Sunday, August 02, 2009

HARI LAHIR


Mengikut hitungan Tahun Masihi, genaplah umurku pada hari ini, menjangkau ke 48 tahun. Tanpa dihitung-hitung, usia semain hari semakin meningkat. Ini bermakna, umurku semakin "berusia".

Aku tidak menyambut hari jadi atau hari lahirku seperti para artis atau sesetengah pemimpin politik, negara, mahupun orang besar atau berpangkat di dalam jabatan atau pejabat, mengadakan majlis parti yang hebat, menjemput para tetamu dan menyanyikan lagu hari lahir beramai-ramai, meniup lilin, memotong kek dan diakhiri dengan doa restu Tuhan di hotel mahupun di tempat istimewa.

Semalam, aku ke Hull City Centre, ke St Stephen's Shopping Centre, Ferensway untuk membeli beg baru dan aku jumpa dan beli dua beg, satu untuk aku dan satu lagi untuk anakku, yang sulung Fathul hadiah untuk hari jadinya yang ke 21, yang turut dilahirkan pada bulan ini, tiga hari selepas kelahiranku. Ada promosi jualan beg di DOMO dan apabila aku membeli satu beg jenis trolley case, dapat hadiah satu. Inilah kali pertama aku membeli beg baru yang dianggap 'branded' dengan harga £29.00. Biasanya, aku mencari di 'Car Boot', dengan harga yang lebih murah, tetapi sudah dipakai.

Hari semalam, pada tengahari anakku yang perempuan, Nahdia bersama isteriku dan Fathul berganding bahu memasak nasi Arab special, yang diperolehi resepinya daripada 'internet' untuk dijamu makan bersama-sama, apatah inilah seronok rasanya kerana kami semua anak beranak dapat bersama-sama sekarang, di bumi UK.

Aku sekadar ingin menggembirakan anakku yang datang ke UK sekarang dan beg baru ini akan dibawa terbang ke Mesir pada pertengahan bulan September untuk anakku belajar di sana.

Seperti mana hari biasa, selepas solat subuh, aku hanya memohon restu Allah, agar diriku seisi keluarga, anak isteri dan kaum kerabatku diberi keselamatan, kesihatan sempurna, keberkatan, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Doa selawat syifa' kubaca memohon perlindungan Yang Maha Esa dan kuberikan salam dan sejahtera kepada Rasulullah s.a.w. yang menyuluh jalan kebenaran. Aku merasakan makna hidup ialah sentiasa menyerah diri kepada Illahi dengan cara melaksanakan segala surahanNya dan bersungguh-sungguh berusaha menghindarkan segala yang ditegahNya. Aku sekadar ingin melaksanakan syariat dan berusaha tidak melanggar atau melakukan yang diharamkan oleh syarak.

Aku ingin mengucapkan tahniah hari lahir kepada sesiapa yang dilahirkan pada tarikh yang sama sepertiku dan yang dilahirkan pada bulan ini. Semoga anda sekelian dirahmati dan diberkati hidup oleh Maha Pencipta, Rabbul Jalil.

Aku beryukur, kerana aku masih sihat dan dapat berbakti kepadamu, Allah dan berzikir kepadaMu, dengan umur yang Engkau berikan. Sehingga kini, aku tetap berusaha untuk mengkhusyukan solatku dan menghafaz ayat-ayat Al-Quran untuk pedoman hidup ini. Aku bermohon agar anak-anakku semuanya menjadi orang berpendidikan, bijaksana, soleh dan solehah untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

No comments: