Tahniah kepada Khairy Jamaluddin yang berjaya menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO setelah memperolehi 304 undi. Aku yakin penyokong-penyokong Dato Mukhriz Tun Mahathir dan Dr. Mohamad Khir Toyo pasti kecewa. Khairy menang dengan kelebihan 50 undi menewaskan pencabar terdekat, Dr. Khir 254 undi dan Mukhriz 232.
Adat dalam setiap pertandingan, pastinya ada pemain yang kecundang. Pemenang akan gembira girang dan akan meraikan kemenangan, manakala yang tewas pula rasa terkilan, duka nestapa serta merenung apa nasib buruk menimpa.
Dalam medan perjuangan politik UMNO, apabila calon kalah di dalam pemilihan, adakah masih mempunyai harapan cerah untuk maju ke hadapan?
Sukar untuk dijawab, namun perbahasan positif dan negatifnya adalah bergantung sebahagian besarnya kepada personaliti, kebolehan, kematangan, kredibiliti, kemampuan, cara gerak kerja, 'net-working', 'determination', 'leadership style or approach', keberanian dan faktor penyokong setia.
Dalam kesempatan ini, aku hanya ingin mengulas tentang perjuangan politik Dr. Khir sahaja.
Aku rasa beliau belum cukup berkarisme dalam mengengahkan idealisme yang ingin dibawa. Keistimewaan yang aku ingin cari sebagai pemimpin muda yang agresif, pro aktif dalam menangani isu bangsa, agama dan tanah air terasa masih luntur. Beliau tidak berupaya menterjemah dan menyerlahkan kebenaran yang ingin diperjuangkan.
Aku rasa perjuangan secara retorik tidak selari dengan bentuk amalan semasa beliau menerajui negeri Selangor dahulu yang penuh dengan kontroversi dan kritikan. Ibarat cakap tak serupa bikin.
Kematangan berhujah adalah masih lemah menyebabkan idea atau saranan menjadi keliru dan tidak difahami oleh pemuda bahkan rakyat kebanyakan. Beliau masih terikut-ikut dengan gaya orang lama atau "he is just an old politician", bermaksud belum dapat memahami hasrat dan inspirasi atau "ikon" orang muda kini. Beliau masih tidak bertenaga atau dinamik dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan yang semakin kompleks ini.
Aku juga tertarik dengan niat beliau untuk melakukan perubahan ('changes and reform') di dalam parti, namun gagasan beliau tidak dinyatakan secara spesifik dan jelas, mahupun secara tersurat atau tersirat. Keadaan ini memungkinkan hanya omongan kosong dan laungan atau sekadar slogan. Walaupun aku tidak meminta semua aspek perancangan wajar dihebahkan, namun perkara-perkara pokok perubahan perjuangan semestinya dicanangkan.
Aku turut simpati apabila beliau inginkan UMNO meletakkan semula agama sebagai prinsip perjuangan kerana pada tanggapan beliau perjuangan menegakkan agama sudah dibolot oleh parti pembangkang, terutama PAS. Sebenarnya, aku tidak nampak perjuangan menegakkan agama sebagai agenda utama pergerakan Pemuda, lantaran itu, idea beliau tidak mendapat sambutan.
Aku merasakan setelah beliau tidak memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, setelah Selangor ditawan oleh Pakatan Rakyat (PR), suara beliau turut tenggelam dan beliau tiada lagi satu pasukan rakan kerja yang baik.
Pada pandanganku, beliau masih ada peluang keemasan dan menabur bakti iaitu di negeri dan di bahagian sendiri.
Apakah langkah-langkah yang Dr. Khir patut ambil?
1. Berhentikan tohmahan dan kritikan tanpa asas terhadap kerajaan PR, melainkan konstruktif idea di dalam DUN mahupun perbincangan terbuka bagi tujuan memajukan negeri. Kita khuatir semua penyelewangan semasa pentadbiran yang lalu, jika ada, turut dibongkar dan menjadi bahan fitnah dan adu domba. Perbuatan tuduh menuduh tidak membawa apa-apa faedah kepada semua pihak. Politik semasa mestilah berintegriti, matang dan bertanggungjawab.
2. Bersama-sama memajukan negeri dan rakyat Selangor kerana sebagai ketua pembangkang, beliau mempunyai kapasiti untuk menegur dan 'get along with new administration' untuk memakmurkan rakyat negeri Selangor.
3. Walaupun tewas untuk memegang kerusi Ketua Pemuda, semua idea yang ada di pemikiran beliau, boleh dicurahkan untuk kebaikan anak negeri. Ini tidak bermakna, apabila menang sahaja, semua idea atau rancangan yang baik akan dilaksanakan segera kerana ingin menunaikan matlamat kempen sahaja. Kita tidak mahu, apabila tewas, semua idea yang baik, hilang begitu sahaja.
4. Beliau adalah dikatakan pemimpin yang cepat naik, sedangkan umur masih terlalu muda. Naiknya beliau pula tanpa disangka-sangka. Inilah yang dikatakan untung badan. Apabila sudah berada di bawah semula, diharapkan beliau insaf untuk memperjuangkan yang hak atau kebenaran bersama-sama, tanpa melihat lambang parti bagi menyahut dan menghidupkan demokrasi.
5. Usia beliau masih muda, boleh teruskan aktif dalam parti yang diyakini mampu memperjuangan prinsip kebenaran, namun jika parti masih diselaputi oleh najis politik wang beriringan dengan sedikit suasana 'gangsterism', pemimpin yang dianggap jujur dan cerdikpun apabila wang sudah bermaharajalela dan sukar untuk dibendung, permainan politik bersih tidak ke mana. Akhirnya, tersadai di persimpangan dan sentiasa gagal. Justru itu, politik wang mestilah dihancurkan habis-habisan sebelum bercakap mengenai idealisme perjuangan.
Perjuangan Dr. Khir tidak boleh pergi jauh, jika wang masih menjadi ukuran memilih pemimpin. Maaflah, akupun tidak nampak, setakat mana negeri Selangor mampu melahirkan pemimpin di peringkat nasional.
No comments:
Post a Comment