Saturday, June 20, 2009

ANAK, BERKAHWIN DAN BERHIJRAH

Selama 6 hari aku di Puncak Alam, aku penuhi masa bersama anak sulung dan anak perempuanku, mengurus hal ehwal mereka. Kesempatan ruang yang ada, aku mengambil inisiatif untuk bertemu, bertanya khabar dan berbual-bual dengan teman-temanku yang sudah lama tidak bersua.

Aku beruntung dapat berbual-bual dengan kenalanku Hj. Rafiee, berasal dari Kelantan, seorang pelukis, bekas pensyarah UiTM dan menyerahkan diri di dalam aktiviti dakwah tabligh.

Selepas zohor di Surau Ar Rahimah, Fasa 1, aku memulakan perbualan dengan bertanya keadaan dan pelajaran anak-anaknya. Beliau mempunyai 8 orang anak. Anak perempuan sulungnya, bekas penuntut tahfiz di Afrika Selatan, baru berkahwin dengan rakyat Canada dan anaknya akan menetap di sana dan kini di dalam proses mendapatkan penduduk tetap (PR).

Dua orang anak lelakinya, masih belajar di tahfiz, di tempat sama seperti kakak sulungnya, manakala, anak keempat beliau kini mengajar selepas tamat hafizah. Anak kelima bersekolah di Kelantan, tinggal bersama neneknya, manakala anak keenam bersekolah di Sekolah Menengah Puncak Alam, dekat rumahku. Anak ketujuh, berusia 6 tahun dan beliau baru menimang anak kelapan, kini berumur 4 bulan.

Beliau bercita-cita supaya anaknya menjadi para hafiz dan hafizah, menjalankan kerja dakwah, berkahwin dan berhijrah di serata dunia ini. Beliau tidak kisah dengan siapa anaknya berkahwin, sama ada boleh kerap berjumpa atau tidak; yang pentingnya menjadi pendakwah seperti para sahabat Rasullullah s.a.w., walaupun mungkin terpaksa mati bukan di tanah air sendiri. Menurut beliau, matlamat hidup ialah melaksanakan tugas rasul dan mati di mana-mana tidak menjadi soal, asalkan akhirnya dapat bertemu di pintu syurga.

Beliau mendidik anak-anaknya agar menghargai hidup ini untuk memberi sumbangan dan menggerakkan sesuatu atau idea untuk orang Islam berubah minda dan amal untuk masyarakat setempat dan global. Beliau merasa sedih, kerana dakwah Islam masih dingin di negara-negara Amerika Latin (Amerika Selatan).

Beliau yang kerap keluar seperti 4 bulan, 40 hari ke serata dunia untuk istimak tabligh atau kerja dakwah memaklumkan kepadaku untuk pergi ke Amerika Latin memerlukan kos yang agak banyak (lebih mahal) berbanding benua lain.

Beliau memberi contoh, Islam berkembang di Eropah seperti di Perancis dan Jerman dan terdapatnya masjid-masjid besar di negara tersebut, adalah hasil usaha fikir seseorang atau beberapa orang mengambil inisiatif bercakap dengan orang-orang Islam tertentu untuk membangunkan Islam dan pembinaan atau pembelian tanah dan bangunan untuk ibadat orang Islam.

Beliau menginginkan anak-anaknya semacam anak orang Pakistan yang ramai menghantar anak-anak mereka menjadi hafiz atau hafizah atau yang menjadi profesional, namun mempunyai fikrah untuk membangunkan minda umat Islam untuk berdikari dan menyumbang untuk pembangunan Islam setempat, walaupun terpaksa berkahwin dengan rakyat global dan berhijrah keluar dari Malaysia.

Beliau bercita-cita ingin melihat orang kita (Islam) mampu menukarkan minda untuk sentiasa sensistif tentang umat dan pembangunan dakwahnya. Beliau sendiri rela mati di negara lain dan memohon tidak dibawa jenazahnya untuk disemadikan di tanah air.

Aku turut dimaklumkan suatu perhimpunan atau Istimak Tabligh dunia akan berlangsung di Sepang mulai 9-13 Julai ini.

No comments: