Wednesday, March 25, 2009

Tips berkesan supaya suami ringan tulang

Assalammualaikum,

Pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga pastinya mengambil masa untuk menyesuaikan diri antara satu sama lain. Meskipun bercinta dalam tempoh yang lama, 5 hingga 10 tahun sekalipun, namun bukan mudah bila masing-masing mula bersatu di bawah satu bumbung.

Dua individu yang berbeza sikap, pandangan, latar belakang dan sebagainya harus belajar menyesuaikan diri hidup bersama. Ketika ini, akan terserlahlah sikap dan sifat sebenar pasangan masing-masing. Apa yang tidak pernah ditonjolkan oleh pasangan ketika bercinta akan anda hadapi ketika ini. Proses mengenali pasangan ini pastinya ada suka dan dukanya dan itulah rona yang mewarnai kehidupan sebuah perkahwinan.

Dalam pada itu, di awal perkahwinan ini bukan soal menyesuaikan diri saja akan menjadi masalah tapi juga akan timbul kesulitan tentang pembahagian urusan rumahtangga ataupun kerja-kerja rumah. Walaupun hanya tinggal berdua namun rumah pastinya takkan sunyi dengan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Urusan memasak, mengemas, membasuh, pembayaran bil dan sebagainya perlu diagih-agihkan Apatah lagi jika isteri berkerjaya. Sekiranya hanya seorang yang melakukannya, sudah pasti tidak menang tangan.

Oleh itu, sebaik-baiknya di awal perkahwinan ini, suami perlu dibawa berbincang tentang hal ini. Terangkan bahawa urusan rumahtangga bukanlah terletak di bahu isteri semata-mata dan jangan 'manja'kan suami anda dalam kerja-kerja rumah. Perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan, jika sejak mula anda telah biasakan suami membantu anda, insya Allah, takkan ada masalah lagi di belakang hari.

INGAT! Isteri yang dikahwini bukanlah pembantu rumah (orang gaji) anda. Bagi isteri pula, tak perlulah anda tunjuk 'terror' kononnya mahu menjadi seorang superwoman yang mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa. Anda akan menerima natijahnya di kemudian hari. Kerja rumahtangga harus dibahagi-bahagikan agar berjalan dengan lancar dan rumahtangga terurus. Tapi bukan mudah untuk melakukannya. Akan timbul masalah jika si suami tidak mahu memahami, ataupun pemikirannya ditanamkan dengan fikiran bahawa kerja rumahtangga adalah kerja wanita, jadi mahu tak mahu ia harus dilakukan oleh isteri. Ada juga lelaki yang ego, mereka menolak melakukan kerja rumahtangga.

Pelbagai alasan diberikan, dari malas, tidak biasa hinggalah bukan tanggungjawap suami, katanya. Benarkah begitu? Jika beginilah keadaannya, yang harus berkorban adalah isteri. Jangan tak tahu, biasanya hal ini boleh saja menyebabkan pertengkaran suami-isteri. Sudahnya baru saja berumahtangga, ada pasangan yang bergaduh sakan.

Sebahagian daripada umat Islam mempunyai salah tanggap bahawa adalah tugas isteri untuk menguruskan rumahtangga. Dan tugas suami adalah mencari nafkah sahaja, tanpa perlu menghiraukan urusan rumahtangga. Tanggapan sedemikian tidak bertepatan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sila rujuk, entry Nafkah isteri - Kewajipan Suami Menyediakan Pembantu untuk permasalahan ini.

Tidak dinafikan memanglah tugas utama isteri adalah menguruskan rumahnya, suaminya dan anaknya. Tetapi ini tidak bermakna si suami tidak perlu membantunya isteri langsung! Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita, bahawa walaupun baginda begitu sibuk dengan urusan di luar rumah, walaupun baginda mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan paling tinggi di kalangan manusia, baginda tetap meringankan tangan membantu isterinya.

Ini dibuktikan dengan hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW juga membantu meringankan tugas dan urusan isteri-isterinya di rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksudnya, Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Dalam sebuah hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitabnya Asy-Syamail, Aisyah r.a. berkata yang maksudnya, “Rasulullah SAW itu adalah seorang manusia, baginda menjahit sendiri bajunya, memerah sendiri susu dari kambingnya, dan melakukan sendiri perkara yang diingininya.”

Imam Ahmad pula meriwayatkan dari Aisyah r.a. yang maksudnya, “Rasulullah SAW menjahit sendiri bajunya, memperbaiki sendiri sepatunya, dan buat seperti apa yang dibuat oleh lelaki lain di rumah mereka.”

Hadis-hadis ini cukup jelas menggambarkan keperibadian Rasulullah SAW ketika bersama dengan ahli keluarganya. Jadi, apakah yang menghalang suami zaman ini daripada meringankan tulang membantu isteri? Bagi memastikan anda dan pasangan tidak terjebak dalam sindrom 'suami tak mahu kerja berat takut nanti reput tulang', maka eloklah dari awal lagi anda ‘mendidik’ suami untuk membantu urusan rumahtangga.

Bagaimana untuk melakukannya? Di bawah disenaraikan cara yang paling halus tetapi berkesan untuk membuatkan suami turun padang membantu anda menangani kerja-kerja di rumah.

Tip 1 - Pastikan suami tidak terlalu penat

Suami adalah ketua keluarga. Dia punya tanggungjawap yang besar untuk menyara keluarga, terutama sekali jika isteri tidak bekerja. Dari awal pagi hingga petang bahkan sampai lewat malam suami mungkin menghabiskan harinya dengan bekerja. Jadi jika anda ingin meminta bantuannya melakukan kerja rumah, anda harus pastikan dia tidak dalam keadaan terlalu penat. Janganlah meminta suami menyidai kain, sebaik saja dia baru pulang dari kerja. Kalau itu yang anda lakukan, bererti anda seorang isteri yang tidak peka dan kurang menghargai peranan suami sebagai pencari nafkah.

Tips 2 – Berikan alasan yang logik

Lelaki adalah manusia yang mementingkan akal fikiran yang logik. Oleh itu, ketepikan emosi anda seperti marah, merajuk, menarik muka, sedih dan sebagainya ketika meminta bantuan daripada suami. Beritahu suami alasan-alasan logik kenapa anda perlu bantuannya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Contoh alasan logik yang boleh dikemukakan adalan anda terlampau penat, kerja terlalu berat untuk wanita atau ada beberapa tugas di rumah yang menurut anda lebih elok hasilnya jika dilakukan oleh suami.

Tips 3 – Tawarkan suami melakukan tugas ‘berat’

Tugas itu meliputi mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang/saluran air, membaiki barang rosak (seperti sinki dll) dan pekerjaan-pekerjaan lain yang memerlukan tenaga ekstra. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’.

Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka, seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin, menukar mentol, dan sebagainya. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham tentang elektrik dan barang elektronik.

Tips 4 – Sentuh perasaannya

Suami anda pasti menyintai anda dan ingin anda bahagia. Cubalah ‘merayu’ suami dengan menyentuh perasaannya. Tapi caranya bukan dengan menyatakan, “Kalau abang sayangkan saya, abang mesti tolong saya buat kerja di dapur” atau menyindir, “Abang sebelum saya bising, baik abang tolong saya”.

Seharusnya anda perlu mempastikan suami faham kenapa anda memerlukan bantuan daripadanya. Misalnya, setelah seharian anda membersihkan seluruh rumah dan memasak di hujung minggu, katakan bahawa anda sedikit penat untuk membereskan meja makan dan pinggan mangkuk setelah makan malam. Kalau caranya tepat dan menyentuh hatinya yang peka, anda akan dapat membuatkan suami terus saja menawarkan diri membantu anda kerana dia menyintai anda.

Tips 5 – Rayu dengan hadiah

Cara ini kadang-kadang berjaya. Hadiah yang boleh anda tawarkan misalnya memasak masakan kesukaannya, melakukan sesuatu yang selama ini anda hindari tapi sebenarnya diinginkan oleh suami, melakukan hobi bersama-sama, hinggalah ‘servis’ ekstra di ranjang malam nanti.

Tips 6 – Jangan mendesak atau mengarah

Suami memang pantang memerima arahan isteri. Seeloknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan ndalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Pasti suami tidak akan menolak permintaan anda.

Tips 7 – Masa yang sesuai

Meminta suami membantu urusan rumahtangga juga memerlukan masa yang tepat. Paling baik adalah ketika suami sedang bersantai dan moodnya elok. Misalnya ketika sedang menonton televisyen, makan bersama atau sebelum tidur.

Tips 8 – Ucapkan terima kasih

Ucapkan terima kasih jika suami mahu membantu anda. Biasanya motivasi ini akan membuatkan suami anda cukup bahagia kerana dapat meringankan beban isteri tercinta. Selain ucapan terima kasih, berikan juga pujian setiap kali suami selesai membantu anda. Dua kalimat ini wajib diucapkan agar dia lebih senang membantu anda di kemudian hari.

Buatlah komitmen dalam hati untuk tidak memulakan pertengkaran dan tidak terpancing dengan emosi. Hindari juga daripada mengomel, membebel, membentak, menyindir dan sebagainya kerana ini akan membuatkan suami semakin keras kepala dan langsung enggan membantu.

Tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggugnjawap isteri sahaja. Sebaik-baiknya, lakukanlah bersama-sama, insya Allah akan bertambah semarak cinta anda.

Hadis Rasulullah SAW:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

Sedutan daripada Bawang Goreng,
http://bawangorengnet.blogspot.com

No comments: