Ucapan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik & Cemerlang Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Tahun 1425H/2004M. Pada 27hb Jun 2005, Ucapan YB Timbalan Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam
Terlebih dahulu saya sukacita mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Ustaz Pengetua kerana menjemput saya ke majlis pagi ini.
Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar atas kejayaan mencapai keputusan yang cemerlang.
Saya difahamkan majlis ini adalah acara tahunan bagi memberi penghargaan kepada penuntut-penuntut yang berjaya dengan cemerlang. Majlis seumpama ini adalah sebagai satu pendorong dan perangsang semangat bagi para pelajar agar terus berusaha.
Sesungguhnya sesebuah pusat pengajian akan berusaha menjadikan pelajar-pelajarnya berjaya dengan cemerlang. Usaha itu tidak sahaja dengan menyediakan tenaga pengajar yang berkelayakan bahkan juga dengan kemudahan serta kelengkapan pembelajaran yang cukup.
Bagi Institut Tahfiz pra syarat ini telah dapat dipenuhinya. Tenaga pengajarnya adalah berkelayakan. Di kampusnya terdapat bilik-bilik belajar yang lengkap dengan keperluan bagi satu-satu mata pelajaran. Pelajar-pelajarnya diasramakan dengan jagaan baik untuk mereka mempunyai masa yang cukup dan dalam keadaan sejahtera untuk belajar khasnya pelajaran menghafaz Al-Quran.
Oleh yang demikian kita memang layak menjangkakan pencapaian cemerlang pelajar-pelajarnya di semua peringkat pengajian seperti yang dibuktikan oleh Institut ini setiap tahun.
Kita akan kecewa sekiranya pelajar-pelajar Institut ini pada setiap tahun gagal mempertahankan pencapaian rakan-rakan mereka yang terdahulu. Sama halnya kita akan kecewa jika kegagalan itu berpunca dari kelemahan tenaga pengajar. Dan lebih-lebih lagi kita akan kecewa besar jika pengurusan Institut ini turut menyumbang kepada kegagalan itu.
Alhamdulillah semua itu tidak berlaku. Institut ini nampaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu pencapaiannya. Kerana itu kita patut beri pujian dan penghargaan kepada semua: guru-gurunya, pelajar-pelajarnya, pengetuanya dan setiap lapisan tenaga pengurusannya.
Institut ini sebagaimana namanya merupakan sebuah institusi pengajian yang menggabungjalinkan penghafalan Al-Quran sebagai dasar dan teras dengan pengajian dan pembelajaran ilmu-ilmu Al-Quran dan mata-mata pelajaran yang lain. Dalam erti kata lain Institut ini telah berjaya melaksanakan Sistem Kurikulum Pendidikan Bersepadu.
Di antara tujuan penting penubuhan Institut ini ialah bagi menunaikan salah satu tuntutan fardhu kifayah, ke arah melahirkan para hafiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam.
Disamping itu ianya juga memuliakan / menjaga kesucian dan keaslian Al-Quran daripada sebarang perubahan, pindaan dan pengurangan.
Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Hijr ayat 9:
إنا نحن نزلنا الذكر وإنا له لحافظون
Yang bermaksud:"Sesungguhnya Kamilah (Allah) yang menurunkan Al Quran dan Kamilah yang menjaganya".
Al Quran sentiasa dalam pengawasan Allah samada dalam bentuk penulisan mahupun pembacaan. Memelihara, menjaga dan menghafaz adalah perkara yang sama. Oleh itu penjagaan Al-Quran dengan cara menghafaznya adalah cara untuk memelihara Al-Quran dari sebarang penyelewengan, pengurangan atau tokok tambah samada dari segi bacaan, tulisan dan susunan.
Mempelajari Al-Quran secara menghafaz itu adalah salah satu tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada mereka yang digelar Huffazul-Quran. Mereka tidak hanya menghafaz Al-Quran tetapi akan lebih afdhal jika disertai dengan pengetahuan yang cukup mengenai apa jua tentang Al-Quran.
Oleh itu saya berharap kita semua khasnya para pelajar di Institut ini akan dapat memikul amanah tersebut dengan sebaiknya, dan kerananya kita berharap akan memperolehi syafaat Al-Quran.
Sebagaimana hadis Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إقرؤا القرآن فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه
Maksudnya: "Kamu bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya apabila tiba hari kiamat ia akan datang memberi syafaat kepada sahabatnya".
Mengenai Institut ini kita perlu sentiasa mengingati tentang latar belakang penubuhannya iaitu setelah kejayaan pertama negara melahirkan seorang al-hafiz, melalui skim menghafal Al-Quran yang dikendalikan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Dipertuan dalam titah sempena hari keputeraan Baginda yang ke-46 tahun pada 15 Julai 1992 telah menyentuh tentang kejayaan tersebut dengan menyatakan bahawa sesudah kejayaan pertama itu terdapat ramai anak-anak kita dihantar oleh ibu bapa mereka sendiri keluar negeri, khasnya ke Semenanjung Malaysia bagi mengikuti kursus atau pengajian hafaz Al-Quran. Baginda mengkagumi dan bersimpati dengan langkah ibu bapa yang mendorong anak-anak mereka memasuki lapangan yang terpuji itu.
Maka untuk menyambut baik hasrat ibu bapa itu, Baginda, dalam titah dari singgahsana sempena hari keputeraan Baginda, telah mengumumkan perkenan bagi penubuhan sebuah Institut Tahfiz Al-Quran di negara ini sebagai sumbangan peribadi Baginda sendiri. Ianya diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan, sebagai suatu komplimentari bagi melahirkan tenaga-tenaga yang hafiz Al-Quran.
Maka atas kurnia titah tersebut Institut ini telah ditubuhkan pada 1 Januari 1993 di bawah kawalan sebuah Lembaga yang dibantu oleh sebuah Jawatankuasa Akademik.
Dan pada tahun 2003 atas perkenan titah juga Institut ini telah diletakkan di bawah Yayasan Baginda yang mana itu adalah bagi menyelaraskan pengurusannya sesuai dengan ianya sumbangan peribadi Baginda menerusi Yayasan.
Pencapaian Institut sejauh ini di bidang hifzul Quran ialah seramai 84 orang pelajar telah khatam 30 juzu' di hadapan mu'allim dan mu'allimah masing-masing, iaitu terdiri daripada 48 pelajar lelaki dan 36 pelajar perempuan. Mereka bagaimana pun perlu lulus ujian tasmie' di hadapan Lembaga Tasmie Tertinggi untuk mendapatkan pengiktirafan peringkat-peringkat hafalan masing-masing di bawah Peraturan Menghafaz Al-Quran, 2002.
Sejauh ini cuma ada seramai 48 orang iaitu terdiri daripada 31 orang pelajar lelaki dan 17 orang pelajar perempuan yang masih menuntut atau pun yang sedang menyambung pengajian di luar Institut ini telah memohon untuk di tasmie' oleh Lembaga Tasmie' Tertinggi bagi hafalan 10 hingga 30 juzu'. Angka tersebut hanyalah 57% dari jumlah pelajar iaitu seramai 84 orang yang dikatakan telah hafaz 30 Juzu' itu. Tentulah hal ini memerlukan perhatian, khasnya oleh Jawatankuasa Akademik.
Sementara di bidang pengajian akademik pula, Institut ini terbilang dengan kejayaannya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam semua peringkat peperiksaan awam. Ini menjadi satu tarikan kepada ibu bapa untuk memilih Institut ini menjadi tempat belajar anak-anak mereka.
Bagaimana pun tarikan yang lebih ke arah pemilihan itu ialah kerana para pelajar akan di asuh dan di bimbing menghafaz Al-Quran secara bersistem. Hal itulah yang menjadi tujuan asal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-pertuan memperkenankan penubuhannya iaitu sebagai suatu komplimentari bagi melahirkan tenaga-tenaga yang hafiz Al-Quran.
Komplimentari tersebut tentulah antaranya dimaksudkan kepada skim menghafaz Al-Quran anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang pada masa kurnia perkenan penubuhan Institut ini dititahkan pada tahun 1992 skim tersebut telah pun berhasil melahirkan seorang al-hafiz sulung negara.
Di Kementerian Hal Ehwal Ugama terdapat Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran yang menjadi Urusetia kepada Lembaga Tasmie di bawah Peraturan Menghafaz Al-Quran, 2002. Ianya mempunyai beberapa program berhubung dengan pengajian Al-Quran.
Saya nampak ada persamaan skop pengajian antara Institut ini dengan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran itu dari segi hifzul-Quran dan program-program lainnya. Dengan itu tentulah akan lebih baik jika kedua-duanya bekerjasama, saling komplimentari tehadap satu sama lain demi kemuliaan kitab suci Al-Quran dan menambah skop pengajiannya bagi faedah yang lebih besar.
Saya yakin kita boleh menjalin dan seterusnya mengembangkan kerjasama itu.
Sekianlah ucapan ringkas saya.
Dalam semua keadaan kita tetap bersyukur dengan kejayaan Institut ini dan kecemerlangan pelajar-pelajarnya. Lebih-lebih lagi kita bersyukur mempunyai Institut yang lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukannya.
Kesyukuran kita itu disertai dengan doa kehadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hasanal Bolkiah Mu'izzaden Waddaulah Ibni Almarhum Sultan Omar 'Ali Saifuddin Sa'adul Kahiri Waddeen dan ahli kerabat Baginda akan sentiasa dalam perlindungan Allah dengan mendapat rahmat dan nikmat sihat sejahtera yang berkekalan iaitu berkat amal ibadat dan khairiat kebajikan Baginda termasuklah menubuhkan Institut ini yang merupakan sumbangan peribadi Baginda untuk umat Islam di negara ini khasnya.
Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh At-Tabarani yang bermaksud:
"Siapa menghulurkan kepadamu suatu kebaikan maka balaslah dia, jika kamu tiada apa-apa balasan maka hendaklah kamu doakan kepadanya".
'Rotan Sambil Doa Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my
Tangkak: Guru yang didakwa merotan lebih 20 kali seorang murid di Madrasah Al-Mizan di sini, Sabtu lalu, disifatkan seorang guru berpengalaman serta ikhlas ketika mendidik muridnya menghafal al-Quran hingga sanggup mengenepikan ganjaran lumayan, semata-mata kerana mahu mengajar di sekolah itu.
“Guru berkenaan langsung tidak mempunyai niat mendera sebaliknya tindakan diambil hanya bertujuan sebagai pengajaran. Pukulnya berserta doa (beliau memukul murid sambil mendoakannya),” kata Pengerusi Jawatankuasa Madrasah Al-Mizan, Abdul Rashid Abu Hassan.
Abdul Rashid berkata, guru berkenaan juga seorang yang berpengalaman dan sudah lama mengajar di situ sejak beberapa tahun lalu serta menganggap semua murid yang belajar di sekolah agama swasta berkenaan sebagai anaknya sendiri.
Menurutnya, walaupun beban tugasan berat tetapi niat ikhlas untuk mendidik lebih ramai murid mahir menghafal al-Quran, guru itu sanggup mengenepikan soal ganjaran lumayan untuk terus mengajar di sekolah agama swasta itu.
Bagaimanapun, katanya, dalam siasatan dalaman yang dijalankan mendapati terdapat kelemahan komunikasi sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di pihak keluarga yang beranggapan pihak sekolah langsung tidak bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Guru dan jawatankuasa langsung tidak mengetahui mengenai kejadian itu dan hanya sedar apabila tersiar dalam surat khabar malah guru yang memukul turut tidak sangka tindakannya meninggalkan kesan kepada murid itu kerana dia berpakaian lengkap ketika di rotan.
“Kami akan jalankan siasatan bagi mengenal kelemahan di peringkat pengurusan dan sekolah serta memperbaikinya termasuk sudut komunikasi antara sekolah dengan keluarga supaya masalah yang sama tidak berulang pada masa depan.
“Jawatankuasa juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap guru yang bertanggungjawab dalam kes ini. Pengurusan sekolah cuba sedaya mungkin bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan masalah dengan baik.
“Kita rasa simpati dan sedih dengan kejadian ini dan berharap tidak berulang pada masa depan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.
Menurutnya, sekolah agama swasta itu sudah ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu dan sudah melahirkan seramai 30 hafiz.
Katanya, setakat ini, seorang murid yang belajar di sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dalam tempoh setahun lapan bulan.
“Alhamdulillah, sekolah ini bukan hanya mengajar di kalangan anak Johor malah seluruh negara termasuk Sabah serta Sarawak.
“Malah pelajar dari luar negara seperti Kemboja dan Singapura turut menuntut ilmu di sekolah ini dan terbaru seramai 10 pelajar Kemboja sedang mengikuti pengajian masing-masing.
“Kepercayaan yang diperoleh apabila pelajar yang sudah mahir menghafal al-Quran menyampaikannya kepada ahli keluarga yang lain dan kita berharap satu kejadian tidak memusnahkan hasrat untuk melahirkan lebih ramai hafiz al-Quran,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, generasi hufaz mempunyai jati diri yang mampu menjadi pemimpin atau pegawai kerajaan yang baik.
"Ini kerana mereka sentiasa dihiasi dengan akhlak mulia dan berkemampuan memimpin ummah," katanya pada majlis penutup Kem Kepimpinan Al-Huffaz Malaysia kali kedua di sini, baru-baru ini.
Program itu dianjur Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata).
Mohamad yang juga Adun Demit berkata, sekolah hafiz memberi penekanan terhadap pengisian ilmu al Quran dan kepemimpinan.MB mahu hafiz pimpin Kelantan Oleh Zuharman Mohd Nor, Sunday Aug. 10, 2008, Petikan HarakahDaily.Net
28 Mac, 2009, Wakil UMNO Pulau Pinang, Shahabudin Yahaya menyokong usul pendidikan dan agama pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam. Untuk itu, beliau mencadangkan penubuhan Maktab Rendah Sains Islam Malaysia (MARSIM) yang berfungsi seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tetapi pentadbirannya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kurikulum berteraskan Islam sepenuhnya dalam usaha melahirkan generasi pemimpin ulul albab.
"Di MARSIM, pelajar akan belajar ilmu sains dan teknologi serta pada masa yang sama menjadi hafiz / hafizah Al-Qur'an. Kita berharap suatu hari nanti akan lahir Ketua Setiausaha Negara (KSN), ketua setiausaha, CEO atau pengarah syarikat kerajaan (GLC) yang menguasai sains dan teknologi serta mantap pegangan agama." katanya.
Kiranya, sistem MARSIM ni merupakan satu lagi perkembangan pendidikan ulul albab selain daripada Ma'had Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi yang dah wujud sekarang.
Kelantan BAKAL MELAHIRKAN TENAGA PROFESIONAL HAFIZ AL-QURAN
Tanah Merah – Menjadi hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk melahirkan rakyat yang hafiz al-Quran dan masa sama berkerja dibidang profesonal.
Demi merialisasikan hasrat melahirkan hafiz profesonal maka kerajaan negeri dengan sumber kewangan yang terbatas sanggup membelanjakan hampir RM12 juta bagi membina kompleks Maahad Tahfiz Sains di Pasir Genda, Tanah Merah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Dengan keluasan 8.5 ekar, Maahad Tahfis Sains yang baru siap sepenuhnya dilengkapi dengan kemudahan prasarana terbaik dimana ia mengandungi blok pentadbiran, blok akademik, asrama putera dan puteri, dewan makan dan serbaguna, rumah pengetua dan kakitangan serta tempat menunggu bas.
Menurut Mudir Maahad Tahfiz Pasir Genda, Ustaz Tarmizi Said, sebenarnya konsep pengajian tahfiz dan sains secara bersepadu ini telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri setahun lalu iaitu Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, di Tumpat.
Walau bagaimanapun memandangkan Maahad Tahfiz Sains di Tumpat adalah terhad dari segi kemudahannya maka kerajaan negeri membinan sebuah lagi Maahad Tahfiz Sains di Tanah merah yang lebih lengkap dan mampu menampung jumlah pelajar yang lebih ramai.
Tambah Ustaz Tarmizi, Maahad Tahfiz Sains yang baru siap dan akan memulakan pengambilan pelajar sulungnya Januari ini mampu untuk menampung 700 pelajar dalam satu-satu masa, ia itu dari tingkatan satu sehinggalah ke tingkatan lima.
“Manakala pelajar daripada Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Tumpat akan terus ke tingkatan 4 di sini sebagai pelajar sulung.”
Sementara itu, Ustazah Hafizah Abdullah selaku Naib Mudir mengalu-alukan kemasukan pelajar ke sini sekiranya menepati syarat.
Katanya, keistimewaan pelajar lulusan Maahad Tahfiz Sains iaitu mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian di IPT sama ada dalam bidang pengajian professional seperti doktor, kejuruteraan dan lain-lain atau untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama seperti syariah, usuluddin dan sebagainya.
Ibu bapa atau orang ramai yang berminan untuk mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi terus ke talian : 09-9502979 / 09-7258979 atau hubungi Pengetua/Mudir di talian : 013-9231929 atau terus ke Yayasan Islam Kelantan, Nilam Puri. 9 January, 2009
Pengajaran Terpenting daripada Petikan Berita Tersebut:-
1. Semua negeri mesti bersungguh-sungguh menubuhkan banyak pusat tahfiz dan kepimpinan untuk melahirkan ramai tenaga agama dan profesional yang amat diperlukan di dalam pembangunan negara
2. Pusat Tahfiz dan Madrasah persendirian hendaklah dibantu sepenuhnya daripada sumbangan zakat.
3. Sekolah sistem pondok di seluruh negara hendaklah turut diberi sokongan kewangan oleh kerajaan negeri dan pusat bagi memastikan kelangsungan sistem berkenaan agar 'reliable' sepanjang zaman.
4. Sistem dan persekolahan di peringkat tadika/pra sekolah, seperti anjuran KEMAS, PASTI, TASKI dan seumpamanya hendaklah menyediakan sukatan asas yang sesuai ke arah pendidikan dan penghafazan Al-Quran bagi membina IQ, EQ, dan SQ pelajar. Asas penghafazan hendaklah dilaksanakan dari anak kecil. Mereka akan mudah menerima bahan pengajaran yang diajarkan, apabila umur meningkat.
5. Semua sekolah agama kelolaan kerajaan Pusat dan negeri (di bawah pengurusan jabatan agama Islam masing-masing, seperti yang paling rendah, KAFA) hendaklah menyediakan ruang untuk penghafalan Al-Quran.
6. Melatih para guru agar lebih terlatih atau mahir mengenai hafazan Al-Quran atau mengambil guru-guru dari negara-negara lain bagi memastikan program jangka panjang dan terancang tercapai.
No comments:
Post a Comment