Manusia dicipta asalnya daripada tanah. Keturunannya beranak pinak daripada setitis air mani.
Manusia dibina dengan tiga komponen sempurna dan utama iaitu aspek mental (fikiran), fizikal (anggota) dan spiritual (semangat).
Diperakui manusia banyak kelemahan, kekurangan dan ada kekuatan. Kekurangan dan kelemahan, yang ada pada diri manusia itu memenuhi syarat bahawa manusia sebagai makhluk Allah yang dicipta wajar memperbaikinya.
Kelemahan yang dimiliki oleh manusia bukan suatu yang dianggap mengaibkan atau untuk dijadikan bahan momokan, umpatan, kutukan, celaan, cacian, hinaan, serangan atau diburuk-burukkan di mata orang lain, namun sebagai dorongan atau motivasi untuk mencapai darjat kecemerlangan, dengan syarat manusia rajin mencuba dan berusaha mengatasi kelemahannya.
Tindakan untuk memperbaiki kelemahan diri:-
1. Sentiasa memerlukan teguran, nasihat dan teguran daripada orang lain untuk memantapkan keyakinan diri untuk sentiasa istiqamah di dalam menunaikan makna kehidupan ini.
2. Berusaha bersungguh-sungguh untuk mengetahui kelemahan sendiri daripada aspek mental, fizikal serta spiritual dan mengusahakan proses muhasabah (menilai diri) setiap waktu dan mempertingkatkan aktiviti ke arah memperbaikinya. Jangan membiarkan kelemahan wujud , “bersarang” berpanjangan.
3.Kekuatan yang dimiliki adalah suatu anugerah Ilahi yang boleh dimanfaatkan, dicungkil, dilatih agar potensi yang ada berkembang dan dijana sebaiknya. Dalam hal ini, setiap individu wajar memerlukan bimbingan sebaiknya daripada orang yang lebih pakar atau mahir.
4. Mencari dan mencintai ilmu pengetahuan berkenaan untuk memahami erti kehidupan dan perjuangan serta bersedia belajar untuk berkorban masa, tenaga, fikiran ke arah mencapai cita-cita hidup sendiri.
5. Sentiasa menginsafi atau menangis, tetapi jangan bersedih atau mengeluh atau berputus asa. Maka, bersegeralah mengharapkan pertolongan, memohon taufiq, hidayah Allah s.w.t. untuk memperbaiki kelemahan walaupun terlampau sulit atau sukar yang dimiliki atau segala dosa yang dilakukan dan janganlah bergantung sepenuhnya atau berharap sesama manusia.
No comments:
Post a Comment