Saturday, January 17, 2009

Perjalanan kembali ke bumi UK





Assalamualaikum, wrbth.

Apa khabar semua teman terutama di Saujana Utama, Seri Pristana, Bandar Puncak Alam di semua fasa, Kampung Bukit Hijau, Bukit Cheraka, Bukit Kuching, Parit Mahang dan yang boleh mengakses e-mel ini. Bacalah coretan perjalanan kehidupan saya untuk penghibur teman semua.

Pertama, aku ucapkan terima kasih atas sokongan dan galakan keluargaku dan teman-temanku yang aku suatu ketika menyuarakan cadangan dan berhajat ke UK untuk menziarahi keluarga di sana. Keduanya, aku turut berterima kasih kepada sahabatku, Ustaz Mohd Sharoni Ismail yang sudi menghantarku ke KLIA, walaupun jadualnya agak 'ketat' hari itu. Aku bertolak ke UK dengan pesawat Etihad Airways, EY411 pada jam tepat 9.10 malam menuju ke Abu Dhabi International Airport dan sampai di lapangan terbang ini pada jam 12.30 tengah malam, waktu UAE dan terpaksalah 'lepak' di musollah sehingga jam 1.30 tengahari kerana tiada' flight' kosong ke Manchester. Aku cuba 'request' hotel tetapi tidak dapat layanan. Alhamdulillah, pada tengahari itu aku dapat berlepas dengan pesawat EY21 dan aku telahpun sampai di bumi England pada hari Khamis, malam Jumaat, waktu sudah gelap, kira-kira jam 5.22 malam, waktu tempatan dan disebabkan musim sejuk (winter), waktu malamnya agak panjang berbanding waktu siang. Aku sampai rumah di Hull, kira-kira jam 9.35 malam. Perjalanan dari Manchester Airport mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke kediamanku. Itupun dianggap agak cepat disebabkan jalan menghala ke Hull, tidak 'jammed', lagipun anak lelakiku, Fathul namanya, yang sedang cuti semester, belajar di UiTM, Arau telah sampai lebih awal ke UK, agak berani memandu laju sehingga 80 batu sejam, walaupun jalan agak basah kerana hujan. Dengan cuaca dingin serendah 2 darjah celcius, aku merasakan suasana sejuk memasuki tulang, lagipun agak lama juga sudah tidak rasa kesejukan yang sebegini. Kereta yang aku beli, semasa belajar di UK dahulu masih gagah bergerak di atas Motorway (highway) M62.

Kereta Renault Megane 1.6, tahun 1997 yang aku beli lebih kurang £675.00 semasa belajar bulan Oktober 2006, nampaknya masih lasak dan cergas di jalan raya. Sememangnya kereta, terutama 'second hand' dijual agak murah.

Walaupun agak keletihan ketika ini, namun aku puas setelah hampir setahun dua bulan duduk 'seorang diri' tanpa isteri dan anak, semata-mata hendak menyelesaikan kontrak dengan JPA, selama setahun. Kita wajib bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa jua 'tanggungan' yang ada. Setelah selesai, aku rasa lega.

Hingga hujung bulan dan tahun ini, aku mengambil cuti rehat, yang bergaji penuh. Tidak bermakna, aku hendak 'lari' daripada tugas. Cuti rehatku wajar dihabiskan, kalau tidak ianya 'burn', tidak boleh di bawa ke hadapan ('carry forward'). Aku ambil kesempatan ini sebaik-baiknya.

Aku akan bercuti tanpa gaji mulai 1 Januari, 2009 hingga 24 September, 2009 dahulu. Ianya bergantung kepada pengajian isteriku di peringkat PhDnya. Kalau perlu disambung lagi, mungkin sampai September, 2010. Ini turut bergantung kepada keadaan anak perempuanku yang sedang belajar 'A levels' di St. Mary's College dan anak ketigaku yang sedang mengambil bidang BTEC Diploma in Engineering di Hull College. Kedua-duanya berada di Sixth Form, High School.

Inilah kehidupan yang tidak sunyi dengan liku-liku, pengorbanan dan tidak pernah mengenal erti keletihan, sehingga sepupu perempuanku yang tinggal di Seksyen 11, Kota Damansara, selalu menyatakan aku ini orang yang tidak jemu-jemu untuk belajar kesusahan, keperitan dan rintangan. Beliau ada bertanya kepadaku, bilakah agaknya abang boleh duduk sama-sama anak isteri, sebabnya daripada mula berkahwin pada 21 Jun 1987 hingga sekarang selalu berpindah-randah, macam 'orang nomad'?

Aku sememangnya seronok macam ini sekadar untuk mencari pengalaman kesabaran dan yang paling mustahak dapat sentiasa belajar untuk mempunyai sifat tolak ansur sesama ahli keluarga dan orang lain. Aku turut belajar berkomunikasi dengan berkesan dan menjadi pendengar yang baik di samping berusaha untuk mengawal emosi atau ego yang tinggi.

Jumaat tadi, dapat aku berkesempatan bersolat Jumaat di Masjid Pearson Park dan sempat berbual-bual dengan teman-teman belajar dahulu tetapi tidak boleh lama berdiri di luar kerana cuaca amat sejuk. Tidak semua aku dapat bertemu kerana ada teman-teman lain bersolat di universiti. University of Hull turut membenarkan 'Islamic Association" menganjurkan solat Jumaat di 'prayer room' yang khas, disediakan. Jumaat kali ini amat singkat khutbahnya, lebih kurang 12 minit sahaja dan tepat 1.14 tengahari terus solat. Aku nampak khatib dan imam orangnya agak muda dan bagus juga dapat mendengar khutbah ringkas, padat dan masih menggunakan bahasa Arab sebagai medium penyampaiannya. Sebenarnya, sebelum khutbah itu, para jemaah telahpun mendengar tazkirah panjang dalam bahasa ‘Bangaladeshi’, yang aku sendiri tidak faham sepatahpun. Sebab itu, kami di sini suka datang lambat sedikit, hanya untuk mendengar khutbah dalam bahasa Arab sahaja. Aku bolehlah faham, walaupun tidak semua. Di universiti, khutbah dalam bahasa Inggeris tidaklah masalah besar, kerana khatib di kalangan ‘student’ dan penyampainya 'our Arab brothers' dan kesemuanya dapat berbahasa dengan baik.

Aku tidaklah terasa letih apabila dapat mencium anakku yang bongsu, Muhammad Nur Hidayat (Hidayat), sekarang di 'Year Three', bersekolah di Sidmouth Primary School, walaupun usianya baru tujuh tahun.

Hari Sabtu 13 Disember, 2008 kira-kira jam 6.15 petang (malam) kami ada usrah/alkulliyah muslimin.

Kini aku sedang bersiap-siap dan berkemas untuk perjalanan makan angin ke Brussels, Belgium, Zurich, Switzerland dan Paris, Peranchis mulai 15 - 19 Disember, ini.

Untuk sementara ini, sekadar ini coretan yang sempat dirakamkan.

No comments: