Friday, August 07, 2009

SIRI UCAPAN UNTUK MEMAJUKAN KAMPUNG

Penyampai:DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk:MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN KEBERSIHAN, KEINDAHAN DAN KEMAJUAN KAMPUNG PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2000
Lokasi:KG. KANCHONG DARAT, KUALA LANGAT
Tarikh:23-11-2000

Bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya kita dapat bersama-sama hadir dan berhimpun pada pagi ini di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2000.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kerajaan Negeri Selangor dan penduduk tempatan daerah Kuala Langat yang sudi menjemput saya dan isteri untuk hadir ke Kampung Kanchong Darat untuk bersama-sama menyempurnakan majlis pada pagi ini.

3. Saya dimaklumkan bahawa selain dari penduduk dan pemimpin masyarakat tempatan, majlis penyampaian hadiah ini juga dihadiri oleh ahli-ahli JKKK dan JKKR dari 13 buah kampung terbaik di seluruh negara yang setiap satunya mewakili negeri masing-masing termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Kepada mereka yang datang dari jauh, kita mengucapkan Selamat Datang ke Kampung Kanchong Darat dan pertemuan pada pagi ini bukan sahaja akan dapat menjalin dan mengeratkan hubungan `silaturrahim' dan membina hubungan persaudaraan di antara kita malahan sekaligus memperluaskan pengalaman dan pengetahuan kita semua. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang datang dari kampung-kampung di seluruh negara untuk bersama-sama dengan penduduk daerah Kuala Langat pada hari ini adalah hasil dari sumbangan bakti dan kejayaan yang telah tuan-tuan tunjukkan dalam mengekal dan meningkatkan kebersihan, keindahan dan kemajuan kampung masing-masing selama ini.

4. Saya merasa sungguh bangga dan bersyukur kerana tuan-tuan dan puan-puan yang mewakili sebilangan kecil masyarakat di luar bandar telah memainkan peranan kepimpinan masing-masing dan sentiasa menunjukkan keazaman yang tinggi, gigih untuk menyumbang jasa bakti dan bersatu tenaga untuk membangunkan masyarakat desa dan negara yang tercinta ini. Keazaman dan kesedaran seperti ini amatlah dihargai dan penting dalam memajukan masyarakat dan membangunkan negara. Kawasan luar bandar tidak akan memperlihatkan kemajuan dan kejayaan sekiranya tidak mendapat sokongan dan penyertaan rakyat di peringkat akar umbi seluruhnya. Sekiranya penduduk luar bandar tidak bersatu padu, maka sudah tentulah perancangan dan usaha memajukan kampung masing-masing tidak akan terlaksana. Masyarakat luar bandar yang merupakan separuh daripada penduduk negara ini perlu memperkuatkan perpaduan. Ini adalah kerana perpecahan sesama kita akan hanya membawa kehancuran kepada kedudukan dan kuasa politik yang kita miliki.

5. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, dunia sentiasa mengalami berbagai perubahan dan pergolakan yang amat pesat dan negara kita tidak terkecuali daripada pengaruh pergolakan ini. Setiap perubahan yang berlaku dalam apa bidang sekalipun sudah semestinya mempunyai kesan kepada kehidupan setiap lapisan masyarakat. Perubahan dan kemajuan dalam bidang ekonomi, teknologi komunikasi dan maklumat, industri muzik, pasaran saham dan pergolakan politik semuanya akan mencorakkan keadaan setempat. Semua perubahan dan kemajuan ini sentiasa mempengaruhi dan mencabar keadaan kehidupan kita. Oleh itu, masyarakat luar bandar juga perlu mengambil tahu dan sensitif kepada setiap perubahan yang berlaku di dalam dan di luar negara supaya kita berupaya untuk mengambil langkah-langkah tertentu sekiranya perubahan-perubahan ini mempunyai kesan negatif kepada kita seperti kegawatan ekonomi yang melanda negara angkara pedagang mata wang dari luar negara beberapa tahun yang lepas.

6. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip ekonomi yang terbuka dan berbaik-baik dengan semua negara terutamanya negara-negara jiran maka negara kita sememangnya terdedah kepada berbagai pengaruh yang datangnya dari luar negara melalui berbagai saluran. Sudah ada cubaan pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan kejayaan negara ini untuk cuba melemahkan negara kita. Malah sudah ada di kalangan rakyat negara ini yang sanggup bersekongkol dengan anasir-anasir luar memburuk-burukkan Perdana Menteri di luar negara. Gerakan ini sedang berusaha mendapatkan sokongan negara-negara barat supaya mengenakan tekanan ekonomi kepada negara kita dengan cara memulaukan barangan keluaran negara dan menghalang pelabur luar daripada membawa masuk modal ke negara ini. Mereka ini adalah pengkhianat kepada negara dan mereka sanggup melakukan apa saja demi mengejar cita-cita politik dan kepentingan diri sendiri. Dalam hal ini kita perlu bijak mengenalpasti ahli politik yang mengamalkan sikap pentingkan diri dengan mereka yang benar-benar dan jujur memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

7. Dalam alaf baru ini, banyak perkara patut diambil-kira oleh seluruh rakyat negara ini di samping berusaha menjadikan negara yang serba membangun meliputi bidang ekonomi, teknologi maklumat serta sains dan teknologi. Kemajuan manusia pada masa akan datang bergantung kepada keupayaan mereka untuk menguasai dan memperkayakan setiap bidang ilmu pengetahuan. Berasaskan kepada kesedaran inilah maka kerajaan telah membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Kerajaan berharap dengan wujudnya Koridor Raya Multimedia, pembangunan ekonomi dan masyarakat berasaskan pengetahuan (k-economy dan k-society) akan membawa negara ke era kecemerlangan. Negara yang rakyatnya mampu menguasai ilmu pengetahuan mempunyai kelebihan akan berada di hadapan negara-negara yang lain. Keunggulan dalam lapangan perindustrian, perdagangan, pendidikan, pertahanan dan penyelidikan adalah bergantung kepada innovasi dan penciptaan kreatif berasaskan pencapaian ilmu pengetahuan yang secara keseluruhannya adalah teras kekuatan dan kejayaan sesebuah bangsa dan negara. Di dalam kemajuan industri sebagai contoh, persaingan yang begitu sengit berkehendakkan syarikat berupaya mengeluarkan produk- produk yang inovatif, berdaya saing dan berupaya menarik minat pelanggan. Untuk tujuan itu maklumat, pengetahuan dan penyelidikan sudah semestinya dipertingkatkan dan melibatkan penduduk luar bandar, kerajaan memang sedang berusaha memperluaskan pusat- pusat teknologi maklumat dan multimedia di luar bandar supaya konsep k-economy dan k-society dapat dizahirkan.

8. Bersesuaian dengan perubahan sistem ekonomi moden pada hari ini kita perlu bergerak dalam sistem pengeluaran secara komersil, berteknologi tinggi dan melibatkan sistem pemasaran yang lebih luas dan boleh berdaya saing. Masyarakat luar bandar perlu mengurus ekonomi dan cara hidup dengan lebih moden dan membuat perubahan-perubahan dalam cara bekerja dan mencari sumber pendapatan.

9. Di atas kesedaran bahawa pembangunan negara khususnya masyarakat di luar bandar perlu mencapai cabaran-cabaran seperti yang telah dinyatakan tadi, maka marilah kita sama-sama meningkatkan keazaman dan memantapkan usaha ke arah memperteguhkan masyarakat dan pembangunan kampung dan negara kita. Semua pihak di kalangan kita termasuk pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin-pemimpin belia dan wanita, JKKK dan JKKR perlulah menentukan peranan mereka, menilai dan meningkatkan usaha serta tahap keupayaan kita untuk memastikan pengurusan masyarakat dan negara kita berada di landasan yang sealiran dengan wawasan negara dan dapat membawa pembangunan dengan sempurna dan merangsang generasi, bangsa dan negara menuju masa depan dengan lebih cemerlang.

10. Sekarang ini juga banyak tuduhan dibuat dan dilemparkan terhadap kerajaan kononnya kerajaan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan di bandar-bandar sahaja. Tuduhan itu adalah tidak benar dan dusta semata-mata. Kerajaan BN tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk membawa pembangunan kepada penduduk-penduduk luar bandar. Melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar kerajaan telah menyalurkan peruntukkan untuk bekalan elektrik luar bandar, bekalan air luar bandar, membina dan menurap jalan luar bandar dan kampung, pemodenan kampung-kampung dan berbagai-bagai lagi kemudahan disalurkan kepada penduduk- penduduk luar bandar. Dalam RMK 7 sahaja sehingga 14 November 2000 kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM5.17 billion atau 93.09 peratus dari jumlah RM5.5 billion yang telah diperuntukkan untuk tujuan pembangunan masyarakat luar bandar. Oleh itu adalah tidak benar penduduk-penduduk luar bandar dianak-tirikan. Hanya golongan yang tidak tahu bersyukur sahaja akan menyebarkan fitnah dan pembohongan kerana untuk mencari pengaruh.

11. Kerajaan juga sedang terus berusaha untuk mengurangkan jurang celik komputer di kalangan penduduk-penduduk luar bandar. Kerajaan mahu semua rakyat tidak kira muda atau tua supaya boleh menggunakan komputer dan membolehkan mereka mendapat maklumat melalui internet. Ini adalah kerana pada zaman kemajuan teknologi maklumat ini kita tidak mahu hanya masyarakat bandar sahaja boleh mendapatkan maklumat sedang penduduk luar bandar ketinggalan. Di sini saya ingin cadangkan supaya kampung-kampung yang menang dalam Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan ini dilengkapi dengan kemudahan komputer di balai-balai raya atau di mana-mana sahaja yang bersesuaian. Selain kampung indah, bersih, kampung juga turut canggih. Cuma saya ingin ingatkan kepada penduduk kampung supaya gunakanlah kemudahan komputer ini secara berfaedah dan tidak menyalahgunakannya.

12. Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini, perlu kita ambil peringatan bahawa usaha dan komitmen untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara adalah proses yang berterusan dan menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang cintakan negara. Pembangunan yang dilaksanakan sudah semestinya mencakupi semua lapangan yang akan membawa kepada kemajuan fizikal, pemikiran, nilai hidup, maruah dan kesempurnaan spiritual yang dapat melahirkan masyarakat yang harmoni, jatidiri dan bersatu padu. Kawasan luar bandar harus terus mengekalkan identiti dan nilai-nilai kemasyarakatan yang murni dan akan tetap berada di dalam arus perdana pembangunan negara.

13. Akhirnya saya mengucapkan syabas dan selamat maju jaya kepada tuan-tuan dan puan-puan.

Terima kasih.

No comments: