Friday, March 06, 2009

PPSMI

Adakah Dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan?

1. Niat dan Sejarah
1.1 Sebagai mukaddimah, walaupun aku bukan guru sebagai profesionku, namun aku ingin turut serta mengulas perkara di atas. Semua penghuraian, perspektif dan penjelasan yang aku nyatakan adalah seinspirasi dengan pencinta-pencinta dan para pejuang bahasa. Idea-idea mereka turut aku muatkan sebagai hujjah dan sandaran fakta yang jujur. Pertama dan perkara asas iaitu soal niat, tujuan, kajian, perancangan teliti, ‘resources’, pandangan orang ramai dan akademik tidak diperbincangkan dan diambilkira lebih awal telah mengakibatkan tercetusnya kekalutan pelaksanaan PPSMI ini.
1.2 Ahli/pemimpin politik yang berkuasa dan akhirnya kerajaan membuat keputusan tersebut berlandaskan beberapa faktor semasa ketika itu, di antaranya keadaan ekonomi yang meleset pada tahun 1990an dan disabitkan alasan graduan Melayu sukar mendapat pekerjaan di sektor swasta yang di kaitkan dengan kesukaran bertutur dalam bahasa Inggeris. Walaupun apa jua alasan yang diberikan, aku secara peribadi tetap meragui niat dan kejujuran orang yang mula-mula mencanangkan idea PPSMI. Suatu keputusan yang hendak diambil semestinya mengambilkira semua pandangan masyarakat, badan-badan berwajib, NGOs, pendapat publik, ahli yang pakar dalam bidang pendidikan dan bukan kuasa penentu (veto) politik, khususnya pemimpin politik/ kerajaan.
1.3 Sejarah membuktikan perancangan dan pelaksanaan tulisan jawi yang dimansuhkan semasa Tan Sri Mohamed Khir Johari sebagai Menteri Pelajaran menjelaskan bagaimana keputusan itu membawa padah sehingga generasi sekarang menghadapi masalah membaca bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Syukurlah, Orang Cina dan India masih mampu menulis dan berfikir melalui bahasa dan tulisan bahasa ibunda mereka.

2. Pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan pengamalannya
2.1 Bahasa Melayu wajar diberikan peluang untuk berkembang sebagai bahasa ilmu terutama ilmu sains dan teknologi. Seandainya, kita tidak menggunakan bahasa Melayu untuk menguasai atau belajar, maka ilmu bahasa Melayu itu akan terencat perkembangannya. Pada akhirnya bahasa Melayu akan ketinggalan dan terkubur dibandingkan dengan perkembangan ilmu dalam bahasa lainnya. Kita mesti menerima tafsiran dalam perlembagaan dan undang-undang, bahawa bahasa Melayu wajib diperkembangkan sebagai bahasa ilmu seperti yang kita lakukan sebelum ini. Sebenarnya, agenda ini sudah pun termaktub dalam perlembagaan negara dalam bentuk Artikel 152 Fasal (1) yang menetapkan bahawa bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu.
2.2 Tidak dinafikan mereka yang bersetuju pelaksanaan PPSMI berpandangan kerana banyak sumber ilmu, seperti buku, jurnul, makalah ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris, maka bahasa inggeris wajar dipakai. Idea sebegini amat pelik kerana ianya tidak menyentuh langsung tentang menterjemah buku-buku, artikel-artikel, jurnal dan bahan-bahan lain yang berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Ada orang Melayu yang mempunyai kelebihan mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di samping sains dan matematik. Mereka inilah yang perlu dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja menterjemah, istilah dan sainstifik. Di manakah pula galakan kepada cerdik pandai Melayu untuk menulis lebih banyak bahan ilmu dalam bahasa Melayu?
2.3 Bahasa Melayu wajar dikaji dari aspek ‘economically, scientifically and educationally viables’.
2.3.1 Bahasa Melayu adalah bahasa ‘the lingua franca’ di Nusantara dan digunakan meluas dalam aspek perdagangan dan perniagaan pada seawal kurun ke 7. Dari aspek ‘scientifically and educationally viable’, usaha-usaha menterjemahan bahan akademik dan ilmiah ke dalam bahasa Melayu wajar dipergiatkan bagi melambangkan bahasa Melayu mampu turut serta di dalam perkembangan dunia ilmu di rantau ini. Negara kita boleh mengadakan hubungan usaha sama bersama-sama negara Indonesia, Brunei, Singapura bahkan Filipina selatan mahupun Thailand dalam menerbitkan jurnul bermutu seperti perubatan dalam bahasa Melayu, bahkan dalam aspek kesusasteraan Melayu (Malay literature), seni dan sejarah.
2.3.2 Malangnya, kita memberi penekanan kepada kecintaan bahasa ibunda bukan tuntutan ilmiah. Tuntutan ilmiah mesti menggunakan bahasa asing iaitu bahasa Inggeris.
2.4 Memang tidak boleh dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah penting kerana bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang terkemuka di samping meluas penggunaannya dalam bidang perdagangan antarabangsa, tidak ketinggalan juga dalam bidang undang-undang. Malaysia masih memerlukan bahasa Inggeris kerana negara kita masih memakai sistem undang-undang Common Law, Equity dan kes-kes yang berkenaan itu adalah dalam bahasa Inggeris. Undang-undang yang dipakai sebelum merdeka dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen selepas merdeka sehingga 1 September 1967, adalah dalam bahasa Inggeris dan undang-undang itu masih berkuatkuasa, melainkan beberapa undang-undang yang telah diterjemah ke bahasa Melayu. Ini bererti bahawa bahasa Inggeris masih diperlukan di mahkamah apabila kes-kes dan undang-undang dalam bahasa Inggeris yang tersebut timbul dalam perbicaraan.
2.4.1 Justeru, peguam-peguam dan hakim-hakim adalah perlu fasih dalam kedua-dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris. Pada amnya, bahasa rasmi di mahkamah ialah bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, tetapi jika timbul keadaan seperti yang tersebut di atas maka bahasa Inggeris boleh digunakan. Malaysia sudah merdeka dan berdaulat melewati usia 50 tahun. Merdeka dan berdaulat bererti mempunyai dan mendaulatkan bahasa sendiri dalam bidang dan urusan termasuklah bidang perundangan dan kehakiman.

3. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
3.1 Fungsi DBP wajar dimartabatkan semula. Usaha menterjemahkan penerbitan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Inggeris. Para penterjemah juga perlu diraikan dengan ganjaran yang setimpal dan munasabah. Peruntukan bajet yang besar wajar diberi. Aktiviti penterjemahan di Korea Selatan, contohnya, terlalu aktif sehinggakan buku ilmiah dalam bahasa Inggeris dan terjemahannya dalam bahasa Korea boleh dipasarkan serentak pada hari yang sama.
3.2 Lihatlah kesusasteraan Arab dan contoh yang lain di dalam bidang sains perubatan. Contohnya, almanak hadith dan Quran diterjemahkan dalam berpuluh-puluh jenis bahasa. Lihatlah kesenian Arab dalam seni khat. Kita boleh ambil contoh lain, Bahasa Arab kekal diabadikan di Al-hambra, walaupun penduduknya sudah pun berbahasa Sepanyol. Peninggalan manuskrip-manuskrip Arab masih kekal terpelihara dan dikaji oleh pakar-pakar sejarah, sains, perubatan, astronomi, matematik dan sebagainya.

4. Kefahaman Pelajar
4.1 Guru-guru boleh diberi latihan intensif, namun yang lebih penting adakah guru atau pelajar? Padaku, kita wajar pentingkan anak-anak yang sepatutnya diberi peluang untuk menerima ilmu ini dengan baik yang dapat dilakukan dalam bahasa yang mereka mudah fahami.

5. Pendedahan Bahasa Inggeris
5.1 Sewajarnya proses pembelajaran bahasa Inggeris diajar melalui proses bagaimana mempelajari sesuatu bahasa. Kita mesti belajar bahasa Inggeris melalui kaedah pembelajaran bahasa Inggeris. Belajar bahasa Melayu ada kaedah-kaedahnya tersendiri. Semua bahasa ada kaedahnya tersendiri dan mekanisme yang sesuai. Matematik dan sains ada kaedahnya. Jika didapati benar dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris berkesan, mengapa universiti sekarang tetap mewajibkan dan menawarkan kelas dalam bahasa Inggeris. Sepatutnya apabila sudah masuk ke universiti, penuntut-penuntut sudah pandai berbahasa Inggeris. Maknanya, sewaktu mereka belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, mereka tidak berjaya menguasai bahasa Inggeris dengan sempurna. Cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan mata pelajaran lain.
5.2 Dalam usaha untuk menguasai bahasa asing, aku berpendapat kerajaan sepatutnya melihat pelbagai sudut termasuk aspek teknikal dan tenaga terlatih. Maka, satu langkah drastik seperti menghantar para pelajar dalam aliran sastera, falsafah, budaya dan teologi ke luar negara. Mereka ini diharapkan akan menjadi penyumbang untuk membangunkan sistem masyarakat dan mencorak masa depan negara. Pada masa yang sama, para pelajar sains dan matematik, yang menguasai ilmu-ilmu sains sepatutnya mampu belajar di dalam negara. Kita seharusnya menjemput pensyarah-pensyarah dari luar negara untuk mengajar anak watan. Kita perlu peruntukan bajet yang banyak untuk sektor pendidikan, tidak mengapa, asalkan negara mampu melahirkan tenaga-tenaga pakar yang serba boleh. Untuk tujuan memantapkan perkembangan ilmiah penggunaan bahasa Melayu wajib dijadikan sebagai bahasa perantaraan untuk menulis dan menerbit ‘research’dan tesis.
5.3 Adakah sukar untuk menguasasi bahasa asing termasuk bahasa Inggeris? Pengalaman aku dan anak-anakku sendiri boleh memberi jawapannya, yang menjangkau persoalan ibubapa ‘educated or non-educated’, anak orang kaya atau miskin. Mata pelajaran ‘literacy’ adalah asas untuk menguasai bahasa dari aspek membaca, menulis, mendengar dan bertutur. Ini bermakna, penekanan empat perkara asas komunikasi sebagai manusia yang normal hendaklah dititikberatkan. Di kindergarten dan sekolah rendah di UK, didapati aspek ini dititik-beratkan termasuk mereka yang dianggap kurang upaya. Setipa hari mereka akan belajar mata pelajaran ini. Tidak salah aku sebutkan, pelajar-pelajar atau mereka yang hendak belajar atau bekerja di UK, Ireland, Australia, New Zealand dan USA diwajibkan menduduki ‘the International English Language Testing System’(IELTS). Semua pemohon akan turut diuji “listening, speaking, reading and writing”. Maka, jika perkara asas ini diambil perhatian dan disokong dengan peralatan pelbagai dan teknologi canggih, tentunya kemahiran asas ini dapat dikuasai. Secara logiknya, apabila komponen berbahasa dikuasai barulah boleh menguasai ilmu lain. Aku tidaklah boleh memberi jaminan, semua orang akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah atau senang, namun “persekitaran atau suasana yang kondusif hendaklah diwujudkan" terlebih dahulu, ditambah dengan tenaga guru yang mahir dan ikhlas dengan tugasnya akan pasti menghasilkan kesan positif. Pada kelazimannya, suatu bahasa boleh dikuasai, paling lambat tiga bulan sahaja. Aku juga ada teman, orang Melayu yang fasih berbahasa Jepun dan memperolehi PhD dalam bidang komputer di negara Jepun. Perkara yang asas ialah latihlah anak-anak bercakap bahasa dan berbahasa 'berkenaan' dengan baik. Aku suku Jawa, kalau duduk dan tinggal lama dengan masyarakat Semai di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Orang Asli Betau, Kuala Lipis, Pahang, mungkin aku boleh bercakap bahasa Senoi.

6. Aspek sumbangan dan peranan bahasa
6.1 Semua bahasa sesuai untuk bidang matematik dan sains, malahan kekuatan bahasa Inggeris sendiri bukan pada sains dan teknologi. Kekuatan sebenarnya adalah terletak pada sasteranya. Padaku, sains dan teknologi tidak mementingkan sangat bahasa yang digunakan asalkan dalam bahasa yang kita senang fahami. Bahasa Melayu juga sesuai, sama seperti bahasa Inggeris dan tidak ada kelebihannya dari sudut ini.
6.2 Pelajar-pelajar kita dari sekolah Melayu dan dari sekolah Cina akhirnya masuk ke universiti. Bahasa Inggeris menjadi asing bagi mereka. Mengajar sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris menjadikan ilmu sains dan matematik itu, ilmu yang asing bagi mereka. Sebab selama ini mereka menjadikan sains dan matematik sebahagian daripada hidup mereka, kerana itu ilmu bangsa mereka. Jika mereka menerima sains dan teknologi itu, suatu yang asing dan bukan dalam jiwa mereka dan akhirnya nanti bahasa Melayu akan terasing dalam sains dan teknologi.
6.3 Bahasa Melayu boleh dijadikan salah satu alat dan mampu menyumbang ke arah perpaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, adat resam dan agama atau cara hidup. Bahasa Melayu hendaklah menjadi asas ‘kontrak sosial’ semestinya ditutur oleh semua rakyat Malaysia seperti mudahnya dan fasihnya orang Indonesia berbahasa Indonesia walaupun mereka berasal dari pelbagai suku seperti Jawa, Minang, Bugis, Batak, Cina dan Bali. Aku minta maaf, terpaksa menyebutkan masalah ini bahawa masih lagi ramai orang Cina Malaysia tidak dapat bertutur atau menguasai bahasa Melayu dengan baik.
6.4 Bahasa Melayu ditutur hampir 300 juta manusia termasuk di Indonesia dan Sri Lanka. Bahasa Melayu dipelajari dan diajar di UK, USA, Australia, Belanda, China, Jerman dan New Zealand. Di China ada radio siaran dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu boleh diperjuangkan untuk menjadi bahasa utama dunia dan dituturkan di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). PBB mempunyai enam bahasa rasmi iaitu bahasa Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Rusia, dan Sepanyol. Manakala bahasa kerja yang digunakan di Perhimpunan Agung ialah Inggeris, Perancis dan Sepanyol. Dalam Majlis Keselamatan PBB ianya terhad kepada dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Perancis sahaja. Aku berpendapat sewajarnya kita perjuangkan bahasa Melayu bersama-sama atau berpakat di rantau ASEAN, terutama dengan negara tetangga, Indonesia.
6.5 Bahasa merupakan suatu unsur yang penting dalam proses pendidikan. Perbincangan tentang peranan bahasa dalam mendidik masyarakat dan cara-cara untuk merealisasikan matlamat pendidikan sebenar dalam konteks ‘maslahah’ dan realiti semasa. Pembentukan insan berilmu dan berbudi hendaklah dibentuk melalui bahasa dan cara kira “berbahasa”. Pendidikan Islam ialah proses menyematkan ke dalam diri insan akan pengenalan, pengiktirafan dan pengakuran akan kedudukan-kedudukan yang benar bagi setiap sesuatu dalam aturan penciptaan, yang akan membawa kepada pengenalan dan pengiktirafan dan pengakuran akan kedudukan Tuhan dalam aturan kejadian-kejadian dan kewujudan-kewujudan. Bahasa Melayu mempunyai nilai tersendiri yang mampu mencorakkan nilai dakwah dan seruan kebaikan apatah lagi dapat dihayati melalui penulisan seni khat dan Jawinya.

7. Pengalaman Orang-orang Inggeris
7.1 Orang Inggeris pernah dijajah oleh kuasa asing. Pada ketika itu mereka menggunakan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu. Orang-orang Inggeris meninggalkan bahasa Latin kerana dianggap bahasa penjajah dan tidak dapat membantu memperkasakan orang-orang Inggeris. Orang-orang Inggeris mula maju selepas mereka menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu.

8. Kemajuan Orang Melayu
8.1 Meneliti kembali tahun 60an, apabila sains dan teknologi diajarkan di sekolah bukan dalam bahasa Melayu, ada laporan dan kajian yang menunjukkan sebilangan kecil orang Melayu yang mengambil sains dalam Bahasa Melayu. Di dalam kelas sains, ada tiga empat orang sahaja orang Melayu. Sekarang, orang Melayu sudah ramai yang memilih bidang sains dan teknologi, tetapi mengapa kita paksakan anak kita kembali belajar semula dalam bahasa Inggeris?

9. Sistem Pelajaran & Anak Orang-orang Besar/Berada
9.1 Ada Menteri kita sendiri menghantar anak, bukan ke sekolah kebangsaan bahkan ramai orang kaya dan yang 'educated' menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa dan keluar negara. Aku rasa mereka tidak yakin dengan sistem kita, apakah bentuk atau hasil atau produk yang hendak dilahirkan? Aku tidak mahu menghurai lebih lanjut sistem persekolahan, pendidikan, taraf, status dan pandangan dunia terhadap pendidikan kita. Kerajaan patut buat kajian ‘level of education’ di negara-negara maju yang mampu bersaing dengan dunia luar dengan tidak menolak bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar.
9.2 Mutu pencapaian bahasa Inggeris juga tidak dapat membentuk keyakinan ibu bapa bagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

10. Anak orang Melayu, Bumiputera di kampung/pedalaman
10.1 Budak-budak kampung kita memang akan merasa terasing jika kita ajarkan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Di bandar dan mereka yang ‘educated’ amat berlainan. Mereka mahir bertutur dalam bahasa Inggeris. Kesannya, taraf kecerdikan dan motivasi mereka turut terjejas. Aku juga khuatir akan ramai lagi pelajar tercicir, apatah lagi di Malaysia, sudah ramai pelajar sekolah tercicir akibat kemiskinan dan ditambah, Malaysia belum ada undang-undang yang mewajibkan semua anak bersekolah dan mereka yang gagal ke sekolah, tindakan undang-undang akan diambil. Cuba, bayangkan anak orang Iban dan anak petani di Baling, yang pekat loghat daerahnya, hendak bertutur bahasa Inggeris, mungkin dimalukan atau diketawakan oleh kawan-kawan. Anak orang Jawapun, kalau balik kampung, takkan “arek omong wong putih”.
10.2 Orang Melayu masih ramai mendiami kampung tradisional dan tidak dapat menguasai bahasa Inggeris sekian lama, walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua negara kita dan diajarkan di sekolah. Bukan sahaja soal bahasa kedua ini, ramai masih tidak mahir, bahkan kita masih berhadapan dengan ramainya anak-anak Melayu yang masih tidak dapat membaca dan menulis dalam bahasa sendiri, walaupun berada di Tingkatan Lima dan dijadualkan menduduki peperiksaan SPM. Aku ada ramai kenalan yang bertugas sebagai guru mengajar di kawasan luar bandar dan menjadi ‘tempat buangan’ dan Guru Besar/Pengetua atas arahan pejabat pendidikan daerah (PPD) melaporkan semua perkara adalah “baik dan sempurna”, sedangkan keadaan sebaliknya dan tidak seperti yang dilaporkan.

11. Budaya paksa dan 'hipokrit'
11.1 Ramai pejuang bahasa yang ditemui, mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa Inggeris. Ini kerana mereka tahu, untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, mereka mahu tidak mahu mesti menguasai bahasa inggeris. Malah ramai di antara mereka yang mampu berbahasa lebih dari dua bahasa. Kebanyakan yang aku jumpa dari kelas menengah atas, lebih cenderung berbahasa Inggeris atau ‘rojak’ termasuk diriku, namun adakah kita patut paksakan dan disogokkan anak-anak kita untuk menerima suatu yang asing/luar? Kadang-kadang aku dapati kita dianggap menipu diri dan bangsa sendiri.

12. Mempertahankan kecintaan bahasa sendiri
12.1 Setiap bahasa yang ingin dituturkan sebenarnya jika ingin didalami dan dicintai, perlu bermula dari dasar dan falsafah bahasa tersebut. Orang Jepun, Jerman, China, Rusia, Itali, dan Perancis yang menggunakan bahasa mereka akhirnya boleh maju standing dengan bangsa lain. Indonesia, jiran kita, walaupun kita anggap mereka masih mundur, namun penerbitan dan terjemahan buku-buku bersifat ilmiah adalah amat memberangsangkan berbanding negara kita. Aku rasa, wajar kita pertahankan bahasa sendiri.

13. Liberalisasi dalam pendidikan
13.1 Salah satu manifestasi globalisasi pendidikan tinggi terutama di universiti adalah berkembangnya isu ‘borderless higher education market’. Isu kurangnya dana daripada kerajaan pusat, meningkatnya permintaan pendidikan tinggi bermutu, serta kemajuan teknologi informasi menjadi faktor pendorong pertumbuhan persaingan pasaran di dalam pendidikan tinggi negara terutama pendidikan tinggi swasta. Di Malaysia, permohonan pembukaan universiti swasta dan berkonsepkan ‘twinning programme’ di samping pembukaan cawangan universiti luar negara ke Malaysia, tentunya tidak sepenuhnya bermotif “pendidikan sebenar” atau berasaskan sistem Malaysia tetapi dilandasi pertimbangan ‘for profit’ dan menjurus kepada memenuhi tuntutan ‘market driven orientation’ atau pasaran pekerjaan semata-mata.
13.2 Kita tidak salah menerima tawaran-tawaran yang dilakukan oleh ‘provider’ luar negara dan akibat dunia yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, sayugia dalam usaha meningkatkan kualiti penyampaian dan perkembangan pendidikan, namun persoalannya apakah kita mampu mengawal arah dan tujuan matlamat universiti itu diasaskan dan mampu memberi suatu dasar yang jelas agar universiti-universiti tersebut turut membantu melahirkan pelajar-pelajar berjiwa ‘Malaysia’. Universiti luar yang bersifat “terbuka seluas-luasnya” pada masa yang sama akan menarik lebih ramai ‘international students’, tentunya tidak akan menggambarkan adanya ruang atau potensi universiti bersifat “keMalaysianan”. Dasar keterbukaan atau liberalisasi sewajarnya tidak akan memusnahkan tuntutan bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan yang wajar didaulatkan.

14. Debat Terbuka
14.1. Ekoran rungutan, kecaman, bantahan meluas, bidasan, demonstrasi, memorandum kepada Istana, Menteri pelajaran mesti berani untuk mengadakan perbincangan terbuka dalam menyelesaikan kerumitan dan kesulitan yang ada. Malaysia telahpun berusia 52 tahun, wajarlah rakyat turut bekerjasama bersama-sama memberi pandangan, teguran dan nasihat kepada kerajaan. Jika kita silap, kita perlu baiki bersama-sama.

15. Kajian mendalam
15.1 Orang ramai yang mewakili NGOs, /publik, guru-guru, kaum pendidik, pensyarah-pensyarah dalam bidang tertentu hendaklah ditanya pandangan mereka. ‘Research’ hendaklah dijalankan sebelum satu-satu perancangan diputuskan dan perlu mengkaji baik buruknya. Selepas enam tahun berlalu, terdapat banyak bantahan, sungutan, kritikan termasuk daripada pencinta bahasa ibunda yang lain, seperti bahasa Mandarin menunjukkan pelaksanaan PPSMI dicabar dan diragui.
15.2 Walaupun, ada pendapat yang meminta diteruskan dasar PPSMI ini akibat jumlah perbelanjaan, pelaksanaan telahpun berjalan dan pemikiran yang telah dicurahkan, namun hakikatnya dan hasilnya tidak seperti yang dirancang. Keputusan setiap kali peperiksaan kebangsaan diumumkan tidak melambangkan peningkatan mutu bahasa Inggeris dan membawa kesan positif. Setiap keputusan terutama dari aspek pemarkahan boleh ‘adjustable’ mengikut kehendak Menteri Pelajaran, maksudnya atas kepentingan politik individu. Setiap tahun, keputusan dianggap meningkat dan bertambah baik, walhal hakikat sebenarnya tidak seperti yang diumumkan. Statistics: can you really believe the figures?

16. Pandangan dan Keputusan Akademik dan Pakar
16.1 Isu pendidikan sepatutnya kita serahkan kepada orang akademik dan bukannya orang politik membuat keputusan. Apapun fakta yang jelas, kerajaan tidak mahu mendengar nasihat, pandangan dan teguran rakyatnya termasuk para ilmuan dan budayawan. Aku difahamkan terdapat ramai profesor Melayu dan bukan Melayu yang menentang PPSMI.

Senarai Profesor Melayu Dalam Bidang Sains Yang Menentang PPMSI

Prof. A. Rahman A. Jamal (Perubatan). KP: 601211-01-6269
Prof. Abd Rahim Shamsudin (Geologi). KP: 500812-04-5273
Prof. Abdul Jalil Abdu Kader (Mikrobiologi) KP: 500922-07-5107
Prof. Dato’ Abdul Latif Mohamad (Botani). KP: 480630-03-5183
Prof. Abdul Razak Hamdan (Teknologi Maklumat): KP: 540205-01-5853
Prof. Dato’ Abdul Razak Salleh (Matematik). KP: 480602-10-5965
Prof. Abdul Salam Babji (Sains Makanan). KP: 481203-07-5177
Prof. Abu Osman Md Tap (Matematik). KP: 500415-01-5433
Prof. Ainoon Othman (Perubatan). KP: 520923-03-5236
Prof. Alias Kamis (Biosains). KP: 4200992
Prof. Aminah Abdullah (Sains Makanan). KP: 501010-03-5094
Prof. Azimahtol Hawariyah Lope Pihie (Biosains). KP: 4272780
Prof. Aziz Bidin (Sains Sekitaran). KP: 490411-04-5057
Prof. Aziz Deraman (Teknologi Maklumat): KP.591108-11-5043
Prof. Baharudin Yatim (Fizik Tenaga). KP: 460811-05-5193
Prof. Basir Jasin (Geologi). KP: 3430834
Prof. Bohari Mohd Yamin (Kimia). KP: 3405038
Prof. Che Husna Azhari (Kejuruteraan). KP: 551108-03-5020
Prof. Faridah Habib Shah (Genetik).
Prof. Halimah Bdioze Zaman (Teknologi Maklumat). KP: 4673083
Prof. Hamid Lazan (Botani). KP: 2287477
Prof. Hamzah Mohamed (Geologi). KP: 510503-08-560
Prof. Hassan Basri (Kejuruteraan). KP: 600702-01-5733
Prof. Hatta Shaharom (Perubatan). KP: 520709-01-5373
Prof. Ibrahim Abdullah (Kimia). KP: 490511-02-5491
Prof. Ibrahim Abu Talib (Fizik). KP: 521127-04-5147
Prof. Ibarahim Komoo (Geologi). KP: 520912-01-5483
Prof. Ikram Mohd Said (Kimia). KP: 480819-05-5073
Prof. Ismail Sahid (Sains Sekitaran). KP: 511005-07-5269
Prof. Jaafar Sahari (Kejuteraan). KP: 550916-10-6179
Prof. Jamaludin Mohame (Bioperubatan). K.P: 570324-06-5543
Prof. Kamarudin Mohd Yusof (Kejuruteraan). KP: 510927-06-5097
Prof. Kamaruzzaman Sopian (Kejuruteraan). KP: 620404085491
Prof. Karis Misiran (Perubatan). KP: 4493167
Prof. Kasmiran Jumari (Kejuruteraan). KP: 520522-01-5541
Prof. Dato’ Khalid Yusof (Perubatan).
Prof. Khalijah Mohd Salleh (Pendidikan Fizik).
Prof. Lim Swee Cheng (Fizik Teori). KP: 470826-01-5273
Prof. Mahani Mansor Clyde (Sains Sekitaran). KP: 510211-06-5032
Prof. Masbah Omar (Perubatan). KP: 4078415
Prof. Md. Pauzi Abdullah (Kimia). KP: 510208-03-5203
Prof. Mohammmed Yusoff (Teknologi Maklumat): KP. 3821920
Prof. Mohd. Azman Abu Bakar (Bioperubatan). KP: 520222-10-5035
Prof. Mohd Ismail Noor (Pemakanan). KP: 491015-10-5419
Prof. Mohd Nordin Hassan (Sains Sekitaran). KP: 470210-10-5377
Prof. Mohd Salleh Mohd Said (Entoologi). KP: 470204715283
Prof. Mohd Yusof Othman (Fizik Tenaga). KP: 520812-02-5131
Prof. Mokhtar Abdullah (Statistik). KP: 560223-03-5119
Prof. Muhamad Yahya (Fizik Pepjal). KP: 470901075111
Prof. Muhammad Mat Salleh (Fizik Pepejal). KP: 490111-03-5009
Prof. Nik Aziz Sulaiman (Perubatan). KP: 451022-03-5187
Prof. Noraini Tamin (Sains Sekitaran). KP: 490620-10-5976
Prof. Normah Mohd Noor (Bioteknologi). KP: 540618-07-5272
Prof. Othman Ross (Sains Laut). KP: 480218-11-5173
Prof. Othman Omar (Biosains Molekul). KP: 1513291
Prof. Paden Morat (Bioperubatan). KP. 4380233
Prof. Rohani Ahmad (Botani). KP: 4380233
Prof. Roslan Abd. Shukor (Fizik Semikonduktor). KP: 610927055049
Prof. Sallehuddin Sulaiman (Bioperubatan). KP: 470721-10-5141
Prof. Shahabuddin Shaari (Kejuruteraan). KP. 560313-02-5459
Prof. Shaharir Mohamad Zain (Matematik). KP: 1969665
Prof. Shahrim Ahmad (Fizik). KP: 600215025627
Prof. Syed Muhamed Aljunid Syed Junid (Perubatan). KP: 590820025573
Prof. Tg Mohd. Tg Sembok (Teknologi aklumat): KP 4478636
Prof. Wan Ramli Wan Daud (Kejuruteraan). KP: 551227-07-5447
Prof. Zainal Abidin Abu Hassan (Zoologi). KP: 500325-04-5575
Prof. Zainon Mohd Ali (Botani). KP: 4430101
Prof. Zubaid Akbar Mukhtar Ahmad (Sains Sekitaran). KP: 571109-10-5623

Senarai ini disalin dari blog Prof. Dr. Shaharir Mohd. Zain.

17. Dasar orang politik, bajet dan Uji kaji
17.1 Biasanya yang menjadi penghalang ialah orang politik dan bajet selama ini yang telahpun dihabiskan dan yang berbaki atau masih dalam proses pelaksanaan. Kita sedar peruntukan amat besar dalam sektor pendidikan, tetapi cukai daripada rakyat yang diterima oleh Lembaga Hasil dalam negeri (LHDN) wajar dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat. Rakyat sewajarnya menentukan corak dan manifestasi pendidikan sebenar.
17.2 Suatu dasar bukan untuk dijadikan uji kaji dan sememangnya amat malang, dasar dan sistem pendidikan kita sentiasa berubah-ubah apabila Menteri bertukar.

18. Rumusan
18.1 Aku meminta kepada kerajaan, jangan semua dasar negara termasuk aspek pendidikan dipolitikkan dan sewajarnya tiada campur tangan orang politik. Di Malaysia, aku nampak ahli politik hendak menggunakan kuasanya semata-mata. Fakta yang berasaskan kajian, pesanan, nasihat yang ikhlas, jujur dan telus akan ditepis secara diplomatik. Keputusan politik dianggap muktamad dan terbaik. Percaturan politik pemerintah sentiasa mengatasi perkara pokok permasalahan rakyat sebenar, hendaklah dihentikan. There is too much politicking and nothing gets done.
18.2 Bahasa menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa. Jika bahasa Melayu, tidak dipertahankan untuk menjadi bahasa penghantar dan ilmu di semua institusi pendidikan di negara ini, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga turut lenyap ditelan zaman. Kita mesti jujur kepada bangsa kita sendiri. Sifat bodek, berdolah dalih atau untuk keuntungan yang sedikit mahupun habuan berdasarkan kontrak tertentu tidak membawa makna kesejahteraan kepada bangsa.
18.3 Aku turut mencadangkan agar PPSMI dikaji semula dan laksanakan sesuatu program atau dasar berdasarkan kehendak dan aspirasi rakyat. Kerajaan yang baik adalah turut dihuni oleh rakyat yang baik, yakni bersama-sama bersedia ‘in decision making process’. Aku menyokong PPSMI dimansuhkan.

1 comment:

Anonymous said...

En Zali

Tumbs Up!
Satu kupasan yang menarik untuk dikongsi bersama.

Bagus jika En Zali turut menghantar/menyumbang kupasan ini untuk dipaparkan ke dalam paper arus perdana kita!

Saya juga bersependapat Math dan Science sewajarnya diajar di dalam bahasa ibunda kita , lebih mudah difahami sementelah math dan Science memerlukan pemahaman berbentuk teknikal. Walau apapun jua bahasa yang digunakan konsep dan teori nya tidak kan berubah..1+1=2.

Bangsa yang berdaulat akan sering memertabatkan bahasa ditempat yang sewajarnya!