Wednesday, May 20, 2009

Mengajak Orang Lain Untuk Berubah

Kita sedar atau tidak, setiap urusan di dalam kehidupan ini, kita akan meminta dan menginginkan orang lain berubah. Keinginan atau hasrat tersebut kita akan menyampaikannya melalui saranan, harapan bahkan tingkahlaku atau tindakan tertentu. Maka, kita akan dapati ada elemen arahan seperti, “kita wajar buat yang ini dan jangan lakukan yang itu atau kita mesti sokong dan menangkan yang ini atau kita mesti pilih yang ini dan bukan yang itu”.

Seseorang yang ingin mengubah orang lain mempunyai alasan atau pertimbangan atau kepentingan tertentu. Pada amnya, kita tidak boleh memaksa dan bila seseorang itu perlu berubah, ibarat kita membawa seekor kuda ke tepi sungai dan memaksanya minum air. Kuda itu mempunyai kebebasan menolak atau menerima ajakan kita.

Manusia tetap akan berubah terutama dari aspek tingkahlaku, perwatakan, pemikiran dan emosi. Faktor pendorong daripada dalaman dan faktor sokongan luaran yang bersifat ‘impulsive and restrained ‘boleh membantu. Sama ada sulit atau sukar atau mudah adalah turut bergantung kepada beberapa penjelasan yang sempat aku huraikan sebagai bahan perbincangan.

Pada amnya, untuk memberi maklumat, pengetahuan, kepakaran tertentu (skills) tidaklah sukar, namun kesukaran berlaku apabila dimestilah berubah dari aspek personaliti, perwatakan, cara berfikir atau sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan (normal daily routine). Apa yang telah dilakukan dan sebati dalam kehidupan, tentunya mengambil masa untuk mengubahnya atau bertukar kepada sesuatu yang lain dan baru atau yang bukan menjadi kebiasaannya pada diri seseorang. Perkara yang dianggap sulit (trait) tentunya akan menjadi ancaman kepada seseorang individu tersebut.

Tentunya, wajar kita memahami diri individu atau "core personality", dalam aspek membimbing manusia mahupun di dalam konteks pekerjaan, hidup berkeluarga atau di dalam mengalih sokongan kepada pemimpin atau parti lain.

Kenapa berubah dan tidak mahu berubah?

Pada amnya, tiada sesuatu faktor yang mengapa seseorang itu berubah dan enggan berubah. Kita wajar memahami dari pelbagai sudut sama ada dari aspek dalaman atau luaran.

Dari aspek dalaman individu,

Pertama, seseorang itu akan mampu berubah jika ada faedahnya (result knowledge). Di dalam pengurusan, manfaat yang bernilai atau berharga pada seseorang perlu diberikan penjelasan sama ada dari aspek emosi, ilmu pengetahuan atau kewangan dan sebagainya. Ini bermakna, target yang akan dicapai perlu dimaklumkan secara terperinci.

Kedua, seseorang akan berupaya berubah apabila ada proses kesedaran atau keinsafan (altered state of consciousness). Seseorang yang ingin berubah, tentunya ingin mencapai hasrat yang lebih baik, jika tidak mereka akan agak sukar untuk melakukan perubahan dirinya.

Ketiga, seseorang itu semestinya ingin mengharapkan sesuatu apabila dirinya diajak kepada berubah. Jika mereka boleh melakukan perubahan sendiri, tentunya ianya akan banyak membina daya juang, bekerja, kreatif dan inovatif.

Keempat, seseorang itu semestinya bersedia untuk berani untuk berubah dan sanggup menanggung apa jua risiko. Emosi seseorang itu mesti stabil dan yakin bahawa sesuatu perubahan mendatangkan kebaikan kepada dirinya. Ini bermakna, seseorang yang hanya bersedia melakukan sesuatu yang biasa atau sudah menjadi amalannya, tidak akan banyak membantu untuk melakukan sesuatu perkara yang lebih mencabar dan besar.

Kelima, sasaran kepada individu semestinya jelas bagi mencapai cita-cita tertentu seperti untuk memperolehi ‘goal, target, objective, vision’, dan sebagainya. Seseorang akan berubah ke arah yang lebih baik jika sekiranya strategi dan perancangan sasarannya diperbaiki, diperjelas, diperbaiki dan diperkemaskan fokusnya.

Inilah sebahagian daripada paparan yang memungkinkan seseorang itu akan tergerak, terdorong dan akan mempertahankan sesuatu perubahan yang berlaku (to drive, select and defend).

Faktor luaran

Hal ini berkait rapat dengan faktor orang lain dan keadaan persekitaran (condition). Manusia mampu berubah jika orang lain turut memberi input yang dianggap matang, bijaksana, berhikmah, berdiplomasi dan berstrategik.

Perubahan mampu dilakukan jika ada ‘determination’ dari dalam individu dan disokong oleh faktor-faktor luaran teutama keupayaan orang lain untuk membuat orang lain berubah.

Pendekatan yang bersesuaian untuk mengajak orang berubah

Ada beberapa pendekatan yang difikirkan sesuai, di antaranya ialah:-

Pertama, kekuatan hubungan atau pergaulan mestilah dipunyai oleh individu yang ingin berhasrat mengajak orang lain berubah. Contoh kekuatan hubungan adalah seperti kedudukan senioriti dan pemimpin teratas yang berkarisma di pejabat, atau di dunia perniagaan atau politik, akhlak yang terpuji, kematangan berhujjah atau berfikir dan berbincang. Ini bermakna, kuasa dan kepercayaan (trust) adalah elemen yang teramat penting untuk seseorang itu boleh mengikuti arahan atau peraturan atau nasihat atau bimbingan.

Kedua, mesti diperjelaskan secara berfakta dan khusus. Ini bermakna, seseorang yang ingin mengajak orang lain untuk berubah, dirinya boleh dijadikan contoh dan teladan serta berusaha untuk memperbaiki diri orang lain dengan syarat pembimbing itu sudah memastikan sebarang kesalahan dan memfokuskan tindakan untuk memperbaikinya secara tepat dan khusus serta mempunyai alasan-alasan dan jawapan-jawapan yang memuaskan.

Ketiga, pertimbangan keadaan seseoarang itu boleh ditegur, disaran atau diajak untuk berubah. Seseorang pembimbing mestilah faham tentang perwatakan individu yang perlu berubah dan menentukan keadaan serta masa yang sesuai untuk melakukannya. Kajian tentang kecenderungan, cara berfikir dan citarasa individu hendaklah terlebih dahulu dikenalpasti bagi melihat kesan positifnya. Perancangan jangka pendek dan panjang hendaklah disusun.

Keempat, pertimbangkan bahasa dan huraian yang sesuai adalah penting agar penjelasan dapat diterima dan difahami dengan mudah dan sesuai dengan daya berfikir seseorang.

Kelima, mesti mampu membuktikan faedah atau tujuan secara konkrit yang berkaitan dengan apa yang disarankan.

Keenam, sentiasa istiqamah dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa jemu atau bosan mengajak atau mengharapkan orang lain berubah. Kita pun perlu membantunya dengan apa jua maklumat, dan ‘resources’ yang mungkin boleh digunakan.

Inilah yang sempat aku paparkan di kesempatan yang ada ini.

No comments: