..masa tu rasa rugi tak bawak macam-macam lagi..teringat maggi dan moi..dalam peket maggi..

Kami bertolak dari KLIA ke Dubai jam 2.10 pagi dengan menaiki pesawat Airbus 777-300 ER-Jet dengan perjalanan sejauh 3,438 kilometer. Kelajuan kapal terbang dapat dilihat melalui paparan di hadapan tempat duduk masing-masing dengan segala maklumat penerbangan ditayangkan. Sesekali kelajuan kapal terbang mencecah ’1,000 km per hour’. Seronoknya Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan, tapi bukan nasi. Dalam pesawat yang agak sempit jugak, maklumlah kelas ekonomi, itupun yang mampu, sungguh memenatkan. Kami tiba di Lapangan terbang Dubai jam 6.00 pagi (masa penerbangan 7 jam ) Kapal terbang tidak berhenti di dock sebaliknya di tengah Lapangan terbang. Kami diangkut dengan bas ke terminal di lapangan terbang Dubai. Lapangan terbang Dubai yang masih sibuk dengan pembinaan pembesarannya, rombongan kami 8 orang tiba memasuki pemeriksaan keselamatan, agak ketat semua kena buka jeket, kasut, tali pinggang. Kami solat subuh jam 6.30 pagi berjemaah, Pak De jadi imam. Cantik sungguh tiang lampu di Dubai, namun tak sempat ’shopping’. Sebelum check-in, abang E cuba mendapat tempat duduk secara berkumpulan kerana tempat duduk kami berasingan antara satu sama lain namun ditolak kerana alasan takut penumpang lain tidak selesa.

Jam 7.40 pagi kami menaiki pesawat Emirates ke Manchester. Penerbangan mengambil masa selama 7 jam. Melalui perjalanan melintasi ruang udara Iraq, Iran, Turkey, Syiria, Romania, Austria, Mesir, Belgium dan melintasi lautan terus ke Manchester Airport. Kami sampai di Lapangan terbang Manchester jam 12.10 tengahari. Pemeriksaan di Manchester mudah, tiada pemeriksaan kastam. Semua barang-barang yang dibawa tidak diperiksa, termasuklah serai, daun kesum,ikan masin dan rempah ratus. Ketibaan kami dijemput oleh Mak De Rokimah dan Mior Azli rakan dari USM disambut dengan baju tebal, cuaca sungguh sejuk sungguh asing bagi kami. kami menaiki 2 kenderaan dari Manchester ke Hull, melalui motorway (M62) Manchester ke Hull, melalui Leeds, mengambil masa hampir 2 jam. Hajat kami nak ke Stadium MU tidak kesampaian, walaupun begitu dapat juga melihat bangunan Old Trafford. Dalam perjalanan jalan jammed jugak, so kena sembahyang zohor dan asar jamak. Terkejut tengok Hakim dan Arif sembahyang duduk atas kerusi dalam kopi corner. First time, belajar pergi tandas tiada air guna botol dan tisu untuk cuci, ambil air sembahyang dan sembahyang cara duduk atas kerusi dan dalam kereta. Masa ni terasa R&R di lebuhraya di Malaysia cukup selesa dengan kemudahan tempat sembahyang dan tandas yang selesa. Teringat tandas di hentian Behrang dan Tapah, sangat selesa dengan makanan yang pelbagai..makanan..Cuma boleh tengok dan cium bau..kopi..bolehlah nak rasa sekali sekala. Cuaca di Manchester dan Hull ialah 8 darjah celsius. Kami tiba di kediaman De Rokimah jam 7.30 malam, Nahdia buat teh untuk kami, sedap dan dijamu dengan hidangan nasi. Dalam rumah pun sangat sejuk, stokin kena pakai 2 lapis. Baju tiga lapis.. . Nak buang air pun sejuk tapi tandas wau ada karpet dalamnya . Kena sesuaikan diri macam mana nak guna air dan nak cuci diri.

Hari Kedua ( 21 Mac 2008 – Jumaat )

Subuh di Hull jam 4.25 pagi, (jika di Malaysia masa itu jam 12.25 tengahari kut) beza masa lebih kurang 8 jam. Kami sempat sembahyang Jumaat di Masjid Perason Park, Hull, jumpa 10 orang Melayu. Pelbagai rancangan telah dirancang oleh Mak De. Sebelum bertolak sibuk membuat bekalan, periuk nasi turut dibawa bersama di samping lauk pauk, serunding, sardin, maggi tidak ditinggalkan. Penuh boot kereta. 3 buah kereta. Kami bertolak dari Hull ke Stoke On Trent, pada jam 5.00 petang. Kami drive sendiri, Pak De Razali, sewa kereta, Pak Ngah bawa kereta Dr. Nadia, walaupun kami sedari kemudian tiada cukai jalan. Kami tiba di rumah Hanim di Stoke jam 8.30 malam. Rumah Hanim ada 4 bilik, selesa untuk semua kami, makan pun sangat sedap (cuaca sejuk makan selera). Pengalaman memandu di England tidak boleh dijualbeli. Saya memandu Renult Megane (special edition 1.6), kereta Pak De. Namun harga minyak petrol cukup mahal lebih kurang 1 pound seliter (kalau tukar dengan duit kita, hampir RM7.00). Mengisi minyak dua kali perjalanan pergi 20 pound dan balik 25 pound. Di England semua rakyat Malaysia seronok berbual tentang isu politik, terutama tentang perubahan suasana politik yang dibawa oleh parti seperti PAS, DAP dan PKR. Stoke On Trent adalah gabungan bandar-bandar seperti Henley, Burslem,Tunstall, Longton, Stoke, Fenton (bandar Henley) tempat rumah Hanim ialah Burslem.

Nota: Pengalaman memandu di lebuhraya di England. Semua pemandu di sini memandu laju terutama trak berat, sesetengah tempat tiada speed limit, malam tu Pak De Razali, beletir cara kami memandu (dia tu takut sangat kat Mat Saleh) kami buat selamba saja, maklumlah kali pertama memandu tentulah ada kesilapannya, hari tu mungkin mood dia tak bagus, kami pun tak kisah sangat, dah faham dengan perangainya tu. Malang sekali ekzos kereta Pak De yang saya pandu bocor, bunyi sangat kuat, saya rasa sangat tak selesa, keesokan hari Fairuzam bawa repair di Stoke. Di rumah Hanim kami dijamu dengan gulai ekor lembu, di UK mereka tak makan ekor, orang Melayu saja yang makan macam-macam. Orang perempuan borong sakan, depa melawat ke Royal Doulton, Wedgwood, Ashley dan Porpmoreon (terkenal dengan jenama pinggan mangkuk yang terkenal). Jumpa student Malaysia seperti Mat Zek, dan Nuar Pa. Kami juga sempat meronda di Car Boot Sale. Salji mula turun sekali sekala dengan keadaan sederhana diikuti hujan rintik-rintik. Walaupun sejuk, barangan pinggan mangkuk tetap menjadi pilihan membeli belah. Tambah meriah dengan sikap Hanim suami isteri anak-beranak, yang melayan karenah kami membeli belah tanpa jemu. Terima kasih atas pengorbanan kalian semua..semoga Tuhan membalas dengan rezeki dan kesihatan yang berpanjangan..baik sungguh keluarga ini..Allah mengurniakan sikap sahabat kepada kami yang tiada tolok banding dengan manusia lain yang pernah kami temui sebelum ini.

Hari Ketiga ( 22 Mac 2008 – Sabtu )

Bertolak dari Stoke On Trent jam 5.30 petang ke Middlesex dan tiba jam 10 malam,perjalanan melalui M6 dan M40 (motorway) tak kena tol. Kami konvoi 4 buah kereta. Keluarga Hanim & Fairuzam dengan Kak Faridah, Abang E & Kak Ngah, Muzafar, Saya (Hasnah & Syarif). Pak De & Mak De sekeluarga. Midllesex terletak di West London. Kami tidur di rumah Zarina. Pensyarah Politeknik Shah Alam buat Master (tidur ramai-ramai ada macam-macam bunyi). Kebetulan beliau juga bercuti ke Swiss selama seminggu. Kami menghuni rumah Ina yang sewa beliau 850 paun tanpa tuan rumahnya. Di London rumah sewa teramatlah mahal. Itu satu bilik sahaja. Berebut-rebut masuk tandas yang satu sahaja. Bayangkan 20 orang hanya satu tandas..memerlukan kesabaran dan toleransi yang tinggi setiap ahli. Semua orang faham keadaan ini...Alhamdulillah...anak-anak Hanim, Mak De, dan adik Syarif serta Muzaffar, semua baik dan sangat bekerja sama..sporting dan tidak meragam..sikecil Balqis..sangat mesra..keletah mecuit hati dan dialah penghibur rombongan kami sepanjang masa..tanpa beliau,..sunyi dan sesekali mungkin menjadi dingin..kekuatan sikecil ini mengatasi kepayahan perjalanan mengajar orang dewasa seperti kami semua lebih tabah, sabar dan berhati-hati serta bertanggungjawab sesama sendiri dan terhadap orang lain.. perjalanan seperti ini memerlukan banyak pengorbanan, berkerjasama, yang berat sama dipikul, berkongsi apa sahaja, sama ada beban yang berat, wang siapa yang ada dulu...bayar..selepas itu..

Nota: Apa makna Great Britain (England, Wales dan Scotland). United Kingdom termasuk ( Ireland Utara). Jumlah ahli rombongan 20 orang. Perjalanan yang dianggap menarik.

Hari Ke-4 (23 Mac 2008 – Ahad )

Siap sarapan pagi (nasi goreng kampung) ala Malaysia. Kami sembang sakan sambil kaum ibu buat sandwich. Kaum ibu menyediakan pelbagai bekalan, sandwich tuna, burger dan kopi radix yang dibawa Pak Ngah dari Malaysia. Milo dan kopi masuk dalam termos dibawa dalam beg galas dengan cawan dan sandwich sebagai bekalan selain pelbagai biskut dan coklat. Waktu ketika ini 7.30 pagi, ketika ini snow turun, cuaca 1darjah selsius. Kami sempat merasa snow turun, dah lama tunggu, pengalaman berharga yang tidak kami jangka, (snow turun seperti bunga). Kami bertolak ke London jam 9.00 pagi. Kami menaiki train dan underground train, pengalaman yang tak boleh dijual beli juga. Kami melawat London Bridge, Tower Bridge, Tower of London, London Eye, House of Parliament, Trafalgar Square. Kami kepenatan dan balik ke rumah Zarina jam 9.00 malam. Jam 11.00 malam saya dan Fairuzam ke Airport London ambil Rashid balik dari Swiss. Malam itu kami bermalam di rumah Shukri.(suami Zainab) dari Port Dickson. Layanan sangat baik.

Hari Ke-5 (24 Mac 2008 – Isnin)

Biasalah pagi kaum ibu menyediakan juadah, nasi dan sambal sardine. Hari ini kami melawat Windsor Castle. Melihat istana raja Inggeris. Sebelah petang kami membeli belah di Bistel Village. Banyak barang berharga ada dijual di situ, harganya berpatutan, tapi jika dibandingkan dengan duit Malaysia tinggi juga. Kami tak lepas peluang beli kasut jenama Clarks. Jam 6.00 petang kami bertolak balik ke rumah Hanim di Stoke on Trent. Bermalam sekali lagi di rumah Hanim & Fairuzam.

Hari Ke-6 (25 Mac 2008-Selasa).

Pagi bertolak dari Stoke on Trent ke Hull. Pengalaman memandu di lebuh raya England sangat mencabar, maklumlah semua kereta di sini hebat belaka, dari jenis Porche, Jaguar, BMW, Cooper, Mercedes, WV, dan beberapa jenama yang tidak dapat saya sebutkan, semua berkuasa tinggi.Tiada speed limit, kecuali yang ada tanda kamera. Pemandu di sini kadang-kadangpun, kurang asam juga. Kami melalui lebuhraya M1, M18 & M62. Kami berehat di Hull, sambil membuat persiapan ke Sweden. Jalan-jalan di Hull City Centre, ambil gambar sikit.

Hari Ke-7 (26 Mac 2008 – Rabu )

Kami bertolak ke Liverpool Airport (John Lenon), melalui M62, M60, to A5300, perjalanan mengambil masa 3 jam. Saya berhenti di petrol pump untuk mengisi petrol, stail di UK isi sendiri kemudian bayar, (agaknya sistem negara maju mempercayai semua orang), tapi yang nak dijadikan cerita, abang E, masuk ke dalam kedai, saya sangka beliau membayar, tetapi hanya beli gula-gula. Bila saya telah masuk lebuhraya, saya terus bertanya, mana resit petrol 25.07paun, katanya beliau tak bayar, pening kepala kami memikirkan takut di tahan oleh polis. Mereka boleh dakwa kami menipu. Tapi alhamdullillah, dapat idea, telefon Azli minta Azli tolong bayarkan di Hull. Azli bayar secara on line. Bila balik, Abang E, bayar hutang pada Azli. Lucu sekali.....Kami meneruskan perjalanan ke John Lenon Liverpool Airport. Di airport pun kalam kabut kerana kami bawa banyak barang makanan. Sekali lagi Pak De Razali naik angin, habis semua orang dihamburnya. Oleh kerana syarat membawa barang hanya 15 kg, maka ada sebahagian kena kami tinggalkan dalam kereta. Hanim pula tertinggal beg besarnya di Airport. Keadaan kelam kabut. Kami yang terakhir, nak berlepas, macam-macam karenah semasa check-in, sampai Pak De bercakap agak deras, barulah semuanya dapat masuk pesawat. Pesawat Ryanair, 9319 selamat mendarat tiba di Skavsta, Nykoping jam 9.00 malam, kami mengambil teksi ke Ibis Hotel.(masuk hotel kena guna strategi juga, maklumlah sewa hanya 3 bilik, yang nak tidurnya 20 orang, cuba bayangkan macam mana, tapi dengan ”nego” kami kena tambah duit sikit, dan ambil hotel tambahan, sebab petugas kaunter tahu, orangnya ramai, lalu depan dia. Ini semua kerja Mak De dan Hanim. Kami hanya seludup masuk.

Hari ke-8 (27 Mac 2008 )

Salji memutih di sekeliling hotel di Nykoping, cuaca 0 darjah selsius. Puas kami main snow. Jam 9.00 pagi kami berempat (Abang E, Pak De, Zam, saya) mengambil kereta sewa di airport, tempat kami mendarat semalam. Saya terpaksa belajar memandu sebelah kiri, kerana di Eropah termasuk Sweden mereka memandu sebelah kiri, tak sama macam UK. Vockswagen Golf dan Polo, yang kami pandu memang hebat prestasinya. Tengahari itu kami bertolak ke Stockholm iaitu ibu negara Sweden. Tiba di Stockholm kami mencari pejabat Kedutaan Malaysia, tetapi malangnya pejabat dah nak tutup, ada seorang pekerja berbangsa India saja yang masih tinggal dan jawapan serta layanannya sangat mengecewakan.(langsung tak friendly). Dalam hati saya berkata mengapa kerajaan Malaysia memilih orang macam ni bekerja di kedutaan luar negara. Kalau macam ni lagi lingkuplah negara kita. Malam itu, kami bermalam lagi di Ibis Hotel Stockholm.

Hari ke-9 (28 Mac 2008 )

Pagi kami bertolak di Uppsala di Utara Sweden, kami sempat melawat Uppsala Universiti, musim cuti tiada student, apa yang uniknya di semua bandar yang kami lawati penggunaan basikal masih meluas, perancangan bandar masih mementingkan jalan untuk pengguna basikal, jalan untuk pejalan kaki, kereta, bas dan keretapi elektrik. Bandar Uppsala sangat cantik, terusan di tengah bandar bersih dan jernir airnya. Tengaharinya kami bertolak ke Jonkoping, sepanjang perjalanan ke sana cuaca 0 darjah selsius, salji di kiri kanan jalan. Malam itu kami bermalam di Ibis Hotel di Jonkoping. Terpaksa menyeludup kerana hotel di sini hanya untuk 2 dewasa sahaja. Jika lebih penginap akan dikenakan bayaran lebih. Sakitlah macam ni... maklumlah bukan semuanya bawak banyak duit. Bandarnya dikelilingi bukit,di bawahnya ada sungai yang mengelilingi bandar (macam bandar terapung).

Hari ke-10 (29 Mac 2008 )

Kami bertolak ke Copenhagen di Denmark. Sebelum itu kami ronda di bandar Jonkoping. Selepas itu terus drive ke Copenhagen.Kami memandu dengan kelajuan 120km sejam. Singgah di bandar Malmo membeli barang makanan. Sebelum memasuki Denmark kami perlu membayar 320 kronor (matawang Sweden, lebih kurang 170 wang Malaysia), pergi balik 620 kronor. Kami melintasi jambatan dari Sweden ke Denmark. sepanjang jalan tiada tol, tetapi apabila memasuki sempadan negara, tol dikenakan. Kami menginap di Saga Hotel di tengah bandar Copenhagen. Satu bilik amat mahal iaitu berharga DKK 880. Bilik air dan mandi berada di luar. Kami menyewa 2 bilik sahaja dan kami sumbatlah 20 orang dalam bilik tersebut. Bilik bolehlah dikatakan besar jugak, jadi tidaklah macam sardine. Pemandangan sungguh cantik, tapi tak secantik bandar Stockholm di Sweden. Basikal masih menjadi pilihan penduduk di sini. Bandar sangat bersih dan dikelilingi terusan. Teksi di Copenhagen semuanya Mercedes. Semasa berjalan-jalan di kota Copenhagen kami bertemu dengan wanita Malaysia, beliau bertugas di Malaysian Embassy.Nama beliau Aishah dan sungguh baik hati. Kami diajak ke majlis jamuan orang Melayu di sana, tapi oleh kerana kesuntukan masa kami terpaksa menolak. Jam 12.00 tengahari kami bertolak ke Oslo. Sebelum itu kami singgah di bandar Goterberg di bandar Sweden. Di bandar inilah paling cemas kami berempat memandu, jalan keretapi bersimpang siur, beberapa kali kami tersalah masuk jalan, adakalanya tersangkut ditengah-tengah laluan keretapi, tapi keretapi atau trem di sini friendly boleh brek. Kalau tidak mautlah kami semua. Co-Pilot tak habis-habis marahkan pilot, bila saya tanya Fairuzam, dia pun kena 'hentam' dengan Hanim, Pak Ngah kena 'hentam' dengan Mak Ngah. Apalah nasib...Inilah pengalaman memandu yang paling menyesakkan nafas kami, tapi anehnya penumpang semua ’relax’ saja. Bandar ini terkenal dengan trem di tengah bandar. Kami bertolak meneruskan perjalanan ke Oslo perjalanan mengambil masa 8 jam, kami bermalam dalam kereta. Cuaca sangat sejuk. Kami singgah di sebuah petrol station kononnya nak lelapkan mata sekejap, tapi ”sui” sungguh malam tu ada hamba Allah yang bagi bom angin, pahit baunya, terus saya tak dapat tidur. Jalan ke Oslo, tidak seperti di lebuhraya di Sweden dan banyak kawasan yang jalannya dalam proses pembesaran. Pemanduan malam sangat mencabar kerana waktu itu hujan renyai diselaputi pula kabus yang tebal. Kami gagahi juga memandu, kebanyakan co-pilot sudah tertidur. Kami sampai di Oslo jam 5 pagi. Setibanya di Oslo, perut saya memulas, terpaksa pula bagitau pada Fairuzam supaya beliau set navigator cari petrol station yang terdekat. Apa lagi bila jumpa petrol station saya meluru masuk, rupa-rupanya ada dua tiga orang lagi yang mengalami masalah yang sama dengan saya termasuk Syarif, Hanim, Luqman dan Nashrul. Kami sempat bertanya dengan pemuda yang menjaga petrol station di mana lokasi masjid yang terdekat. Nasib kami sungguh baik kami jumpa masjid. Pagi itu kami sembahyang di Masjid Ahmad di tengah kota Oslo di Norway. Imam Muhamad Mubasher berasal dari Pakistan melayan kami. Pengerusi masjid itu ialah Syahed. Beliau yang membenarkan kami berehat di situ. Saya curi masa untuk lelapkan mata sebelum kami berlepas balik. Kami semua sempat bergambar dengan Imam Muhamad Mubasher. Kenangan di bandar Oslo sungguh indah, terfikir juga bila pula dapat pergi ke kotaraya Oslo, yang tinggal kenangan hanya gambar di depan masjid. Saya berfikir juga, hebat sungguh orang Pakistan ini, di mana mereka pergi mereka berjaya mengembangkan syiar Islam, kita orang Melayu belum global lagi dalam hal ini, mungkin hal lain sudah. Di Norway, keadaannya bergunung-ganang atau berbukit-bukit. Lebuh raya sedang diperbaiki. Tidaklah sehebat lebuhraya kita. Masuk ke Oslo, ada melalui tol, tetapi self service, tiada pemungut tol.

Hari ke-11 (30 Mac 2008)

Bayangkanlah kami tak cukup rehat dan tidur. Tidur ayam di dalam kereta dan semasa di masjid Oslo. Kami bertolak semula ke Stockholm. Kami drive dari Oslo jam 7.00 pagi, bawa kereta dengan kelajuan 160-170 km, kerana nak kejar trip feri jam 3.00 petang Ke Finland. Masa itu baru saya tahu Volkswagen powerfull, road grip hebat.(harap-harap tak kena apa-apa saman) sama-sama berdoa agar selamat. Kami terlewat sampai di Stockholm Viking Line Port, masa tu dapat tengok Hanim berlari sana sini cari ’ferry office’ (kesian sungguh pada dia) tapi nak buat macam mana, kami semua kena memandu, tiada tempat untuk parking. Kalau biasa tonton filem Italian Job, bagaimana 3 mini berlumba di jalan, begitulah lebih kurang gaya kami berempat memandu. Abang E, gelak sepanjang malam bila mengenangkan peristiwa hari itu. Di kaunter tiket feri ada masalah, kerana semasa Mak De tempah through internet, ramai nama tak ikut passport masing-masing dan ada yang tersalah ambil tiket, tetapi hasil 'nego', arguments dan penjelasan Mak De dan Hanim, akhirnya, kami dapat menaiki Feri/Cruise jam 8.00 malam. kami rasa lega............Kamipun naik Viking Line dan dapat berehat malam itu di dalam kabin-kabin masing-masing. Cruise mewah.............. Mak De dan orang pompuan rayau-rayau dalam ferry tu, sebab ada shopping mall & duty tax free.

Hari ke-12 (31 Mac 2008)

Kami tiba di Finland jam 7.00 pagi, cuaca sangat sejuk. Kami ambil bas ke bandar Turku di Finland. Kami sempat membeli buah-buahan segar di bandar Turku. Harganya murah dan semua boleh dirasa. Nak ke Helsinki dah tak sempat, lagi pun tambang train mahal lebih kurang 20 paun untuk satu perjalanan. Sehari suntuk kami ronda bandar Turku. Peristiwa lucu di bandar Turku ialah kami terpisah dengan kumpulan induk. Pak Rahim and the gang (Johnkoping, Syarif dan Nashrul) puas jugalah kami melilau mencari, macam-macam teori kami buat, akhir sekali baca surah Ad-Dhuha. Paling lucu bila kami bertemu (tak macam jejak kasih) kena marah (Pak Rahim kata pada Mak De, biasanya jika lama tak jumpa, sekali jumpa gembira, tapi ini dimarah pula) lepas itu suasana riuh semula, memang geng rombongan kami macam tu. Marah sekejap saja, lepas tu semua jadi kenangan manis.

Hari ke-13 (1 April 2008 )

Kami balik ke Stockholm. Malam terlena. Biasalah naik feri 10 tingkat (cruise mewah, tiket offer, lebih kurang 17paun seorang). Malam itu kami semua merayap dalam kapal, tengok ’life style’ orang Finland dan Sweden. Bar dalam kapal adakan. Ada yang mabuk dalam kapal dan terlantar di tepi. Sempatlah jugak kami posting di dalam kapal itu. Cuma cantinya pemandangan di sekeliling dan bersih. Air sungaipun jernih dan dalam sehingga kapal besarpun boleh lalu.

Hari ke-14 (2 April 2008)

Kami balik ke Liverpool. Kami tiba di rumah jam 10.00 malam. Mak Teh dan Kak Ngah masak nasi. Malam itu baru kami semua jumpa nasi. Kami dah 6 hari tak makan nasi. Sepanjang berada di Sweden, Denmark, Norway dan Finland kami makan salad dan roti. Tapi kopi radik sentiasa ada (abang E buat kenduri).

Hari ke -15 (3 April 2008)

Kami tak rasa letih. Kami melawat ke York, pulak. Bangunan di sekitar bandar York memang cantik. Kami ambil kesempatan melawat ke York University.

Kami ke-16 (4 April 2008)

Saya dan keluarga, Pak De dan Kak Faridah dihantar oleh Abang E, kak Ngah, Jonkoping (nickname Muzaffar) dan Mak De (ikut sama Hakim). Abang E dan Kak Ngah serta Muzaffar stay beberapa minggu lagi di UK. Kami bertolak jam 7.00 pagi sampai di bandar Manchester jam 9.00 pagi. Kami sempat melawat ke Old Trafford Stadium Manchester United. Hanim tunggu kami di Old Trafford dengan anak-anaknya (Luqman, Faiz, Yam, Balqis, Imran). Kami bertolak ke airport jam 10.00 pagi, check-in jam 12.00 tengahari. semua barang dapat dibawa balik.

Dalam kapal terbang sepanjang perjalanan hati saya ketawa sendirian, sungguh gembira. Inilah pengalaman perjalanan kami yang tidak boleh dijual beli. Ikatan kekeluargaan bertambah mesra, kami kenal hati budi masing-masing. Walaupun ada yang marah-marah tetapi semuanya baik hati. Saya namakan siri pelancongan motivasi dan ’team building’. Kesabaran kami semua benar-benar teruji. Macam manapun saya ’respect’ pada Fairuzam, yang mengemudikan perjalanan kami di Eropah utara dengan Tom Tomnya. Kepada Mak De, you are very special person. Kepada Hanim you are the best mother, Kepada Pak De I know your feelings. Kepada Mak Ngah, you are very good supervisor. Kepada Pak Ngah you are very responsible leader. I am just a researcher. All the way back the song of Abba & Beatle is nostalgic.

Nota: European Tour, 26 March-2 April, 2008. Watak adalah terdiri daripada Keluarga Hanim, Fairuzam & anak-anak 5 orang, Zafri (abang E) & isteri, anak Muzaffar, Abdul Rahim (penulis), & isteri, anak bongsunya Syarif, blogger, isteri & anak-anak, Kak Farifah Mustaffa. Perjalanan berkereta merentasi Sweden, Denmark dan Norway sejauh 3,888 km dan menaiki Viking Line.

Dimuatkan di dalam blogku untuk kenangan semua, setelah menerima e-mel daripada Pak Teh hari ini, 2 Mac, 2009, hampir setahun berlalu. Ketika itu birasku turut berminat untuk menrekodkan perjalanan ini in his diary. Pak Teh bercuti 2 minggu bersama-samaku ke UK.


1 comment:

Hidup Haira Je said...

Subhanallah... seronoknya bawa keluarga jalan2 ke luar negara.. saya pun dari keluarga yang ramai, faham sangat dengan perangai dan keletah masing2. Tambah2 yang berumur ehem2 sikit.hehe.. sabar tu memang penting.. again, tahniah dan saya teringin jadi macam keluarga penulis., salam perkenalan dari penang..