Monday, August 10, 2009

Melancong: Fenomena Pelajar Luar Negara

Oleh: AZIZUL SALEHUDIN

Kini menuntut di Charles University, Hradec Kralove, Czech Republic. Berminat dalam melebarkan jaringan ukhuwah, isu-isu penyatuan umat, dunia Islam, politik, remaja dan fotografi. Boleh dihubungi melalui emel atau YM ijoy_07@yahoo.co.uk

Catatan: Ogos 16, 2008

Kata orang tua-tua, jauh perjalanan, luas pemandangan. Kata-kata manusia, boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Namun, disebalik kata-kata ini, terselit satu maksud tersirat, seolah-olah orang tua-tua zaman dahulu suruh anak-anak keluar berjalan, mengembara. Tapi kadang-kadang, bila anak-anak suka berjalan, tidak duduk di rumah, lain pula persoalan yang timbul. Pengajarannya, nak berjalan, berpada-padalah, ingat orang rumah, ingat juga buah tangan untuk orang rumah. (macam dah kahwin bunyinya)

Berlin, Germany

Berjalan, kembara, tengok tempat orang memang seronok. Seronok lagi bila banyak duit, sepertinya tiada masalah. Inilah yang berlaku kepada kebanyakan pelajar Malaysia di luar negara. Sebelumnya hidup susah, makan berkira, air di rumah dijimat sejimat mungkin, ‘heater’ dipasang hanya pabila sejuk benar, pergi ke kolej ulang-alik jalan kaki walau makan masa setengah jam. (macamlah pernah rasa) Namun, selepas pengumuman Belanjawan 2007, semua bagai berpesta melancong. Sebelum ini hanya berlegar-legar di sekitar kawasan sendiri, pelajar UK Eire melancong dalam UK, pelajar Australia dan New Zealand di kawasan Oceanea dan sebagainya. Sekarang, yang dari UK Eire sudah melebarkan jarak pelancongan hingga ke Eropah Tengah malahan ada yang sampai India, Japan, Australia, New Zealand. Hebat!

Dalam pada rakyat Malaysia sesak dengan kenaikan harga beras, petrol, cili, susu pekat manis, orang-orang di kampung pula menghitung hari bersama duit yang tinggal, para pewaris negara di belahan dunia yang lain ini sibuk menghabiskan duit di kota Paris, London, Amsterdam, Berlin …

Vienna, Austria

Jangan rasa bersalah. Melancong, mengembara, melihat tempat orang tidak salah malah sangat terpuji. Bayangkan, ramai antara pelajar Malaysia yang belajar di luar negara, yang mana rutin harian mereka hanyalah bangun pagi, pergi kolej, makan, study, tidur. Itulah yang diulang-ulang setiap hari, kecuali hari minggu. Apa yang mereka belajar dari benda-benda begini? Hanya ijazah yang menandakan IQ yang hebat? Sudahlah kurang interaksi dengan masyarakat tempatan, kurang bergaul, minda tidak berkembang. Kalau begini baik jimatkan duit rakyat belajar di Malaysia saja, dapat juga ijazah, siap ada konvokesyen lagi! Itulah sebabnya saya kata, pelajar Malaysia yang banyak melancong ini harus dipuji. Dengan melancong, mereka bukan sahaja ‘membuang duit rakyat’, malah menambah input yang banyak, tidak ternilai dengan harga yang dibayar.

Bukan mudah melancong, apatah lagi ke tempat yang lain bahasanya, lain budayanya. Dari situ sahaja, banyak perkara yang dapat ‘pelajarong’ (pelajar yang suka melancong) ini belajar. Dua hari perjalanan ke kawasan yang diluar kebiasaan mereka sudah membuatkan mereka dapat belajar seribu satu benda baru, yang sepatutnya akan mendatangkan manfaat kepada diri dan ummat. Sepatutnya. Bukankah biasiswa diberikan untuk kita belajar sesuatu yang tidak boleh kita dapat di Malaysia? Melancong juga satu proses belajar. Maka tak salah guna duit biasiswa untuk melancong. (pandangan peribadi)

Bratislava, Slovakia

Namun hakikatnya, manusia adalah manusia. Manusia berbeza-beza. Untuk apa kita melancong, dengan siapa kita melancong dan kerana apa kita melancong? Semua persoalan ini akan memberikan jawapan berbeza-beza jika ditanya kepada ‘pelajarong-palajarong’ yang berbeza-beza.

“Shopping”, “melihat ciptaan Tuhan”, “lawat member kat Czech, sambil tu jalan-jalan gi Vienna, Berlin, Sarajevo (jauhnya sambil)”, “ikut senior”, “takde mende nak buat mase cuti, gi ar jalan”, “jaulah”, “saje, tengok tempat orang, bile lagi”, “menghayati keagungan Islam masa silam”, “alang-alang balik Malaysia, singgah ar Ausie, NZ, Beijing, Jepun” dan macam-macam lagi.

Berbaloi atau tidak perjalanan kita, kita yang tentukan. Jawapannya ada dalam hati kita. Sama ada kita menggunakan kurniaan biasiswa dengan bermanfaat atau kita menzalimi rakyat yang sedang menderita di tanah air, kita sendiri yang tahu. Tepuk dada, tanya iman.

Prague, Czech Republic

“Keberkatan melancong ibarat softwares untuk OS Macintosh, jika tidak dicari, maka takkan dijumpai.”

Untuk diri sendiri yang telah terjebak dalam dunia ‘pelajarong’. Moga dapat bermuhasabah. Wallahua’lam.

Azizul Salehudin, Hradec Kralove.

No comments: