Maksud menabung atau menyimpan
Menabung bolehlah dimaksudkan mengasingkan sejumlah wang dari sejumlah kewangan yang dimiliki. Ianya bermakna, menyimpan sejumlah wang daripada pendapatan yang diperolehi untuk keperluan pada masa hadapan. Pada amnya, wang yang ditabungkan ialah baki pendapatan selepas ditolak dengan perbelanjaan seseorang.
Tujuan/Manfaat/Faedah
Memang orang amat gemar berbelanja dan boros. Tentu sukar dikikis sikap berboros. Perubahan taraf, cita rasa, godaan dan gaya hidup kini dianggap turut menghalang orang untuk berjimat cermat dan menabung. Sikap berbelanja secara berhemah mesti dilakukan.
Walaupun begitu, pada sesiapa yang berhajat untuk menabung atau menyimpan mempunyai tujuan bagi maksud jangka pendek atau jangka panjang. Tujuan menyimpan adalah bergantung kepada niat yang hendak dilakukan oleh seseorang pada suatu jangka masa yang akan ditentukan. Pada amnya, menyimpan untuk keselesaan hidup seperti membeli motosikal, kereta, harta yang dihajati, ada yang menabung untuk berkahwin, dijadikan modal untuk berniaga, urusan anak sekolah dan ramai melakukannya untuk bekalan pada hari tua atau kecemasan atau untuk menambahkan harta.
Cara mengurus yang strategik
Potongan gaji pada mereka yang bekerja tetap yang telah ditetapkan oleh kerajaan (sebagai wajib), seperti KWSP, potongan terus (secara memaksa diri) ke akaun bank anak-anak atau simpanan untuk syer atau saham di koperasi atau simpanan di bank-bank sendiri dan Tabung Haji. Potongan saham di koperasi akan turut memperolehi ‘dividend‘ dan dianggap turut menambahkan jumlah tabungan.
Menabung secara manual dan kaedah ini seseorang itu mesti bersemangat, bermotivasi dan berdisiplin untuk menabung sebahagian daripada pendapatannya. Sewajarnya, suatu kadar daripada gaji atau pendapatan yang diterima atau yang diperolehi hendaklah disimpan (menjadi simpanan senyap). Kadar ini wajar ditingkatkan dari semasa ke semasa, walaupun agak sukar di dalam situasi ekonomi sekarang.
Pengajaran positif
Anak-anak yang bersekolah mulai di peringkat pra sekolah, rendah ataupun sekolah menengah wajar melatih diri berbelanja secara berhemah, walaupun ikut sebenar, duit boleh dihabiskan sekelip mata sahaja. Mereka wajar belajar berjimat cermat, membuka akuan simpanan di mana-mana bank dan memasukkan wang untuk simpanan. Mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk kemasukan ke sekolah, kolej atau universiti masa hadapan.
Seseorang itu akan hanya berbelanja pada suatu yang perlu sahaja. Orang ramai diajak dan diseru berjimat cermat dan menyimpan. Menggalakkan orang ramai menyimpan di institusi yang selamat dan disahkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penipuan, penyalahgunaan dan melanggar undang-undang negara.
Seseorang akan berfikir untuk berbelanja, mana yang wajar dibeli atau untuk dipakai secara bijaksana. Berbelanja hendaklah berpada-pada atau secara sederhana sahaja dan melakukan infaq bulanan seperti zakat atau bersedekah bagi memastikan pendapatan yang kita perolehi diberkati dan “dibersihkan” daripada sebarang kekotoran lahir dan batin.
Tujuan menyimpan atau menabung untuk bersedia melakukan sesuatu suruhan Allah adalah lebih utama dan wajar didahulukan daripada tujuan lainnya seperti membesarkan dan mengindahkan rumah, menyediakan wang deposit secukupnya untuk menukar atau membeli kereta baru, atau melancong ke luar negara dan lain-lain tujuan yang dianggap untuk berseronok atau bersukaria atau sekadar untuk berseronok menghimpun harta dan tanah. Simpanan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi atau menunaikan fardhu haji pada mereka yang belum menunaikan tanggungjawab ini, sepatutnya dijadikan wajib pada diri sendiri untuk mengambil langkah segera dan pro aktif menyimpan seberapa banyak yang boleh.
Rumusan
Menyimpan atau menabung wajar dilaksanakan, melainkan seseorang itu bekerja, kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang atau kais malam makan malam (tidak cukup untuk menampung hidup/makanan seharian). Mungkin tidak mampu untuk seseorang yang dianggap fakir atau miskin untuk berbuat demikian, namun anak-anak dan diri kita masing-masing, wajar belajar duduk berbincang seisi keluarga menyediakan catatan pendapatan dan perbelanjaan (Family Financing Planning) yang sempurna, terperinci dan bersedia untuk membahagikan beberapa kadar tertentu untuk tujuan tabungan atau simpanan tetap bulanan.
Kita wajar berusaha memperbaiki amalan dan kehidupan kita sendiri terlebih dahulu tanpa mengharapkan simpati dan sumbangan daripada orang lain.
Marilah kita belajar menyimpan dan jauhi seboleh-bolehnya daripada berhutang dan berbelanja boros atau membeli sesuatu yang dianggap mendatangkan mudarat dan sia-sia seperti ketagihan merokok.
No comments:
Post a Comment