Saturday, May 08, 2010

KEPIMPINAN RASULULLAH S.A.W.

Kehancuran, kemusnahan dan keruntuhan nilai akhlak dan kepimpinan dewasa ini adalah akibat tidak mempraktikkan tuntutan kepimpinan Rasulullah s.a.w.

Kita mampu berpuasa dan bersedia bersolat, bersedekah atau menunaikan Rukun Islam kelima; menunaikan haji, namun kita masih ketinggalan untuk mempelajari, mengkaji dan seterusnya mempraktikkan modul, gaya atau cara atau kaedah kepimpinan Rasulullah s.a.w dalam mengurus diri, rumahtangga, masyarakat, negara dan dunia antarabangsa.

Kita bersedia mempelajari teori-teori kepimpinan terutama yang datangnya dari Barat lalu kita gunapakai di dalam mengurus organisasi, lapangan korporat dan politik. Adakah kita tidak merasa bersalah dan berdosa kepada Rasulullah s.a.w. , sedangkan kita sentiasa menyanjung tinggi daya perjuangan dan kepimpinannya? Adakah kita tidak terfikir untuk mohon ampun kepada Rasulullah s.a.w. atas sifat kealpaan kita atau tanpa kita menyedari kita terperangkap dengan teori-teori para ilmuan Barat sehingga kita berqiblat kepada mereka sepenuhnya. Walaupun mungkin kita tersentuh untuk mempelajari ciri-ciri kepimpinan Rasulullah s.a.w., namun kita amat selesa dengan teori Barat tersebut dan lantas menyisihkan gaya kepimpinan Rasul Muhammad s.a.w.

Saya menyeru kepada para pencinta Islam dan perjuangannya, pelajari kepimpinan Rasulullah s.a.w. untuk kita ikuti sepenuhnya di dalam mengurus diri, keluarga, masyarakat, komuniti, persatuan, perniagaan dan politik (mengurus negeri dan negara).

Rasulullah s.a.w. terbukti berjaya membina manusia, membangunkan modal insan, berkhidmat secara kolektif, bukan menonjol kepimpinan untuk kepentingan peribadi, bersifat terbuka berasaskan kepada intipati tarbiyah, dakwah dan bermatlamat menegakkan hukum Allah di dalam negara.

Ini bermakna, kita masih jauh dari kepimpinan Islam yang sebenar.

Siapakah di antara kita yang sanggup mendepani, merungkai dan akhirnya bersedia berhadapan dengan para belia, muda mudi, para pelajar dan siswa di dalam mempelopori dan menyeru mereka kepada gaya kepimpinan para nabi dan rasul ajmain? Mereka sebenarnya, pemimpin pelapis Islam masa hadapan.

Ingatlah kepimpinan Rasulullah s.a.w. adalah yang terunggul. Saya akui terasa tidak sempurna syahadah kepada Rasulullah s.a.w. jika tidak mentaati sunnah kepimpinannya.

No comments: