Sunday, June 28, 2009

HUTANG & KESEMPITAN KEHIDUPAN

Hidup di dunia tidak sunyi daripada musibah, dugaan dan ujian. Setiap diri akan merasai kesusahan hati, resah gelisah dan kesempitan kewangan. Dalam hal ini pergantungan kita kepada Allah sewajarnya lebih hampir atau dekat, walaupun sesetengah daripada kita kadang-kadang terlupa untuk mengadu segala hal dan masalah kepada Allah s.w.t.
Pergantungan kepada makhluk tentu ada batasnya. Berapa ramai orang yang mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi, walaupun kita rasa ingin memohon pertolongan kepada seseorang atau orang tertentu.
Budaya tolong menolong, kemungkinan sukar diperolehi apabila masyarakat lebih mementingkan diri sendiri dan masing-masing sibuk mengurus diri dan keluarga masing-masing. Ini tidak dapat disangkal lagi, apabila keadaan ekonomi, taraf hidup yang semakin meningkatkan dan keperluan indiividu, anak-anak dan seisi keluarga terus meningkat sesuai dengan keadaan yang dialami kini. Hakikatnya, mereka turut sukar untuk membantu orang lain.
Adakah dunia semakin maju, masalah manusia bertambah atau direka-reka atau sengaja dilahirkan permasalahan yang pelbagai?
Adanya jumlah bilangan anak yang ramai, menjadi bebanan kewangan dan asuhan bahkan kasih sayang. Aku ada beberapa kenalan termasuk kenalan berbangsa Cina, apabila diajukan berapa bilangan anak, jawapannya, mempunyai anak yang ramai, sememangnya teramat sukar terutama apabila tiba atau masa persekolahan, bayaran yuran, dan kemasukan ke universiti. Belanja seorang anak untuk memperolehi ijazah adalah tinggi.
Walaupun ibu bapa bekerja dan bergaji di sektor awam, pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk mengurus perbelanjaan harian, dan bulanan keluarga. Kedudukan sama sahaja untuk mereka yang bekerja di sektor swasta, jika pendapatan yang diperolehi sekadar dapat memenuhi perbelanjaan makan minum, membayar sewa atau ansuran rumah atau ansuran kenderaan mahupun urusan pengangkutan. Ramai pekerja sekarang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pendekata, mereka tidak mempunyai simpanan atau lebihan pendapatan. Pendapatan kini hanya mampu untuk menyelesaikan perkara-perkara 'basic needs' sahaja.
Maka, tidak hairanlah ramai yang terjebak dengan hutang terutama kad kredit. Soalnya, sampai bilakah kesudahannya, kalau keadaan terus berterusan?

No comments: