1. Pendahuluan
ZINA dalam Islam bermaksud hubungan seks antara pasangan lelaki dengan perempuan di luar ikatan perkahwinan yang sah. Zina adalah haram dan berdosa besar. Islam melarang umatnya bergaul bebas lelaki perempuan dan berseronok atau berhibur di luar batasan akhlak sehingga membawa kepada persetubuhan haram. Allah melarang keras perkara-perkara yang menghampirkan diri seseorang ke arah penzinaan.
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan” (Al Israa' : 32)
Zina adalah suatu perbuatan jenayah, tidak bermaruah, tercela dan terkutuk. Zina dilarang sebagai suatu hudud Allah (batasan-batasan Ilahiyah) kerana merosakkan moral, akhlak, pemikiran dan fizikal manusia.
2. Kemudaratan dari aspek berikut:-
2.1 Keturunan yang tidak sah tanpa ada pertanggungjawaban. Ianya memusnahkan dan menghancurkan nasab dan keturunan. Penzinaan adalah dianggap satu masalah sosial sekarang dan masalah perzinaan ini tidak boleh hanya dilihat daripada pelanggaran hukum sesuatu agama semata-mata. Hakikatnya, ianya suatu masalah yang kompleks atau rumit.
2.2 Berdasarkan perspektif kesihatan. Menurut doktor perubatan, perbuatan berzina yang kerap atau perlakuan seks bebas akan mengundang pelbagai penyakit kelamin yang kronik dan amat menyakitkan kepada pelakunya. Perkembangan ini dijangka berterusan di Malaysia kerana remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya menjadikan mereka sebagai kumpulan paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit kelamin. Mereka yang sudah berkeluarga atau berkahwin yang masih mengunjungi pelacur-pelacur murahan turut menjadi mangsa. Contohnya, jangkitan penyakit kelamin yang biasa seperti sifilis, gonorea dan penyakit AIDS adalah berpunca daripada perbuatan zina.
2.3 Perzinaan juga mempunyai kesan negatif terhadap tahap kesihatan reproduksi dan seksual lelaki dan wanita. Apabila kehamilan tidak dikehendaki, berlaku pula pengabaian terhadap jagaan antenatal yang menyebabkan sebarang komplikasi dalam kehamilan tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal.
2.4 Pengurusan dan penjagaan anak luar nikah. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), melaporkan lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Berdasarkan jumlah tersebut, secara puratanya, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.9 kes pada setiap hari.
Statistik turut menunjukkan peningkatan yang amat ketara berkaitan kelahiran anak yang tak sah taraf (anak luar nikah) sejak tahun 1999-2003, terutama di kalangan orang Islam iaitu sejumlah 30,978 daripada 70,430 adalah anak orang Islam.
Di bawah ini, perangkaan berdasarkan negeri
Pecahan mengikut negeri
SELANGOR 12,836 orang
PERAK 9,788 orang
KUALA LUMPUR 9,439 orang
JOHOR 8,920 orang
SABAH 8,435 orang
NEGERI SEMBILAN 4,108 orang
PAHANG 3,677 orang
KEDAH 3,496 orang
PULAU PINANG 3,412 orang
MELAKA 2,707 orang
KELANTAN 1,730 orang
PERLIS 691 orang
SARAWAK 617 orang
TERENGGANU 574 orang
JUMLAH 70,430 orang
Kehamilan dan kelahiran anak luar nikah yang tidak dirancang atau tidak terkawal mengakibatkan kesan keruntuhan dan kehancuran institusi rumah tangga. Kerajaan akan menanggung bebanan menyelesaikan masalah sosial, walaupun dalam konteks Malaysia, banyak kes yang tidak dilaporkan, tiada maklumat dan data yang terkini (update), kajian menyeluruh dan tiada peranan sebenar untuk menyelesaikan persoalan pencegahan dan selepas berlakunya kelahiran anak zina.
Contoh dan perubahan ‘trend’ yang terjadi di Barat, yang semakin bersifat bebas dan terbuka sehingga membenarkan pasangan sejenis untuk berkahwin, membenarkan kebebasan individu untuk menggugurkan anak, mengiktiraf tingkah laku lucah sebagai kesenian dan mengakui pelacuran (social workers) sebagai kerjaya tidak wajar menjadi ikutan dan budaya kita. Pendidikan seks di Barat hanyalah sebagai “comprehensive sex education”, umumnya hanya untuk bertujuan kesihatan umum seperti mengelakkan penyakit kelamin, mencegah kelahiran anak luar nikah kerana hal ini banyak menimbulkan masalah sosial seperti jenayah dan kemiskinan di samping membebankan kerajaan dari aspek kewangan kerana kerajaan harus menyediakan ‘benefits schemes’ disebabkan ketidakupayaan keluarga bagi menyara anak luar nikah berkenaan.
3. Beberapa tindakan yang wajar diambil segera:-
3.1 Pendidikan Islam dan seks dan pengurusan kesihatan. Usaha mesti dipertingkatkan dengan serius untuk mengelakkan gejala zina ini berleluasa. Pendidikan seks dalam Islam juga menjurus pada pencegahan amalan seks di luar fitrah manusia seperti lesbian, gay, mendatangi binatang, dan menyetubuhi dubur hendaklah dilaksanakan pada sukatan mata pelajaran agama ( dalam bab hukum fiqh dan munakahat hendaklah ditekankan) di sekolah-sekolah. Semua sekolah menengah diwajibkan mendidik pendidikan kekeluargaan dan seks kerana di dalam Islam, pendidikan seks adalah bertujuan sebagai satu wasilah bagi membangun unit-unit keluarga yang soleh sebagai asas membina sebuah masyarakat yang soleh. Perspektif seks jangan hanya dilihat sebagai sesuatu yang dilakukan bagi memenuhi keperluan biologi semata-mata atau hanya sebagai tanda atau bukti rasa cinta antara dua pasangan manusia yang saling kasih-mengasihi. Kita kini wajar membicarakannnya secara terbuka dan rasional dan tidak bersifat mendiamkan diri atau bersifat tradisional atau menyembunyikan fakta dan hanya menerima hakikat apa yang telah terjadi tanpa memikirkan apa-apa tindakan positif untuk memperbaikinya.
3.2 Dari aspek pencegahan yang lain ialah rakyat Malaysia dari semua lapisan, sewajibnya mempunyai gaya hidup, minda sihat, halal dan berdisiplin mengenai perlakuan seks. Langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan kemahiran keibubapaan (parenting skills) hendaklah dilaksanakan oleh semua badan kerajaan, kerajaan pusat dan negeri dan NGOs seperti PIBG bagi meningkatkan kesedaran hidup berkeluarga yang harmoni dan sejahtera. Siapa sahaja boleh terdorong dan terjebak kepada penzinaan akibat kurang matang dan keseronakan tanpa memikirkan dan menilai risiko yang mendatang.
3.3 Persekitaran, suasana, sokongan media dan pihak berkuasa. Pendedahan media yang tidak terkawal dan suasana terdedah kepada internet tanpa batasan memerlukan pengawasan yang teliti dan sempurna oleh semua ketua keluarga, masyarakat, jabatan, pemimpin dalam semua organisasi. Kerajaan boleh membatalkan permit edaran majalah tertentu atau pihak Lembaga Penapisan Filem Negara mampu melakukan yang terbaik jika ingin melihat masyarakat tidak punah ranah. Penafisan Filem Negara dan pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah mengawal lagu-lagu kaset, tape, video-tape, dan filem-filem. Pegawai-pegawai mesti berwaspada dalam menentukan supaya negara ini tidak dibanjiri dengan lambakan‘ bahan lucah’ yang boleh mempengaruhi minda terutama muda-mudi di negara kita ini.
3.4 Peranan para ilmuan dan agamawan hendaklah sensitif dalam memerangai persoalan ini. Peranan ulama dan ustaz atau ustazah bukan hanya mengajar atau menerangkan sesuatu hukum, namun hakikatnya wajib berdakwah dan mendidik ke jalan Islam yang sebenar. Pendekatan di bilik darjah mestilah disesuaikan dengan kadar kepantasan dan kepekaan remaja, muda mudi mengenai seks. Peranan NGOs yang bukan Islam boleh menegur dan menasihati orang ramai agar mempunyai perlakuan seks sihat dan terkawal.
3.5 Pusat Pemulihan dan kaunseling atau 'Youth Centre'. hendaklah diwujudkan. Walaupun aku tidak bersetuju sepenuhnya untuk kita memperbanyakkan pusat pemulihan akhlak sama ada yang dikendalikan oleh kerajaan atau NGOs dan mendapat peruntukan daripada kerajaan dan menggunakan ‘tax payers money’, kerana dikhuatiri akan meramaikan lagi jumlah penzina, namun mereka yang terjebak dan golongan remaja atau anak muda yang telah melahirkan anak zina wajar diberi pembelaan dan perlindungan untuk kehidupan yang sihat dan kembali normal menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa dan bermaruah.
3.6 Kajian dari aspek undang-undang dan hukuman berat kepada pesalah zina dan persoalan hukuman dalam Islam. Aku serahkan perkara ini kepada pengamal undang-undang dan kerajaan yang berkuasa untuk menelitinya. Carilah jalan yang terbaik untuk mengatasinya untuk kebaikan umat sejagat tanpa mengira agama dan bangsa atau keturunan.
4. Rumusan
4.1 Akibat penzinaan, memberi kesan negatif terhadap maruah diri sendiri (pelaku zina), keluarga, masyarakat dan bebanan kepada negara dan negeri dari aspek pengurusan sosial dan ekonomi. Kepada semua pembaca dan pelawat blog ini, carilah jalan untuk menyelamatkan keluarga kita masing-masing daripada gejala tidak sihat seperti sumbang mahram sehingga membawa murka Allah dan diazab olehNya.
4.2 Semua pihak mesti bertanggungjawab, berperanan untuk mencegahnya sebelum parah, "prevention is better than cure”.
No comments:
Post a Comment