Thursday, June 04, 2009

FIKIRAN RASIONAL

Belajar untuk berfikir secara Rasional

Adakah kita berfikir secara rasional?

Kita percaya jika kita dapat berfikir secara rasional, kita akan menjadi manusia yang tenang, mudah mengawal perasaan dan berupaya membuat keputusan secara bijaksana di dalam semua tindakan di dalam kehidupan ini.

Untuk proses ke arah berfikir secara rasional, kita wajar meneliti beberapa ciri personaliti yang seharusnya dimiliki oleh seseorang individu iaitu:-

1. Berfikir secara fakta.

2. Berfikir untuk melindungi kehidupan dan kesihatan kita.

3. Berfikir sesuatu untuk membantu mencapai sesuatu yang diidamkan sama ada jangka pendek atau jangka panjang

4. Berfikir yang membolehkan diri ini boleh bersama-sama dengan orang lain.

5. Berfikir yang akan membantu diri kita merasa sentuhan sesuatu yang bersifat emosional.

Mengapa berfikir secara rasional penting di dalam menjalani kehidupan ini?

1. Kita mengharapkan di dalam kehidupan yang kita lalui ini, yang penuh dengan ujian, dugaan dan pelbagai cabaran yang mendatang, maka wajar untuk meningkatkan kualiti berfikir secara kritis dan kreatif semata-mata untuk membuat keputusan yang tepat. Perkara seumpama ini, tidaklah semudah yang diucapkan, namun memerlukan latihan mengawal emosi. Sebagai contoh, ada orang yang tidak sabar menunggu berbaris ketika kesesakan jalan raya, mungkin akan mengambil tindakan menyalahi undang-undang dan keselamatan orang lain, dengan memotong barisan dan menghimpit kenderaan orang lain. Akibatnya, diri sendiri cepat marah, geram, memaki diri sendiri, menyalahkan orang lain, tiada unsur menghormati sesama manusia dan akhirnya ‘depressed and stressed’.

2. Kita akan berusaha menerokai pelbagai kemungkinan idea dan ciptaan dan membuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Ini bermakna, kita akan cuba mengelakkan dan mengatasi kesilapan berfikir yang terburu-buru, bercalaru, kabur dan sempit yang akhirnya merugikan diri kita sendiri.

3. Berupaya untuk meningkatkan perkembangan intelek, ekoran bersikap terbuka dalam menerima dan memberi pendapat. Natijahnya, seseorang itu akan berupaya membina keyakinan diri untuk memberi hujjah, membuat pertimbangan berdasarkan alasan dan bukti, serta berani memberi pandangan dan kritikan membina untuk kebaikan semua, tidak kiralah di mana kita berada sama ada di rumah, bersama keluarga, di sekolah, tempat kerja, organisasi, pertubuhan mahupun di dalam mengurus hal ehwal perniagaan, politik, pejabat dan negara.

Ciri-Ciri Pemikir Yang Bijak/Baik (Rasional)-wajar dimiliki oleh semua

1. Sentiasa cekal untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab di dalam menunaikan proses kehidupan yang dilalui di dunia.

2. Sentiasa mendengar secara aktif/pendengar yang baik di dalam semua keadaan.

3. Sentiasa bersedia bekerjasama dengan orang lain.

4. Sentiasa jujur (integrity) dan bersifat terbuka untuk menerima pandangan orang lain.

5. Sentiasa peka, istiqamah dengan fikiran sendiri serta dapat menjelaskan langkah-langkah dan sekuen yang digunakan.

6. Sentiasa mahir dalam menyoal diri sendiri untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan atau keputusan di dalam menjalani kehidupan ini.

7. Sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan inisiatif yang tinggi untuk memperbaiki dan merubah diri.

8. Sentiasa bersedia untuk mengambil risiko dan cabaran.

No comments: