Jemaah menteri ini dinamakan Kabinet Rakyat. Apakah yang dimaksudkan dengan rakyat di sini? Hakikatnya apa pun jemaah menteri yang dibentuk dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ia adalah kabinet rakyat.
Ini kerana pemerintahan yang diwujudkan adalah kerajaan rakyat, justeru jemaah menteri yang dipilih oleh Perdana Menteri adalah kabinet rakyat.
Namun begitu, adalah besar ertinya bagi rakyat negara ini apabila Perdana Menteri menamakan pasukannya sebagai Kabinet Rakyat. Ia sekaligus mengingatkan rakyat bahawa pasukannya itu datang daripada mereka semua.
Lebih-lebih lagi apabila dinyatakan bahawa pentadbiran baru Datuk Seri Najib Tun Razak berazam untuk mendahulukan rakyat. Jadi apa saja yang dilakukan oleh kerajaan, ia berdiri di atas asas mendahulukan kepentingan rakyat.
Perkhidmatan kepada rakyat ini pula disalurkan melalui kementerian- kementerian. Dalam banyak-banyak kementerian, maka pada zaman ini dikatakan Kementerian Kewangan adalah yang paling penting. Mana tidaknya, Perdana Menteri sendiri yang menyandang jawatan Menteri Kewangan. Malahan, ia mempunyai dua Menteri Kewangan dengan yang kedua disandang oleh Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.
Kepentingan Kementerian Kewangan adalah jelas. Ia yang merancang dan melaksanakan perjalanan dana negara, melibatkan pendapatan dan perbelanjaan, yang kesemuanya mendatangkan kesan kepada rakyat.
Tetapi hakikatnya semua kementerian adalah sama penting. Tidak ada satu pun kementerian yang boleh dianggap kelas kedua. Malah dalam soal ekonomi negara, ada satu unit yang juga penting. Ia adalah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), kini diketuai oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Menteri Kewangan Kedua.
Maknanya di bawah Perdana Menteri secara langsung, ada dua menteri yang bertanggungjawab dalam soal yang ada kaitan dengan ekonomi.
Tetapi dalam menjanakan pendapatan untuk negara, ia memerlukan kegiatan perniagaan dan perdagangan. Maka terdapat enam kementerian yang secara langsung merupakan penggerak kepada kegiatan ekonomi. Ia adalah Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Namun begitu, ini tidak bermakna lain-lain kementerian tidak berperanan memberi sumbangan dari segi pendapatan negara. Sudah tentu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Tetapi kesemua kegiatan ekonomi ini tidak akan berhasil jika kedaulatan negara terancam. Di sinilah peranan Kementerian Pertahanan. Secara tradisi, pada zaman dahulu, Kementerian Pertahanan atau zaman dahulu di Eropah dikenali sebagai Kementerian Perang adalah portfolio paling penting. Ini kerana jika negara diceroboh dan dijajah oleh negara luar, maka rakyat tidak bebas untuk menentukan nasib sendiri.
Bagaimanapun, apabila dunia sudah menyedari kepentingan keamanan dan langkah mengelak perang, maka Kementerian Perang itu berubah menjadi Kementerian Pertahanan. Bagi mengelak perang pula, diplomasi amat penting. Dan di sinilah kedudukan Kementerian Luar dapat difahami.
Amerika Syarikat sebagai contoh meletakkan Kementerian Luarnya pada kedudukan paling utama di mana jawatan Setiausaha Negara yang juga merupakan Perdana Menteri bagi kuasa besar itu adalah sebenarnya Menteri Luar. Ia merupakan kementerian paling utama.
Pada zaman ini, Kementerian Luar bukan saja perlu berperanan dalam bidang politik, iaitu untuk mengelak perang, tetapi adalah juga penting untuk meningkatkan perdagangan dan pendapatan negara, baik melalui perdagangan mahupun pelancongan. Justeru, Kementerian Luar juga boleh dikategorikan sebagai sebuah kementerian yang berkaitan ekonomi.
Dalam pemahaman bahawa semua kementerian adalah sama penting, tetapi apakah kementerian paling utama jika diukur dari segi keperluan rakyat?
Dalam hal ini, pembelaan yang diperlukan daripada kerajaan adalah untuk rakyat yang tidak berupaya untuk berdikari sendiri. Golongan masyarakat yang terpinggir ini hanya mengharapkan belas kasihan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Maka dari sudut perkiraan rakyat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipimpin oleh Senator Datuk Seri Shahrizat Jalil mempunyai tanggungjawab paling penting. Selain daripada masalah golongan tercicir ini, isu wanita dan keluarga pasti menjadi teras kepada kesejahteraan rakyat.
Maka apabila disebut kebajikan keluarga, ia melibatkan masa depan anak-anak dan seterusnya generasi muda. Dalam hal ini, tidak ada yang lebih utama daripada kesihatan. Justeru Kementerian Kesihatan boleh dianggap sebagai kementerian asas.
Berkaitan dengan kesihatan, rakyat negara ini perlu digalakkan bersukan. Tumpuan bukan saja kepada kejohanan dalam pertandingan tetapi wajar diberikan kepada aktiviti sukan yang bersifat rakyat dan masyarakat. Dalam hal inilah terletaknya peranan Kementerian Belia dan Sukan.
Perlu ditarik perhatian bahawa kesukanan mempunyai empat peranan bagi sesebuah negara. Pertama, sebagai alat menyemai patriotisme. Kedua, sebagai suatu hiburan rakyat. Ketiga, sebahagian daripada kegiatan komersial, Keempat, satu bidang untuk meningkatkan kesihatan rakyat.
Hanya dengan adanya kesihatan, barulah dapat dibicarakan tentang perkara-perkara lain, termasuk untuk belajar dan bekerja. Apalah yang penting bagi sesebuah keluarga selain daripada kesihatan dan masa depan anak-anak mereka.
Maka kementerian yang berkaitan dengan hal ini termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Dengan memperoleh asas pelajaran yang kuat di peringkat sekolah, barulah anak-anak malaysia dapat memasuki pengajian tinggi secara mantap dan berkeyakinan tinggi.
Sudah tentu tidak semua yang akan berpeluang memasuki pengajian tinggi dan dalam hal ini, rakyat memerlukan peluang lebih luas bagi anak-anak muda untuk memajukan diri. Di sinilah Kementerian Belia dan Sukan perlu mengambil perhatian. Daripada pembangunan belia ini, barulah sumber manusia negara ini bersifat bukan saja berdaya saing bagi memenuhi keperluan ekonomi negara, tetapi tidak kurang penting ialah peluang yang dapat direbut oleh anak-anak muda Malaysia bagi menikmati masa depan lebih cerah.
Pada perkiraan akhir, rakyat mahukan kehidupan yang selamat. Selain daripada memiliki tempat tinggal yang sewajarnya, lebih penting daripada itu ialah pembebasan daripada ancaman jenayah.
Di sinilah perlunya keberkesanan Kementerian Dalam Negeri, kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya.
Dalam hal ini, perlu disedari bahawa majoriti rakyat terletak di luar bandar. Dari segi kemudahan dan peluang, penduduk luar bandar pasti berada pada kedudukan yang kurang berbanding mereka yang di bandar. Maka Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah perlu berperanan membela penduduk desa supaya mereka turut menikmati pembangunan negara.
Masalah-masalah seharian yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat adalah berbentuk infrastruktur di peringkat tempatan. Banyak soal ini berada di bawah kuasa kerajaan negeri dan Pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun begitu, kerajaan pusat mempunyai kuasa yang luas dalam memberikan infrastruktur yang baik untuk rakyat kebanyakan, daripada soal keberkesanan pengangkutan awam, jalan raya dan infrastruktur awam hinggalah kepada keperluan asas yang perlu dipastikan ada iaitu air, tenaga dan komunikasi.
Justeru, kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Penerangan. Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang bertanggungjawab memastikan keperluan asas kepada rakyat tidak terjejas.
Namun begitu kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang diketuai oleh Datuk Seri Rais Yatim mempunyai tanggungjawab bagi mengisi keperluan jiwa rakyat. Ini kerana manusia tidak boleh wujud dengan kesenangan kebendaan semata-mata. Walaupun kedudukan kewangan kukuh dengan ekonomi yang baik, jiwa rakyat perlu diisi untuk menjadikan hidup ini bermakna. maka Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan membekalkan pengisian hidup ini. Kebudayaan bukan setakat rancangan konsert melalui televisyen. Tetapi pembangunan jiwa rakyat perlu diisi melalui institusi-institusi seperti balai seni lukis, muzium, panggung teater dan perpustakaan.
Sememangnya soal-soal ini turut terletak di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. tetapi di peringkat nasional, kementerian penerangan, komunikasi, kesenian dan kebudayaan mempunyai tanggungjawab bukan saja mengisi tetapi memperkayakan jiwa rakyat.
Tetapi apabila disebut jiwa rakyat, ia juga berkait dengan minda. Pemikiran rakyat yang kreatif, inovatif dan bernilai tinggi perlu dipupuk. Maka kegiatan kementerian itu perlu dikaitkan juga dengan kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Lebih-lebih lagi perkara ini dapat dilihat daripada sudut kewujudan agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Agensi ini terletak di bawah Kementerian Pelajaran. Begitu juga dengan peranan universiti-universiti kepada pembangunan minda rakyat. Mereka pula terletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
Maka jika dikira tentang usaha untuk pembangunan jiwa dan minda rakyat, maka kementerian-kementerian ini juga bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi wajar bekerjasama untuk menampilkan Malaysia yang berdaya maju dan berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kemajuan pemikiran manusia sedunia.
Selain itu, perlu juga disedari betapa jiwa dan minda rakyat dicorakkan oleh aktiviti media massa, baik dalam bentuk lama iaitu cetakan, mahupun elektronik termasuk Internet, yang disebut sebagai media baru. Sekali lagi, kedudukan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan juga bertanggungjawab untuk mendorong terbentuknya hati nurani nasional yang unggul dan berbudiman.
Ciri-ciri rakyat yang sedar bahawa mereka berkongsi satu negara dengan jati diri yang mantap juga menjadi tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi di JPM yang diketuai Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Jati diri negara juga tidak terlepas daripada pegangan rakyat terhadap undang-undang dan sistem demokrasi berparlimen negara ini. Hal ini pula terletak di bawah Bahagian Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen di JPM yang diketuai Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tetapi akhirnya, kehidupan rakyat ini dengan segala usaha untuk hidup senang dan berjaya, berharta dan berfikiran tinggi, semuanya tidak bermakna jika keperluan kerohanian tidak diisi dan dibangunkan.
Maka kalau dikira dari sudut ini, menteri yang paling penting ialah Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab kepada bahagian Hal Ehwal Agama Islam di JPM. Selain daripada hakikat bahawa islam adalah agama rasmi Malaysia, perlu difahami bahawa rakyat mahukan kejayaan bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat.
Maka jika diteliti peranan kementerian-kementerian itu, akan dapat dilihat bahawa semuanya adalah penting bagi rakyat. Justeru untuk mendapatkan keberkesanan, kesatuan jemaah kabinet amat dituntut oleh rakyat supaya akhirnya ia akan dapat memajukan negara.
Dengan melihat sudut ini, siapa yang memegang jawatan menteri, sama ada mereka datang dari Malaysia Barat atau Malaysia Timur, tidak kira daripada kaum mana, Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, dan daripada parti yang mana dalam Barisan Nasional, UMNO, MCA, Gerakan atau MIC; apa yang penting ialah keberkesanan setiap menteri melaksanakan tugasnya.
Sememangnya ketika Perdana Menteri menyusun senarai jemaah menterinya, beliau harus membuat pelbagai pertimbangan dari segi politik. Bukan saja soal ketokohan dan kemampuan seseorang tetapi perkiraan politik juga amat penting. Itulah tanggungjawabnya di mana rakyat wajar meletakkan keyakinan pada beliau.
Ini kerana setelah memberikan mandat kepada beliau untuk memimpin negara, rakyat mesti yakin kepada kebijaksanaan beliau dalam menyusun jemaah menterinya.
Kerjasama daripada rakyat ini penting bagi menjayakan matlamat Kabinet Rakyat ini. Dalam hal-hal untuk mencapai matlamat negara, ia harus dibezakan dengan kepentingan politik kepartian masing-masing.
Oleh Zin Mahmud, Rencana, ARKIB, 12 April, 2009, Utusan Malaysia
Ulasanku
1. Aku berpendapat Kementerian Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan perlu diperkasa dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar terutama dalam membina kekuatan imbangan perdagangan dunia, KNK dan pendapatan negara serta pendapatan seisi rumah. Imbangan cukai termasuk cukai pendapatan dan zakat hendaklah dimanfaatkan ke arah menyusun semula ekonomi tempatan. Penekanan kepada institusi pembangunan ekonomi berasaskan syariah dan institusi perbankan, takaful Islam hendaklah dilipatgandakan dan dilaksanakan lebih derastik ke arah memantapkan ekonomi masyarakat Islam. Ini bermakna, gagasan Islam dalam menyelesaikan persoalan ekonomi domestik dan antarabangsa dengan mengelakkan daripada bahaya riba menjadikan agenda utama. Keberkatan akan direncana apabila, sistem ekonomi berlandaskan dan berprinsipkan hukum Pencipta diusahakan secara ikhlas. Islam juga bersedia membangunkan jihad dalam aspek ikhtisad. Sistem Islam bukan menjadi alternatif dan jalan keluar sementara.
2. Kementerian berkenaan wajar melaksanakan program dan aktiviti merancakan ekonomi dengan cara menarik pelaburan asing yang berasaskan teknologi tinggi dan bukan berasaskan 'cheap labour'. 'Trade mission' seharusnya dilakukan untuk menarik lebih ramai pelabur-pelabur asing yang sedia ada bagi menambahkan pelaburan, agar peluang pekerjaan terbuka luas untuk rakyat tempatan. Pemilikan 100% saham atau ekuiti untuk syarikat-syarikat asing wajar dibuka bagi bidang-bidang yang Malaysia sendiri tiada 'expertise', bagi memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat tempatan. Kita juga mengharapkan agar syarikat-syarikat Malaysia bersedia untuk melabur di negara-negara lain dan memanfaatkan pelaburan dengan mengambil sebahagian besarnya pekerja dari Malaysia sendiri.
3. Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi wajar menyediakan pelan bertindak untuk melahirkan ramai usahawan tempatan ('entrepreneur') dan bukan hanya menyediakan pasaran kerja semata-mata. Kita ingin melahirkan rakyat Malaysia yang mampu berdikari atau bekerja sendiri dan menerokai bidang-bidang ekonomi dan kehidupan dengan lebih luas. Melahirkan pekerja-pekerja yang hanya mengetahui untuk bekerja secara "makan gaji", sudah ketinggalan zaman; sewajarnya tidak menjadikan dunia pendidikan ini terbatas dalam menyediakan sukatan pelajaran yang lebih 'flexible dan reliable' untuk menuntut perubahan yang lebih dinamik dan derastik. Ini bermakna, pelajar-pelajar atau penuntut-penuntut wajar dibina sikap mereka untuk lebih berani menghadapi dunia ini dan bukan hanya diberi ilmu pengetahuan semata-mata atau menjurus kepada orientasi peperiksaan. Ini bermakna, pendedahan para pelajar hanya kepada dunia peperiksaan berbelas-belas tahun sejak pada kelas tadika sehingga ijazah pertama, tentunya menyekat perkembangan minda untuk berfikir secara lebih sedar, konstruktif dan 'broader minded'. Sistem pendidikan kini masih ada kelemahan yang amat ketara di dalam membina sikap, keyakinan, berprinsip untuk hidup sebenar, apatah lagi dalam membina keyakinan beragama dan untuk menunaikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Harga diri, perwatakan, maruah insan dan akhlak wajar dikembalikan semula. Kita hanya menghabiskan masa menceritakan keburukan umat, namun pada hakikatnya, kita masih jauh untuk merangka dan memperbincangkan bagaimana untuk memulih umat daripada bencana dan kerosakan yang telah terjadi di hadapan kita setiap hari.
Aku meminta semua yuran dimansuhkan kepada semua sekolah rendah dan sehingga menengah atas agar semua rakyat menikmati pendidikan percuma, sekurang-kurangnya memperolehi STPM. Pemberian biasiswa kepada semua keluarga yang kurang mampu wajib diberi sekurang-kurangnya sehingga ijazah pertama, bagi memastikan semua rakyat mempunyai sijil atau kelayakan pendidikan tinggi.
4. Sistem pendidikan Islam, kepimpinan hendaklah diperkasa, dengan mengintegrasikan sekolah pengajian pondok moden (untuk mengekalkan pengajian tradisional Islam), akademik, pelajaran bahasa asing, agar rakyat yang beragama Islam dapat memahami ilmu-ilmu Islam secara sistematik dan memahami ilmu sains dan teknologi dan berbahasa banyak bahasa dan mampu bersaing di pasaran global. Aku dapati pemahaman umat Islam mengenai agamanya tidak seperti yang diharapkan, ekoran krisis dan masalah nilai, keruntuhan keluarga, akhlak dan kerosakan perangai umat. Semua institusi pendidikan formal dan tidak formal milik persendirian hendaklah turut dibantu dan dibiayai dari aspek kewangan yang mantap. Janganlah kita mewujudkan polemik tertentu apabila sumbangan kewangan hendak disalur atau diuruskan. Agenda pembangunan minda umat sewajarnya menjadi agenda keutamaan.
5. Umat bukan Melayu dan bukan Islam, wajar diberi kursus atau pendedahan mengenai ilmu asas Islam, agar mereka dapat memahami Islam dari perspektif sebenar dan bukan sentimen politik kepartian. Sama ada mereka akan tertarik untuk memeluk Islam, kita serahkan kepada hati mereka untuk menentukan pilihan sendiri. Sekurang-kurangnya dalam konteks dakwah, usaha untuk memahamkan Islam kepada mereka sudahpun terlaksana. Kursus boleh dimulakan di jabatan kerajaan dan di tempat kerja masing-masing atau NGOs. Para menteri kita yang bukan Islam boleh turut serta menjadi peserta.
6. Pembinaan modal insan sebenar. Maka, dalam konteks ini, aktiviti, latihan, program dan kursus ketatanegaraan, jati diri, motivasi atau 'whatever events' untuk pengembangan minda, rohani dan fizikal pelajar wajar diatur oleh guru-guru pembimbing, penasihat persatuan dan Hal ehwal pelajar di semua peringkat Pengajian Tinggi Awam dan swasta.
No comments:
Post a Comment