Sunday, October 18, 2009

Key Performance Indicators (KPI) dan Kepimpinan YDP PAS Kawasan

Aku kurang pasti sama ada petunjuk KPI turut digunapakai atau tidak di dalam mengukur dan mengenalpasti kemampuan dan kebolehan YDP memimpin di peringkat kawasan.

Fokus terhadap menampilkan diri sebagai pemimpin Islam contoh di peringkat kawasan hendaklah dilaksanakan dan sewajarnya menjadi agenda utama dan rakyat mampu mengambil contoh dan ikutan.

Pemilihan teraju kepimpinan yang berkredibiliti di peringkat kawasan tentunya akan memberi makna dan impak besar terutama kepada perkhidmatan yang terbaik di peringkat pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang di perintah oleh Pakatan.

Aku sekadar ingin mencadangkan pemilihan YDP sebagai ketua parti di peringkat kawasan pada masa hadapan sewajarnya melihat kepada isu-isu berikut:-

1. Keupayaan memahami dan menyediakan hasrat pencapaian kepimpinan Islam sebenarnya.

2. Pelan strategik pembangunan dan perkembangan parti wajar disediakan dengan satu pendekatan budaya kerja dan aktiviti yang mampu meningkatkan penyampaian serta berkesanan komunikasi sehingga ke akar umbi dan ahli biasa.

3. Berupaya menjana keupayaan memperkasakan parti dari aspek penambahan ahli, cawangan dan kaedah penyediaan pemimpin pelapis dan berkebolehan.

4. Memperkukuhkan dana/kewangan parti sehingga mampu mewujudkan sistem pengurusan kewangan yang mantap bagi membela kebajikan ahli sendiri, sesiapa sahaja yang memerlukan dan orang ramai/publik.

5. Berusaha mengurangkan karenah negatif atau remeh di dalam mengurus parti dan menyediakan ruang dan kaedah yang mudah dan pantas untuk setiap ahli/cawangan untuk memberi maklum balas atau rungutan atau terbuka kepada kritikan membina.

6. Keupayaan berkomunikasi, menyelesai masalah, mengurus pengundi, rakyat dan sentiasa turun padang menemui mereka, apatah lagi mereka yang sudah bergelar YB.

7. Kecekapan memantau, membimbing ahli dan cawangan ke arah tuntutan tugasan dakwah, membina ikatan ukhuwah, dan kecemerlangan budaya kerja berjemaah atau 'team work'.

Kesimpulannya, YDP PAS kawasan yang tidak mempunyai asas atau kurang pengalaman pengurusan, dan lemahnya pentadbiran terutama aspek sumber manusia, kewangan atau gagal dalam aspek berkomunikasi yang berkesan wajar mengundur diri dan setiap ahli dan cawangan wajar mencadang dan memilih YDP yang mempunyai tokoh dan berterampilan yang bersesuaian dengan tuntutan zaman dan perubahan.






No comments: