Thursday, April 16, 2009

Cintai Sungai Kita



1. Pendahuluan


Malaysia mempunyai 189 sistem sungai yang merangkumi 1,800 sungai dan anak sungai dengan panjang keseluruhannya 57,300 kilometer. Kita merasa teramat dukacita, banyak sungai di negara kita sudah tercemar. Contoh sungai yang teramat kotor ialah sungai Klang dan Sungai Pinang sehingga dikelaskan kategori ketiga atau keempat. Sungai paling teruk tercemar di Johor ialah Sungai Segget, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau. Di Pulau Pinang pula, contohnya, Sungai Pinang, sejumlah 120 tan sampah dibuang di dalamnya setiap tahun. Kehidupan sungai (marine life) semakin pupus dan sungai dijadikan tempat pembuangan sampah dan sisa kilang. Kelas kelima adalah terburuk sekali sehingga langsung tiada hidupan yang ada di dalamnya.


Kita mengharapkan menjelang tahun 2015, sungai dapat dibersih, dipulih dan dipelihara di setiap negeri.


Aku ingin menarik perhatian semua bahawa orang dahulu, membina rumah menghadap sungai kerana ia menjadi laluan perhubungan, sumber minuman, tempat bermandi manda dan membasuh pakaian, tetapi orang sekarang menganggap sungai tempat membuang sisa, sampah dan najis.


2. Punca sungai kita kotor


Aku sebenarnya teramat kesal mengenai sikap manusia terhadap soal kebersihan dan ia menjadi satu penyakit masyarakat yang sukar dicari penawarnya. Tabiat buruk orang ramai membuang sampah merata-rata sewajarnya tidak boleh dimaafkan.


Jangan kita menafikan bahawa kawasan setinggan termasuk yang didiami oleh pendatang asing tanpa izin adalah di antara penyumbang kepada pencemaran sungai selain sektor industri, perniagaan, penternakan dan pertanian. Di kawasan setinggan sememangnya kawasan yang tidak terurus, maka sampah akan dilihat berada di mana-mana termasuk di dalam longkang, parit dan sungai. Sikap peniaga sebagai contoh turut menyumbang kepada kekotoran sungai. Contoh yang jelas, sikap peniaga di Pasar Besar Kangar yang membuang sisa jualan ikan dan ayam yang telah disembelih serta sampah-sarap ke dalam sungai menjadi salah satu punca utama air Sungai Perlis kotor dan berbau busuk. Di samping itu, penebangan hutan yang tidak terkawal atau haram menyebabakan sungai membawa keladak dan lumpur ke muara sungai.


Hakikatnya, fakta yang menarik yang boleh kita bersepakat menerima ialah masalah pembuangan sampah dan sisa pepejal, buangan kilang, buangan air dari dapur adalah di antara penyebabnya, malahan ketidaksempurnaan sistem merawat kumbahan menjadi penyumbang utama kepada pencemaran sungai.


3. Mengapa kita perlu sungai yang bersih? Malaysia memerlukan sungai yang bersih untuk tujuan berikut:-


3.1. Untuk mengekal dan memperbaiki mutu bekalan sumber air mentah dan tadahan air

Kita memerlukan air bersih tanpa merawat dan melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.


3.2. Untuk aktiviti rekreasi, riadah dan pelancongan

Persekitaran sungai yang indah dan dalam boleh dimanfaatkan untuk tujuan pelancongan dalam negeri dan menarik pelancong luar. Aktiviti-aktiviti pelancongan boleh diatur seperti perkelahan, perkemahan, pelayaran dan permainan tertentu. Chalet yang berharga sederhana boleh didirikan untuk penginapan dan bersantai. Program bersukan seperti berakit, berkayak atau pertandingan seperti berenang, memancing boleh turut diadakan.


3.3 Pembinaan kompleks perdagangan, pusat membeli belah dan perhotelan

Di negara maju, pembangunan dan kompleks gagah dibina di tepi-tepi dan muara sungai. Kita boleh melihat pembangunan pesat berlaku seperti di Seine River di Paris, Sungai Singapura di Singapura, Chao Phraya di Bangkok dan Thames diLondon. Bandar-bandar besar ini menjadi nadi dan daya tarikan pelancong dari seluruh dunia. Kita boleh mencontohi ibukota-ibukota berkenaan.


3.4. Mengelakkan trajedi bencana alam akibat kecuaian manusia

Bencana alam seperti banjir besar dan kilat akibat sungai yang tidak dapat menampung jumlah air pada sesuatu ketika akibat sungai telahpun dipenuhi oleh bahan buangan yang disengajakan.


4. Langkah-langkah mengekalkan sungai yang bersih


4.1. Akta, polisi, penguatkuasaan dan hukuman. Di Negara-negara maju contohnya, di Amerika Syarikat di setiap negeri seperti di Texas telah meluluskan undang-undang, The Texas Clean Rivers Act of 1991 bertujuan mengembelingkan tenaga semua jawatankuasa pemandu dalam menyediakan semua rakyat menyertai forum dengan memberi idea dan menyatakan kepekaaan mereka mengenai isu-isu kualiti air di dalam kehidupan.

Dalam konteks Malaysia, hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan terhadap semua pesalah, termasuklah penebangan pokok secara haram dan tidak terkawal.


4.2.Peranan Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) dan bajet. JPS berusaha mewujudkan program pembersihan sungai yang terancang dengan peruntukan yang munasabah. Visi mengindahkan sungai, pemulihan perparitan, longkang-longkang, perangkap sampah dan pencemaran turut dirancang.

4.3. Kerjasama orang ramai, NGOs, industri dan agensi-agensi kerajaan. Di Minnesota, sebuah badan NGO iaitu Clean Up the River Environment (CURE) yang ditubuhkan pada 1992 adalah satu contoh NGO yang aktif memperjuangkan dan melindungi kualiti air. Misi NGO ini ialah memfokuskan kesedaran orang ramai betapa pentingnya menjaga kebersihan sungai bagi matlamat melindungi hidupan biologi dan keindahan semula jadi. Di Malaysia, setiap daripada kita wajar bersama-sama menyumbang tenaga bagi menyedarkan rakyat peri pentingnya menjaga alam sekitar dan sungai.


4.4. Pemindahan penduduk dan penghapusan kawasan setinggan di tepi sungai secara beransur-ansur wajar dilaksanakan. Projek mengindahkan sungai Pinang sebagai contoh yang dikendalikan oleh negeri Pulau Pinang melibatkan peruntukan RM150 juta. Peruntukan bagi pembangunan dan membayar pampasan kepada penduduk hendaklah difikirkan oleh kerajaan.

4.5. Kawalan terhadap penternakan, sisa industri atau kilang

Pemusatan penternakan babi yang bersistematik dan berpusat wajar dilaksnakan dan pengawalan bahan buangan daripada kilang hendaklah dipatuhi oleh semua industri berkenaan.

4.6. Kempen berterusan.

Kempen Cintailah Sungai Kita tahun ini adalah satu lagi usaha oleh JPS untuk menganjurkan kesedaran umum, empati dan keprihatinan terhadap sungai kita dan usaha bersepadu dijalankan untuk membersihkan sungai kita di seluruh negara. Selain program pendidikan dan kesedaran yang berterusan, kempen tahun ini yang melibatkan Program Pembersihan Sungai, Pengindahan Sungai, Pemulihan Pencemaran, Sungai Angkat dan Pendidikan yang mensasar individu, badan korporat dan sektor awam. (Petikan Laman web JPS)

5. Rumusan

Kempen ‘Cintai Sungai Kita’ yang berusia 15 tahun ternyata gagal. Tebing sungai diperindahkan, namun air sungai semakin kotor kerana manusia masih mengabaikan kebersihan sungai. Tebing sungai cantik, air sungai tetap kotor bermakna manusia belum sedar mengenai aspek memulihara dan memelihara alam sekitarnya.

Aku merasakan tiada jalan singkat untuk menyedarkan masyarakat dan mereka yang tinggal di Malaysia ini melainkan mereka sensitif terhadap persekitaran yang bersih. Di sekolah rendah dan menengah, wajarlah diajarkan semula pendidikan Tatarakyat bagi membolehkan anak-anak daripada yang masih kecil menghormati nilai dan makna kebersihan serta menghormati dan mencintai alam sekitar termasuk sungai.

Aku mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan bersedia menyediakan pelan perancangan jangka panjang sehingga 2015 untuk membina projek-projek pembangunan di tepi-tepi atau muara sungai dengan menitikberatkan integrasi pelancongan sungai dan perhotelan yang bersesuaian. Aku ingin melihat suatu masa nanti di sepanjang sungai Klang mungkin kita boleh melihat sampan, perahu, bot atau kapal kecil menyusuri sungai ini dan pelancongan pesat di sekitarnya.

Semenjak aku menetap di UK dan telah melawat Scotland dan Switzerland beberapa kali, bahkan hari ini aku sempat meronda-ronda di pekan Beverley, di Hull ini, didapati semua sungai dan anak sungai, bahkan tasik terjaga dan terurus tanpa pencemaran. Airnya jernih dan aku nampak itik-itik, burung-burung menyelam dan berenang di dalamnya, terasa nyaman di pemikiran dan damainya di hati. Penduduknya membuang sampah dan semua sisa buangan di dalam tong-tong sampah yang disediakan, walaupun di belakang dapurnya sungai kecil mengalir. Sungai di sini adalah kelas satu iaitu airnya boleh diminum tanpa rawatan atau kelas kedua airnya memerlukan rawatan biasa sahaja.

Mengapalah malangnya nasib sungai kita..............?

Sumber rujukan:

http://cureriver.org/, Restore and Protect the Upper Minnesota River Watershed

http://www.tceq.state.tx.us/compliance/monitoring/crp/, Texas Clean Rivers Program: Working Together for Clean Water and Sensible Decisions

The Star online, Vision for a clean river by Tan Sin Chow, Monday March 23, 2009

Laman Web JPS

http://medkom.my/ Sungai oh sungai mengapa engkau kotor? Monday, 02 June 2008

1 comment:

anakayah said...

tahniah suatu huraian menarik. Apakah langkah kerajaan selangor dalam memperbaiki kualiti sungai klang supaya dapat menjadi tarikan seperti sungai thames di UK atau sungai EU lain.