Sunday, February 08, 2009

MY DIARY, TODAY SUNDAY, 8 FEBRUARY

1. Hari ini, aku nampak semacam sibuk sedikit. Selepas urusan makan minum selesai, kira-kira jam 10.00 pagi aku hidupkan enjin kereta, 'little warm up' dahulu kerana cuaca sejuk, 3 darjah celsius. Tepat jam 10.15 pagi, aku bersama-sama isteriku pergi menjemput Dr. Thohiroh Abdul Razak, yang sampai 21 Januari, 2009 yang lalu pergi ke Walton Street Car Boot. Aku dan isteriku mengajak Dr. Thohiroh membeli sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan 'car boot' di Walton Street ini. Walaupun keadaan hari ini lebih sejuk daripada hari-hari yang lain, namun untuk mengajak teman yang belum pernah pergi ke 'car boot', pergilah aku membawa beliau. Dr. Thohiroh ialah seorang doktor bius bertugas di Hospital Besar Kuala Lumpur dan sedang menjalankan 'research' atau 'sub-specialist' dan turut bekerja di Castle Hill Hospital di Hull ini.

2. Aku juga mengambil kesempatan, memohon 'AA breakdown cover' untuk keretaku. Aku rasa kerana hendak menjimatkan perbelanjaan, aku tamatkan 'RAC breakdown cover'. Di UK, orang tidak boleh persoalkan hak kita sebagai pengguna. Kalau mereka rasa hendak batalkan apa yang telah kita gunakan, boleh dibuat bila-bila masa. Walaupun, setiap bulan, bayaranku buat secara 'direct debit', namun apabila perkhidmatan kerap digunakan, bayaran bulanan semakin meningkat. Dengan menggunakan perkhidmatan AA, perbelanjaanku boleh dikurangkan sedikit.

3. Sebaik selesai 'shopping' di car boot itu, aku pergi ke kedai Islam Foods yang terletak di 236-238, Beverley Road, Hull HU5 1AH. Isteriku membeli ikan mackerel dan daging biri-biri halal, manakala Dr. Thohiroh turut membeli daging kambing dan daging hancur. Di UK, tidak sukar untuk memperolehi daging halal. Aku turut bertanya dari mana bekalan daging halal kepada sdr. Ariff Fadzilah, seorang rakyat Malaysia, yang sudah 13 tahun berada di UK dan bekerja di kaunter bayaran di kedai ini. Semua bekalan diperolehi dari Bradford, salah sebuah bandar di UK yang ramai penduduk Islamnya berasal dari Pakistan. Dengan izin Allah, Arifflah yang membantu kami, mencari rumah sewa untuk kami sekeluarga, sebelum kami sampai di UK pada September, 2006. Dengan izinNya, urusan kami ke Hull, UK, tidak menyusahkan orang lain kerana apabila sampai sahaja ke bumi England aku sudah dapat tempat tinggal, hanya 10 minit berjalan kaki ke universiti. Tambahan pula, Ariff sebenarnya bekas anak murid isteriku, semasa isteriku mengajar di Kuantan dahulu, 20 tahun dahulu, tahun 1986. Lama juga aku dapat berbual-bual dengan Ariff. Ariff bertemu jodoh dengan gadis Bosnian dan kini tinggal di Birmingham. Kawan rapat beliau semasa bertemu di Bosnia dahulu ialah Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Isterikupun tidak sangka dapat bertemu dengan bekas anak muridnya. Ini semuanya sudah suratan.

4. Aku sampai ke rumah, hampir jam 2.15 petang dan nampak keletihan. Pukul 3.00 petang, ada pula mesyuarat AJK Kelab Melayu Hull. Mujurlah, mesyuarat diadakan di rumah temanku, Ahmad yang terletak di Raglan Street, di hadapan rumahku sedikit. Mesyuarat dapat dijalankan pada jam 3.20 petang, selepas kami semua dapat solat asar berjemaah.

5. Beberapa agenda penting, kami dapat putuskan, di antaranya:-

5.1 Penyusunan semula AJK dan Biro. Aku dilantik sebagai AJK Kerohanian dan Pendidikan. Untuk tujuan memantapkan organisasi, AJK Penerangan & IT, Sukan & Rekreasi, Penerbitan dan Perhubungan Scarbrough dibentuk. Moderator blog Kelab Melayu Hull diamanahkan kepada Ahmad Inamul Hasan Ahmad Zaidi, bekas penuntut Politeknik Merlimau, Melaka. Sdr. Azli turut diminta menyediakan Standard Operating procedure (SOP) bagi kemudahan rujukan penuntut-penuntut baru yang ingin belajar dan sebelum sampai di Hull.

5.2 Memutuskan semakan Laporan Tahunan dan Kewangan untuk diserahkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia (MSD), London.

5.3 Merangka beberapa program/aktiviti pada setiap Biro.

5.4 Program yang wajar diberi keutamaan dan dilaksanakan segera ialah:-

5.4.1 Membuka Kelas Bimbingan Anak-Anak kepada dua peringkat iaitu untuk yang bersekolah rendah dan menengah. Temanku, Azli dilantik Guru Besar dan seterusnya untuk mempengerusikan mesyuarat khusus bagi melaksanakan segera aktiviti ini pada bulan April ini. Program ini seakan-akan sekolah bagi membimbing anak-anak mengenai agama, akhlak, membaca Al-Quran, macam sekolah KAFA, mempelajari bahasa Melayu dan kenegaraan. Sekolah Malaysia wujud di bandar-bandar besar seperti di Manchester dengan pihak berkuasa tempatan membenarkan sekolah digunakan pada hujung minggu, hari Sabtu untuk orang Malaysia menggunakannya. Kamipun risau di mana anak-anak kami boleh mempelajari dan mendapat didikan agama, melainkan kami sendiri yang mengusahakannya. Selama ini, masing-masing keluarga mengajar anak masing-masing atau menghantarnya ke
Hull Mosque & Islamic Centre di 2, Berkeley Street, Hull HU3 1PR. Ada anak teman kami yang dihantar ke masjid meniru sebutan orang Pakistan, kerana tenaga pengajar daripada bangsa ini. Kadang-kadang akupun rasa kasihan dengan mereka.

5.4.2 Mengadakan sambutan Maulidur Rasul/ceramah agama pada Ahad 8 Mac, 2009.

5.4.3 Lawatan ke Scarbrough & menemui rakan-rakan pelajar di Hull University, cawangan Scarbrough pada selewat-lewatnya hujung bulan April, semasa cuti sekolah di UK.

5.4.4 Mesyuarat AJK diputuskan setiap 3 bulan sekali. Semua permasalahan dan perhubungan boleh disampaikan melalui e-mel atau perjumpaan biasa di al-kulliyah dan perjumpaan informal yang lain.

5.4.5 Yuran tetap bulanan GBP5 untuk keluarga dan pelajar bujang, mulai bulan Februari 2009.

6. Mesyuarat selesai jam 5.00 petang dan selepas solat maghrib berjemaah, akupun balik dan terus mengetuk 'keyboard' dan mengarang.

No comments: