Saturday, March 14, 2009

Persatuan Melayu UK (sedutan berita)

Oleh: JUFITRI JOHA

MELAYU diaspora sudah berkembang ke seluruh dunia. Selain terdapat di nusantara, komuniti Melayu juga tinggal di beberapa buah negara seperti di Sri Lanka, Surinam, Belanda, Afrika Selatan dan tidak ketinggalan di United Kingdom (UK). Walaupun diaspora Melayu tidaklah sehebat diaspora India dan Cina, tetapi taburan komuniti Melayu di seluruh dunia sudah cukup menggambarkan keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Persatuan yang begitu sinonim dengan Melayu di UK ialah Persatuan Masyarakat Melayu UK atau singkatannya Melayu UK. Ia ditubuhkan bagi menyediakan satu platform khusus untuk masyarakat Melayu di UK berinteraksi sesama mereka kerana masyarakat Melayu di UK tinggal bertaburan dan tidak berkumpul setempat.

Melayu UK menjadi medan perjumpaan terbaik untuk mereka merapatkan ukhuwah, beraktiviti dan bertukar-tukar pandangan. Selain itu, Melayu UK merupakan satu wadah untuk mereka terus berusaha mengekalkan identiti dan jati diri sebagai masyarakat Melayu Islam berikutan kekhuatiran terhadap sosialisasi anak-anak yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana dan budaya Inggeris yang akan mengikis sedikit demi sedikit identiti keislaman dan budaya Melayu mereka.

Bayangkan anak-anak mereka lahir sahaja terus menghirup udara Inggeris, makan makanan Inggeris, berkawan dengan anak-anak orang Inggeris dan bersekolah di sekolah Inggeris. Sudah tentu suasana Inggeris tersebut mempengaruhi sebahagian besar proses pembesaran mereka. Kekhuatiran mereka berasas kerana budaya dan cara hidup orang Inggeris sebahagian besarnya bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan adat ketimuran yang halus.

Walaupun di UK terdapat ramai penuntut Melayu, masyarakat Melayu yang sudah lama menetap di UK mendapati sukar untuk berinteraksi disebabkan matlamat dan kecenderungan yang berbeza apalagi kedatangan mereka semata-mata menimba ilmu.

Kewujudan Melayu UK juga adalah untuk memastikan kebajikan orang Melayu yang menetap di UK terpelihara. Melayu UK merupakan satu-satunya persatuan Melayu seumpamanya yang terlibat secara langsung dalam menjaga kebajikan dan hal-ehwal masyarakat Melayu di sana.

Kumpulan sasaran keahlian meliputi empat kategori iaitu orang Melayu yang bermastautin di sana, orang Melayu yang sudah menjadi warganegara UK, orang Melayu yang merantau dan mencari rezeki di UK dan orang Melayu yang berazam kuat untuk terus menetap di UK. Sudah tentu setiap kategori ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang mewarnai dan memperindahkan lagi perjalanan aktiviti Melayu UK.

Pertubuhan Melayu UK yang dinaungi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK ini mempunyai matlamat yang jelas dan menarik kerana ia bersifat family centric. Antara lain Melayu UK ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat Melayu di UK dalam pelbagai aspek kehidupan seperti membantu mereka menyediakan pendidikan Islam kepada anak-anak, kaunseling, pendidikan dan perniagaan.

Persatuan itu akan cuba mendapatkan bantuan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang berkaitan bagi tujuan tersebut. Objektif penubuhan Melayu UK adalah untuk menyambung hubungan serumpun antara masyarakat Melayu UK dengan Melayu di Malaysia. Melayu UK juga berhasrat memberitahu masyarakat Melayu di Malaysia tentang kewujudan masyarakat Melayu di UK yang mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama demi kepentingan umat dan bangsa.

Tidak ketinggalan juga matlamat terakhir Melayu UK adalah untuk menyediakan medium interaksi dan percambahan idea antara pelajar-pelajar Malaysia yang tidak menetap di UK dengan pelajar-pelajar Melayu yang bermastautin di UK.

Melayu UK telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya makan malam dengan kumpulan nasyid Raihan, perhimpunan raya, perhimpunan tahunan keluarga Melayu UK, kelas fardu ain dan al-Quran.

Baru-baru ini Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang diketuai oleh penulis sendiri sempat menziarahi dan bermalam di rumah Presiden Persatuan Melayu UK, Hamidi Abdul Rahman. Kesempatan ini diambil untuk mengenali Melayu UK dengan lebih dekat. Hamidi yang lebih mesra dengan panggilan Abang Midi merupakan anak Melayu yang amat sinonim dengan perjuangan umat Melayu di UK. Beliau yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan kebetulan datang dari daerah yang sama dengan penulis. Walaupun berperwatakan tegas, beliau ramah dan suka berjenaka. Hamidi tidak lokek berkongsi pandangan berkaitan Melayu UK.

Hamidi merupakan antara anak Melayu yang berjaya membina perniagaan di UK selepas menamatkan pelajaran di Wales pada tahun 1970-an. Selepas habis belajar, beliau bertekad untuk bermastautin di UK. Walaupun jauh di perantauan, beliau tidak lupa untuk pulang ke Malaysia menziarahi ibu bapa, di samping meninjau perkembangan perniagaannya di Malaysia.

Berkahwin dengan seorang wanita Malaysia sewaktu sama-sama menuntut di UK, Hamidi tetap menghadapi dilema kerana anak-anaknya tidak boleh bertutur dalam bahasa ibunda dan adat kebudayaan Melayu Islam serba sedikit sudah terhakis daripada amalan seharian. Ini bukan sahaja menjadi fenomena dalam keluarganya tetapi turut dialami oleh keluarga-keluarga Melayu lain di sana.

Justeru, kehadiran GPTD ke teratak beliau di Oxford bertepatan masanya kerana Abang Midi telah mencadangkan agar kami menganjurkan satu program pertukaran belia Melayu UK ke Malaysia. Ia bagi mendedahkan belia-belia Melayu UK dengan adat budaya Melayu dan nilai-nilai Islam serta mengenali tanah kelahiran ibu bapa dan asal usul keturunan mereka.

Bagi mencapai maksud tersebut, GPTD bersetuju menggunakan pelbagai pendekatan berkesan dan menarik meliputi pelbagai aktiviti seperti homestay bersama masyarakat Melayu Negeri Sembilan, interaksi dengan para belia Melayu, lawatan ke tempat-tempat yang berkaitan adat setempat, slot motivasi, permainan tradisional dan lain-lain. Negeri Sembilan bakal dipilih sebagai lokasi pertama memandangkan negeri tersebut kaya dengan adat perpatih dan sebagai memberikan penghormatan kepada Presiden Melayu UK yang berasal dari negeri Hobeng Jang Hobeng.

Namun, yang penting projek itu dapat memperkenalkan semula belia Melayu UK kepada adat tradisi ketimuran yang berpaksikan nilai-nilai Islam yang syumul agar pengekalan identiti jati diri mereka sebagai seorang Melayu Islam terus subur dan mekar.

Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, penulis selaku Pengerusi GPTD sempat menghadiahkan 20 set buku Iqra' Cara Cepat Belajar Membaca Al-Quran sebagai menyokong usaha Melayu UK mengadakan program Unit Keluarga iaitu program kelas membaca al-Quran dan mempelajari Islam untuk kanak-kanak dan orang dewasa di kalangan masyarakat Melayu UK terutama orang Melayu yang mengahwini bangsa asing.

Melayu UK dan GPTD boleh didekati melalui laman web Persatuan Masyarakat Melayu UK di http://www.melayu.org.uk dan http://gptd.blogspot.com

(Sumber: Utusan Malaysia 28 Mac 2006)

No comments: