Friday, April 03, 2009

Bagaimana menjadi Khatib Jumaat yang berkesan

Hari ini aku sempat solat Jumaat di Dewan Solat di University of Hull, yang disediakan untuk pelajar-pelajar Islam di universiti ini. Aku tertarik dengan isi kandungannya yang hanya menyentuh tingkahlaku atau akhlak Rasullullah s.a.w. dan cara penyampaiannya yang bersahaja. Khatib ialah seorang ‘brother’ Arab, bertugas sebagai seorang doktor perubatan di Hospital di Hull. Beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris.

Aku cuba mengulas, siapakah yang layak berkhutbah dan bukan membaca khutbah. Ada beberapa faktor yang dianggap penting untuk menjadikan khutbah itu menarik. Aku berpendapat khutbah yang berkesan adalah bergantung kepada faktor-faktor berikut:-

i) Penyampai atau Khatib yang mahir dari aspek kepetahan berpidato.

Umur khatib dicadangkan di bawah 50an, berpendidikan yang bersesuaian, berupaya untuk mengikuti latihan dan disediakan kursus-kursus bersifat berterusan sama ada pendek atau panjang. Jika khatib orang muda, maka satu kelebihan untuk meniupkan semangat dan roh.

Terlatih dari aspek ‘public speaking’-mampu untuk menarik pendengar, apatah lagi mahir menggunakan bahasa yang mudah, pendek, dan mempunyai suara, intonasi yang menarik.

Persediaan yang teliti, matang, penumpuan penuh dan bersedia dengan teknik ucapan yang wajar dikuasai. Sentiasa berucap dengan lantang dan jelas. Khutbah diucapkan secara lisan, namun alat sokongan multi media, slide, skrin boleh digunakan untuk sokongan terutama masjid besar di bandar-bandar dan jemaah yang ramai, yang tidak dapat memandang khatib.

Khatib mesti mahir mengatur waktu yang sesuai, mungkin 20-25 minit, ucapannya fasih, lancar, tersusun rapi, mudah difahami, secara spontan dan mahir menguasai ayat-ayat Al-Quran, tanpa sangat merujuk teks atau bahan kerana bahan bukan untuk dibaca tetapi sebagai panduan sahaja.

Memberi perhatian kepada khutbah, dengan muka yang jernih, senyum dan sekali sekala serius, mengikut isi kandungan khutbah dan tidak melakukan aktiviti yang boleh mengganggu perjalanan dan kelancaran penyampaian khutbah seperti membetulkan jam tangan, serban dan sebagainya. Khatib wajar mengamati psikologi pendengar dan memandang terus kepada mereka.

ii) Isi kandungan, kerangka ucapan dan pengajaran

Fokus utama untuk memperolehi penghayatan daripada pendengar atau masyarakat.

Tajuk atau judul dan isi kandungan khutbah yang pendek, padat ditambah dengan mesej, tertentu.

Tujuan khutbah mesti diteliti sama ada untuk penerangan, penjelasan, maklumat dan ilmu pengetahuan agar mesej khutbah yang akan disampai, membolehkan pendengar mampu untuk berfikir dan memperbaiki amalan mereka. Khutbah yang berkesan boleh didengar kesahihan mesejnya, pemilihan tajuk, pembentukan ulasan-ulasan yang tersusun dan asas untuk nasihat agama.

Khutbah mesti ada fakta atau kesahihan bukti, perbahasan dan perbincangan yang jelas dan dikaitkan dengan isu semasa.

iii) Persekitaran dan alat sokongan

Mikrofon yang jelas, boleh didengar dan suasana masjid yang tidak selesa disebabkan keadaan panas, kotor, dan sesak hendaklah diatasi.

iv) Lain-lain

Khutbah yang berkesan mampu memberi motivasi dan membuka minda, maka faktor pengalaman dan keberanian berhujah, adalah teramat penting. Khutbah adalah salah satu media dakwah yang berkesan, jika para khatib yang bertindak sebagai pendakwah menggunakan seoptimum mungkin kebolehannya menarik pendengar.

Rumusannya, khatib janganlah menganggap peranannya hanya sekadar menyampai sahaja tanpa diambil implikasi positif dan kesannya, maka sia-sialah matlamat khutbah disampaikan, walaupun rukun khutbah dapat disempurnakan. Suasana hambar, menjadikan orang mengantuk dan tertidur hendaklah dihindarkan. Seorang khatib harus membekali diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan aspek komunikasi.

Pihak JAKIM dan JAIS dan pihak berwajib di negeri-negeri lain wajar melatih dan melantik khatib muda yang mahir dalam pelbagai bidang, agar masyarakat boleh diubah 'mindset' dan amalan mereka. Khutbah adalah medan dakwah yang terpenting. Program mingguan inilah sewajarnya diambil kesempatan menjelaskan hakikat ajaran Islam sebenar kerana pada waktu ini berupaya mengumpulkan semua lapisan masyarakat dan ketua rumah tangga, melainkan ada orang lelaki yang 'uzur' atau sengaja meninggalkan kewajipan solat.

No comments: