Monday, March 30, 2009

Lawatan Singkat Datuk Dr. Hassan Mohammed Ali Ke UK



1. Aku dan teman-teman berkumpul di Manchester di rumah saudara Jufri pada hari Sabtu, 28 Mac, 2009, berpeluang mendengar penerangan, taklimat dan penjelasan daripada YB EXCO Selangor, Dr Hassan. Program dapat dilangsungkan agak lewat hampir jam 6.00 petang sehingga 9.30 malam.

2. Beliau singgah ke UK untuk beberapa hari setelah selesai rangka lawatan kerja di Holland, sebelum berangkat kembali ke tanah air. Sebelum ke Manchester, beliau bersama empat ahli rombongan, termasuk isteri sempat berkunjung dan beramah mesra dengan para pelajar Melayu dan mereka yang bekerja di Sheffield dan Glasgow.

3. Ada dua sesi iaitu khas (tertutup) dan umum. Sesi khas mengenai rancangan pembangunan negeri, aktiviti parti dan hubungan parti di dalam Pakatan Rakyat (PR). Sesi umum lebih bercorak berkongsi pengalaman kehidupan sebagai seorang pelajar, motivasi diri dan keluarga.

4. Aku ingin menyentuh taklimat dan perbincangan umum. Nasihat dan teguran adalah seperti berikut:-

5. Mesti menyedari masing-masing diri melaksanakan tugas, fungsi dan maksud sebenar khalifah Allah. Aku menyedari dan pernah mendengar kali pertama kalimah khalifah Allah disebutkan, semasa beliau berkhutbah di Masjid As-Syakirin, Gombak, selepas beberapa minggu Pakatan Rakyat (PR) dapat membentuk kerajaan di Selangor. Inilah juga kali kedua aku dapat mendengar ulasan beliau di Manchester ini dan rupa-rupanya inilah yang sering diucapkan oleh beliau semasa berkhutbah di mana-mana masjid di negeri Selangor sejak kebelakangan ini.


6. Menurut beliau, orang ramai masih salah faham tentang maksud khalifah, walaupun ramai orang dan pemimpin-pemimpin UMNO yang besar dan kecil sering menyebut perkataan khalifah Allah, bahkan ada di antara penulis blog yang menyebelahi perjuangan UMNO mempunyai tafsiran sendiri dan tetap prajudis dengan maksud khalifah Allah yang dimaksudkan oleh PAS.


7. Beliau tidak memaksudkan bahawa kalimah ini digunakan dan disabitkan dengan perjuangan PAS, kerana pada konteks sebenarnya, perjuangan untuk untuk menjaga agama adalah lebih besar daripada maksud ‘to exercise the politicking rights, under the political symbol’. Ini bukan sentimen politik.


8. Menurut beliau, selama ini tiada siapa yang bersungguh-sungguh untuk mengingatkan kita, bahawa kita bertanggungjawab untuk menjaga agama Allah. Mengikut tafsiran sebenar, maksud khalifah Allah ialah selain menolong agama Allah, ianya juga mencangkupi persoalan menegakkan nilai akhlak Islam, sistem dan perundangan Allah, berjihad dan berdakwah dalam konteks hidup dan perjuangan Islam seperti mana yang telah dilalui oleh para Rasul. Ini merupakan jawatan hakiki dan tradisi yang wajib diteruskan.


9. Selama ini, kita masih dikongkong dengan istilah falsafah ‘profesionalisme’, dianggap khalifah Allah iaitu apabila kita berjaya menjadi seorang doktor, jurutera, guru, pensyarah atau ahli korporat. Sebenarnya, ini hanyalah urusan antara manusia hendak menjaga manusia. Kerja yang berdasarkan jawatan hanyalah satu manisfestasi atau satu aspek untuk maksud meneruskan kelangsungan kehidupan manusia.


10. Perkara yang sepatutnya diterokai secara terperinci ialah maksud penerusan perjuangan, mengingatkan persoalan hukum-hakam, dosa dan pahala. Kita boleh tanya diri kita masing-masing; contohnya, adakah sekadar bekerja seperti makan gaji dengan keluar pagi dan balik petang saban hari, tanpa mengindahkan solat, atau solat berjemaah, langsung tidak pergi ke kelas-kelas pengajian untuk mengaji atau mempelajari Islam, atau tidak mendengar kuliah, tidak bersama-sama menyertai program menegakkan makruf dan mencegah munkar, sudah memadai untuk diklasifikasikan sebagai khalifah. Dirasakan ini tidak memadai. Pendekata, apa yang kita lakukan selama ini adalah untuk maksud maslahat manusia dan bukan terhenti dan terbatas di situ sahaja. Sebabnya, apabila kita bertugas mengikut profesion, ada masa untuk bersara atau berhenti. Apabila seseorang bersara ketika umur 58 tahun, maka maksud khalifah itu akan berhenti. Selepas itu, barulah kita fikirkan untuk pergi ke surau, bermain golf atau buka ‘business’ atau hendak berkahwin lagi. Namun, hakikatnya matlamat untuk mencari jalan Allah masih jauh.


11. Beliau menegaskan kerja khalifah Allah tidak berpencen, mesti diteruskan, walaupun umur sudah lanjut, asalkan hayat masih di kandung badan. Alim ulama yang faham tetap konsep khalifah Allah, ada sesuatu yang dilakukan untuk menolong dan menegakkan agama Allah, umpamanya, tetap terus mengajar ilmu dan menulis buku atau mengarang, sampai hayatnya berakhir.


12.Orang bukan Islam, walaupun hebat ilmunya dan banyak memberi manfaat kepada manusia lain dengan jawatannya turut begitu hebat, namun di sisi Allah bukan disebut khalifah kerana mereka terabai dan mengabaikan asas dan prinsip mendaulat hak Allah dan memperjuangkan agamaNya yang sebenar. Di akhirat nanti, mereka akan diazab kerana tidak beriman dan beramal dengan amalan Islam. Amalan Islam turut menyentuh isu perjuangan jihad dan dakwah atau menyeru manusia ke jalan yang benar dan perjuangan Islam.


13. Beliau menegaskan betapa semua orang yang Islam mesti membuka minda untuk mencintai dan membela Islam dan perjuanganNya. Islam mempunyai kaedah yang tersendiri. Beliau mengajak semua agar menyertai jemaah dan berjuang dalam satu pasukan.


14. Aku setuju kita mesti menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan memberi rahmat kepada sekian alam. Kerosakan dan kepincangan akhlak yang berlaku sekarang adalah akibat aktiviti manusia yang durjana, ditambah dengan sistem, pelaksanakan undang-undang, pengurusan, dan pentadbiran negara yang tidak digariskan untuk menunaikan roh dan matlamat Islam.


15. Beliau menasihati para pelajar yang dihantar dengan bantuan biasiswa kerajaan atau penyumbang yang lain, sematlah diri untuk mengurus manusia dengan sempurna setelah tamat belajar dan bertugas nanti. Ini adalah memberi erti memenuhi tuntutan ibadat yang bersifat umum. Pada masa yang sama, semua orang boleh terlibat untuk merubah sistem dan prosedur selari dengan pegangan agama. Bukan tujuan kita hendak menyatakan, semua perkara yang dilakukan selama ini tidak bersifat Islamik dan tidak ke arah taqwa atau menafikan atau menghargai sumbangan dan jasa pemimpin terdahulu, namun proses untuk penambaikan mesti dilakukan sesuai dengan peredaran zaman. Kita mesti mempunyai nilai “changes and transformation”. Tugas profesion mesti beriringan dengan tugas menegakkan Islam.


16. Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS bukan untuk perjuangan politik atau kepartian, tetapi hakikat sebenarnya ialah untuk menyelamatkan aqidah, agama, keselamatan dan mengangkat martabat agama. Ini bukan urusan muslihat politik dan berkepentingan politik.


17. Beliau meminta semua agar memantapkan ‘human relation’ dalam keluarga dan masyarakat, mempelajari public speaking, memperbanyakkan menguasai pelbagai bahasa, menjaga kesihatan, meningkatkan keintelektualan, ibadat khusus, berdoa dan menangis di hadapan Allah untuk memperbaiki diri yang serba lemah ini.


18. Rumusannya, everybody must be excellent into two arenas; khalifah Allah and profession. Hidup mesti meaningful, not meaningless, got enormity or equilibrium in life.



No comments: