Monday, June 01, 2009

CHIN PENG DAN KOMUNIS

Untuk generasi akan datang memahami sejarah dan kesan kekejaman komunis di tanah air adalah dicadangkan:-

1.Pakar sejarah dan penulis sejarah wajar mengarang dan membukukan semula sejarah khusus mengenai ideologi komunisme, pergerakan komunisme, Parti Komunis Malaya (PKM) di Malaya dan kepimpinannya termasuk usaha-usaha Chin Peng untuk menjadikan Malaya sebagai negara komunis. Prof. Khoo Kay Kim mungkin boleh mengetuai pasukan pengumpulan bahan-bahan sejarah yang bernilai dan dibukukan untuk tatapan anak bangsa. Gambar-gambar hendaklah dimuat untuk menjadi renungan dan ingatan. Penulisan sejarah boleh dipaparkan dari perspektif Malaysia dan secara akademik/pengajian ilmiah.

2. Menemuramah atau mewawancara bekas-bekas perajurit (yang masih hidup) yang terlibat dengan perjuangan senjata mempertahankan negara daripada serangan PKM, sejak zaman darurat (1948-1960) dan kisah mereka dibuku atau dijilidkan untuk khazanah sejarah negara dan diedar atau dijual kepada orang ramai. Sejarah lisan, pengalaman mungkin boleh dijadikan tambahan maklumat dan peristiwa yang berharga untuk menggalakkan dan memperkembangkan pengajian sejarah pada zaman komunis di Malaya.

3. Bahan-bahan, trankrip, hasil temuramah, DVD, buku-buku lama dari seluruh dunia (jika ada) atau yang akan dikarang boleh dijadikan bahan koleksi, pameran di Muzium Negara dan rujukan utama atau teks untuk pengajaran di sekolah-sekolah atau ke peringkat universiti.

4. Penerbit dan pengarah filem, wajar menambahkan koleksi filem berunsurkan sejarah terutama sejarah komunisme dan kekejamannya untuk membuka minda masyarakat betapa anasir-anasir komunis wajar dihapuskan dan tidak boleh diberi tempat dan muka oleh rakyat Malaysia. Filem Bukit Kepong mengenai peristiwa serangan komunis di Bukit Kepong, Muar yang diarah oleh Jins Shamsudin adalah contoh filem yang terbaik. Akupun sudah kerap menonton filem ini dan wajar ditayangkan berulang-ulang kali di TV kita. Akupun kerap lalu di kawasan Bukit Kepong, semasa bertugas di Batu Pahat, Johor pada tahun 2004-2005.

5. Persatuan sejarah dan penyelidik wajar mengumpul bahan-bahan sejarah yang berharga termasuk melawat kesan-kesan atau bekas-bekas tempat persembunyian komunis bahkan berani untuk mengumpulkan bahan-bahan mengenai Chin Peng untuk menilai beliau secara objektif. Adalah dicadangkan Persatuan Sejarah Malaysia berani menemui atau bersemuka dengan beliau untuk memperolehi maklumat 'sejarah' daripadanya. Tempat-tempat persembunyian boleh dijadikan tempat atau aktiviti melancong yang menarik/bahan sejarah. Aku teringat ada kawan-kawan yang melawat Vietnam dan mengunjungi tempat-tempat persembunyian/terowong rahsia yang dibina oleh pejuang-pejuang komunis Vietnam.

6. Iklan dan makluman atau 'video clips' mengenai sejarah komunis hendaklah ditayangkan di TV dan rancangan drama radio bersiri hendaklah diperdengarkan untuk menyemarakkan kebencian kepada idealogi komunis.

7. Diadakan peraduan atau pertandingan mengarang novel atau cerpen di peringkat kebangsaan dengan tawaran hadiah yang lumayan mengenai kekejaman komunis.

No comments: