MEMUPUK MINAT MEMBACA ANAK-ANAK
Aku sekadar ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca mengenai bagaimana ingin memupuk minat membaca di kalangan anak-anak kita.
Di bawah ini beberapa cadangan yang difikirkan sesuai dengan keluasan rumah/kediaman, lokasi tempat tinggal, kewangan keluarga dan bahan-bahan bacaan.
Persoalan penting sebelum kita memulakan langkah yang difikirkan sesuai, kita perlulah meneliti beberapa perkara asas berikut:-
1. Peringkat umur-anak-anak kecil boleh dilatih untuk membaca buku-buku ringan dan tumpuan kepada 'vocabulary'. Ibu bapa hendaklah membacakannya untuk anak-anak dan latihlah anak-anak membaca sendiri dan ditemani oleh keluarga bagi membetulkan sebutan, jika bacaan itu dibaca kuat.
2. Bahan bacaan dan tempat memperolehinya.
3. Tempat membaca dan sasaran untuk menghabiskan buku yang dipilih- tentukan sendiri sama ada di sekolah, di tempat awam, di dalam komuter, bas atau semasa rehat di tempat kerja dan berapa lama hendak menyelesaikannya, seperti berusaha mengkhatamkan Al-Quran.
4. Tentukan masa membaca-contohnya, sebelum tidur menetapkan tempoh masa yang sesuai.
5. Sokongan dan persekitaran-tempat yang senyap dan sunyi dapat menumpukan perhatian untuk membaca lebih kondusif dan mudah berinteraksi dengan setiap baris yang dibaca. Elakkan mendengar radio atau muzik berat dan TV dipasang, kerana ianya turut mengganggu tumpuan membaca.
6. Kecendurangan dan minat yang khusus hendaklah diwujudkan-menggalakkan penggunaan internet untuk membaca bahan-bahan yang bermanfaat sahaja dan bukan menghabiskan masa untuk perkara-perkara lain.
7. Pembimbing dan pendedahan-keluarga hendaklah digerakkan membaca bersama-sama. Pada keluarga yang berada, perpustakaan keluarga yang diwujudkan akan menyediakan ruang terbaik untuk menanam dan menyemai serta meneruskan aktiviti pembacaan. Suasana bilik dan ruang perpustakaan keluarga yang kemas, tersusun dan sunyi mampu memberi kesan positif kepada proses berfikir dan berinteraksi dengan bahan bacaan yang sedang dibaca.
Panduan dan tindakan awal dan berterusan dari individu dan sokongan keluarga (ibu bapa):-
1. Mengunjungi pameran-pameran buku dan membeli buku-buku yang sesuai pada peringkat umur dan bahan bacaan tambahan persekolahan. Anak-anak hendaklah dilatih untuk kerap mengunjungi kedai buku utama dan terpakai di bandar-bandar untuk menarik minat mereka terhadap buku-buku tertentu.
2. Membeli novel-novel popular yang ditulis oleh penulis-penulis yang tersohor untuk menikmati keindahan bahasa, jalan cerita, gaya penulisan dan pemilihan perkataan bagi mendedahkan anak-anak lebih kreatif dan berfikir dengan mudah. Buku atau novel yang terpakai sudah memadai bagi menjimatkan perbelanjaan, melainkan untuk keluarga yang berada. Setiap keluarga sewajarnya menyempurnakan bajet khusus untuk aktiviti penambahan koleksi buku di perpustakaan masing-masing atau ruangan khas untuk membaca.
3. Mengunjungi perpustakaan dan membuat kad atau menyertai kelab membaca untuk memastikan anak-anak menjadi penggemar dan pengunjung yang aktif atau tetap. Ibu bapa mesti menyediakan masa yang sesuai untuk menghantar, menjemput atau bersama-sama pergi menemankan anak-anak sebagai satu aktiviti bersantai dan berkeluarga. Kepada anak-anak yang boleh berdikari sendiri, berikan keizinan untuk mereka pergi dan pulang pada masa yang ditetapkan. Anak-anak turut dibimbing untuk sentiasa meminjam buku dan diminta untuk belajar mengurus untuk memulangkan dan menghabiskan pembacaannya.
4. Bertukar-tukar buku atau bahan bacaan dan perbincangan dengan kawan-kawan. Anak-anak disaran sentiasa membawa buku tersebut ke mana-mana sahaja dan membacanya, apabila ada masa yang terluang. Jangan membazirkan masa dan membuangnya begitu sahaja.
5. Kepada mereka yang mempunyai ruang rumah yang agak sesuai, maka mini perpustakaan keluarga hendaklah diwujudkan. Adalah wajar menyediakan dan menyimpan simpanan log buku yang dibaca, bagi memantau perkembangan pembacaan. Ibu bapa digalakkan menyenaraikan semua buku yang telah dibaca dan menyusunnya di rak-rak buku dengan sempurna agar mudah dicari buku berkenaan apabila diperlukan semula.
6. Menggalakkan anak-anak untuk melawat rakan-rakan yang mempunyai perpustakaan di rumah, supaya mereka akan bercita-cita mewujudkan 'mini library' masing-masing.
Langkah kerajaan
1. Mewujudkan persekitaran untuk membaca dan perpustakaan di semua daerah atau di setiap Majlis Perbandaran/Daerah. Perpustakaan bergerak boleh diwujudkan di kawasan-kawasan desa. Aku dapati buku-bukunya ada yang sudah lusuh, koyak dan agak lama, perlulah ditukar dan dikemaskini. Peruntukan yang munasabah hendaklah difikirkan oleh pihak yang berkuasa.
2. Inisiatif untuk bekerjasama dengan institusi berkenaan bagi matlamat memperbanyakkan penerbitan buku, artikel, makalah, majalah dan mempromosikannya secara meluas di ruang pameran tertentu. Melalui pameran, publik akan menyedari dan mengetahui tentang hasil karya penulis, latar belakang penulis dan bidang penulisannya. Perancangan dan pameran jangka panjang hendaklah diurus. Kementerian berkenaan mestilah berusaha ke arah tersebut.
3. Harga buku hendaklah bersesuaian dengan taraf kehidupan masyarakat. Buku yang mahal tidak menyediakan keadaan terbaik untuk menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat.
Peranan sekolah
1. Perpustakaan sekolah atau Pusat Sumber hendaklah sentiasa diurus dengan sempurna. Guru perpustakaan atau pengurus khusus hendaklah dilantik untuk mengendalikan 'school library' berkenaan. Para pelajar atau murid-murid hendaklah diminta menghabiskan membaca buku-buku tertentu dan diminta untuk mengulasnya bagi menguji kefahaman mereka. Pada masa yang sama, guru juga hendaklah membaca buku tersebut terlebih dahulu. Pertukaran buku atau peminjaman buku boleh dibuat ke semua sekolah secara online.
2. Suatu aktiviti pembacaan khusus hendaklah diwujudkan terutama di sekolah rendah. Sekolah boleh menganjurkan beberapa program seperti menjemput para penulis atau idola remaja untuk sama-sama membincangkan buku yang baru dipasarkan.
3. Lawatan ke perpustakaan negara boleh dianjurkan oleh mana-mana sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar seperti mencari bahan yang bermanfaat dan guru sekolah boleh mempelajari pengurusan perpustakaan dengan lebih baik.
4. Ada filem-filem yang ditayangkan berdasarkan novel tertentu seperti Slumdog Millionaire. Lawatan beramai-ramai menonton filem yang mempunyai nilai baik untuk pembangunan diri, masyarakat dan negara boleh dianjurkan. Pihak sekolah kemudiannya hendaklah membeli buku atau novel berkaitan filem tersebut dan mengadakan sesi perbincangan atau ulasan di bilik kelas masing-masing. Hadiah boleh ditawarkan kepada murid yang boleh menceritakan semula kisah novel tersebut dengan baik.
5. Pihak sekolah hendaklah mewujudkan pusat cetakaan buku atau berusaha melatih, membimbing pelajar-pelajar mengarang dan membuat atau menerbitkan buku sendiri. Pada peringkat awal, boleh mulakan dengan membuat cerpen. Jika ada pertandingan syarahan atau bercerita atau penulisan, semua bahan tersebut boleh diterbitkan seperti menebitkan majalah sekolah pada setiap hujung tahun. Jawatankuasa hendaklah diwujudkan bagi tujuan tersebut. Semua bahan yang bermutu boleh dipasarkan. Aku masih ingat semasa anak aku belajar di pra sekolah di Terre Haute, Indiana, USA, anakku ada mengarang buku mengenai 'my family' dan dijilidkan, menjadi buku untuk kenangan manis kami. Pihak sekolah hendaklah berusaha bersungguh setiap anak didiknya mahir membaca dan mengarang. Mereka yang masih lembab membaca hendaklah diwujudkan kelas khas di setiap daerah dan ditangani dengan sempurna. Kita tidak mahu lagi meliahat ada pelajar yang tidak langsung boleh membaca. Peranan PPD adalah penting dalam menyelesaikan isu ini.
6. Kajian (survey) hendaklah dilakukan oleh setiap sekolah untuk menilai setakat mana peranan guru berusaha menggalakkan anak didik mereka berminat dan menyemai bibit kecintaan kepada buku dan berfikir. Sejak tahun 1999, pihak Kementerian Pelajaran telah mewujudkan Program Nadi Ilmu Amalan Membaca atau NILAM, dengan dua tahap pembaca iaitu Tahap Jauhari dan Tahap Rakan Pembaca. Apakah keberkesannya, kita sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.
7. Bancian beberapa buah buku yang dibaca hendaklah dilakukan di kalangan pelajar kita, sehingga ke universiti dan langkah-langkah pembujukan dan pemupukan hendaklah dijalankan.
Rumusan
Menanamkan kecintaan kepada membaca adalah suatu proses berpanjangan dan berterusan dan memerlukan penglibatan semua pihak. Ini tidak bermakna, kita ingin menjadikan anak kita ulat buku, namun hakikatnya, kita ingin menzahirkan anak kita agar kaya dengan buku, berilmu dan berpelajaran serta berupaya menyampaikan buah fikirannya kepada masyarakat apabila diperlukan kelak.
No comments:
Post a Comment