Monday, June 29, 2009

UiTM Bandar Puncak Alam



Aku difahamkan oleh ramai rakan di Puncak Alam, UiTM Puncak Alam sudah siap dan telah mula beroperasi dan mengambil pelajar untuk sesi Julai ini. Aku turut dimaklumkan, pelajar-pelajar baru di peringkat Diploma dan Ijazah dalam bidang sains perubatan seperti kursus farmasi ditawarkan telahpun melangkahkan kaki ke sini. Majlis orientasi telahpun berlangsung minggu ini. Diberitakan hampir 5,000 pelajar berdaftar.

Aku turut bangga, ada juga universiti dibangunkan di kawasan Kuala Selangor, selain dari Universiti Industri Selangor (Unisel ) di Batang Berjuntai atau Bestari Jaya.

Aku ucapkan selamat datang kepada semua pensyarah, profesor, pegawai pentadbiran, kakitangan dan pelajar-pelajar ke Puncak Alam. Semoga ceria dengan suasana baru yang akan menjanjikan atau bakal menjadi kampus utama di Malaysia, memandangkan kawasan yang agak luas daripada kampus induk di Shah Alam. Pemilihan perkataan Alam adalah mempunyai elemen kesejahteraan dan kesejagatan. Moga-moga UiTM menjadi universiti bertaraf dunia, walaupun belum bersedia mengambil sepenuhnya "International Students". Aku mengharapkan, mudah-mudahan ramai anak Puncak Alam, boleh belajar di sini. Anakkupun belum ada yang berkesempatan untuk belajar di sini. Khabarnya, sudah ada kakitangan UiTM bersarapan di Restoran Tepi Kubur (RTK), Pak Ya di Felda Bukit Cherakah.

Aku juga mengharapkan agar Bandar Puncak Alam, benar-benar menjadi bandar maju seperti yang dimimpikan oleh Tan Sri Rozali Ismail; Rozali City dilengkapkan semua kemudahan terutama sekolah bertaraf antarabangsa, komples komersial dan rekreasi seperti yang dirancang.

Buat ketika ini, tanda jalan ke UiTM sudah 'dipacakkan', namun masih ramai lagi yang sesat sampai ke sini. Ada tanda jalan, dilitupi oleh daun dan dahan pokok. Ini bermakna, tanda arah belum cukup berkesan untuk membantu mencari UiTM ini. Khabarnya, masjid atau musolah UiTM belum berdiri, maka semua jemaah akan bersolat Jumaat di ruang kantin sedia ada. Aku juga kurang pasti, berapa kerap pengangkutan awam terutama syarikat bas akan menjadikan laluan utama mereka, mengambil penumpang, walaupun kebanyakan pelajar akan menetap di asrama yang disediakan. Akupun tidak nampak ada 'bus stop' disediakan.

Aku perhatikan stesen minyak Petronas di sini, semakin mula ramai pengunjung. Bila ramai orang, nanti banyaklah masalah, terutama kesesakan dan kemalangan jalan raya, masalah sosial yang sering dikaitkan dengan para pelajar terutama pelajar UiTM yang dikatakan terkenal hebat dari segi persoalan akhlak.

Cuma yang mencacatkan pemandangan ialah bangunan di hadapan Puncak Alam Housing Sdn Bhd. iaitu deretan kedai usang dan bekas tapak pasar malam. Aku memohon jasa baik MDKS dan Ahli Majlis terutama temanku, Rosham, tengok-tengoklah bangunan ini. Kalau boleh diperbaiki, lagi elok.


No comments: