Tuesday, April 05, 2011

UMRAH

Kali terakhir saya ke tanah suci pada tahun 2005. Pada tahun tersebut saya bersama adik ipar, ibu mentua, isteri menunaikan ibadat umrah kerana merasakan sudah terasa lama tidak menziarahi Rasulullah s.a.w. selepas menunaikan haji pada tahun 2001.



Desakan adik ipar yang sudah agak lewat usia untuk bertemu jodoh, akhirnya terpanggil ke tanah suci untuk bermunajat, memohon hajat, berdoa sungguh-sungguh agar bertemu jodoh dan akhirnya dalam masa yang dianggap singkat, adik ipar dilamar, bertunang dan berkahwin.



Pada 22 Mac hingga 4 April 2011, saya berkesempatan dan bersyukur dapat pergi semula ke tanah suci selepas enam tahun berlalu bersama emak sendiri yang sudah berusia 69 tahun, isteri dan anak perempuan saya.



Kali ini saya berurusan dengan C. S. Holidays Sdn. Bhd. untuk berangkat ke tanah suci dan dapat menunaikan ibadat ini dengan sempurna dengan bimbingan ustaz, mutawwif yang terlatih.



Dirasakan selepas beberapa tahun kebelakangkan ini, kehidupan semakin mencabar dan ujian pelbagai ditempuh dan menuntut saya ke tanah suci untuk membuat beberapa keputusan penting di dalam aspek kerjaya, memohon hajat mudah-mudahan dipermudahkan pintu rezeki dan diberi kejayaan anak-anak di dalam apa jua bidang yang akan diceburi. Kami memohon agar hidup ini sentiasa diberi keselamatan dan kesejahteraan, di samping diberikan keyakinan serta bertambah kelazatan di dalam melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.



Pelbagai doa kami panjatkan kepada Allah s.w.t., namun saya pohon dapat bertemu Rasulullah s.a.w. saban tahun, terasa rindu untuk terus bersama dengannya, mati di dalam iman, ketaatan dan mati di Madinah.



Ustaz yang membimbing kami ada menjelaskan sesiapa yang mati di kota suci Madinah akan terlepas daripada azab kubur dan ahli-ahli kubur di perkuburan Baqi' akan dibangkitkan lebih awal bersama-sama nabi Muhammad s.a.w. di barisan pertama menuju ke padang mahsyar.



Saya dapat minum air zamzam berliter-liter setiap hari bahkan isteri dan anak saya berkesempatan mandi air zamzam setiap petang di Makkah untuk memulihkan semangat dan kesihatan.



Hari ini ada beberapa teman yang sempat menziarahi saya di rumah dan dapat merasa pelbagai jenis kurma yang dibeli terus daripada ladang kurma di Madinah.



Mudah-mudahan ada teman yang bercadang ke tanah suci dan boleh memilih bulan Mac/April, cuaca yang masih nyaman, hampir sama suhu dengan kita di Malaysia.