Sunday, July 12, 2009

PERANAN JAIS & PERKEMBANGAN ILMU

Masjid dan surau di seluruh Selangor mula beransur-ansur dipenuhi oleh jemaah. Nampaknya, ramai yang sudi dan gemar berkunjung ke tempat-tempat ibadat untuk sama-sama "mengaji" setelah sekian lama masjid dan surau tidak berfungsi atau berperanan seperti yang sewajarnya. Nazir dan pegawainya mula bertukar tangan dan mampu bersaing dan melaksanakan tugas atau tanggungjawab seperti yang diamanahkan.

Soalan yang aku ingin lontarkan pada hari ini ialah bagaimana untuk memastikan fungsi dan peranan masjid atau surau sebagai medan untuk menerokai pelbagai "ilmu pengetahuan" terlaksana.

Saranan dan untuk penambahbaikan adalah seperti berikut:-

1. Diberikan tauliah atau kebenaran mengajar kepada mereka yang benar-benar mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam bidang tertentu. Mereka pula perlu menghadiri kursus dan dilatih semula oleh pembimbing yang mahir atau "tok guru" dengan berkitab. Setelah mereka selesai menjalani kursus, maka semua ustaz/ustazah/tenaga pengajar semestinya mengajar orang ramai secara berkitab yang khusus. Adalah wajar pegawai atau tenaga JAIS yang sedia ada memberikan kursus atau latihan sesuai dengan keinginan dan hasrat dasar kerajaan sekarang. Kita ingin memastikan hanya guru yang MUKTABAR DAN YANG TERLATIH menyampaikan pandangan, nasihat dan memandu arah masyarakat kepada kesyumulan Islam sebenar.

2. Sukatan pelajaran atau modul tertentu hendaklah diselaraskan, diseragamkan dan mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi dan diberi imbuhan yang sesuai dengan keadaan atau taraf kehidupan masyarakat sekarang. Jumlah guru atau masa sepatutnya boleh dihadkan bagi memastikan guru mempunyai cukup masa untuk mengulangkaji pelajaran-pelajaran berkenaan. Kita tidak mahu guru menjadikankan medan "mengajar" untuk memperolehi sumber pendapatan utama. JAIS sewajarnya mempunyai tenaga pengajar sepenuh masa sama ada daripada kalangan pegawainya atau dimanfaatkan "pendakwah bebas" sedia ada.

3. Takwim (jadual) setahun yang sama, bersistematik (seperti tuntutan belajar secara formal) hendaklah disediakan oleh JAIS dan semua ahli kariah yang hadir ke kelas-kelas tersebut semestinya didaftarkan, diambil kedatangan mereka dan dicadangkan mereka diberi sijil penyertaan, bagi mereka yang memenuhi jumlah masa tertentu, sebagai cara menarik minat semua orang di kampung, di desa atau di bandar boleh melapangkan masa mempelajari atau mendekatkan diri dengan ilmu yang sesuai atau berdasarkan kecenderungan minat sendiri. Jika keadaan semakin baik dan berkesan, salah satu kriteria pemilihan AJK masjid dan surau adalah terdiri daripada mereka yang selalu datang ke masjid dan mengikuti kelas-kelas agama yang disediakan secara formal. Budaya menuntut ilmu hendaklah disebar dan diwar-warkan secara meluas. Kita mengharapkan semua orang mempelajari sesuatu ilmu secara sistematik, berkitab dan menyediakan catatan (bukan hanya menadah telinga).

4. Kursus pengurusan masjid dan surau hendaklah kerap dirancang dan dilaksanakan untuk memberi pendedahan, pengalaman dan memperbaiki mutu pengurusan rumah ibadat ini. Para nazir dan pegawainya wajib mengikuti kursus-kursus tertentu dan mereka yang gagal melaksanakan tugas dengan sempurnakan wajar digantikan dengan orang lain. Kursus boleh dilaksanakan di tempat kursus sedia wujud ataupun dilakukan di institusi, dewan-dewan latihan tertentu untuk kemudahan semua AJK.

5. Pihak JAIS hendaklah memperuntukan sejumlah bajet bagi tujuan mencetak atau membeli buku-buku atau kitab-kitab rujukan (bagi kemudahan para jemaah menyemak pelajaran masing-masing; yang boleh diperolehi secara percuma di masjid-masjid atau di surau-surau). Di samping itu sejumlah peruntukan yang munasabah wajar diberi kepada semua masjid dan surau untuk tujuan melaksanakan program-program tertentu, tidak hanya khusus bagi maksud atau tujuan seperti mengimarahkan sambutan bulan Ramadhan sahaja. Dirasakan Pusat Zakat boleh memainkan peranan mengagih-agihkan sumbangan untuk maksud jihad fi sabillah (untuk tujuan menuntut ilmu).

6. Bimbingan khusus atau untuk melahirkan hufaz sambilan di masjid-masjid tertentu yang terpilih, di semua daerah kepada semua peringkat usia (terutama kepada mereka yang tiada kesempatan memperolehi pendidikan hafazan secara formal).

Untuk mencapai hasrat negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan seperti yang kita semua dengar di setiap minggu ketika para khatib berkhutbah Jumaat, maka sudah tiba masanya, semua program kuliah disusun secara bersistematik dan kita mesti ada "sistem" yang boleh diyakini, dihormati, berkesan, bermanfaat berpanjangan, mampu diteruskan walaupun parti mana yang memerintah.

Negeri atau negara maju sewajar mempunyai "sistem" yang telah mantap, bersesuaian dengan budaya masyarakat, mampu bersaing, mengikut peredaran masa dan zaman. Pada masa yang sama, negeri atau negara yang maju, tentunya bersedia menyediakan pemimpin dan kepimpinan yang mantap, berkualiti, berterampilan, berkebolehan dari semua segi untuk memacu semua pertumbuhan dalam semua aspek atau lapangan kehidupan ini.

Negeri Selangor yang masyarakatnya hanya 50% beragama Islam hendaklah menjadikan proses menuntut ilmu Islam semula dan dunia untuk memajukan kehidupan mereka. Untuk ke peringkat ini, sekurang-kurang masyarakat Islam di Selangor mampu mempunyai peningkatan 'Tasawur Islam' yang jelas dan tidak mempunyai persepsi yang salah terhadap konsep dan nilai hidup Islam.

No comments: