Aku selamat sampai di bumi UK pada Rabu 15 Julai jam 9.10 pagi setelah mengharungi 17 jam perjalananan melalui Amsterdam, Holland.
Terima kasih kepada jiran dan sahabatku dari Blok C, Bandar Puncak Alam, sdr. Nazri Lim yang sudi menghantar kami ke KLIA kira-kira jam 8.05 malam, Selasa 14 Julai, 2009. Temanku ini kasihan menengokku kerana tidak tergamak melihat diriku membawa kancil buruk ke KLIA dengan membawa beg yang besar. Inilah kereta yang aku tinggalkan di Malaysia kerana hendak berhijrah ke UK.
Aku sampai ke kaunter J, KLM dan dapat menyiapkan 'check in' dengan mudah, kira-kira jam 9.15 malam kerana tiada penumpang-penumpang lain yang menanti. Cuma aku terkilan sedikit kerana tempoyak yang aku bawa di beg besar dapat "dihidu" oleh kaunter tiket dan meminta aku mengeluarkannya.
Aku sampai di Amsterdam Schiphol Airport kira-kira jam 5.40 waktu tempatan di Gate No. F9 dan terus menunggu' boarding' mulai 8.40 pagi di Gate D6, Exit E ke Humberside, Yorkshire, UK menaiki pesawat KL 1489, Fokker aircraft yang agak kecil.
Untuk kali pertamanya, beg 'missing' dan setelah memaklumkan akan 'kehilangan beg' berwarna kuning yang penuh dengan barangan makanan di kaunter, barulah aku dapat bertemu dengan temanku yang sudi datang menjemput ke Humberside Airport, Presiden Melayu Hull, sdr. Shafudin dan Setiausaha sdr. Zuber. Dapatlah aku merasa kereta baru Zuber, yang dibelinya beberapa hari yang lalu. Sdr Zuber tidak sabar menunggu untuk mendapatkan bunga kantan, kiriman bapa saudaranya, yang aku bawa.
Aku jarang menaiki KLM, tetapi kerana ada promosi harga murah yang ditawarkan berbanding Qatar, Etihad dan Emirates Airways, maka aku cuba penerbangan ini. Semua pesawat Arab ini menyediakan makanan yang agak istimewa dan hidangan yang pelbagai bahkan halal, walaupun makanan berupa 'kearaban'. Walaupun semasa aku menempah tiket KLM, aku ada 'request' makanan moslem, namun aku dapati, makanan yang diberi sama dengan penumpang lainnya.
Aku terasa amat letih kerana penerbangan terus dari KLIA ke Amsterdam mengambil masa 11 jam. Aku terasa pinggangku sakit, maklumlah lama duduk di kelas ekonomi. Jika aku mengambil penerbangan Arab, aku berhenti di Manchester Airport dan terpaksa mengharungi 2 1/2 jam untuk sampai ke rumahku. Dari Humberside Airport ke rumahku hanya mengambil masa 40 minit.
Jika aku mengambil penerbangan Arab, aku boleh singgah atau transit di Doha, Abu Dhabi atau Dubai untuk melihat keindahan kemajuan dunia Arab. Pesawat dari negara Teluk ini, kebanyakannya baru.
Sistem pendidikan di UK dibahagikan kepada empat bahagian penting iaitu pendidikan rendah, menengah, pendidikan lanjutan dan pendidikan tinggi. Kanak-kanak di UK adalah tertakluk kepada undang-undang (mandatory) untuk bersekolah di sekolah rendah dan menengah seawal umur 5 tahun hingga 16 tahun.
Sistem pendidikan di UK turut dipecahkan kepada beberapa tahap seperti berikut:-
Tahap 1 - 5 ke 7 tahun
Tahap 2 - 7 ke11 tahun
Tahap 3 - 11 ke 14 tahun
Tahap 4 - 14 ke 16 tahun
Pada umumnya, tahap 1 dan 2 di peringkat sekolah rendah dan ketika umur 11 tahun, murid akan bersekolah di sekolah menengah dan menyelesaikan tahap 3 dan 4. Pelajar-pelajar diuji pada setiap hujung tahap. Penilaian yang terpenting apabila berusia 16 tahun, mereka akan menduduki peperiksaan General Certificate of Secondary Education (GCSE). Setelah selesai mengambil peperiksaan GCSE ini, mereka bebas memilih untuk menyambung pelajaran dan potensi ke peringkat lebih tinggi atau berhenti sekolah dan mencari pekerjaan.
Selepas umur 16 tahun, melanjutkan pelajaran adalah ‘optional’ sahaja. Pada mereka yang ingin meneruskan pelajarannya, sebaik menamatkan peperiksaan GCSE, pilihan terbuka untuk mengambil A-Levels, General National Vocational Qualifications (GNVQ), Business & Technology Education Council (BTEC) atau kelayakan yang setaraf dengannya. Pelajar-pelajar yang berminat dan merancang untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti mestilah menamatkan pendidikan lanjutan ini.
Sebagai bahan perbincangan, apakah kelebihan/kebaikan sistem ini yang boleh dipelajari oleh kita?
i) Pada setiap tahap umur 5 – 16 tahun, ujian di peringkat tahap sebelum menduduki peperiksaan GCSE akan menentukan minat, kecenderungan setiap pelajar. Guru akan menetapkan sama ada setiap pelajarnya akan menduduki GCSE tahap asas (foundation level) atau tinggi (higher level). Peperiksaan GCSE adalah sama tarafnya dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kita. Di Malaysia, setiap pelajar akan menduduki jenis peperiksaan yang sama, walaupun mungkin pencapaian mereka lemah. Di UK, GCSE inilah peperiksaan kebangsaan yang pertama, tetapi pelajar yang didapati lemah akan hanya dibenarkan menduduki ‘foundation level’ dan markah yang tinggi sekali ialah “C” dan pelajar yang diakses mampu dan menonjol penampilannya akan menduduki peperiksaan “higher level”. Di peringkat GCSE, pelajar-pelajar telahpun didedahkan dengan tugasan tertentu seperti konsep ‘course work’ di universiti. Sistem kita didapati terlampau menitikberatkan peperiksaan dan tiada ruang menyediakan ‘assignments’ dan pemikiran kiritis.
ii) Setiap kanak-kanak menikmati pendidikan seawal 4 tahun (‘reception class’) dan setelah mencapai umur 5 tahun adalah diwajibkan bersekolah sehingga umur 16 tahun. Bahkan pendidikan adalah percuma sehingga umur 18 tahun. Ini bermakna, setiap pelajar dan keluarga tiada terbeban dengan pelbagai yuran sekolah, kolej atau PIBG. Buku teks turut disediakan untuk setiap pelajar. Secara positifnya, pelajar yang tercicir dapat dielakkan. Pada pelajar yang dianggap miskin, akan menikmati makanan di sekolah dan tambang bas percuma, mengikut jarak rumah dan sekolah yang telah ditetapkan. Semua urusan pembiayaan diurus oleh setiap Majlis Perbandaran (City Council). Ini bermakna, penurunan kuasa (desentralisasi) telahpun dilakukan di UK.
iii) Kelas adalah kecil dan tidak melebihi 30 orang pelajar. Kelas adalah bergantung kepada bilangan murid dan guru yang munasabah. Most teachers think smaller class sizes would help to improve learning.
iv) ‘Nursery’ dan pendidikan pra sekolah memperuntukan 10 ½ jam percuma seminggu untuk para ibu bapa/penjaga yang menghantar anak-anak ke mana-mana institusi. Setiap sejam tambahan menghantar anak ke tempat-tempat berkenaan dikenakan bayaran 3.00 paun. Ini bermakna semua penjaga bebas memilih masa yang sesuai untuk menikmati bayaran percuma.
v) Sekolah adalah satu sesi, mulai jam 8.30/8.55 pagi- 3.00 petang. Di sekolah rendah, pelajaran bermula jam 8.55 pagi dan waktu perhimpunan dan ‘break’ mulai jam 10.25 pagi-11.00 pagi. Waktu ‘lunch’ mulai 12.00 tengahari-1.00 tengahari. Sesi persekolahan bermula pertengahan bulan September setiap tahun dan cuti panjang pada musim panas. Selain daripada cuti semester break, cuti yang berkaitan dengan ‘teachers training’ juga turut dijadualkan. Sebagai contoh, jika sebuah sekolah memerlukan guru-guru mereka diberi latihan tertentu pada hari persekolahan, maka sekolah akan ditutup dan murid-murid akan dibenarkan bercuti.
vi) Pelajar dikehendaki bersekolah di kawasan berdekatan rumah mereka, melainkan sekolah penuh dan tidak dapat menampung bilangan yang telah ditetapkan oleh City Council.
vii) Mata pelajaran yang diajar adalah mendedahkan pelajar kepada ilmu alat (bahasa), kemahiran menulis, mengira, membaca, bertutur, kesenian, menganalisa dan kemahiran teknologi. Di sekolah rendah, murid-murid mempelajari bahasa French dan English dengan menitik-beratkan spelling, hand writing, and literacy (the ability to use language to read, write, listen, and speak). Mereka juga perlu mempelajari ‘number work’ selain mata pelajaran science, computer, geography, history, religion (RE), Art and design technology di samping aspek ‘guided leading’ and physical education (PE) in hall/field. Mata pelajaran Maths dan literacy diajarkan setiap hari. Di sekolah Menengah pula, mata pelajaran kemahiran hidup diajarkan di samping ICT, bahasa asing seperti French, German, dan lain-lain bahasa bergantung kepada bilangan murid yang berminat atau bertutur dalam bahasa tersebut, career dan citizenship.
viii) Impak yang ketara ialah dari aspek perbualan dan pertuturan/percakapan. Anak-anak Melayu mampu menguasai bahasa Inggeris dengan mudah dan fasih bertutur dalam bahasa ini. Di samping itu, mereka dapat menganalisa dan berfikiran secara kritis dan kreatif. Mereka juga mempunyai fikiran yang positif dan berdikari.
Apa khabar semua teman terutama di Saujana Utama, Seri Pristana, Bandar Puncak Alam di semua fasa, Kampung Bukit Hijau, Bukit Cheraka, Bukit Kuching, Parit Mahang dan yang boleh mengakses e-mel ini. Bacalah coretan perjalanan kehidupan saya untuk penghibur teman semua.
Pertama, aku ucapkan terima kasih atas sokongan dan galakan keluargaku dan teman-temanku yang aku suatu ketika menyuarakan cadangan dan berhajat ke UK untuk menziarahi keluarga di sana. Keduanya, aku turut berterima kasih kepada sahabatku, Ustaz Mohd Sharoni Ismail yang sudi menghantarku ke KLIA, walaupun jadualnya agak 'ketat' hari itu. Aku bertolak ke UK dengan pesawat Etihad Airways, EY411 pada jam tepat 9.10 malam menuju ke Abu Dhabi International Airport dan sampai di lapangan terbang ini pada jam 12.30 tengah malam, waktu UAE dan terpaksalah 'lepak' di musollah sehingga jam 1.30 tengahari kerana tiada' flight' kosong ke Manchester. Aku cuba 'request' hotel tetapi tidak dapat layanan. Alhamdulillah, pada tengahari itu aku dapat berlepas dengan pesawat EY21 dan aku telahpun sampai di bumi England pada hari Khamis, malam Jumaat, waktu sudah gelap, kira-kira jam 5.22 malam, waktu tempatan dan disebabkan musim sejuk (winter), waktu malamnya agak panjang berbanding waktu siang. Aku sampai rumah di Hull, kira-kira jam 9.35 malam. Perjalanan dari Manchester Airport mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke kediamanku. Itupun dianggap agak cepat disebabkan jalan menghala ke Hull, tidak 'jammed', lagipun anak lelakiku, Fathul namanya, yang sedang cuti semester, belajar di UiTM, Arau telah sampai lebih awal ke UK, agak berani memandu laju sehingga 80 batu sejam, walaupun jalan agak basah kerana hujan. Dengan cuaca dingin serendah 2 darjah celcius, aku merasakan suasana sejuk memasuki tulang, lagipun agak lama juga sudah tidak rasa kesejukan yang sebegini. Kereta yang aku beli, semasa belajar di UK dahulu masih gagah bergerak di atas Motorway (highway) M62.
Kereta Renault Megane 1.6, tahun 1997 yang aku beli lebih kurang £675.00 semasa belajar bulan Oktober 2006, nampaknya masih lasak dan cergas di jalan raya. Sememangnya kereta, terutama 'second hand' dijual agak murah.
Walaupun agak keletihan ketika ini, namun aku puas setelah hampir setahun dua bulan duduk 'seorang diri' tanpa isteri dan anak, semata-mata hendak menyelesaikan kontrak dengan JPA, selama setahun. Kita wajib bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa jua 'tanggungan' yang ada. Setelah selesai, aku rasa lega.
Hingga hujung bulan dan tahun ini, aku mengambil cuti rehat, yang bergaji penuh. Tidak bermakna, aku hendak 'lari' daripada tugas. Cuti rehatku wajar dihabiskan, kalau tidak ianya 'burn', tidak boleh di bawa ke hadapan ('carry forward'). Aku ambil kesempatan ini sebaik-baiknya.
Aku akan bercuti tanpa gaji mulai 1 Januari, 2009 hingga 24 September, 2009 dahulu. Ianya bergantung kepada pengajian isteriku di peringkat PhDnya. Kalau perlu disambung lagi, mungkin sampai September, 2010. Ini turut bergantung kepada keadaan anak perempuanku yang sedang belajar 'A levels' di St. Mary's College dan anak ketigaku yang sedang mengambil bidang BTEC Diploma in Engineering di Hull College. Kedua-duanya berada di Sixth Form, High School.
Inilah kehidupan yang tidak sunyi dengan liku-liku, pengorbanan dan tidak pernah mengenal erti keletihan, sehingga sepupu perempuanku yang tinggal di Seksyen 11, Kota Damansara, selalu menyatakan aku ini orang yang tidak jemu-jemu untuk belajar kesusahan, keperitan dan rintangan. Beliau ada bertanya kepadaku, bilakah agaknya abang boleh duduk sama-sama anak isteri, sebabnya daripada mula berkahwin pada 21 Jun 1987 hingga sekarang selalu berpindah-randah, macam 'orang nomad'?
Aku sememangnya seronok macam ini sekadar untuk mencari pengalaman kesabaran dan yang paling mustahak dapat sentiasa belajar untuk mempunyai sifat tolak ansur sesama ahli keluarga dan orang lain. Aku turut belajar berkomunikasi dengan berkesan dan menjadi pendengar yang baik di samping berusaha untuk mengawal emosi atau ego yang tinggi.
Jumaat tadi, dapat aku berkesempatan bersolat Jumaat di Masjid Pearson Park dan sempat berbual-bual dengan teman-teman belajar dahulu tetapi tidak boleh lama berdiri di luar kerana cuaca amat sejuk. Tidak semua aku dapat bertemu kerana ada teman-teman lain bersolat di universiti. University of Hull turut membenarkan 'Islamic Association" menganjurkan solat Jumaat di 'prayer room' yang khas, disediakan. Jumaat kali ini amat singkat khutbahnya, lebih kurang 12 minit sahaja dan tepat 1.14 tengahari terus solat. Aku nampak khatib dan imam orangnya agak muda dan bagus juga dapat mendengar khutbah ringkas, padat dan masih menggunakan bahasa Arab sebagai medium penyampaiannya. Sebenarnya, sebelum khutbah itu, para jemaah telahpun mendengar tazkirah panjang dalam bahasa ‘Bangaladeshi’, yang aku sendiri tidak faham sepatahpun. Sebab itu, kami di sini suka datang lambat sedikit, hanya untuk mendengar khutbah dalam bahasa Arab sahaja. Aku bolehlah faham, walaupun tidak semua. Di universiti, khutbah dalam bahasa Inggeris tidaklah masalah besar, kerana khatib di kalangan ‘student’ dan penyampainya 'our Arab brothers' dan kesemuanya dapat berbahasa dengan baik.
Aku tidaklah terasa letih apabila dapat mencium anakku yang bongsu, Muhammad Nur Hidayat (Hidayat), sekarang di 'Year Three', bersekolah di Sidmouth Primary School, walaupun usianya baru tujuh tahun.
Hari Sabtu 13 Disember, 2008 kira-kira jam 6.15 petang (malam) kami ada usrah/alkulliyah muslimin.
Kini aku sedang bersiap-siap dan berkemas untuk perjalanan makan angin ke Brussels, Belgium, Zurich, Switzerland dan Paris, Peranchis mulai 15 - 19 Disember, ini.
Untuk sementara ini, sekadar ini coretan yang sempat dirakamkan.