Monday, April 20, 2009

Respons Terhadap Perletakan Jawatan Fairus

Aku sekadar ingin memberi sedikit komen mengenai perletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti. Perletakan jawatan beliau memberi implikasi berikut:-

1. Responsku terhadap diri beliau sendiri, beliau mensia-siakan amanah yang diberikan oleh pengundi kerana tidak bersedia untuk komited dalam memperjuangkan nasib rakyat yang diwakili. Walaupun perletakan jawatan langkah yang baik untuk memilih wakil rakyat baru, yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, namun rakyat melihat sikap wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab, sukar untuk diberikan kepercayaan semula.

2. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam arena politik adalah masih baru dan mentah. Usia PKR baru mencapai 10 tahun. PKR ditubuhkan atas dorongan hebat untuk membela nasib Anwar Ibrahim dengan nama prinsip keadilan dan penganiyaan. Parti yang masih muda tentunya masih ada ruang yang besar untuk diuji organisasi dan kepimpinannya, apatah lagi buat kali pertama bertanding di dalam pilihanraya, terus menang tanpa disangka-sangka atau diduga. Dalam hal ini, parti yang baru sememangnya terdapat banyak kelemahan kepimpinan, apatah lagi jika terdapat suasana 'politicking' yang kuat atau ingin jatuh menjatuh, tikam menikam atau menaikkan mana-mana pemimpin. Kemenangan di luar jangkaan, kadang-kadang tanpa persediaan mental, fizikal, tenaga dan sokongan kepimpinan parti yang mantap, menyebabkan seseorang itu menjadi mangsa keadaan dan tekanan.

3. Ramai calon pada Pihanraya Umum ke 12, bertanding atas prinsip menolong Anwar atau 'in favour' untuk beliau, setelah dibujuk, dirayu atas prinsip kenalan rapat dan boleh dipercayai. Calon yang diketengahkan secara 'tangkap muat' ini, pada pandanganku, secara amnya, prinsip perjuangannya masih rendah dan longgar. Ini bermakna, tanpa prinsip perjuangan yang jelas, tentunya memberi kesan negatif terhadap daya juang, natijahnya, bekerja dan komitmen yang dicurahkan juga kurang mantap. Dalam hal ini, personaliti yang menampakkan bukan seorang tokoh politik atau pemimpin yang matang dalam berpolitik menambahkan lagi suasana ketegangan dalam membuat sesuatu keputusan di dalam parti dan kerajaan. Punca utama ialah kebanyakan pimpinan PKR terdiri dari pelbagai lapangan; bekas ahli UMNO, parti pembangkang yang lain atau tanpa parti seperti NGOs dan tentunya masih terikut-ikut rentak, gaya atau budaya berpolitik seperti UMNO atau badan yang pernah mereka anggotai. Mereka yang teramat baru dalam politik pula, setelah memegang jawatan tinggi di dalam parti dan kerajaan, di sinilah baru hendak memulakan tugas atau kerjaya dan menimba pengalaman baru dalam dunia politik.

4. Konflik peribadi seseorang ADUN sendiri yang berbelah bahagi di antara hendak memberi sumbangan kepada masyarakat atau memberi pelbagai alasan untuk menumpukan masa kepada keluarga dan masalah peribadi. Permasalahan dan konflik dalaman diri sendiri dan sikap 'lepas tangan' setelah menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin adalah berat, membuktikan setiap ahli politik mesti mempunyai kekuatan dan pengalaman luas dalam politik sebelum bersedia berkhidmat kepada rakyat.

5. Cabaran politik ketika ini adalah persaingan dan berstrategik. Kita menyedari bahawa sekarang ini, rakyat bersedia untuk mempunyai sistem dua parti dalam menyaingi atau alternatif kepada Barisan Nasional (BN). Cabaran sebenarnya adalah sama berat, terbeban di dalam dan di luar parti masing-masing. Ini bermakna, rakyat mengharapkan kepimpinan yang amanah, jujur, integriti dan bertanggungjawab. Kepercayaan rakyat semestinya diterjemahkan kepada penyediaan personaliti pemimpin yang berjiwa besar, cekal dengan ujian, matang, cekap bekerja, tidak jumud, kaku atau malas bekerja atau sentiasa terlelap ketika bermesyuarat penting, sombong, kasar dan tidak cekap mengurus. Ketika ini momentum rakyat terlampau tinggi terutama kebanyakan anak muda sehingga tunggulpun diletakkan sebagai calon boleh menang, seperti mana dekad-dekad yang lampau, calon BN atau Perikatan sesiapa sahaja, bertanding, ibarat tunggulpun nescaya boleh menang. Zaman sudahpun berubah, maka pendekatan berpolitik dan memilih calon pastinya perlu berubah. Zaman retorik sudah berakhir. Berpolitik mesti berpijak di bumi yang nyata.

Langkah mengelakkan perkara yang sama berulang

1. Semua calon yang bertanding dipilih daripada kalangan ahli parti yang benar-benar berpengalaman, berkebolehan, teruji kepimpinannya di semua peringkat organisasi parti.

2. Calon-calon yang berpotensi boleh diasuh bakat kepimpinannya, digilap, ditentukan, disaring, disenarai pendek terlebih awal dan kajian terperinci mengenai biodata, latar belakang dan 'kajian terperinci ' terhadap diri mereka. Kelemahan paling besar dirasakan ialah mengambil calon 'tangkap muat' tanpa mengenalpasti individu dan kepercayaan atas parti akan memusnahkan daya juang parti dan impian rakyat. Kita tidak memerlukan wakil rakyat yang boleh dibeli dan melompat atas kehendak dan tuntutan peribadi.

3. Mempunyai bakat kepimpinan, kelulusan akademik yang munasabah, sesuai dan meyakinkan untuk bersedia dan berpotensi di tengah-tengah inspirasi dan tuntutan rakyat yang semakin mencabar. Wakil rakyat yang mudah ditekan dan tertekan di dalam menjalankan tugas sewajarnya, sudah tidak ada lagi berlaku.

4. Disarankan mereka yang hendak berpolitik semestinya mesti sabar bermain politik dan benar-benar tahu 'bersilat' di dalam dunia politik. Walaupun kita tahu, tidak semua orang boleh menjadi ahli politik yang bagus, namun sesiapa yang hendak terjun di dalam politik, patut menyedari diri mereka sudah menjadi milik masyarakat dan lapangan politik amatlah mencabar berhadapan dengan kawan dan lawan.

Rumusan

Seseorang yang hendak menjadi wakil rakyat, sudah semestinya diri sendiri menyedari untuk berdaya saing dan sanggup membahagikan masa di antara urusan peribadi, keluarga dan orang ramai atau rakyat.

Alasan-alasan yang diberi kerana untuk mengelakkan diri daripada menanggung dan melaksanakan amanah rakyat setelah diberi mandat dan kemenangan adalah melambangkan masalah kepincangan kepimpinan sendiri dan memberi implikasi negatif terhadap keutuhan dan perjuangan aktiviti parti di mata pengundi dan rakyat.

Sikap yang ditunjukkan sebegini rupa hanya akan membuang masa, tenaga dan wang rakyat, apatah lagi diperlukan melantik semula wakil rakyat yang baru menerusi suatu pilihanraya kecil.

Sesiapa sahaja yang berminat dalam politik, bercadang dan memutuskan diri untuk terjun di dalam dunia politik pada suatu hari nanti, mesti menerima hakikat bahawa politik dan kerjaya bukan semudah yang disangkakan terutama memberi komitmen tinggi kepada rakyat. Istilah YB bukan bermakna Yang Berhormat tetapi Yang Berkhidmat dengan jujur, beramanah, tanpa mementingkan diri sendiri, mesti bersedia mengorbankan banyak masa untuk rakyat berbanding keselesaan diri sendiri dan keluarga. Banyak masa akan dihabiskan di luar rumah dan kawasan. Aku ingin menasihati diriku dan sesiapa sahaja yang berkenaan, yang rasa hendak 'berkepit dengan bini', bagi yang lelaki, jauhkan politik atau jangan libatkan diri dengan politik dan jadilah orang biasa yang hanya menentukan kepada siapa kuasa wajar diserahkan.

Jangan menyusahkan orang lain sehingga rakyat mempunyai persepsi negatif terhadap politikus yang penting. Jangan bermain-main dengan politik, kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai.




No comments: