Wednesday, August 05, 2009

MASALAH ARAK

Arak boleh disebut juga sebagai minuman keras, minuman alkohol, memabukkan dan membahayakan kesihatan bahkan mengakibatkan atau menjejaskan kerohanian dan mental jika diminum secara berlebih-lebihan. Sesetengah kita, menyebut arak ialah air syaitan.

Arak, walaupun berbentuk cecair atau air, namun di dalam semua agama, perkara yang mendatangkan keburukan/mudarat kepada tubuh badan atau fizikal manusia dan pemikiran adalah diharamkan. Arak adalah ibu segala kejahatan. Arak diharamkan oleh Islam di antara sebabnya ialah menutupi fikiran manusia daripada melakukan ketaatan kepada Allah.

Kalau arak telah disepakati menjejaskan norma kehidupan semua manusia yang normal dan bertamaddun, maka wajar arak ini diurus, ditadbir, dihalusi dengan sempurna;

1. Semua peraturan mengenai arak hendaklah diperhalusi dan diwartakan dan dijadikan peraturan dan undang-undang. Maka, bolehlah diusahakan seperti dihadkan penjualan dan kawalan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja dan diketatkan peraturan dari aspek penjual, pembeli, had umur, pengimpotan dan lesen kepada semua orang non-muslim. Di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sudah tiba masanya semua rakyat wajar menerima hidup berperaturan dan sanggup untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam.

2. Dilarang sama sekali dijual secara terbuka dan di kawasan kediaman orang beragama Islam. Penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan dan semua orang wajar mematuhi dan menerima semua peraturan dan undang-undang untuk kebaikan masyarakat. Ini termasuklah mereka yang ingin meminum untuk tujuan sosial dan majlis 'agama' atau keramaian hendaklah di tempat yang dikhususkan dan tertutup atau di kediaman sendiri (privacy).

3. Iklan dan promosi arak dilarang di semua media elektronik dan media massa, majalah dan sebaran am lainnya.

4. Pekerja orang Islam yang bekerja di kilang arak hendaklah diberhentikan serta merta dan kerajaan negeri ataupun pihak Jabatan Tenaga Kerja wajar berusaha mencarikan peluang pekerjaan kepada semua pekerja terbabit. Inilah jalan yang terbaik untuk semua pekerja Islam belajar mencari rezeki yang halal, bersih dan baik dari semua elemen yang haram dan subahat.

5. Kilang arak hendaklah diberhentikan operasi atau dihadkan lesennya mengikut tempoh tertentu, jika tidak mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Kewajaran kilang arak yang baru didirikan hendaklah ditolak.

6. Semua pesalah arak seperti peminum terutama orang Islam hendaklah dihukum di bawah undang-undang syariah negeri masing-masing. Semua penguatkuasaan undang-undang hendaklah dijalankan. Mereka yang bersalah kerana tidak mengikut peraturan, bolehlah dikenakan tindakan denda yang munasabah atau tidak disambung lesen penjualannya. Masalah besar yang dialami oleh Malaysia adalah amat lemah dari aspek melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

7. Semua kerajaan negeri di bawah peruntukan Enakmen kesalahan Syariah hendaklah meminda peruntukan undang-undang agar disesuaikan dengan kehendak umat Islam yang mengkehendaki undang-undang Islam dilaksanakan dan orang bukan Islam sewajarnya menyokong dan wajar diberikan penjelasan untuk manfaat bersama. Di bawah ini disertakan contoh undang-undang syariah Negeri Melaka. Seksyen 50, Minuman yang memabukkan (Enakmen 6 tahun1991, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka), Bahagian IV Kesalahan-Kesalahan Lain)

(1) Mana-mana orang yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan adalah merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh empat bulan atau kedua-duanya sekali.

Rumusannya

Sudah tiba masanya orang Islam dan bukan Islam di Malaysia dan semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang menyokong pelaksanaan peraturan arak yang 'mesra agama' dan berperaturan dan sistematik untuk kebaikan masyarakat. Elemen menghormati agama dan budaya hendaklah dipelopori dan ditegakkan. Sepatutnya tiada perasaan mencurigai agama lain atau penganutnya. Sewajarnya semua orang berfikiran secara rasional dan matang.

No comments: