Monday, May 11, 2009

Masalah Mat Rempit perlu ditangani secara holistik


Masalah Mat Rempit perlu ditangani secara holistik - TPM

Utusan Malaysia, 12/05/2009 2:08pm

KUALA LUMPUR 12 Mei — Masalah Mat Rempit perlu ditangani secara holistik dan satu penyelesaian jangka panjang mesti dirangka untuk membendung gejala sosial itu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita perlu melihat (masalah) ini secara holistik sama ada ia berkaitan dengan soal pendidikan atau soal luar daripada pendidikan seperti yang dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, ibu bapa, keluarga.

“Kita perlukan pendekatan jangka panjang untuk menyelesaikan kecenderungan anti-sosial yang mereka lakukan. Saya setakat ini belum diberi taklimat oleh pihak keselamatan mengenai masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran di Bukit Kiara hari ini.

Muhyiddin berkata walaupun tidak dapat dipastikan sama ada kebanyakan Mat Rempit masih bersekolah, ia “adalah sesuatu yang membimbangkan kita.”

“Kita kena lihat semula kepada soal generasi muda bukan sahaja di sekolah tetapi juga yang telah keluar sekolah. Apakah mereka tidak diberi ruang dan peluang untuk membangunkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah selain daripada memecut motosikal dan memimbulkan masalah dari segi keselamatan dan masalah sosial lain,” tambah beliau. - Bernama

Ulasan Pendekatan Holistik

1. Institusi pendidikan dan persekolahan

Anak-anak semestinya dididik dengan akhlak Islam dan moral sosio-budaya realiti kehidupan dan keselamatan sebenar. Semua guru dan ibu bapa mesti bertanggungjawab mendidik anak-anak remaja yang masih bersekolah atau yang sudah keluar sekolah. Peranan sekolah adalah mendidik generasi, maka, sukatan pelajaran mengenai tuntutan bermasyarakat hendaklah diketengahkan. Jika kita masih berdiam diri, kehidupan bermasyarakat akan semakin parah dan punah serta menjadi bebanan yang berat kepada negara.

2. Program agresif daripada kerajaan untuk mengatasi semua masalah sosial termasuk isu Mat Rempit hendaklah dilaksanakan. Program atau aktiviti jangka panjang amatlah mendesak dan diperlukan serta merta bahkan wajar disegerakan iaitu:-

Menyelesaikan masalah peribadi, sosial mereka secara psikologi, minda, hati nurani, kewangan dan pekerjaan sempurna, adab termasuklah menghormati orang lain serta undang-undang. Sesuatu sistem untuk hidup sihat dan bermasyarakat hendaklah diwujudkan. Mereka yang ditahan oleh pihak polis hendaklah mengikuti kelas pendidikan akhlak dan belajar memandu dengan selamat dan untuk memperolehi lesen yang sah (jika mereka tidak mempunyai lesen). Mereka boleh menjadi mentor kepada setiap ahli keluarga agar semua mempunyai hala tuju hidup yang sihat dan bertanggungjawab.

Program memberantas jenayah kekerasan yang dikaitkan dengan Mat Rempit hendaklah ditangani dengan derastik.

Mewujudkan trak, litar atau tempat atau lokasi khusus untuk mereka belajar dan mengikuti program berlumba yang selamat dan kecekapan bermotor. Program berkonvoi yang bermotifkan sukan dan keselamatan hendaklah diperluaskan. Ini sebagai proses pendidikan, bergaul, berbudaya sihat dan positif yang dianggap mengambil kira keinginan dan selera mereka.

Mengadakan kempen berterusan di semua media elektronik dan cetak tentang bahaya merempit. Tindakan undang-undang termasuk penjara hendaklah dilaksanakan. Ibu bapa atau keluarga hendaklah turut disaman dan mereka disarankan agar mengikuti kursus-kursus mengenai penghormatan terhadap undang-undang dan hidup bermasyarakat. Kenderaan mereka hendaklah dirampas dan dilelong atau dijadikan besi buruk. Mat Rempit yang mempunyai lesen yang sah hendaklah digantung untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun.

No comments: