Thursday, April 30, 2009

What workers day meant for you?

Hari Pekerja atau Hari Buruh suatu ketika dahulu disambut dan dirai saban tahun apabila tibanya tarikh 1 Mei. Hari pekerja dijadikan hari cuti umum sejak tahun 1972. Ini selaras dengan saranan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Hari pekerja pada hakikatnya ingin memperingati kejayaan pergerakan kaum pekerja terutama dari aspek ekonomi dan sosial.

Pergerakan pekerja memberi makna perjuangan untuk menegakkan dan memperolehi hak dan keadilan tertentu mengikut suasana, perubahan, iklim, persekitaran dan tuntutan semasa.

Bagaimanakah sewajarnya kerajaan dan kita semua menghargai sumbangan para pekerja?

Aspek signifikan yang wajar diperhati, diteliti dan dilaksanakan:-

1. Kerajaan sewajarnya memberi peluang seluas-luasnya kepada setiap Kesatuan Sekerja untuk memenuhi, menrealisasikan tuntutan perjuangan dan cita-cita murni mereka, khususnya aspek kebajikan. Isu-isu kritikal seperti penyemakan semula tangga gaji atau melaksanakan tuntutan gaji minimum hendaklah diselesaikan dengan segera bagi memberi inspirasi dan sesuai dengan taraf hidup yang semakin meningkat dan mencabar.

2. Pembangunan Dana Insan. Kerajaan melalui jabatan dan sektor swasta yang menyalur dana di dalam Tabungan Pembinaan Insan hendaklah turut aktif menghantar dan menyenaraikan semua pekerjanya bagi diberi pendedahan latihan dan proses pembelajaran semula di institusi-institusi tertentu atau di pelbagai pusat latihan untuk memperolehi input baru atau terbaru bagi maksud berikut:-

2.1 Untuk mengetahui falsafah pengurusan organisasi, masa dan penglibatan di dalam kesatuan sekerja, meningkatkan kualiti dan produktiviti, keefisienan dan kecekapan, kemahiran atau pengetahuan, peningkatan dan pembangunan kerjaya, cabaran dunia pekerjaan sebenar, berdisiplin, beretika, motivasi, sikap, semangat dan pengurusan 'stress', kualiti kepimpinan, undang-undang perburuhan, mempelajari bahasa-bahasa asing, pengurusan kesihatan dan gaya hidup sihat dan tanggungjawab kepada negara.

3. Kerajaan atau agensi berkenaan wajar menjalankan kajian yang menyeluruh bidang-bidang pekerjaan terutama di sektor swasta yang memerlukan penglibatan pekerja tempatan yang didapati masih kurang anak tempatan menceburkan diri atau bekerja bagi memperolehi kepakaran tertentu. Keutamaan dan dasar yang lebih adil hendaklah diteliti bagi memastikan warganegara memperolehi pekerjaan yang sebaiknya, terutama di 'multi national companies'. Data atau statistik para lulusan profesional kita dari dalam dan luar negara (bank data) dan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat besar hendaklah diselaraskan atau diperolehi untuk manfaat mereka. Kita berusaha dan wajar menumpukan atau fokus utama ialah untuk mengelakkan pengangguran ketara di kalangan graduan kita.

4. Bagi memperbaiki keadaan pekerjaan pekerja, suatu 'survey' atau kajian berterusan mengenai kepuasan hati pekerja di sektor awam atau swasta, bahkan mereka yang bekerja sendiri, terutama untuk mengenalpasti perkara-perkara yang dinyatakan di bawah ini hendaklah dilakukan segera oleh setiap jabatan/'human resources department':-

4.1 Taraf hidup, urusan keperluan harian, urusan dan pengembangan kerjaya, latihan di dalam perkhidmatan atau pekerjaan, persekitaran pekerjaan, pengurusan majikan, masalah pengangguran dan sektor-sektornya, mobilisasi industri, pengilangan dan pembangunan.

5. Data atau maklumat berpusat mengenai peluang pekerjaan hendaklah lengkap, 'up date' dan semua 'job-seekers' boleh mengakses dengan mudah sama ada datang sendiri ke tempat berkenaan atau secara 'internet on line'. Kerajaan pusat dan negeri wajar membuka dan mencari peluang pekerjaan kepada semua rakyatnya dalam pelbagai sektor sama ada untuk mereka yang berkelulusan rendah atau langsung tiada sijil persekolahan dan mempunyai kelulusan profesional. Latihan kepada lepasan sekolah atau belia menganggur hendaklah disusun secara derastik agar semua orang mempunyai pekerjaan untuk menyambung hidup bagi mengelakkan mereka tercebur ke arah gejala sosial yang merosakan diri mereka sendiri. Peranan kerajaan ialah membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada semua.

6. Pekerja wanita hendaklah dibela dari pelbagai sudut terutama menjaga kesihatan dan penjagaan anak-anak. Cuti bersalin hendaklah ditambah. Kajian yang menyeluruh seperti di negara-negara maju, seperti di UK, cuti bersalin boleh diberi sehingga tempoh 6 bulan bergaji penuh, mungkin boleh diaplikasikan. Isu wanita keluar kerja dan penjagaan anak-anak kecil yang sedang membesar memerlukan perhatian serius. Taman asuhan/'nursery' wajib disediakan secara percuma untuk beberapa jam tertentu atau dibantu kewangan sepenuhnya oleh syarikat atau jabatan. Dalam hal ini, garis panduan atau dasar hendaklah dijadikan undang-undang dan jika mana-mana jabatan/swasta yang ingkar, tindakan denda dan undang-undang boleh dikenakan. Isu 'sexual harrassement' hendaklah ditangani dengan sebaik mungkin dan undang-undang mengenainya hendaklah dilaksanakan dengan segera.

7. Isu-isu faedah seperti persaraan, 'retrenchment, layoff', atau pemberhentian pekerjaan ekoran kegawatan ekonomi hendaklah selaras dengan peruntukan undang-undang. Kita tidak mahu melihat banyak kes tertangguh dan dibawa ke mahkamah ekoran 'dispute' mengenai syarat-syarat pelantikan dan berapa pampasan (benefits) yang wajar diperolehi, apabila terjadinya proses pemberhentian pekerjaan tersebut.

8. Penganugerahan, pengikhtirafan atau hadiah kecemerlangan. Pada setiap tahun, kerajaan bahkan di sektor swasta mengadakan perhimpunan, pertandingan, hari kualiti, pemilihan pekerja, kesatuan sekerja contoh atau hari memperingati pekerja dan penyampaian 'rewards' turut dilangsungkan. Galakan berterusan hendaklah dilaksanakan kerana dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pekerja yang berhemah tinggi, berpendidikan, berkemahiran dan bersedia menyumbang kepada penerusan mencapai target aktiviti organisasi. Pemuafakatan antara pekerja dan majikan wajar dijalinkan. 'Win and win situation' hendaklah diwujudkan.

9. Forum, seminar, perjumpaan terbuka dan hubungan rapat untuk membincangkan masalah kaum pekerja terutama pekerja swasta hendaklah kerap diadakan. Kerajaan sewajarnya bersifat terbuka dengan setiap desakan dan tuntutan kaum pekerja di negara ini. Isu kesatuan sekerja dalaman (in house) hendaklah diberi pertimbangan sewajarnya. Isu-isu tertangguh terutama mengenai persoalan gaji hendaklah diurus secara bijaksana. Kita tidak mahu melihat suasana piket, rapat-rapat umum, konfrontasi atau demonstrasi jalanan diusahakan yang sebenarnya, tidak memberi makna untuk melakukan perubahan, mungkin membuat kacau dan boleh menjejaskan nama baik negara untuk menarik Foreign Direct Investment (FDI). Kesatuan sekerja yang kuat seperti Malaysian Trade Union Congress (MTUC) boleh sewajarnya menerokai bidang baru dan mengusulkan kepada kerajaan untuk kebaikan pekerja.

Rumusan dan penyelesaian

1. Permasalahan pengangguran hendaklah diselesaikan dengan 'whatever means and capabilities we have'. Peranan kerajaan sebenar ialah di dalam keadaan atau ketika suasana gawat dan mencabar. Peluang pekerjaan wajar diusahakan atau melatih semula pekerja di dalam pelbagai kemahiran (multiple skills) dengan diberi elaun tertentu untuk melanjutkan pelajaran atau memperolehi kemahiran, latihan yang berlainan atau penerusan pengajian lanjutan atau pembelajaran sepanjang hayat ('continuous lifelong education') di dalam atau di luar negara. Mereka boleh menceburkan diri atau mencari pekerjaan di luar negara. Kita mengharapkan rakyat kita mampu berdikari, 'learning personality', ada 'value added' dan 'mobilised outside or globally'.

2. Kesatuan sekerja hendaklah berperanan besar dalam memperjuangkan citarasa dan inspirasi kaum pekerja dan kerajaan wajar serta bersedia duduk berdialog dengan pengurusan kesatuan untuk mencapai hasrat berkenaan. Isu tertangguh dan desakan daripada MTUC sebagai contoh, terutamanya di dalam mengatasi pembajiran pekerja asing di dalam semua sektor pekerjaan, 'minimum wage', aspek latihan semula dan penggunaan Dana Tabung (HRDF).

3. Pekerja bukan golongan eksekutif (pekerja bawahan/peringkat rendah) semestinya bersatu di dalam organisasi kesatuan yang sedia ada, bagi memperolehi keadilan dan kebajikan sebenar. Kepimpinan kesatuan yang besar seperti MTUC atau di sektor awam, Cuepacs hendaklah berganding bahu bersama-sama memperjuangkan aspek ekonomi dan sosial pekerja.

4. Isu pekerja asing dan pendatang tanpa izin (PATI) yang merampas dunia pekerjaan yang dianggap kritikal, bahkan yang bukan kritikal hendaklah dikaji semula dan kajian menyeluruh hendaklah dilakukan. Dalam hal ini anak-anak lepasan sekolah, belia yang menganggur atau yang dibuang kerja, yang berpendidikan rendah hendaklah dilatih semula untuk kembali mengambil tempat pekerjaan yang diambil oleh pekerja-pekerja asing, terutama di sektor pembinaan, di peringkat awal, yang dianggap pekerjaan berisiko tinggi kerana terdedah kepada bahaya maut. Ini perlu memulakan langkah dan tindakan segera. Banyak institusi latihan dan sekolah teknik, bahkan politeknik mampu melahirkan pekerja-pekerja kemahiran tinggi atau separa mahir.

Aku menyeru semua anak di negeriku dan di daerahku yang masih tiada tujuan hidup, pekerjaan, atau masih berlegar di kampung-kampung atau di ladang-ladang berdaftar segera dengan institusi latihan sama ada anjuran kerajaan pusat atau negeri atau menemui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) atau ahli parlimen untuk kemudahan atau memperolehi maklumat tersebut. Janganlah membazirkan usia tanpa haluan dan matlamat sebenar.

Selamat Hari Pekerja dan berehat. Apakah makna hari pekerja kepada diri anda? Anda sendiri boleh memberikan jawapannya. Mudah-mudahan tema hari pekerja tahun ini, "KERANA MU MALAYSIA MAJU" dapat direalisasikan sungguh-sungguh. Kita memohon ke hadrat Ilahi agar Malaysia bebas daripada kemelut ekonomi dan pekerja selamat serta terbela.

No comments: