Monday, October 19, 2009

BANGKIT UNTUK PERUBAHAN

Perubahan sikap untuk berjaya dan maju di dalam apa jua bidang bukanlah senang atau mudah untuk dilakukan.

Perubahan mungkin boleh berlaku secara perlahan-lahan atau secara derastik.

Pada amnya, ketelusan, keikhlasan hati dan pemikiran yang ketara sedar atau kejernihan daya berfikir dan emosi atau dorongan yang amat mendalam di dalam diri manusia akan melonjakkan tenaga dan perbuatan yang lebih positif.

Dorongan, galakan, dan diplomasi, bukannya kaedah paksaan turut memberi kesan kepada minda untuk berfikir dan berusaha untuk bergerak kepada perubahan.

Berilmu atau berpengetahuan sahaja belum cukup untuk mengemudi perubahan.

Kemahiran dan pelbagaian pengalaman yang dilalui belum memastikan seseorang mampu berubah ke arah yang lebih baik.

Latihan berupa membina ilmu pengetahuan dan kepelbagaian aspek kemahiran belum memberi jaminan seseorang boleh berubah.

Perubahan yang mantap memerlukan sumbangan beberapa banyak faktor terutama hal ehwal keupayaan diri sendiri untuk berubah, persekitaran, sokongan organisasi dan kepimpinan, aspek teknikal, perancangan yang berstrategik, peningkatan daya kepimpinan, kursus atau latihan percambahan minda.

Memandangkan manusia pada amnya, sukar dan lambat untuk berubah, maka aspek pengurusan sumber manusia, wajar meneliti keberkesanan latihan dan bimbingan, terutama dari aspek pembinaan sikap, tabiat dan personaliti.

Kajian yang mendalam mengenai struktur budaya, memahami nilai personaliti dan aspek suasana atau persekitaran kehidupan semasa akan menentukan proses membina keyakinan seseorang bagi berupaya menilai sesuatu perubahan dan akhirnya, mereka berubah secara sepontan atau bersahaja.

Ini bermakna, keupayaan seseorang untuk berfikir secara rasional dan bijak menganalisa akan mempercepatkan budaya untuk sering berubah.

Orang Melayu/Islam di Malaysia masih sukar memahami agenda perubahan, kerana pada amnya, pendekatan politik yang lebih tertumpu kepada agenda politiking kelompok, menyukarkan rakyat berubah serta merta.

Pada umumnya, rakyat masih belum menikmati erti kehidupan sebenar dan selesa dengan nilai atau kuasa wang, berpendidikan dan berkelulusan yang bersesuaian, keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan kematangan berpolitik, maka tuntutan ke arah negara yang maju, berfikiran terbuka dan dinamik tidak memungkinkan perubahan besar akan berlaku.

Kepincangan dan kelemahan dari aspek pengurusan negara, terutama pengurusan kewangan di dalam proses tuntutan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat, masih tiris, maka adalah wajar dilaksanakan secara tertib dan bertanggungjawab oleh pemimpin.

Uniknya orang Melayu, apabila mereka sudah cukup makan, tidur selesa, pekerjaan bergaji lumayan, lebih atau banyak berkuasa, sering lupa untuk menghayati perubahan.

Ini bermakna, apabila kalah, tewas atau gagal dalam apa jua lapangan, barulah terasa hendak berubah.


No comments: