Tuesday, April 21, 2009

Ranking Bola Sepak Malaysia


CHRISTIANO RONALDO

Pengenalan

Malaysia dinyatakan semakin membaiki kedudukan dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila melonjak satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-161 dunia. Berdasarkan laman web FIFA yang mutakhir, Malaysia berkongsi kedudukan dengan St. Lucia, iaitu sebuah negara di kepulauan Caribbean. Dalam senarai FIFA bulan lepas, Malaysia menduduki tangga ke-162, berbanding ranking ke-166 pada Julai dan ke-170 pada April lepas. Pencapaian terbaik Malaysia ialah pada Ogos 1993 apabila menduduki ranking ke-75. (BERNAMA, 4 September, 2008, http://www.fifa.com/search/index.htmx?q=malaysia+ranking)

Aku ingin mempersoalkan, kenapakah bola sepak Malaysia dibiarkan hanyut dan merosot tanpa ada langkah tepat dan konkrit untuk mengatasinya atau sekurang-kurangnya memastikan bola sepak Malaysia tidak tenggelam dengan lebih buruk hingga sukar untuk dihidupkan kembali.

Jika keadaan begini berterusan, usah bermimpi untuk melahirkan idola bola sepak negara seperti allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R.Arumugam Shukor Salleh mahupun Datuk Soh Chin Aun.

Ketika ini ramai peminat setia sukan negara mengharapkan satu perubahan baru dilakukan oleh FAM terhadap kualiti skuad bola sepak negara.

Punca Kemerosotan

Kemewahan yang dinikmati oleh pemain bola sepak hari ini dikatakan menjadi antara punca kemerosotan skuad bola sepak negara. Manja, mementingkan ganjaran dan tidak kreatif merupakan kritikan lumrah oleh peminat kepada pemain yang kini bergelar pemain profesional. Ada yang memberi alasan bahawa pemain sudah hilang semangat bermain untuk negara dan hanya memikirkan mengenai gaji lumayan yang bakal diterima daripada pasukan negeri ataupun kelab yang diwakili. Akibatnya, persembahan mereka cukup mengecewakan.

Faktor kemerosotan prestasi turut berpunca daripada corak permainan yang kurang berkualiti dan tidak konsisten selain kekurangan pemain yang berpotensi dan menyerlah.

Faktor lain, pemain dikatakan tidak berdisplin sehingga berlakunya rasuah. Skandal rasuah dan mengatur perlawanan melanda bola sepak negara mengakibatkan lebih ramai pemain yang dianggap berpotensi, dikenakan pelbagai hukuman daripada digantung bermain atau dibuang daerah.

Kurangnya, jurulatih yang berkebolehan dan berkemampuan dan akibat kegagalan memenangi perlawanan antarabangsa, ramai jurulatih ditamatkan kontrak.

Alasan lain bahawa FAM diterajui oleh orang yang berkepentingan politik dan tidak mempunyai pengetahuan dalam bola sepak. Pengurusan FAM ramai terdiri daripada orang lama dan banyak ‘politicking’ di dalamnya.

Cara Pulih

Peranan FAM. Benarkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi bola sepak kebangsaan kerana selama ini, badan itu masih terus bergerak menganjurkan liga tempatan dengan menggunakan dana sendiri yang terbatas? Tanggungjawab badan induk, FAM, wajar mengakui kurangnya perhatian terhadap program pembangunan di peringkat akar umbi seperti di peringkat daerah dan negeri menjadi punca negara ketandusan pemain yang berprinsip dan yang berkualiti. Maka, proses pemilihan pemain dan pengurus pasukan wajar diselidiki dan dihalusi, tanpa ada perasaan pilih kasih atau ‘in favour’, berat sebelah atau ‘more politicking involved’. FAM boleh bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak negeri untuk bersama-bersama menangani isu sukan bola ini.

Pembentukan skuad negara lebih awal. Pemain berkualiti, dengan aksi menarik dan pendedahan pengalaman yang baik akan dapat membentuk dan memperkukuhkan disiplin, kemahiran dan mental pemain. Pengurusan dan jurulatih (coach) yang terbaik akan merencanakan pembangunan sukan negara yang mantap.Program mencari pemain berbakat wajar diusahakan sepanjang masa.

Peranan dan Fungsi Akademi bola sepak Negara. Kajian menyeluruh terhadap pengurusan sukan negara, prestasi pemain dan kejurulatihan, program latihan yang sistematik dan proses mencari pemain yang berminat bergiat dan berbakat dari muda lagi hendaklah dilakukan. Sekolah sukan yang khusus seperti di Bukit Jalil diharapkan dapat membangunkan latihan yang sesuai kepada bakal-bakal sukan negara di samping memastikan pelajar berjaya di dalam pelajaran dan peperiksaan masing-masing.

Rumusan

Kita tidak perlu mencari kelemahan dan kesalahan mana-mana pihak. Semua pihak perlu ada komitmen bermula di peringkat melahirkan pemain bawahan hingga pembentukan skuad negara. Tidak harus ada lagi halangan kepada objektif FAM yang mahu memperhebatkan program pembangunan baru di peringkat akar umbi selain berazam mengubah kedudukan Malaysia dalam ranking dunia.

‘Politicking’ hendaklah dielakkan sama sekali. Kita hanya memerlukan semua pihak yang berdisplin dan ikhlas sahaja daripada pemain, jurulatih, pengurus dan pengurusan badan sukan di dalam memajukan sukan ini. Pengurusan sukan bola sepak hendaklah dikembalikan kepada mereka yang lebih bertanggungjawab sahaja dan bukan berebut-rebut jawatan dan kemudahan elaun atau turut menginginkan habuan-habuan tertentu. Pengurusan sukan tidak semestinya daripada kalangan orang politik, kerabat diraja dan sultan.

Jika semua perkara ini dapat diatasi, barulah penyokong dan peminat akan datang memenuhi stadium untuk menyaksikan bintang-bintang bola mereka.

Aku juga ingin menyaksikan Ronaldo Malaysia. Siapalah agaknya....................


No comments: