Saturday, April 04, 2009

Sepanjang perjalanan di A1079

Hari ini, aku bangun agak awal, kira-kira jam 5.00 pagi. Waktu subuhpun sudah masuk cepat, apabila masa sekarang sudahpun masuk ‘summer session’. Hari semalam, ada perbincangan isteriku, Dr. Thohiroh dan “Uncle Z” hendak pergi ke York, meninjau ‘car boot’ di sana yang terletak di York Race Course, jalan menghala ke Leeds.

Akupun sudah lama tidak ke sana, rasanya sudah hampir 1 ½ tahun, sejak menamatkan pengajian di University of Hull dan balik ke Malaysia setahun untuk menyempurnakan perjanjian bekerja kembali dengan jabatan.

Aku, isteri,” Uncle Z”, isterinya, anaknya yang kecil, Afnan Nurjanah, Aida dan Wawa, nama timangannya, bertolak dari rumah, kira-kira jam 6.48 pagi setelah sempat bersarapan sedikit, mengalas perut dan menyediakan sedikit sandwich dan air Teh O panas. Aku dan ”Uncle Z” tinggal berhadapan, mengadap rumah masing-masing di Sidmouth Street, maka tidaklah menjadi masalah berhubung dan boleh ketuk pintu rumah masing-masing dengan mudah.

Dari rumah, kami singgah di rumah Dr. Thohiroh di Castle Hill Hospital, selepas melalui pekan Cottingham. Di sini, amat dikenali sebagai Cottingham Village. Pelawat boleh melihat keindahan senibina England yang dianggap unik. Beliau tinggal menyewa dengan seorang rakan kerjanya, berbangsa Mymmar. Jam tepat pukul 7.00 pagi, kami meneruskan perjalanan menghala jalan A164 dan A1079 ke York.

Perjalanan mengambil masa sejam dan jalan di sini dua hala dengan had kelajuan dibenarkan 60mph. Sepanjang jalan terdapat ‘speed cameras’.

Sungguh menarik perjalanan kurasakan. Cuaca di awal pagi agak sejuk, mendung dan berkabut. Kami melalui beberapa pekan kecil seperti Hayton Village. Jalan A1079 itu akan bertemu dengan persimpangan jalan-jalan menghala ke Goole, Houlton, Bishop Burton College, Packlington, dan Dunnington.

Di Bishop Burton College sendiri di kelilingi oleh ladang seluas 750 ekar. Kolej ini popular dengan kursus pertaniannya dan menganjurkan pertandingan equestrian termasuk persediaan the London 2012 Olympic Games.

Rumah persinggahan B & B, motel sederhana seperti The Steer In terdapat di beberapa tempat di sepanjang jalan tersebut.

Padaku, yang amat menarik perhatianku ialah tiada tanah lapang yang terbiar atau kosong atau belukar. Semua kulihat padang menghijau atau yang sedang dibajak dan didapati traktor dan mesin pembajak sedang bekerja di ladang. Aku lihat satu ladang tenusu dengan lembu-lembu tenusu sedang meragut rumput hijau di suatu padang yang luas di pinggir jalan. Sayup mata memandang.

Car boot sale di York yang kami tuju ialah di laluan Leeds A64. Kami melalui York College, yang kecil tetapi cantik di kelilingi ladang, melalui Church lane dan St. Andrew Church.

Kami sampai di Car Boot jam 7.50 pagi dan menghabiskan masa ‘shopping’ sehingga jam 10.35 pagi barulah kami bergerak pulang. Di York, barang-barang antik, tembaga, gambar-gambar lama, perhiasan, baju sejuk atau tebal terpakai banyak dijual, masih cantik, walaupun harga didapati agak mahal sedikit daripada yang ada di Hull. Semua barang dikatakan terpakai. Terdapat papan tanda yang melarang penjual menjual barangan baru; "strictly no new items to be sold". York tempat tinggal orang berada sedikit dan klas pertengahan.

Aku belilah sebuah jam perhiasan, barang-barang perhiasan, mesin membuat roti, masih baru, jenama branded di UK iaitu Morphy Richards, hanya 3.50 pound dan permainan kanak-kanak. Temanku, “Uncle Z” turut membeli mesin jahit lama, meja dan perhiasan.

Pukul 11.35 pagi, kami singgah di rumah Dr. Thohiroh untuk meletakkan barang perhiasannya dan menyalin baju dan mengambil baju untuk program Melayu Hull, bacaan Yasin, doa selamat, jam 5.00 petang di rumah teman kami, Ahmad di Raglan Street dan tidur di rumahku, malam ini, sebelum melawat car boot lain, esoknya, Ahad, di Hull ini; North Cave dan Dunswell. Kami sampai di rumah jam 11.55 pagi dan rasa keletihan, kerana cuaca panas.

Terima kasih kepada "Uncle Z" yang sudi menumpangkan kami ke Car Boot York.

Pengajaran yang dapat diambil

1. Ladang di UK amat luas dengan tanaman pelbagai serta ternakan secara besar-besaran seperti lembu tenusu. Aku difahamkan oleh “Uncle Z” pada musim panas tahun lepas, beliau masuk jauh ke dalam, 3 batu daripada jalan A1079 ke ladang jagung, kononnya hendak membeli jagung di ladang yang fresh, namun masuk ke ladang sahaja, perlu membayar beberapa pound, kerana lawatan ke ladang sudah dianggap sebagai satu aspek pelancongan berbayar. Maka, beliau balik begitu sahaja, kerana bayarannya dianggap mahal.

2. Setiap inci tanah diusahakan untuk manfaat pembangunan sesuatu kawasan secara optimum dan terancang sama ada untuk pembangunan tanah pertanian mahupun perumahan dan pembangunan fizikal perindustrian yang berkaitan. Ini bermakna, tiada tanah yang dibiarkan tanpa mengambil manfaatnya.

3. Penggunaan mesin dan peralatan berteknologi tinggi digunakan untuk memperolehi pengeluaran secara 'mass production, higher investment in rural infrastructure and in agricultural development'. Harga mesin juga adalah berpatutan dan munasabah.

Di Malaysia, kita masih melihat tanah terbiar, belukar yang tidak diusahakan dan dianggap tidak ekonomik kerana tanahnya dimiliki oleh penama-penama yang ramai, ekoran tanah pusaka dan terbiar kerana tiada ahli keluarga yang ingin mengusahakannya.

Hutan gondol, akibat diceroboh tanpa pengawalan dan penguatkuasaan yang ketat dan bertanggungjawab sehingga memusnahkan keadaan alam sekitar dan ekologi di samping menjejaskan sumber asli negara.

Peralatan, mesin, teknologi masih mahal dan kekurangan kepakaran dalam penggunaan serta pemulihan, pembaikan dan penyelenggaraan teknologi.

Kuseru pegawai pertanian yang bertanggungjawab, fikirkan bagaimana untuk menjadikan pertanian bersifat komersial, berdaya saing, menjadi penyumbang nafkah utama kepada para keluarga petani dan mereka dapat hidup berdikari serta meningkatkan taraf hidup.

No comments: