Thursday, June 18, 2009

HARGA BARANG-PARANG PANJANG

Hari ini, jam 11.30 pagi aku dan anak sulungku, Fathul keluar sekejab ke Central Mart, Trendcell Sdn. Bhd., di no. 2, Jalan Bidara 8, Saujana Utama, tujuan asal untuk membeli parang panjang.
Di hadapan rumahku, ada tanah rizab lapang di Puncak Alam sebelum berlepas ke UK pada Disember tahun lepas, aku ada menanam pokok kelapa, rambutan, serai, lengkuas, limau nipis, pisang, daun pandan dan nanas, namun keadaan mula semak dipenuhi rumput dan lalang.

Aku sememangnya, tidak boleh duduk diam dan tidak boleh nampak keadaan sekitar rumah kotor, tidak terurus.

Sememangnya agak sukar untuk menjaga dan menghargai tanah, walaupun sekangkang kera dan terbiar atau terabai sehingga menjadi semak samun; dibiarkan rumput dan lalang panjang tidak dipotong oleh kontraktor Majlis Daerah Kuala Selangor.

Sebelah pagi selepas solat Subuh atau selepas solat Asar, semasa aku di sini, tidak ada program atau aktiviti, aku akan mencangkul, membersih dan membakar rumput dan lalang tersebut, walaupun terasa teramat letih dan haus dalam keadaan panas terik ketika ini.

Aku merasa pelik juga mengapa kontraktor hanya membersihkan bahagian atas tanah tersebut dan di tepi longkang besar di tepi jalan, tetapi tidak di antaranya.

Pokok-pokok yang aku tanam, sebahagiannya dilitupi oleh rumput dan lalang sehingga terencat dan hampir mati dan mati.

Dengan menggunakan parang panjang, aku mungkin boleh menyudahkan kerja menebas rumput dan lalang di samping menggunakan cangkul untuk mencabut lalang yang memanjang tegak berdiri.

Aku membeli parang di Central Mart tersebut dengan harga RM21.40, mungkin mahal.

Walaupun aku hanya hendak membeli parang panjang, aku tergerak untuk mengintai harga barang-barang lain di supermarket ini. Aku dapati harga semakin meningkat dan tidak terkawal.

Aku tidaklah merasa terkejut, tetapi terpegun dengan keadaan harga barang dan bagaimana pembeli khususnya orang ramai miskin hendak membeli belah. Harga barang semakin deras melambung tinggi seolah-olah aku nampak sukar atau tidak nampak bagaimana tingkat gaji atau upah atau pendapatan keluarga boleh ditingkatkan.

Mungkin aku tidak sukar sangat, kerana aku hanya bercuti (vacation, back to home country) untuk sebulan, namun untuk 4 hari ini, aku telah berbelanja beratusan ringgit. Duit pound yang aku tukar dengan kadar 1pound=RM5.69 semasa membeli belah di Giant, sebelah Stadium Shah Alam pada Selasa 16 Jun, 2009 terasa susut menjunam dengan cepat.

Duit yang aku kerja dan kumpul, alhamdulillah dapat aku balik kampung sekejap, dapat bagi hadiah saguhati duit pound kepada anak saudara yang melawat aku balik dan menggunakannya membeli belah di sini, namun jika keadaan harga barang naik berterusan begini, orang yang selama ini hidup secara sederhanapun, tidak mampu menghadapi keadaan yang semakin gawat dan hidup tertekan.

Aku terasa terubat sedikit, apabila ketika mengintai-intai harga barang terutama makanan, aku terpanggil untuk membeli kicap lemak manis kipas udang berharga RM4.90, (ada diskaun) daripada harga asal RM5.90. Di Hull, UK, harganya 2 pound. Aku membeli 3 botol untuk sementara ini, bolehlah untung sekurang-kurang 3 pound untuk dibawa pulang ke UK. Kicap Malaysia ini telahpun menembusi pasaran UK dan boleh dibeli di Indian Continental dan di kedai-kedai orang Asia dan Islam di UK.

Di UK, orang ramai ada banyak pilihan, yang berpendapatan rendah boleh pergi Ke Lidl, Netto, Morrisons dan yang ada duit lebih boleh membeli belah di Tesco atau Asda.

No comments: