Monday, February 02, 2009

Italian Corner Cabinet dan Barack Obama



Pada hari Sabtu, 31 Januari 2009, kira-kira jam 2.30 petang, aku, bersama-sama isteriku dan temanku Azli ke Spridlington Market Larsen, Lincoln untuk mengambil Italian Corner Cabinet yang isteriku berjaya membida perabut ini di Ebay, beberapa hari sebelumnya. Isteriku sememangnya teramat seronok kerana seramai 20 orang pembida dapat ditewaskan. Harga second hand cabinet ini dianggarkan antara £100 ke £190. Isteriku berjaya dengan membida £160 sahaja. Aku dimaklumkan oleh isteriku, perabut ini dimiliki oleh seorang perempuan agak tua, Eve Curtis, namanya yang tinggal di suatu kawasan ladang. Aku difahamkan, ada kawanku, secara diam-diam turut juga membida untuk mencuba nasib. Dalam hatiku, isteriku mungkin tahu teknik-teknik dan strategi bidaan sehingga mampu memenangi bidaan kali ini. Setahu aku, salah satu strategi ialah jika ada barangan yang perlu dibida, kita perlu memastikan dan memasukkan jumlah maksimum bidaan yang sanggup dibayar. Dengan cara ini, pembida-pembida lain tidak akan mengetahui berapa jumlah yang ditawarkan untuk barangan tersebut. Congakan yang tepat mungkin membawa tuah. Walau apapun, nasib baik sememangnya menyebelahi isteriku.

Bukan soal perabut yang aku terasa hendak perkatakan di sini, tetapi bagaimana Barack Obama boleh memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat. Temanku Azli, sedang mengikuti kursus PhD di dalam bidang political marketing. Semasa dalam perjalanan selama 2 jam pergi dan balik di dalam keretanya, Azli meminta pandangan isteriku, barangkali amat sesuai untuk dirinya membuat kajian kes mengapa empat buah negeri terkecuali Kelantan, di Semenanjung jatuh kepada pembangkang. Teman ini ingin mengkajinya dari sudut political marketing strategy. Kawanku ini turut memberikan contoh, bagaimana Obama memenangi kempen pilihanraya tersebut, kerana kecekapannya menggunakan strategi ini. Obama dikatakan banyak menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS). Sememangnya, kajian yang hendak dilakukan oleh Azli teramat kurang untuk diambil rujukan di Malaysia, namun kajian ini boleh dimanfaatkan oleh kita semua, apakah punca sebenar kekalahan BN? Ianya boleh dijadikan satu pengkajian ilmiah agar politik Malaysia menjadi lebih matang. Adakah BN tidak sungguh-sungguh mempromosikan produknya atau produknya sudah ketinggalan zaman? Azli juga bertanya kepadaku, apakah yang menyebabkan rakyat menyokong pembangkang? Aku nyatakan, banyak sebab dan salah satunya sebagai pengundi yang muda, tentunya ramai yang bijak dan berfikiran terbuka, tentunya akan melihat kepada diri calon, dasar parti dan dasar kerajaan selama ini sama ada benar-benar menguntungkan rakyat atau tidak. Itupun aku katakan kepadanya, hasil pembacaanku, pendapat rambang daripada orang-orang yang sudi berbual mengenai politik dan pandangan peribadi daripada para bloggers. Azli kata, mungkin pembangkang menggunakan political marketing strategy.

Menurut Azli, ada pelajar dan kenalannya yang turut menjalankan kajian dari aspek marketing ini dan dinyatakan bahawa, pemimpin politik yang ditemuramahpun tidak tahu sama ada mereka sedar atau tidak menggunakan aplikasi marketing di dalam mempromosikan dirinya dan ada yang menyimpulkan bahawa teknik political marketing wujud di Malaysia. Namun, hakikatnya, mungkin sukar dibuktikan. Apa yang menjadi masalah, kadang-kadang untuk mendapatkan maklumat 'detail' tentang kajian ini sukar diperolehi secara terbuka bahkan penulis atau pengkaji tersebut terlalu lokek untuk berkongsi pandangan atau menurunkan ilmu yang ada. Ada setengah pensyarah dan profesor kitapun, sukar untuk berinteraksi, bertukar-tukar idea bahkan sukar menjawab pertanyaan secara e-mel. Mungkin ego tinggi, agaknya. Mungkin perlu mengadap dan tabik hormat terlebih dahulu, barulah interaksi berkesan dapat dijalinkan.

Apabila bercakap mengenai research, metodologinya satu perkara yang patut ditentukan. Azli berkata dengan kami, mungkin boleh guna questionnaire dan temuramah dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang ada. Soalan yang timbul, adakah tidak "bias".

Apapun sebagai rakyat kebanyakan, aku rasa, bagus juga temanku ini buat kajian tersebut dan kajian ini boleh dibukukan dan lantas dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Akupun ingin tahu di antara soalannya, yang mungkin boleh disentuh, adakah teknik ancaman, ugutan, kecaman, cacian, berita berat sebelah, tekanan akta dan undang-undang atas nama keselamatan, di tambah dengan umpan seperti pembangunan, mungkin penculikan dan tawaran merupakan strategi marketing yang masih sesuai dimainkan lagunya oleh BN.

Aku sempat tengok buku yang dikarang oleh Obama iaitu "Dreams from My Father A Story of Race and Inheritance". Mungkin elok juga, ahli-ahli politik kita dan penggemar politik tanah air dan yang bercita-cita hendak membela rakyat, ambil kesempatan membaca buku, berfikir secara rasional serta mengambil pelajaran dan pengajaran daripadanya. Hakikatnya, kita boleh mengambir ikhtibar daripada sesiapapun.

Sebenarnya, politik yang bersih dan matang adalah baik untuk generasi Malaysia akan datang, tanpa mengira ras, budaya dan agama. Rakyat dan pemimpin yang dilahirkan dan dibentuk semestinya melalui proses pendidikan dan arena yang murni.

No comments: