Monday, June 08, 2009

SETEGUH TEKAD


Aku ingin sekadar mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Sidek (panggilan mesra) kerana sudi menghadiahkan buku Seteguh Tekad semasa aku dan isteri menziarahi beliau di Teratak Pulau Redan, 1566-A4, Lorong 3A/11, Padang Balang, 51100 Kuala Lumpur pada 8 November, 2008.

Alhamdulillah, buku ini telahku baca berulang-ulang kali dan aku turut meminta anak-anakku membaca buku ini.

Aku amat tertarik, tersentuh dan teringat kembali untuk dicatat di halaman ini apabila buku ini mencatatkan prakata daripada Datuk A. Samad Said, antara lainnya mengungkapkan tajuknya dengan memuatkan dan mengulas dengan tulisan tangan, "Jejak Membina Manusia Takwa".

Muatan kata beliau, di antaranya, "sebuah otobiografi tidak mungkin dapat menangkap sejarah penuh kehidupan seseorang. Kenangan manusia sangat mengalir dan melentur, apalagi setiap insan memang sukar sempurna. Karena itu saya sempat memetik beberapa bahagian kecil hikmah kehidupannya. Rupa-rupanya Masjid Tanah, Melaka dalam senyap, telah sempat menghantar seorang pendakwah dan ilmuan gigih ke tengah tanah airnya......... Jelas sekali dapat saksikan bagaimana seorang pelajar miskin yang sangat mencintai ilmu cekal belajar dari sekolah rendah merangkak ke MPSI, berlari ke UM dan melonjak ke varsiti di Dekalb di Illinois. Kita jelas juga dapat menyaksikan bagaimana seorang yang mengasihi agama terus berdakwah biasa di Melaka dan bertele usrah di Amerika".

Buku ini mengandungi 16 bab iaitu;

Bab 1 Di sini Bermula

Bab 2 Sekolah yang Payah

Bab 3 Jejak ke Suluh Budiman

Bab 4 Menjadi Guru Meredah Liku

Bab 5 Mahasitua

Bab 6 Aktif Gerakan Islam

Bab 7 Hijrah Ke Sri Layang

Bab 8 Belajar Di Bloomington

Bab 9 Pindah ke DeKalb

Bab 10 Dari Timbalan Dekan Ke Timbalan Rektor

Bab 11 ISA

Bab 12 Pindah ke Rumah Baru

Bab 13 Jadi Profesor dan Sabbatical

Bab 14 Cita-Cita Hidup Berkeluarga

Bab 15 Menyusur Jejak Meniti Tapak

Bab 16 Selagi Hayat Masih Ada

Pengajaran

1. Sesiapa yang berkesempatan berkunjung ke kedai buku, bolehlah membeli dan membaca buku ini. Aku sebenarnya telah berjanji dengan beliau untuk mempromosikan buku ini. Maka, usahakanlah untuk mendapatkan buku ini. Buku ini diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn. Bhd, Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16, 40200 Shah Alam, selangor.

2. Boleh menyuntik semangat seseorang untuk membimbing hidup ini terutama pada saat-saat mengalami kesusahan dan keperitan hidup.

3. Sesiapa yang berminat untuk menulis atau mengarang, jadikanlah buku ini sebagai panduan untuk menulis riwayat hidup atau cerita masing-masing, setidak-tidaknya untuk tatapan anak atau cucu sendiri.

4. Autobiografi melakarkan kisah-kisah terpencil dengan peribadi berjiwa besar disusuli rentetan pengalaman hidup, memberi makna kepada mereka yang tidak pernah kenal putus asa dalam hidup ini. Mempelajari kejayaan orang lain boleh menjadi dorongan atau motivasi, khususnya kepada generasi hari ini.


No comments: