Saturday, March 14, 2009

PEMIKIRAN TUN DR. MAHATHIR

Aku telahpun membaca hujah Tun mempertahankan pelaksanaan PPSMI di dalam blog beliau. Elok juga kita membaca pandangan beliau mengenai pendidikan di luar negara dan bahasa Inggeris yang aku sempat kumpul untuk tatapan semua pembaca. Ini adalah salah satu ucapan beliau.


Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

Tajuk : PERASMIAN PAMERAN PENDIDIKAN BRITISH

Lokasi : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR

Tarikh : 28-05-1991


Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada saya untuk merasmikan Pameran Pendidikan British pada hari ini.

2. Pameran seperti ini memberi peluang kepada ibu bapa, penuntut-penuntut dan badan-badan yang membiayai para pelajar ke seberang laut untuk meninjau dan mengetahui dengan lebih dekat lagi berbagai-bagai peluang pendidikan yang terdapat di Britain. Seperti mana yang diketahui, Malaysia dan Britain telah lama menjalinkan hubungan rapat dalam bidang pendidikan. Semenjak sebelum merdeka lagi, Malaysia telah menghantar para pelajarnya menuntut di Britain. Oleh kerana faktor sejarah inilah, maka sehingga hari inipun, Britain masih menjadi tumpuan bagi penuntut Malaysia mendapatkan pelajaran tinggi mereka.

3. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia sentiasa memberi perhatian berat terhadap pendidikan.Semenjak merdeka, perbelanjaan besar telah diperuntukkan untuk meninggikan mutu pelajaran negara ini. Pada hari ini, rakyat Malaysia boleh berbangga bahawa mutu pendidikan kita adalah antara yang terbaik di kalangan negara-negara membangun. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk terus memberi perhatian yang berat terhadap bidang pendidikan.

4. Oleh kerana kekurangan tempat di institusi-institusi pelajaran tinggi di negara ini, ramai pelajar Malaysia meneruskan pelajaran mereka di seberang laut. Di samping itu, Kerajaan juga menghantar sebilangan besar penuntut yang tidak dapat ditempatkan di institusi-institusi pelajaran dalam negeri untuk meneruskan pendidikan di institusi- institusi pelajaran tinggi di seberang laut. Oleh kerana pada hari ini ramai penuntut Malaysia belajar di luar negeri maka banyak negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan New Zealand berminat untuk menarik penuntut-penuntut kita belajar di negara mereka.

5. Mungkin ada ibu bapa di Malaysia yang berpendapat bahawa amat malang bagi mereka kerana tidak dapat memasukkan anak mereka ke institusi tempatan, dan dengan itu harus menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk menghantar anak mereka ke luar negeri. Sebenarnya ibu bapa di Malaysia amat bernasib baik kerana pendapatan mereka di Malaysia yang maju ini, mencukupi untuk menanggung perbelanjaan yang diperlukan. Selain daripada itu, banyak negara membangun lain menegah penghantaran pelajar ke luar negeri untuk menyelamatkan tukaran asing atau kerana lain-lain sebab. Di Malaysia tidak ada sekatan dikenakan terhadap pelajar yang ingin belajar di luar negeri, walaupun ini menyebabkan lebih daripada seribu juta ringgit mengalir keluar setiap tahun.

6. Kekurangan tempat dalam institusi pelajaran tinggi dalam negeri bukanlah disengajakan. Sebenarnya penubuhan institusi pelajaran tinggi oleh Kerajaan memerlukan perbelanjaan yang besar. Ia juga memerlukan ramai tenaga pengajar yang berkebolehan yang sukar didapati. Kesukaran mendapat tenaga pengajar ini menjadi faktor utama mengapa Kerajaan tidak dapat mengadakan tempat yang mencukupi bagi semua yang ingin meneruskan pelajaran tinggi di dalam negeri.

7. Untuk mengatasi masalah ini dan untuk menjimatkan tukaran asing, Kerajaan telah membenarkan kursus-kursus tahun pertama dan kedua universiti-universiti asing diadakan di dalam negeri melalui kerjasama di antara institusi tempatan dengan beberapa universiti asing. Kerajaan juga sedang menimbang kemungkinan universiti-universiti asing mendirikan cawangan milik mereka di Malaysia, jika kurikulum mereka disesuaikan dengan dasar pendidikan kebangsaan.Dengan itu peluang-peluang mendapat pelajaran tinggi akan bertambah.

8. Pendidikan merupakan faktor penting dalam usaha kita membangunkan negara. Rakyat yang terpelajar dapat memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang pesat serta mewujudkan masyarakat yang mampu bersaing dengan negara-negara yang maju. Untuk mencapai matlamat 2020 rakyat mestilah memiliki tahap pengetahuan yang sama dengan negara-negara yang maju. Tidak mungkin Malaysia menjadi sebuah negara maju jika penduduknya tidak berpelajaran tinggi dan mempunyai pengetahuan yang cetek. Justeru itu, Kerajaan akan menggunakan apa juga cara dan kaedah untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang secukupnya kepada rakyat.

9. Di Malaysia nilai yang tinggi diberi kepada ijazah terutamanya dalam bidang-bidang sastera dan sains tulin.Pendapat umum ialah sesiapa yang mempunyai ijazah mampu membuat apa sahaja. Mereka dianggap mampu menjadi pentadbir atau pengurus. Ini tidak semestinya benar. Pemegang ijazah belum boleh dikatakan berkebolehan melainkan setelah mereka mempunyai pengalaman yang cukup dan ijazah mereka sesuai dengan tugas mereka. Justeru itu, nilai yang tinggi perlu diberikan kepada pengalaman. Kadang kala pengalaman harus dinilai lebih tinggi daripada ijazah. Sudah tiba masanya penghargaan kepada ijazah dan penghormatan yang tinggi yang diberikan kepada pemegangnya dinilai semula dalam penentuan jawatan, taraf dan gaji. Penghargaan yang tinggi harus diberikan kepada pengalaman dan prestasi dan tekanan hendaklah diberikan kepada bidang-bidang khusus yang berkait rapat dengan bidang tugas seseorang. Dalam perkara ini, Kerajaan akan menentukan pendiriannya supaya ia boleh menjadi contoh kepada pihak-pihak lain.

10. Kebolehan bertutur dalam bahasa-bahasa lain, selain daripada bahasa ibunda, adalah penting dan perlu dalam zaman serba kemajuan ini. Dalam hal ini, agak ketinggalan jika seseorang itu hanya boleh bertutur dalam bahasa ibundanya sahaja. Ini adalah kerana sesuatu bangsa atau negara tidak dapat memisahkan diri sepenuhnya daripada bangsa dan negara lain dalam dunia. Jika perhubungan antara negara-negara hendak diadakan, baik dalam bidang politik atau perdagangan, kebolehan bertutur dalam bahasa lain selain daripada bahasa ibunda adalah penting dan perlu. Jika tidak, adalah amat sukar untuk mengadakan rundingan dan membuat perjanjian.Sebagai contoh, perjanjian dalam bahasa kebangsaan mana-mana negara tidak akan diterima oleh sebuah negara lain yang mengadakan perjanjian atau treaty, kecuali bahasa yang digunakan diiktiraf dan difahami oleh kedua-dua negara. Ini bermakna perjanjian mesti dibuat dalam satu bahasa yang mungkin bukan bahasa kebangsaan bagi kedua-dua negara, jika mereka mempunyai bahasa kebangsaan yang tidak sama.

11. Perdagangan antarabangsa memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia. Di samping itu, Malaysia memainkan peranan aktif dalam politik antarabangsa.Dalam hal ini, penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa Malaysia adalah mustahak. Oleh itu, Malaysia mesti mempunyai pegawai-pegawai dan pedagang-pedagang yang bukan sahaja tahu bahasa asing, tetapi juga fasih dalam bahasa tersebut sehingga boleh menggunakannya untuk perbahasan, rundingan dan menyediakan teks perjanjian. Dengan ini apabila diperlukan kita boleh menyediakan orang yang berkebolehan dalam urusan tertentu.

12. Antara bahasa-bahasa asing ada beberapa bahasa yang lebih kerap digunakan. Antaranya ialah bahasa Inggeris yang banyak diguna dalam perhubungan antarabangsa. Demikianlah luasnya penggunaan bahasa Inggeris sehingga dalam perjanjian antara negara-negara yang bahasa kebangsaannya bukan Inggeris, teks dalam bahasa Inggeris diterima sebagai teks yang sah bagi maksud perjanjian.

13. Malaysia bernasib baik kerana bahasa Inggeris bukanlah asing kepada penduduk negara ini. Negara-negara yang dahulu dijajah oleh bukan Inggeris dan dipaksa menerima bahasa penjajah berkenaan mendapati penggunaan bahasa penjajah mereka tidak begitu berguna. Kebanyakan daripada negara- negara ini terpaksa mempelajari bahasa Inggeris dan menggunakannya untuk perhubungan dengan negara-negara asing.Sebaliknya rakyat Malaysia memahami bahasa Inggeris kerana ramai yang mempelajarinya di bangku sekolah dahulu, dan ramai juga yang mendapat pelajaran tinggi dalam bahasa Inggeris. Seperkara lagi, oleh kerana familiariti dengan bahasa Inggeris, maka banyak daripada perkataan-perkataan baru dalam bahasa kebangsaan diasaskan kepada bahasa Inggeris. Oleh itu amat tepatlah dasar menjadikan bahasa Inggeris bahasa kedua bagi Malaysia. Dasar ini bukanlah berasas kepada sentimen atau ikatan sejarah, tetapi oleh kerana bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa. Faktor sejarah adalah kebetulan sahaja. Seperti juga beberapa negara lain yang dahulunya dijajah oleh bukan Inggeris, tetapi sekarang mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris, Malaysia, jika pun tidak ada faktor sejarah kaitan dengan Britain, akan terpaksa memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pentingnya bagi negara ini.

14. Saya berharap sikap dan dasar Kerajaan terhadap bahasa- bahasa asing khasnya bahasa Inggeris, difahami oleh rakyat.Rakyat hendaklah memberi perhatian yang serius terhadap penguasaan bahasa kedua. Mereka yang meringan-ringankan penguasaan bahasa kedua tidak boleh menganggap diri mereka sebagai juara bangsa atau nasionalis. Sebenarnya bahasa Kebangsaan telah berkembang maju dan menjadi bahasa yang lebih lengkap selaras dengan zaman moden ini kerana sikap terbuka kita kepada bahasa-bahasa lain. Justeru itu, yang sepatutnya dianggap sebagai juara bangsa ialah mereka yang boleh membantu menjayakan bangsa. Mereka yang enggan mempelajari bahasa-bahasa lain, sehingga menghalang usaha memperkayakan bahasa kebangsaan dan peningkatan ilmu pengetahuan serta kemajuan negara, tidak boleh berbangga dengan sikap mereka.

15. Negara ini adalah komited terhadap meningkatkan taraf pembangunannya supaya pada tahun 2020 kita boleh ditakrif sebagai negara maju. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menguasai semua jenis ilmu dan teknologi yang kebanyakannya boleh diperolehi dalam bahasa asing, terutama dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan daripada ilmu baru dan juga yang lama telah dialihbahasakan kepada bahasa Inggeris. Justeru itu, penguasaan bahasa Inggeris akan membuka pintu kepada hampir semua ilmu lama dan moden. Adalah tidak merugikan jika kita menguasai bahasa Inggeris di samping penguasaan bahasa ibunda.

16. Adalah diharapkan orang ramai, terutama ibu bapa dan penuntut-penuntut, akan mengambil kesempatan melawat pameran ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi kemudahan- kemudahan pendidikan yang disediakan di Britain. Saya percaya pameran ini akan dapat membantu ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di luar negeri membuat perbandingan mengenai pelbagai kolej, politeknik dan universiti yang mengambil bahagian dalam pameran ini.

17. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk merasmikan majlis ini.

18. Dengan ini, saya dengan sukacitanya membuka Pameran Pendidikan British ini dengan rasminya. (Koleksi Arkid Ucapan)

Nota: Bersama-sama ini disertakan maklumat jumlah pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di seberang laut, di antaranya, Australia 19,874, UK 11,048, Mesir 5,712, USA 5,664, Indonesia 1,817, New Zealand 1,324, Jordan 434, Canada 214 dan Arab Saudi 153 (sumber: Kementerian Pengajiaan Tinggi, last update 14 March, 2009)


No comments: