Sudah lama aku tidak berjalan-jalan di pasar malam di Puncak Alam. Pada hari Sabtu lepas dan hari ini, Rabu, selepas solat asar, aku sempat meninjau pasar tersebut. Aku lihat keadaan petak peniaga agak tersusun sekarang di hujung jalan di Shah Alam 2. Aku anggap lokasi ini sungguh strategik dan yang penting tidak mengganggu sangat lalu lintas, keselamatan orang ramai dan kesesakan di kawasan perumahan.
Aku boleh beri pujian kepada MDKS yang bersedia memindahkan tapak pasar malam tersebut bagi keselesaan orang ramai atau pengunjung. Aku anggap syor untuk memindahkan ke lokasi ini adalah suatu yang wajar dan praktikal.
Ianya bukan sahaja boleh menggalakkan lebih ramai penjaja atau penjual bahkan turut menarik pengunjung dari kampung berhampiran.
Aku turut bertemu dengan rakan-rakan sekitar taman yang aku duduk, bahkan ramai orang kampungku dari Bukit Hijau turun membeli makanan, daging, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Pasar malam begini adalah penting untuk memberi peluang kepada para peniaga kecil-kecilan mencari pendapatan dan berdikari.
Cuma aku dapati seperti biasa harga makanan seperti apam balik, pisang emas meningkat mendadak melebihi 20%. Ini sudah lumrah ketika kegawatan ini dan aku terpaksalah turut membeli petai, buah rambutan kerana sudah terasa rindu untuk makan sesuatu yang segar.
Aku sekadar meminta agar MDKS boleh menyediakan tong sampah untuk memudahkan orang ramai dan peniaga membuang sisa buangan atau sampah sarap agar kebersihan terjaga dan terpelihara di samping tanda jalan menandakan pasar malam dan had meletakkan kenderaan dengan sempurna bagi mengelakkan kemalangan jalan raya. Jika boleh disediakan conopy untuk kemudahan solat dan tandas bergerak, mungkin suatu kemudahan tambahan yang bermanfaat. Jika kosnya tinggi, tanda penunjuk surau yang berdekatan untuk sesiapa yang berhajat untuk menunaikan ibadat solat adalah suatu yang amat dialu-alukan. Aku terlihat seorang wanita solat terbuka adalah amat disanjung, namun jika ada tempat yang sempurna dan selesa adalah suatu elemen 'kebajikan', apatah lagi kaum peniaga dan pengunjung akan berada di kawasan pasar ini sehingga selewat-lewatnya jam 10.00 malam.
Mungkin syorku tidak begitu tepat, namun bila disebut pasar malam, malamkan gelap mungkin mengundang pelbagai masalah, khususnya keselamatan.
Di UK, tiada pasar malam, car boot sales adalah di hujung minggu, itupun pada waktu siang. Waktu malam, orang menggunakannaya untuk berehat.
No comments:
Post a Comment