Friday, July 10, 2009

MAKNA KEBAHAGIAAN

Setiap orang ingin bahagia dalam hidup sehingga menghisap dadah atau melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Mereka yang terjebak kepada perkara-perkara yang salah di sisi agama melakukannya kerana beberapa faktor, sama ada akibat tertekan atau pujukan dalaman diri, rakan kenalan atau faktor-faktor persekitaran, keluarga atau sebab-sebab yang pelaku sendiri sedia maklum sama ada sengaja atau tidak sengaja.
Aku boleh sifatkan kebahagiaan di dalam dunia ini merangkumi beberapa nikmat atau sesuatu yang boleh dikecapi dan diri merasa puas atau seronok atau suka setelah memperolehinya iaitu;
1. memperolehi sesuatu ilmu untuk tujuan menjalani kehidupan di dunia ini,
2. sesuatu yang menambah nilai untuk keselesaan, kemewahan, kedamaian atau kesenangan hidup di dunia ini, terutama soal kebendaan seperti kerjaya yang dimiliki, harta tertentu atau apa jua bentuk kewangan atau lain-lain. Semua orang ingin mencapai hasrat pemilikan kebendaan adalah bergantung kepada keupayaan dan keinginan masing-masing. Ianya juga turut melibatkan keharmonian rumah tangga, anak pinak dan tahap kesihatan yang memuaskan.
3. untuk sentiasa mematuhi suruhan dan menjauhi larangan atau tegahan atau peraturan atau hukum yang telah ditetapkan Pencipta dalam semua keadaan.
Pada hakikatnya, kebahagiaan di dunia tidaklah berterusan atau bersifat kekal. Aku boleh menafsirkan hanya 1 & 2 di atas kerap dikejar oleh seseorang dan ramai yang terlupa untuk meneliti atau berusaha mematuhi sungguh-sungguh perkara 3 tersebut. Konsep kehidupan dan kebahagiaan yang dikecapi oleh dunia Barat dan sekular hanya berkisar mengenai soal dunia dan material semata-mata tanpa menghitung akan nasib di alam kemudian atau akhirat. Tambahan pula yang menjadi malangnya, agama hanya dijadikan "utility" atau alat kemudahan, jika ianya menguntungkan urusan dunia.
Perkara 3, walaupun wajar dilakukan di dunia, pada pengertian sebenar ianya untuk turut mencapai hakikat kebahagiaan di alam akhirat, setelah dunia ini dihancurkan dan semua insan diadili di mahkamah Allah.
Kita boleh berterusan siang malam mengejar 1 & 2, tetapi jika melupakan atau memisahkan atau menafikan atau mengabaikan sama sekali 3, maka insan berkenaan akan rugi hidup di alam akhirat tersebut. Jika kita semua boleh mencapai impian 1, 2 & 3, di dunia ini, maka diharapkan kenikmatan berterusan dikecapi untuk bertemu dengan Allah dengan perasaan redha atau rela dengan ketetapanNya.
Kebahagiaan sebenar ialah dapat bertemu dan memandang wajah Allah yang kita sembah setelah kita semuanya dipanggil olehNya. Maka, untuk bertemu atau memandang wajah Allah, lakukanlah perkara 3 dalam menjalani kehidupan ini. Sebenarnya, inilah makna atau tujuan kehidupan yang kita lalui ini.
Manusia yang lebih cerdik ialah melihat atau menilai ada dunia lain (akhirat) yang dia akan hidup selama-lamanya, maka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat kehidupan akhirat tersebut. Semoga kita bertaqwa kepadaNya dengan berusaha menambahkan pahala dan tidak menambahkan dosa.
Dosa yang sering dilakukan terutama yang dilakukan secara sengaja dalam setiap sudut kehidupan ini, tidak membawa makna kebahagiaan yang diinginkan.

No comments: