Saturday, May 16, 2009

MEMBURU BINATANG

Malam semalam, selepas program bacaan Yasin di rumahku, ramai kenalanku lambat pulang ke rumah masing-masing. Setiap seorang ada cerita yang menarik yang ingin dikongsikan bersama. Padaku, aku tertarik, apabila saudara Hasmi bercerita mengenai menternak ayam kampung, apabila balik ke Malaysia nanti bagi mengelakkan membeli ayam daging yang semakin mahal harganya. Walau bagaimanpun, seorang jiranku, Ahmad, tidak bersetuju dengan cadangannya kerana usaha ini mengambil masa. Beliau mencadangkan, kita belajar memburu ayam hutan sama ada di ladang-ladang kelapa sawit atau di belukar atau di hutan-hutan. Hasil buruan boleh dipanggang dan dimakan terus.

Mereka semuanya begitu ‘too concerned’ mengenai kehidupan yang semakin terhimpit, semakin sukar untuk kebanyakan orang, akibat kenaikan harga barang yang tidak terkawal di Malaysia ketika ini.

Aku mula terfikir bahawa memburu merupakan salah satu kegiatan dan aktiviti warisan yang dilakukan oleh masyarakat Orang Asli bahkan orang Melayu pada masa dahulu bagi tujuan mendapatkan hasil makanan mahupun dijadikan sebagai sumber ekonomi. Peralatan tradisi yang biasa digunakan untuki aktiviti memburu adalah seperti jaring, jebak, jerat, lembing, perangkap, racik, sumpitan dan lastik.

Ketika ini kegiatan memburu dijadikan hobi bagi sesetengah orang. Senjata moden seperti senapang patah mula digunakan. Mereka yang berminat memburu mempunyai lesen senapang dan lesen untuk memburu pada masa yang ditetapkan oleh Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Cara-cara pemasangan dan penggunaan peralatan tersebut adalah bergantung kepada alat itu sendiri. Pada amnya, binatang-binatang yang diburu adalah seperti pelanduk, kijang, landak, kancil, rusa, burung, babi hutan, kera, monyet, beruk dan binatang yang menganggu seperti ular dan harimau.

Aku juga pernah diajak oleh abang Abdul Halim, semasa tinggal di Felda Sungai Nerek, untuk aktiviti mendenak, menjerat dan memburu ayam hutan di ladang kelapa sawit di sekitar Felda Jengka, Pahang.

PENGAJARAN POSITIF DARIPADA AKTIVITI MEMBURU

1. Aku dapati Orang Asli nampak lebih ‘happy’, walaupun duduk di dalam hutan. Semasa aku menjalankan kajian mengenai kehidupan orang asli dari aspek komunikasi di Rancangan Pengumpulan Semula Betau, Kuala Lipis, Pahang pada tahun 1985, aktiviti memburu monyet, babi hutan dan menangkap ikan di sungai-sungai adalah kegiatan utama untuk mencari makan dan proses kehidupan mereka adalah terlalu ‘simple’, walaupun kerajaan menyediakan peluang untuk mereka bercucuk tanam dan dialihkan pemikiran mereka untuk hidup seperti orang moden, kampung tersusun dan memungkinkan mengalami proses perbandaran. Aku lihat pagi-pagi, mereka sudah keluar berjalan kaki jauh ke dalam hutan untuk menjalankan aktiviti ‘menyumpit’.

Mungkin dalam keadaan ini, terutama orang-orang kampung yang kawasannya masih dilingkungi oleh hutan simpan seperti di setengah negeri di Perak, Pahang, Johor dan terutama di Sabah dan Sarawak boleh mempelajari teknik memburu atau beralih ke medan ini untuk punca pendapatan selain daripada hobi atau mengisi masa lapang.

Kadang-kadang aku terfikir, orang kampung yang tiada tanah untuk bertanam sayur, tentunya sukar mengusahakan tanaman tertentu. Maka, orang kampung boleh dilatih untuk menjadi pemburu rusa atau kijang atau seladang. Mereka boleh diberi pinjaman atau subsidi membeli peralatan memburu termasuk diberi latihan menembak dan senjata.

Semasa aku menetap di Maran, Pahang pada tahun-tahun 1987-1990, aku turut mempelajari teknik menembak dengan senapang patah, apabila pakcik Kamaruddin (sudah arwah), seoarang anggota Rela menunjukkan cara menembak tupai dan keluang yang memakan durian di dusun ibu mentuaku di Chenor.

Bahkan Orang Semai, Jakun di Ulu Kelantan atau Hulu Perak atau Orang Sungai di Sarawak boleh dibekalkan dengan senapang patah untuk mereka menangkap hasil buruan mereka dan menjadikan mereka lebih maju bagi mengusahakan kehidupan mereka. Dengan syarat hutan yang sedia dikekalkan dan tidak dibuka kepada aktiviti pembalakan.

Dalam kehidupan yang semakin terhimpit ini, mungkin orang di kampungku sendiri, di Bukit Hijau dan di sekitarnya, seperti di Parit Mahang, Bukit Kuching, Bukit Cheraka, disebabkan sudah tiada hutan lagi, jadikanlah Merbau, Tuan Mee Estate sebagai gelanggang menjerat atau merangkap ayam hutan. Aku berpandangan, gunakan masa yang dianggap sukar ini, mempelajari sesuatu yang lain untuk mencari sesuap nasi atau pendapatan sampingan. Aku difahamkan, di belakang rumah emakku, di Bukit Hijau, (rumah di kelilingi oleh kebun kelapa sawit), maka banyak ayam hutan menetap di kawasan tersebut, termasuklah biawak.

Selain daripada menjadi pemburu, mereka juga boleh dilatih untuk menjadi pengusaha atau penjual daging buruan.

2. Aku turut terfikir, jika kerajaan boleh memberi bimbingan dan latihan memburu secara profesional kepada Orang Asli seperti di Muadzam, Pahang mungkin mereka boleh menjadi pemburu yang mahir dan dapat mengubah kehidupan mereka. Kita menyedari, aktiviti memburu haiwan eksotik sudah sebati dan menjadi amalan hidup serta sebahagian daripada sumber pendapatan mereka sejak turun temurun. Kerajaan mesti bersedia dan mencari pendekatan yang berdiplomasi untuk mengatasinya.

Aku pernah terlihat, seorang gadis Orang Asli di tepi jalan antara Muadzam-Kuantan mengurung, menyimpan dan menjual beruk atau monyet.

3. Kepada mereka yang menjadikan memburu sebagai hobi, terutama di kalangan Tan Sri atau Datuk yang mempunyai senapang moden, jika ada buruan seperti rusa atau kijang atau banyak burung yang ditembak, sedekahlah kepada orang-oarang miskin yang tinggal berhampiran dengan kediaman ‘bungalow’ mereka. Mereka amat memerlukan bantuan dan simpati daripada orang berada. Orang miskin amat gembira jika masalah kehidupannya, terutama soal makan dibereskan. Aku ada kenalan, orang Pakistan di Hull ini, suatu hari, aku bertanya kepadanya, “apakah yang amat diperlukan dahulu di dalam hidup ini?”. Beliau lantas dan cepat menjawab, “makan yang cukup, selepas itulah barulah manusia itu boleh memikirkan perkara-perkara lain. Kalau perut lapar, ibadatpun tidak jadi khusyuk”, katanya.

4. Menjadi orang yang penyabar, berfikir, menjaga stamina dan kekuatan fizikal. Di samping itu, seseorang itu boleh mempelajari teknik dan strategi tertentu. Malahan, pemburu akan sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekelilingnya dan akan sentiasa mempelajari sesuatu. Banyak pengalaman pemburu yang boleh diceritakan, antara lainnya, bertemu perkara atau gangguan misteri, orang bunian, tersesat di dalam hutan, putus bekalan makanan atau tercedera akibat jatuh atau tertembak rakan. Ini semuanya pengalaman untuk kehidupan sebenar.

RUMUSAN

Aktiviti memburu boleh dijadikan aktiviti memperolehi pendapatan sampingan dan pendapatan tetap. Kepada mereka yang berminat menjadi pemburu untuk tujuan ekonomi, walaupun dengan menggunakan lastik getah dan mendenak ayam hutan di ladang kelapa sawit, itu adalah lebih baik daripada menganggur atau mencuri atau melepak atau menjadi hantu malam di kampung.

Khusus kepada teman-temanku di kampung yang baru dibuang kerja kilang, mungkin boleh ambil masa sedikit untuk beralih ke bidang ini, sementara mencari pekerjaan yang sesuai.

2 comments:

senoipraaq said...

salam,saya amat bersetuju dengan saranan dan pendapat saudara.Babmemburu dan menjerat ni saya cukup minat,tapi saya tak berkesempatan kerana tiada masa dan kawan.

Ayam Hutan said...

salam..
saya pun sama. cuma jgn kita terlalu tamak dan rakus dlm memburu ni takut habis,kalau setakat menjerat,menjaring,mendenak ayam,,itu xkan habis,,apa yg saya sgt risau adalah pemburuan yg dilakukan secara aktif dgn menggunakan senapang,,,kalau guna mende alah ni habis la hewan kecik, besar,tua dan muda mampos,,,sama gak macam menuba ikan,,akibat tuba sungai,tasik,,,abis la semua ikan,,sbb tu skg ramai pemancing dr ikan,,,huhuhuhuuuuu