Friday, April 24, 2009

MERANTAU ADA KESAN POSITIFNYA

Hikmah merantau ke luar negara

Pengenalan

Kekerapan menetap dan berulang alik ke luar negara, memungkinkan aku untuk menulis beberapa hikmah positif mengenai pengalaman hidup semasa di perantauan. Pada asasnya, di dalam kesusahan ada keseronokan dan di dalam kegembiraan kadang-kadang tercuit kedukaan. Tidak semua kita rasakan manis bila kita berada di negara orang lain. Aku dan keluarga terpaksa banyak belajar dan berdikari dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t. semasa menghadapi suasana genting tanpa pulus banyak memberi makna di dalam kehidupan. Aku tidak pernah rasai begini sebelum ini, apatah lagi aku bergaji tetap, bolehlah agak sesuai dengan hidup di dalam negara sendiri, tanpa kerumitan kewangan dirasakan.

Kesempitan semasa kehabisan wang belanja dan memohon simpati rakan taulan di sini, membuat aku sentiasa merenung dan menginsafi berapa ada insan lain ada yang lebih malang hidupnya, tanpa ilmu, kasih sayang, hilang pekerjaan atau kerjaya dan tiada pendapatan atau sara hidup tetap untuk menyara keluarga, apatah lagi dalam suasana ekonomi yang muram dan ramai yang dibuang kerja.

Aku tidak bercadang untuk menceritakan pengalaman-pengalaman kesusahan secara terperinci yang aku dan anak-anak alami apabila keputusan dan ketidakcukupan elaun dan wang saraan terutama ketika elaun belum dikaji semula, khususnya pada tahun 2006. Walaupun ada teman-teman yang akan mempersoalkan, ketidakcukupan wang itu bergantung kepada kadar penggunaan dan kebijaksanaan diri kita sendiri.

Semasa aku tinggal di USA dahulu, kami mendiami Family Married Housing, sebuah 'apartment' yang disediakan oleh universiti dan tiada bebanan kewangan dirasakan, teutama masalah bayaran bil elektrik, gas dan air kerana bayarannya tidaklah mahal seperti di UK ini.

Di UK yang aku rasakan amat parah ialah ketika musim salji (winter) bil gas mencecah hampir £400 untuk 3 bulan, dan elektrik hanpir £300.00 dirasakan cukup terbeban. Aku menyewa rumah teres dan tiada rumah yang disediakan oleh university of Hull. Penduduk UK sendiri di dalam ruang pendapat dan komen di akhbar-akhbar utama sering membahaskan mengenai rungutan kenaikan dan mahalnya bil yang kena dibayar.

Aspek positif sahaja

Aku rasa perlu untuk menulis dan berkongsi pandangan dengan para pembaca dan penggemar blog mengenai kebaikan (advantageous), apabila kita merantau ketika belajar atau bekerja. di negara luar. Di antara hikmah yang sempat aku fikirkan ialah:-

1. Menguji kesabaran dalam semua perkara, ketika mempelajari ilmu pengetahuan. Kita dapati ramai di kalangan ulama besar masa silam sentiasa bermusafir, merantau dan berhijrah dari satu tempat ke satu tempat lain untuk menambahkan ilmu, pengalaman dan mematangkan kehidupan. Aku merasakan ketika aku belajar dahulu dan kini bekerja sementara berada di UK, dirasakan banyak ujian dan dugaan yang perlu dilalui kerana keadaan persekitaran yang berlainan dan cara kehidupan yang turut ada perbezaan. Pandangan orang British sendiri terhadap diri kita (tidak semua memandang kita rendah), namun pada kebanyakannya kita mesti bersaing dan kadang-kadang terpaksa bersungguh-sungguh mempertahankan hujah bahawa kita juga sama ‘pandai’ dengan mereka, terutama apabila berhadapan dengan anak-anak yang belajar di sekolah menengah yang setengah daripada anak-anak lambat atau kurang berinteraksi dengan orang tempatan. Mungkin di kota London tidak begitu kerana kota metropolitan London terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan yang hakikatnya melebihi orang tempatan sendiri. Di Hull, sebuah bandar kecil dan penghuninya masih ramai orang kampung tempatan.

Sekadar untuk meninjau bagaimana ulama-ulama besar dahulu dan kebanyakan ustaz kita yang belajar di Jordan, Mesir juga akan mengalami perkara yang sama. Mesir tidaklah semahal UK. Hidup dalam kesusahan merantau banyak menguji erti kesabaran dan fikiran sentiasa bergerak untuk melakukan dan menuntut sesuatu perubahan dan penambahbaikan.

2. Ikatan ukhuwah terbina, tolong menolong dan melatih untuk memberi kerjasama kepada komuniti sendiri. Aku merasakan setelah berada di UK untuk tahun yang ketiga ini, persatuan atau Kelab Melayu seperti di Hull ini, setidak-tidaknya dijadikan platform berbincang dan dapat membantu memberi idea dan jalan keluar terhadap permasalahan yang berlaku di kalangan ahlinya. Kami bersedia untuk membantu untuk meringankan penderitan sahabat-sahabat seperti meminjamkan wang ketika sesak, mengatur program untuk majlis-majlis tertentu dan yang terpenting bersama-sama membantu mencari peluang pekerjaan; 'gather the information and sharing process'. Semangat persaudaraan teramatlah baik, walaupun mungkin ada sesetengah masih sombong atau tidak peduli dengan apa yang berlaku, atau terbawa-bawa macam tinggal di bandar dan kampung sendiri, tidak kisah orang lain, namun pada amnya, kami seperti adik-beradik sendiri. Kami tidak ada keluarga, ayah, emak, uncle, auntie dan sebagainya. Apabila ada kematian datuk nenek, ayah atau sepupu sendiri, kami yang tidak cukup wang hendak balik Malaysia, sekadar mengadakan program bacaan Yasin dan doa arwah kepada simati bersama-sama. Pilunya rasa di hati. Begitu juga apabila suasana di bulan Ramadhan dan Hari Raya.

Cuba anda bayangkan, jika ada kematian secara tiba-tiba di kalangan saudara di Malaysia, ramai yang tidak sempat balik kampung dan rasa terkilan kerana tidak dapat menjengok jenazah. Inilah yang aku pernah alami, ketika seminggu lagi kami hendak balik ke Malaysia, nenekku meninggal dunia, semasa aku duduk di Amerika pada tahun 1995 dan semasa aku belajar di Hull ini pada tahun 2006, sepupu perempuanku meninggal dunia.

3. Kesabaran mencari nafkah tambahan dan pekerjaan (kerjaya). Dugaan kehidupan yang mencabar, tentunya meluaskan dan menggarap pengalaman yang berbeza kerana sifat persekitaran yang berbeza, dan kecekalaan ketika mencari peluang pekerjaan memerlukan kesabaran yang tinggi. Proses temuduga dan kesanggupan majikan memberi peluang kepada orang luar untuk bekerja dilihat dari pelbagai aspek terutama kecekapan berkomunikasi dan bahasa. Kelulusan yang tinggi dari aspek ‘soft skills and knowledge’ tidak menentukan seseorang berupaya menjual dirinya di pasaran tenaga kerja yang sedia ada. Mereka yang ada ‘handy skills’ seperti kemahiran kimpalan, ‘plumbing’ dan seumpamanya dibayar gaji tinggi di UK.

Mencari pekerjaan dengan tidak pernah mengenal erti jemu dan sentiasa melihat iklan dan memohon jawatan kerap dilakukan. Kami tidak pernah kenal erti ‘frustrated and fed up’ dengan nasib yang ada.

4. Bersedia dan berkorban untuk menghadapi kesukaran dan kesusahan serta tidak pernah mengenal erti tewas dan mengalah. Ketika ini terasa dekat, berserah, mengadu masalah dan terus memohon pertolongan kepada Allah s.w.t. Ini tidak bermakna, semasa kita tinggal di negara sendiri, kita tidak dekat dengan Allah, namun pada hakikatnya, ramai manusia bila diuji dengan kesenangan, ramai yang lupa daratan.

Ketika aku di UK ini, tidak semasa di Amerika, mungkin masa itu anak masih kecil dan tidak makan kuat, namun apabila ada anak yang bujang-bujang dan belajar di Kolej dirasakan memerlukan banyak komitmen kewangan tambahan. Dirasakan di sinilah letak tingkatan darjah keimanan dan taqwa kita kepadaNya. Aku bertambah yakin dengan Pertolongan Allah swt. Aku pada suatu ketika tidak cukup duit. Elaun sedikit dan kehidupan di sini, sememangnya masih tinggi. Ketika ini, datanglah suasana merenung tentang keagungan dan bertawakkal sungguh-sungguh kepada Allah itu sendiri, seolah-olah ada ‘self determining’ dan lahirlah keseronokan dan kelazatan beribadat bila dirundung kesedihan dan kesempitan. Solat sunat hajat dan dhuha dijadikan amalan harian.

5. Berusaha lebih gigih memperbaiki diri dari aspek-aspek kelemahan yang termampu. Walaupun mungkin ada orang biasa sahaja, duduk macam itulah selama-lamanya, tanpa berubah apapun, namun apabila menetap di luar negara, cara berfikir dan tindakan proaktif adalah lebih tinggi dan menuntut kecemerlangan. Aku melihat ramai orang Cina daripada tanah besar China, Hong Kong bahkan dari Malaysia (Vince Lee, asal orang Sabah membuka restoran take away, bernama Taman Ria Tropicana, di 45-47 Princes Avenue, Hull. Laman webnya: http://www.tropicana-hull.co.uk/), hidup mereka penuh dengan ‘survival’. Keadaan ini juga aku lihat di kedai yang dimilik oleh orang India, Bangladesh, Kurdish, dan Algeria.

Mereka tidak bergantung kepada orang lain. Semangat juang dan kerajinannya adalah amat tinggi dan aku ‘salute’ kepada mereka. Di sinilah perlunya kita mempelajari bahasa dan budaya orang lain agar sesuatu yang baik boleh kita ambil ikhtibar dan memperbaiki diri kita masing-masing.

Rumusan

Secara ringkasnya, budaya perantau bukan sahaja mempunyai kesan yang tersendiri kepada aspek pendidikan dan ekonomi, namun pada jangka masa panjang, manfaat yang luas dirasai di dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran mendatang yang kita sendiri tidak dapat jangkakan. Marilah kita bersedia dengan mental, fizikal dan roh yang tinggi. Siapa yang hendak mencuba, harga dan nilainya teramat tinggi.

No comments: