Wednesday, April 22, 2009

Zakat dan Kesejahteraan Sosial Umat

1. Pengenalan
Pengagihan zakat didalam pembahasan fiqih zakat dikenal dengan asnaf atau mustahik zakat, yaitu orang atau kelompok yang berhak mendapat bahagian dari zakat. Al-Qur’an menerangkan hal ini didalam surat At-Taubah ayat 60, ”Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil zakat, yang dilunakkan hatinya (muallaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajiban dari Allah. Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.”
Orang Islam masih ada yang fakir dan miskin. Di semua negeri di Malaysia, zakat dibayar kepada kedua-dua penerima asnaf ini saban tahun. Mungkin mereka orang yang sama menerimanya setiap tahun, namun hakikatnya kemiskinan tetap berterusan dan pembasmian kemiskinan sekian lama belum dapat diselesaikan.
Zakat bermatlamat dan berperanan lebih luas iaitu memberi kesejahteraan, keadilan sosial dan berusaha untuk merancang pembangunan ekonomi dan sumber manusia orang Islam sejagat.
Zakat merupakan salah satu unsur penting dalam sistem ekonomi berdasarkan syariat Islam. Menurut para pemikir Islam, ekonomi akan tumbuh dan berkembang dengan baik bila zakat sebagai suatu sistem kehidupan ekonomi berjalan, tumbuh, berkembang dan berjalan sebaiknya.
2. Permasalahan
2.1 Pengurusan Zakat
Keefisienan pengurusan zakat adalah teramat penting. Pendaftaran penerima zakat, penapisan kepada yang benar-benar layak sehinggalah berapa jumlah yang patut diberi dan untuk tujuan sebenar dan bagaimana wang zakat dilaburkan, jika dibenarkan oleh syarak, perlu dikaji dan diteliti. Manfaat zakat ialah untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian mereka. Ini bermakna, pengumpulan, pengagihan zakat dan urusan bajet tahunan, semestinya benar-benar amanah dan sewajarnya ke arah beroreintasikan kebajikan sosial.
‘Research’ (kajian) mendalam mengenai keperluan sebenar perbelanjaan mengurus dari aspek pentadbiran tidak melibatkan kebocoran, ketirisan, penyelewangan, penindasan, rasuah, kezaliman, salah guna atau wujud pembaziran dan pemborosan hendaklah dijalankan dan dielakkan sama sekali amalan yang tidak sihat berlaku. Kajian kepada setiap penerima hendaklah dilakukan untuk mengenal pasti sama ada mereka yang menerima zakat telahpun berubah ataupun tidak.
2.2 Penyumbang
Persoalan yang ingin aku turut bangkitkan ialah berapa ramai umat Islam yang layak dan bersedia menunaikan zakat? Jika mereka menyedari betapa sebenarnya Allah s.w.t. pemilik sebenar harta dan kemewahan yang dianugerahkan kepada kita semua, maka diharapkan setiap pemegang amanah sewajarnya mengendalikan rezeki dan harta kepunyaan Allah itu disumbangkan kepada menunaikan hak Allah jua. Semua harta yang dimiliki oleh manusia sekadar pinjaman, sementara dan sepatutnya disumbangkan kepada sesuatu yang boleh menghampiri taqwa kepadaNya.
Kalau semua ‘membayar’ dengan ikhlas, tabungan zakat di setiap Pusat Pungutan Zakat (PPZ) atau Majlis Agama Islam akan bertambah dan dapat disalurkan kepada asnaf dengan sempurna.
Pada prinsipnya, aku ingin menegaskan bahawa kita ingin memastikan jangan ada harta dan kemewahan dimiliki oleh segelintir orang kaya dan berlegar untuk dinikmati di kalangan mereka sahaja.
Aku sendiripun tidak tahu berapa angka umat Islam terkini yang menyumbang zakat. Kelemahan ketara di Malaysia ialah kita tidak pernah mengumpul dan menyimpan data dengan sempurna dan berkongsi bersama.
3. Metodologi
3.1 Cadangan untuk mengeluarkan orang Islam dan penerima tetap keluar daripada lingkungan kemiskinan dan melahirkan pendakwah, ilmuan, ulama dan pakar. Pemberian zakat untuk maksud asnaf jihad fisabililah sewajarnya turut menjadi fokus, aktiviti, program dan agenda utama selain daripada asnaf yang lain. Instrumen zakat mencipta semangat tolong menolong (ta’awun).
Pendekatan di bawah ini wajar diteliti:-
1. Gunakan wang zakat untuk memberi latihan kerjaya bersifat lokaliti dan bersesuaian dengan tempat kediaman mereka. Contohnya, pada mereka yang masih sihat dan berdaya disarankan diberi latihan kemahiran singkat dan tertentu dan setelah selesai kursus mereka boleh mencari pekerjaan atau bekerja sendiri atau membuka gerai kecil seperti gerai makan/jualan yang lain.
2. Anak-anak orang yang miskin di bandar mahupun di desa sewajarnya dibiayai perbelanjaan persekolahan mereka sehinggalah ijazah pertama dalam bidang sains, perubatan dan lain-lain yang bermanfaat jangka panjang. Ini termasuklah anak-anak asnaf yang baru memeluk Islam tanpa mengira jantina asal keturunan mereka. Padaku, wajar diberi layanan istimewa kepada mereka, khususnya anak-anak orang Asli atau Murut atau Kadazan atau India dan sebagainya.
3. Pelan tindakan untuk melahirkan cerdik pandai dan ulama-ulama Islam. Dalam hal ini, individu yang dikenalpasti cerdik dan pintar sebaik lulus peperiksaan dengan cemerlang di peringkat SPM, STP, STAM, dan Diploma atau Ijazah pertama dengan kelas satu atau dua, boleh ditawarkan mengikuti kursus-kursus tertentu atau melanjutkan pelajaran tinggi, matlamat akhirnya dapat memajukan diri mereka sendiri di samping memberi sumbangan kepada negeri dan negara.
4. Pelan tindakan untuk melahirkan mereka yang pakar atau pengkhususan dalam bidang ilmu yang diperlukan oleh umat Islam keseluruhannya. (grooming future technocract)
5. Menyokong dan membina yayasan, gerakan dakwah dan kepimpinan sedia ada. Meramaikan pendakwah-pendakwah pelbagai bangsa dan keturunan yang dilatih dari semua aspek komunikasi, pelbagai bahasa, seperti English, Arab, Mandarin, Tamil, Iban dan sebaginya, mahir Al-Quran dan kupasannya, Al Hadith, berpidato, berceramah, berkuliah, aspek personaliti dan sebagainya. Seboleh-bolehnya kita tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada pendakwah-pendakwah bebas, tetapi pendakwah sepenuh masa dan dibayar gaji dan elaun tetap hendaklah dibina dan dididik untuk menyumbangkan bakti ke arah memurnikan Islam dan ajarannya. Pendakwah-pendakwah ini boleh dihantar ke negara-negara lain, jika diperlukan terutama untuk mengajar di madarasah-madrasah atau di sekolah-sekolah di seluruh dunia.
6. Pendakwah-pendakwah bebas yang ada, hendaklah dibenarkan dan diberi kelulusan (tauliah) untuk mengajar, memberi kuliah di masjid atau di surau atau di mana-mana sahaja yang sesuai dan dibantu sara hidup mereka dengan sumbangan zakat, agar ilmu Islam dapat diterokai dan disemai kepada semua generasi umat Islam. Aku rasa ini sebenarnya adil dan kita mempunyai sifat ikhsan kerana kesemua mereka bersedia untuk meinfaqkan diri mereka kepada kerja-kerja Islam, menyeru kepada jalan kebenaran dengan ikhlas tanpa mengenal erti penat dan nilai material. Sepatutnya kita tidak perlu bersikap prajudis terhadap mereka.
Pendakwah-pendakwah ini boleh diberi latihan semua dari aspek komunikasi, kepimpinan dan sebagainya secara percuma.
7. Disumbangkan zakat untuk perjuangan menegakkan Islam di seluruh dunia. Saluran kepada perjuangan jihad Palestin atau pergerakan Islam Moro hendaklah dilaksanakan oleh negeri atau Negara.
Pada masa yang sama, disalurkan zakat kepada persatuan-persatuan Islam bersifat NGOs yang semata-mata bergerak untuk mentarbiyah umat Islam, memahami Islam yang sebenar seperti ABIM dan badan-badan amal yang lain. Kajian menyeluruh hendaklah dibuat, agar sumbangan benar-benar bermanfaat.
4. Rumusan
Pengurusan Zakat jangan hanya bersifat memberi wang zakat kepada asnaf yang ditetapkan tanpa meneliti kesan dan tanpa kajian selanjutnya. Zakat bukan hanya bertujuan membasmi kemiskinan bahkan untuk memberi keadilan sosial.
Aku sekadar mengharapkan semua pegawai di PPZ sewajarnya memahami bahawa di peringkat pengurusan, mereka semua mesti berani merubah ‘mind set’ untuk mengurus ekonomi Islam dengan sempurna. Ini bermakna, mereka bukan hanya mengurus zakat semata-mata, yang bersifat ‘routine works’ atau atas arahan atau tugas yang bersifat tradisional dan kuno.
Aku mengharapkan semua mereka yang bekerja sanggup dan bersedia untuk dipotong gaji untuk sumbangan zakat masing-masing. Kepada ahli usahawan, peniaga muslim dan badan-badan korporat kerajaan dan pihak swasta wajib menyalurkan zakat harta dan pendapatan mereka kepada PPZ atau Majlis agama Islam di negeri masing-masing untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan umat. PPZ wajar berkempen dan menjalankan aktiviti lebih drastik dan hebat terutama di daerahku dan di negeriku Kuala Selangor, Selangor. Umat Islam mesti disedarkan akan tanggungjawab mereka membangunkan ekonomi dan sosial Islam.
PPZ mesti berinisiatif menyelesaikan masalah kehidupan umat Islam khususnya dari aspek mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan, kesusahan, keperitan hidup dan melahirkan pakar-pakar serta ilmuan Islam dari pelbagai lapangan. Pada masa yang sama keadilan zakat ini mengelakkan orang Islam terjerumus kepada aktiviti pinjaman peribadi “along” atau riba yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Zakat pembersih harta, tetapi riba pemusnah keadilan dan kesejahteraan kemasyarakatan.
Diharapkan kita juga dapat melaksanakan pengurusan zakat lebih sempurna, efisien, efektif dan profesional serta berganding bahu dengan semua pengurusan zakat negeri-negeri; mewujudkan satu sistem penyeragaman agar menjadi ikutan di negara-negara lain di sekitar ASEAN terutama negara Indonesia yang ramai umat Islam yang masih fakir, miskin dan daif.

No comments: