Tuesday, May 19, 2009

Pemeriksaan Sekolah (School Inspections)

Pada 12-13 Mei, 2009 yang lalu, sekolah anakku, Hakim di Sydney Smith School dijalankan pemeriksaan oleh sepasukan pemeriksa daripada Ofsted, Nord Anglia Inspections, Cheadle, Stockport. Ketua pemeriksa ialah Angela Headon HMI.

Tujuan pemeriksaan ialah untuk menyediakan maklumat kepada ibu bapa/penjaga, meningkatkan pencapaian sekolah dan memastikan sekolah memanfaatkan wang rakyat yang diterima.

Pemeriksaan dilakukan sekurang-kurang setiap tiga tahun sekali dan diperlukan di bawah undang-undang.

Satu badan bebas akan menilai ‘standard’ dan kualiti sekolah dan memeriksa sama ada pelajar-pelajar menerima pembelajaran sebenarnya atau tidak.

Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan pemeriksa akan menjalankan kajian mengenai prestasi sekolah dan menganalisa keputusan peperiksaan dan perkembangan pelajar. Mereka akan menemuramah dan berbual dengan pengetua, guru, ‘governors’, kakitangan, pelajar dan menimbangkan cadangan atau idea daripada ibu bapa/penjaga.

Aku turut diminta pandangan daripada pasukan pemeriksa bebas ini. Mereka mengemukakan surat pemberitahuan bertarikh 7 Mei, 2009 dan turut menyertakan soal selidik (questionnaire) ringkas mengenai sekolah untuk diisi dan dikemukakan kepada pasukan pemeriksa tersebut. Pada masa yang sama, talian ‘hotline’ dibuka kepada sesiapa untuk memberi komen, pandangan atau pendapat. Walau bagaimanapun, badan ini tidak berupaya menyelesai sebarang aduan kerana aduan perlu diselesaikan antara sekolah dan ibu bapa/penjaga.

Di antara soalan soal selidik (teramat mudah) adalah seperti berikut:-

1. My child enjoys school

2. My child is making good progress because the teaching is good at school

3. I feel that my child is safe and well cared for at school

4. Behaviour in school is good

5. The school is well led and managed

6. The school takes account of children’s views

7. The school seeks the views of parents/carers and takes account of their suggestions and concerns

8. Additional comments:

Semua ibu bapa/penjaga akan mengisi ruang atau menandakan sama ada ‘strongly agree, agree, disagree, strongly disagree’ atau ‘unable to comment’.

Selepas pemeriksaan selesai, satu laporan lengkap akan diserahkan kepada pengetua dan ‘governors’. Semua laporan dan penemuan (findings) akan diterbitkan, dicetak dan diedarkan kepada sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat. Semua cadangan penambahbaikan dimuatkan di laporan tersebut. Semua laporan boleh diperolehi di laman web:www.ofsted.gov.uk/reports

Sekolah akan digredkan seperti berikut:-

Grade 1 (outstanding)

Grade 2 (good)

Grade 3 (satisfactory)

Grade 4 (inadequate)

Pengajaran untuk Malaysia

1. Kita mempunyai jawatan ketua nazir negeri dan jemaah nazir sekolah (JNS) untuk merancang dan menjalankan pemeriksaan, pemantauan serta lawatan termasuklah lawatan susulan ke sekolah-sekolah. Mereka sewajarnya mengkaji laporan dan maklum balas dari nazir-nazir sekolah, serta membuat kaji selidik, catatan dan komen-komen untuk perhatian ketua nazir sekolah bagi memperbaiki mutu, kualiti pendidikan, pengajaran, kemudahan pembelajaran, teknik penyampaian, bilangan perjawatan, permasalahan profesion dan bebanan kerja, motivasi dan prestasi guru, keceriaan, perancangan termasuk kurikulum, penyelenggaraan bangunan, kepimpinan dan pengurusan pengetua atau guru besar, pengurusan kewangan sekolah, pengurusan kantin sekolah, keselamatan, kebajikan, moral atau akhlak, keputusan peperiksaan dan penglibatan, penyertaan pelajar di kelas di samping keadaan disiplin pelajar.

Aku ingin mengesyorkan agar guru tidak dibebankan dengan pelbagai kerja pengurusan atau ‘projek’ tertentu dan perkara-perkara yang menyusahkan tugas utama mereka atau sehingga tidak cukup tangan untuk menjalankan kerja-kerja tambahan. Seolah-olah,'bahu keguruan kini semakin hari semakin berat.

2. Sewajarnya, jemaah nazir menjalankan banyak temubual/kajian terhadap pandangan ibubapa/penjaga, pelajar sendiri dan turut menyediakan laporan/maklumat bercetak dan diedar yang boleh dikongsi bersama oleh semua publik mengenai sekolah-sekolah tertentu secara telus dan integriti. Semua laporan boleh diakses dengan mudah dan bukan dianggap sulit. Ibu bapa/penjaga merupakan salah satu ‘stake holders’ yang wajar diberi peranan yang lebih besar di dalam pembangunan, perkembangan dan pencapaian sekolah. Pihak nazir wajar melibatkan mereka. Kekerapan menemubual ibu bapa/penjaga adalah satu langkah yang wajar dan bertetapan dengan matlamat mengutamakan sasaran pelanggan utama dan sebenar.

3. Penambahan bilangan nazir dan staf sokongan hendaklah dilaksanakan dengan jumlah bilangan penduduk, sekolah dan pelajar dengan bertujuan melicinkan proses pemantauan. Semua aduan dan pandangan atau syor dari semua pihak hendaklah diambilkira untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan dan kecemerlangan pendidikan.

4. Cuba elakkan pilih kasih atau membuat laporan yang berat sebelah atau terlampau banyak ‘politicking’ sehingga mengakibatkan guru tidak puas hati, terpinggir atau terhukum.

No comments: