oleh Syed Isa Mohd Semait
di Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman Program Sarjana
Muda Ilmu Wahyu & Thurath Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia
Pergas Sabtu,
11 Jun 2005, Suntec City, Singapura
KEGHAIRAHAN ILMIAH
1. Satu sumbangan besar Islam pada tamadun manusia ialah ia membangkitkan keghairahan ilmiah yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah tamadun manusia. Ini jelas sekali dari wahyu pertama langit dengan perintah mulia “Iqra”. Keghairahan ini pula telah mencetuskan suatu revolusi minda yang penting, dan kematangan intelektual pada bangsa Arab jahiliah. Seorang pemikir Barat terkenal, Franz Rosenthal telah mengakui hakikat penting ini dalam kajiannya mengenai kecemerlangan ilmu dalam tamadun Islam. Seorang lagi sarjana Barat Florian Cajori telah merumuskan revolusi intelektual ini dengan berkata:
“Bangsa Arab memperlihatkan suatu tindakan yang luar biasa dalam sejarah peradaban manusia, yang sebelumnya tidak dikenali, jahil, dan kaum-kaum yang berpecah-belah di Semenanjung Arab, tidak terlatih dalam pentadbiran dan peperangan, dalam masa sepuluh tahun setelah dibakar oleh cetusan keghairahan keagamaan mereka menjadi suatu bangsa yang kuat. Seratus tahun selepas kemaraan dan penaklukannya yang hebat, kita melihat mereka mengambil alih pimpinan dalam bidang intelektual; orang-orang Muslim menjadi sarjana-sarjana agung dalam zaman mereka.”
2. Keghairahan ini juga lah yang telah membawa mereka menjelajahi alam, mencari mutiara-mutiara hikmah dari mana jua datangnya, berinteraksi secara aktif dengan tamadun-tamadun manusia lain, dan bahkan secara kreatif melahirkan hikmah dan bidang-bidang ilmu baru hasil sintesis yang kreatif antara hikmah-hikmah yang ada pada tamadun lain dengan yang dibawa oleh Islam. Inilah semangat atau etos yang mendasari pembangunan tamadun Islam suatu masa dahulu. Walaupun keghairahan ini telah pudar seketika dalam sejarah tamadun Islam, namun ia boleh dibangkitkan semula kerana keghairahan dan etos ini adalah sesuatu yang inheren atau sebati dalam Islam itu sendiri. Jika umat Islam kembali kepada semangat dan etos ini, ia mampu mencipta lagi sejarah kegemilangan ilmu ini dan dengannya memimpin tamadun manusia.
3. Kerana itu, hari ini adalah satu hari penting di mana kita menyaksikan kerjasama antara dua institusi penting di rantau ini yang berkongsi visi ilmiah ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Ulama’ dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS). Kita yakin bahawa ini menggambarkan etos dan semangat ilmiah yang disebut tadi. Suatu usaha yang berani untuk membangkitkan semula keghairahan ilmiah ini melalui program Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Thurath Islam. Program ini diharapkan bukan hanya melahirkan golongan agamawan dan sarjana Islam, tetapi juga kesedaran ilmiah pada masyarakat Islam mahupun bukan Islam akan semangat dan prinsip-prinsip Islam yang berbentuk insani yang bertujuan membawa Rahmat kepada seluruh alam dan bersama membangunkan kehidupan yang lebih sejahtera.
VISI ILMIAH
4. Kita ingin terus melihat lahirnya sarjana-sarjana Islam dan agamawan Islam yang vibrant dan dinamik, yang mempunyai asas yang kukuh pada tradisi ilmu Islam; pada masa yang sama menguasai dengan baik ilmu-ilmu moden; yang memberi sumbangan kepada penyelesaian masalah-masalah manusia dan menjadi anggota aktif dalam pembangunan kehidupan manusia yang sejahtera. Pada hemat kami, golongan ini perlu memiliki, antaranya, empat ciri-ciri berikut.
Pertama: Penguasaan Ilmu-ilmu Tradisi Islam Dan Turath Islam
5. Adalah penting untuk kita menguasai asas-asas ilmiah ini, dan tidak mengabaikan ilmu-ilmu tradisi dan khazanah ilmiah kita, atau al-Turath al-Islami. Tiada suatu bangsa yang akan berjaya dengan mengabaikan sejarah dan khazanah ilmiah mereka. Apatah lagi dalam Islam. Ilmu-ilmu tradisi Islam ini memberi asas yang kukuh kepada kefahaman kita mengenai Islam, dan yang lebih penting memahami prinsip-prinsip umum Islam. Umat Islam tidak kekontangan khazanah ilmiah. Bahkan umat Islam kaya dengan khazanah ilmiah dan tradisi keintelektualan yang perlu menjadi batu asas kepada penciptaan tradisi keintelektualan seterusnya. Pengabaian ilmu-ilmu tradisi dan khazanah ilmiah adalah suatu pembaziran dan pengkhianatan ilmiah. Ini tidak sama sekali bermakna ia menghambat kemajuan dan pencapaian bidang-bidang baru, atau penyelesaian-penyelesaian baru kepada masalah masa kini.
Kedua: Penguasaan Ilmu-ilmu Moden
6. Keghairahan ilmiah umat Islam generasi awal yang saya katakan pada awal ucapan saya tadi telah menjadikan mereka pelajar dan pengkaji aktif ilmu-ilmu semasa. Dan lebih dari itu, mereka turut menyumbang kepada penciptaan ilmu dan displin-displin ilmu baru. Sintesis yang kreatif antara tradisi dan moden inilah yang akan memberi kita kekuatan berhadapan dengan cabaran-cabaran baru dan yang terus berubah. Hikmah, sebagaimana yang dikatakan Rasulullah s.a.w., adalah harta yang hilang yeng perlu dicari oleh setiap insan Muslim, di mana juga dia boleh mendapatkannya. Dengan penguasaan ilmi-ilmu moden, kita akan terus kekal relevan.
Ketiga: Keberanian Intelektual
7. Kedua-dua sumber ilmu tadi, ilmu-ilmu tradisi dan ilmu-ilmu moden, tidak dapat membawa kita ke tahap lebih lanjut untuk mencipta ilmu-ilmu baru atau menyelesaikan permasalahan-permasalahan baru jika kita tidak mempunyai keberanian intelektual. Kita akan terus berhadapan dengan permasalahan dan cabaran-cabaran baru. Kita tidak akan dapat memberi sumbangan kepada penyelesaian masalah dan cabaran baru ini dan menjadi anggota yang aktif dalam pembangunan manusia jika kita tidak berani untuk bergelumang dan meneroka bidang dan penyelesaian baru dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa depan. Ini menuntut kita untuk berasa konfiden dengan diri kita sendiri dan berani meneroka, agar kita tidak terus terkokong dengan kejumudan intelektual. Saya percaya jika kita mempunyai asas yang kukuh pada tradisi dan khazanah ilmiah kita, dan penguasaan ilmu-ilmu moden, kita akan lebih konfiden untuk berhadapan dengan cabaran baru.
Keempat: Budaya Ilmu
8. Inilah etos atau keghairahan ilmiah yang disebutkan tadi. Masyarakat yang berbudayakan ilmu - yakni masyarakat yang mengangkat kedudukan ilmu, menghormati ilmu dan ilmuwan, dan yang sentiasa ingin mempelajari ilmu. Budaya ilmu, seperti apa yang ditulis oleh Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, bermaksud, “…kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura. Dalam budaya ini ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat. Sehubungan dengan ini budaya tersebut akan memberi keutamaan, bantuan, kemudahan dan pengiktirafan yang tinggi kepada sesiapa atau institusi yang melibatkan diri mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan.”
HUBUNGAN SINERGI PENTING UIAM & PERGAS
9. Alhamdulillah, pada hari ini kita menyaksikan satu kerjasama penting antara dua institusi besar rantau ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS). Kerjasama ini, saya yakin, akan mendokong agenda yang saya sebutkan sebentar tadi. Program ilmiah ini, saya percaya, akan menanam ciri-ciri yang telah disebut tadi, dalam membina asas-asas ilmiah penting untuk masyarakat Islam khususnya, dan bagi masyarakat bukan Islam yang ingin memahami Islam dengan lebih baik, bukan melalui propaganda media, tetapi secara objektif dan akademik, melalui program ilmiah seperti ini. Dan sebagai sumbangan kepada pembangunan kehidupan yang sejahtera. Objektif ini sesuai dengan visi kedua-dua UIAM dan PERGAS yang ingin memberi sumbangan kepada pengislahan dan pembangunan kualiti hidup dan tamadun manusia dan sumbangan positif terhadap pembangunan negara. Program ini adalah usaha berani bagi pihak PERGAS. Jangkauan program ini diharapkan akan lebih bermakna kerana ia dijalankan dalam Bahasa Inggeris yang akan memberi peluang kepada lebih ramai peserta, Muslim dan yang bukan Muslim, untuk mengikutinya.
10. Saya telah melihat kerangka subjek-subjek yang akan ditawarkan. Saya gembira kerana ia menggambarkan keghairahan ilmiah dan sintesis penting antara tradisi dan moden. Saya mengucapkan syabas kepada PERGAS dan UIAM di atas kerjasama ilmiah ini di mana suatu program pengajian Islam diarusperdanakan untuk manfaat semua.
11. Saya yakin PERGAS akan meneruskan lagi usaha-usaha sinergi seperti ini, sebagaimana yang pernah dilakukan Pergas juga melalui kerjasama dengan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) beberapa tahun lalu melalui siri Seminar Pemikiran dan Tamadun Islam sepanjang setahun yang disokong Majlis Ugama Islam Singapura, Muis. Program Sarjana Muda UIA-PERGAS ini adalah suatu usaha lanjutan Pergas untuk mendokong agenda ilmiah umat. Untuk ini, Muis akan terus menyokong dan bekerja rapat dengan PERGAS dalam bidang ini.
KERJASAMA MUIS-PERGAS DALAM AGENDA ILMIAH UMAT
12. Dengan kerjasama Pergas, Muis sendiri telah menjalankan beberapa program-program ilmiah, kajian dan pembangunan. Antaranya ialah dengan terbentuknya Sekretariat Sumber dan Pembangunan Pelajar (SRDS), yang memberi tumpuan kepada para pelajar pengajian Islam di peringkat pengajian tinggi dan penubuhan Rangkaian Asatizah atau Asatizah Network. Melalui program Sarjana Muis atau Muis Visiting Scholars programme dan sesi-sesi perbincangan ilmiah bersama sarjana-sarjana dan pemikir Islam, banyak isu-isu yang dikupas dan didebatkan secara ilmiah dan akademik. Antara sarjana-sarjana dan pemikir-pemikir ini ialah Prof Dr Tariq Ramadan; Prof Dr Mahmoud Ghazi, Naib-Presiden UIA Pakistan; Prof Dr Ibrahim Abu Rabi, Profesor Pengajian Islam di Hartford Seminary; Prof Dr Nasr Hamid Abu Zayd, pemegang Kerusi Ibn Rushd untuk Pengajian Islam dan Humanism; Dr Azzam Tamimi dari Universiti London dan ramai lagi sarjana-sarjana Islam. Ramai anggota Pergas juga telah mendapat manfaat dari inisiatif dan program-program ini. Kerjasama ini perlu diteruskan.
PENUTUP
13. Akhir sekali, saya juga ingin mengucapkan terimakasih kepada UIA, Malaysia di atas sokongan ilmiah yang berterusan yang diberikan kepada masyarakat Islam di Singapura. Saya maklum bahawa telah ada kerjasama lain bersama badan-badan Islam lain di Singapura ini untuk menawarkan program-program bercirikan Islam. UIA sendiri bukan lah asing bagi ramai dari kita. Apabila UIA dibentuk pada tahun 1983, masyarakat Islam Singapura tidak ketinggalan untuk menyertai program-program di UIA. Sehingga kini, tidak kurang dari 250 graduan UIA di Singapura ini. Di Muis sendiri, ada 8 graduan UIA yang memegang jawatan kanan dan penting di Muis. Antaranya Ust Mohd Fatris Bakaram, Naib Mufti, yang kini sedang menyambung pelajaran beliau di Universiti Birmingham. Beliau selesai pengajian sarjananya di UIA. Begitu juga dengan Ust Mohd Murat Md Aris, mantan Timbalan Mufti, dan kini Pengarah Agama, yang lulus pengajian sarjananya juga di UIA. Begitu juga Mohammad Hannan Hassan, yang merupakan pelajar Singapura pertama di ISTAC, yang telah lulus pengajian Sarjananya. Kini, hampir 70 pelajar Singapura sedang menuntut di UIA dan 5 di ISTAC.
14. Saya berharap sinergi ilmiah seperti ini akan berterusan dan akan terus memperkukuhkan asas pembangunan Umat, yang membawa misi untuk membawa Rahmat kepada seluruh alam.
Terima kasih.
Wassalamu’alaikum wr wb
No comments:
Post a Comment