Setiap orang yang hidup di dunia ini ada cita-cita masing-masing yang hendak dicapai. Mungkin cepat atau lambat untuk dikecapi terpulang kepada daya usaha sendiri dan adanya keizinan daripada Yang Maha Kuasa, Allah s.w.t. Aku seperti orang lain, sentiasa hendak mencuba dan berusaha. Sememangnya sejak aku kecil, menurut ibuku, Seti Fatimah Binti Mohamed, aku bukannya orang yang jenis lasak. Aku disebut budak lembik, “cengenge”(sebutan orang Pahang) dan “chewek” (orang kampungku sebut, omong Jowo). Ringkasnya, aku mudah menangis, sensitif, terlampau emosi dan jiwa ‘cepat memberontak’dan memikirkan diri sendiri. Kalau aku diusik sedikit, aku mudah tersinggung dan kalau aku tidak tahan, aku akan cepat menangis dan terlampau sedih. Aku juga budak jenis pendiam dan tentunya tidak banyak ketawa. Aku selalu diejek-ejek oleh kawan-kawanku terutama oleh sepupu-sepupuku. Aku ramai sepupu yang sama dilahirkan tahun itu, 1961. Sepupuku semuanya masih ada, Jayus Johari tinggal di Kg. Bukit Kapar, dekat kediamanku di Bandar Puncak Alam. Sepupuku yang lain, Andong, nama timangan, menetap di Padang Tengku, Kuala Lipis, khabarnya menjadi foreman, buka bengkel kereta di Pekan kecil itu. Sesiapa yang menghala ke Gua Musang, ada bengkelnya nampak di tepi jalan. Mohsin Mohtaram kini tinggal di Sungai Siput, Perak dan Sahri Kasem berhijrah di Pasir Panjang, Perak (tempat Menteri Besar Perak bertanding). Aku sememangnya suka bersendiri kerana mereka apabila mereka bermain agak kasar, berlari-lari, berguling-guling atas tanah dan masing-masing beradu tenaga, bermain galah panjang dan mengejek-ejek. Itulah namanya budak, bermain ketika itu. Aku tidak gemar begitu dan aku lebih suka mengambil kayu kecil lalu melukis atau menulis dan melakar sesuatu di atas tanah. Kadang-kadang aku akan mencari tahi ayam dan memusing-musingkan tahi ayam itu dengan kayu itu. Akupun tidak tahu mengapa aku selalu buat begitu. Akupun tidak suka diarah-arah dan kalau ibuku suruh aku mengambil air paip di tepi jalan dan perlu berbaris menunggu giliran (masa itu tahun 1960an-awal1970an, air bersih belum masuk ke rumah-rumah penduduk), aku terasa malas sebab terpaksa lama menunggu dan terpaksa minta tolong orang angkat tong yang berat lebih 10 kg ke belakang (ada carrier) basikal besar ayahku.
Semasa aku di sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Jalan Parit Omar, sekolah yang dibina bersempadan di antara Kg. Bukit Cheraka dan Bukit Kuching Tengah, di bilik darjahpun sehingga darjah enam, aku sentiasa di kelas pertama, tidak sepupuku, namun bila dapat markah periksa, aku selalu berada di tahap ‘average’. Aku bukanlah budak yang amat bijak tetapi aku menjadi bahan ketawa, kawan-kawan, kerana apabila aku diminta mengemukakan ‘report card’ semula setelah disemak oleh bapaku, ketika ditanya guruku, “awak hendak jadi apa, apabila besar nanti dengan markah macam ini?, aku selalu sebut, hendak jadi Menteri dan pegawai, boleh pakai tali leher”. Aku tetap tegas dengan jawapanku. Cikguku selalu senyum dan menepuk-nepuk bahuku, walaupun ramai di kalangan rakan sekelasku mengejek-ejekku. Aku syukur di dalam kelas tersebut yang aku tahu dan ingat, hanya kami bertiga yang lepas masuk universiti iaitu anak guruku sendiri, Cikgu Abdul Rahman masih sihat tinggal di Pekan Sungai Buloh, Jeram, Khairuddin kini berkhidmat, tenaga pengajar di Akademi Badan Pencegah Rasuah, di Kuala Lumpur dan Zailani Kadir, Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Sabak Bernam, Selangor.
Aku hanya ingin sebut, di dalam keluargakupun, aku hanya yang berpeluang belajar di Universiti dan orang pertama dapat belajar di UK. Aku tidak ada apa-apa rahsia. Ianya seperti orang lain, tetapi yang menjadi pendorongku sebenar ialah arwah ayahku dan ibuku. Walaupun aku jarang bercakap-cakap dengannya, lantaran kebengisannya (orangnya cepat marah dan garang tetapi cepat mengalah dengan anak-anak). Aku selalu mengadu apa-apa masalah kepada ibuku, apabila sesuatu perkara yang aku sendiri sukar menerimanya dan ibuku sering menyatakan sabarlah, redhalah dan insaflah dan mengadulah kepada Allah s.w.t. Oleh kerana kegarangan ayahku itu, aku selalu dengar cakap ayahku dan hendak jadi orang pandai aku baca buku sendiri, tanpa ada kelas tution atau bimbingan orang lain. Walaupun, ada kelas bimbingan masa hendak menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE), tetapi ianya amat terbatas. Ayahku juga orang miskin, tentunya tidak mampu untuk berbelanja lebih besar untuk urusan membeli buku tambahan atau tambang pengangkutan. Aku sentiasa dengar, patuh dan taat dengan kata-kata ayah dan ibuku.
Bila aku sempat bersama ayahku, aku selalu diajak ke majlis berzanzi terutama jika ada ada kelahiran baru di kampungku. Ayahku juga pengajar berzanzi dan main kompang dan rumahku menjadi tempat belajar berzanzi dan kompang berkenaan. Adik-adikku dan sepupuku dan budak-budak lain tidak minat begitu. Mungkin kerana aku selalu bersama ayahku dan orang-orang tua, aku mudah mesra dan mula bergaul dengan mereka. Aku mula bergaul dengan arwah Pak Imam kampungku Hj. Ismail dan abangnya dan belajar mengaji Al-Quran dan kitab lama, dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa halus Jawa. Aku juga sempat mengaji Al-Quran dan belajar fardu ain dan terutama bab solat dengan adiknya Imam iaitu arwah Hj. Sidek (Abdul Rahman, iaitu bapa kepada Ustaz Kamil, yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram dan bapa mentua Ustaz Dzulhasnan Bin Perman) dengannya sehinggalah tamat belajar sekolah menengah rendah. Itupun aku bernasib baik, aku kenal dengan anak-anak imam ini terutama yang sebaya denganku, Mohd Salimi dan kerap kami tidur di pondok ayamnya. Kami sentiasa, apabila cuti Sabtu, Ahad akan turut menjaga ayam ternakan Pak Imam yang mendapat khidmat nasihat dan dibantu mengurus oleh pihak MARDEC. Aku tahu bapa saudara Ustaz Kamil termasuk bapanya adalah ‘Tok Kiyai’ kampungku yang paling dihormati kerana kealimannya.
Barangkali kesensitifanku itu, aku seorang yang seakan-akan mudah berfikir dan menganalisa. Aku masih ingat kata ayahku, “dalam hidup ini, kita mesti selalu berfikir dan jangan putus asa serta jangan sekali-kali bergantung kepada nasib atau suka meminta-minta pertolongan dengan orang lain, tanpa diri sendiri berikhtiar terlebih dahulu”. Selain itu, kata ayahku, “sentiasalah berkenalan dengan semua orang, kenal hati budi mereka dan sentiasalah bersedia menolong orang lain dalam apa jua bentuk, tanpa meminta upah atau balasan atau pujian”.
Mungkin aku mula meminati mengaji Al-Quran dan agama, selepas MCE aku mula mencari sekolah menengah atas yang sesuai dengan jiwaku. Aku bernasib baik dan tuah mendatang dengan pertolongan dan bantuan Salimi, anak Pak Imam Hj. Ismail yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Hishamuddin di Jalan Kota Raja Klang, aku dapat tawaran belajar di Tingkatan Enam di sekolah tersebut dan dapat elaun bantuan asrama dan makanan oleh JAIS, memandangkan sekolah ini di bawah pengurusan pihak JAIS. Hanya ada satu kelas akademik ditawarkan di sekolah ini dan seingatku pelajarnya tidak sampai 30 orang. Pada amnya, kelas ini dibuka kepada bekas-bekas penuntut sekolah tersebut setelah selesai peperiksaan SPM dan yang tidak berminat meneruskan pelajaran di dalam bahasa Arab. Sekolah ini beraliran Arab dan akademik. Memandangkan ada kekosongan yang kecil dan dengan pertolongan serta bantuan pihak sekolah terutama kepada arwah ustaz Paidi Keromo, pengetua sekolah tersebut, aku dapat bersekolah di sini dan bertemu dengan Ustaz Hj.Adanan Bin Isman,yang mengajar subjek sejarah Islam, sekarang bergelar Dato’ dan sebagai Rector / Chief Executive Officer of Selangor International Islamic University College (KUIS). Aku selalu berinteraksi dan amat rapat dengan beliau, memandangkan aku juga Setiausaha Pelajar Tingkatan Enam dan beliau merupakan penasihat kepada persatuan ini. Aku mula aktif di dalam persatuan dan turut dipilih menjadi Setiausaha Pengawas dan AJK Perpustakaan sekolah. Sebagai setiausahalah aku banyak belajar dan mengasah merancang, mengarang, menulis dan berucap di khalayak ramai. Di Tingkatan Enamlah mula aku berubah daripada seorang pendiam kepada orang yang sentiasa becok dan banyak bercakap, sehingga ibuku dan ayakku hairan dengan perwatakan dan perangaiku. Sebelum ini, di peringkat SPM, ketika bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor, aku tidak berminat menceburi apa-apa persatuan sekolah, tetapi aku minat bermain sepak takraw dan bola sepak dan akhirnya menjadi pemain sekolah untuk kedua-dua permainan ini.
Sebenarnya, apa yang aku ceritakan ini, dalam hidup ini, kita perlu fokus dan mencari jalan-jalan penyelesaian yang difikirkan baik untuk kehidupan diri kita. Aku semasa peperiksaan MCE (masa aku last bench) bahasa pengantarnya dalam bahasa Inggeris, keputusanku tidaklah begitu baik, seperti yang aku pernah sebut, aku ini jenis ‘average’ tetapi aku redha dan sentiasa berikhtiar. Barangkali inilah keadaanku, aku kena terima hakikat ini.
Semasa di Tingkatan Enam, aku mula terdedah dengan aktiviti persatuan, memandangkan aku sendiri salah seorang tenaga penggerak dengan dibantu oleh AJK yang lain, aku mula terarah untuk sentiasa berfikiran positif, keras hati, murah hati dan ‘akal panjang’, tidak mudah merajuk, patah hati dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam mencapai satu-satu perkara. Aku mula belajar berhujah, bertolak ansur dengan orang lain dan cuba memahami hati budi masing-masing. Apa yang penting ketika inilah aku mula ada hati, menanam cita-cita tinggi dalam hidup ini. Aku juga ingin mempunyai personaliti yang tersendiri di dalam melangsungkan kehidupan di dunia ini.
Pertamanya, aku mesti berazam untuk belajar di universiti dan di peringkat yang lebih tinggi di luar negara dan mesti menjadi orang terpelajar dan terdidik.
Keduanya, aku mesti memperolehi pekerjaan yang baik yang boleh menyara keluargaku.
Ketiganya aku mula berfikir, barangkali bagus aku dapat bernikah lebih awal dan nampaknya aku perlu ‘set’ sebelum umur 26 tahun, aku perlu mengakhiri zaman bujangku.
Keempat, aku perlu berjinak-jinak dengan dunia politik negara dan terlibat dengan mana-mana parti politik yang sesuai dengan jiwaku dan dapat mencapai hasrat menyampaikan amanat Allah dan RasulNya dengan kapasitiku yang ada.
Kelima, aku mesti melawat dan meninjau dunia ciptaan Allah s.w.t. dan aku mula berfikir untuk menunaikan haji dan umrah sebelum mencapai umur 40 tahun dan selepas itu aku wajar melancong dengan anak-anak, seisi keluarga di mana-mana benua yang sesuai.
Aku mengetahui tempoh hari, aku terpaksa lambatkan pemergianku ke UK setelah sebahagian besar urusan pejabat, hutang, rumah, kereta dan lain-lainnya selesai, walaupun aku boleh terbang lebih awal. Aku sebenarnya menunggu sehingga selesainya kemeriahan suasana Aidul Adha di tanah air dan aku dapat berbual-bual, beramah mesra dengan adik-beradik sebelah isteriku, adik-beradikku dan ibuku. Hari Raya adalah hari sesuai untuk mengumpulkan semua orang di dalam satu masa. Aku rasa, itulah masa yang paling sesuai untuk aku mencium dan memeluk ibuku dan mencium anak-anak buahku, betapa sayangnya aku kepada mereka semua. Aku pesan kepada adik-beradikku agar menjaga makan minum dan kesihatan ibu dengan baik dan kepada anak-anak buahku agar belajar dan menuntut ilmu sungguh-sungguh. Aku pernah kehilangan nenekku, Ngembah Painam, meninggal dunia semasa seminggu lagi kami hendak pulang ke tanah air, semasa kami berada di Terre Haute, Indiana State, USA, isteriku menyambung pelajarannya di peringkat Master di Indiana State University pada semester Fall 1995 hingga 31 Mei 1997.
Aku rasa paling gembiranya dalam saat ini ialah dapat juga aku menjadi imam dan berkhutbah Raya Qurban kali terakhir, sesuai dengan kedudukanku sebagai salah seorang yang diamanahkan sebagai imam di tempat kediamanku. Aku wajar menyampaikan mesej dakwah dan perjuangan Islam yang sesuai dengan cara berfikir mereka. Mungkin tidak semua berfikir sepertiku, tetapi di dalam hidup ini, kita juga perlu bersama-sama menasihati dan berpesan-pesan mengenai makna kebenaran kepada orang lain. Orang lain hendak terima atau tidak itu bukan urusanku.
Alhamdulillah, Aku bertolak ke UK pada hari Rabu, 10 Disember, 2008 dan dengan izin Allah s.w.t.seperti yang aku nyatakan tempoh hari, setelah aku sampai lima hari di UK, aku bersama-sama isteri, Rokimah dan anak-anakku lima orang, Muhammad Fathul Ehsan (Fathul), Zahra Nahdia (Nahdia), Muhammad Nashrul Deen (Nash), Muhammad Khairul Hakim (Hakim) dan Hidayat dan seorang anak buahku, Muhammad Syahid (Syahid) Abdul Rahim anak adik iparku, Hasnah, pensyarah/ketua jabatan perdagangan di Politeknik Seberang Perai dapat melancong ke Brussels, Belgium, Paris, Peranchis, Zurich, Switzerland mulai 15 - 19 Disember. Kami bertolak dengan satu keluarga lain, Mohd Zahari Ismail (anak bongsuku kata senang disebut “Uncle Z”). Beliau bersama-sama isteri, enam anaknya termasuk seorang baby girl berusia lapan bulan, yang dilahirkan di bumi UK bertolak bersama-sama kami pada tarikh yang dijadualkan.
Isteriku, merupakan ‘master plan for the trip’. Aku wajar ‘respect her’ banyak-banyak padanya. Kalau tidak puji isteri, siapa yang hendak pujikan. Seperti yang sama kami lalui dan tempuhi semasa perjalanan yang jauh ke Stockholm, Sweden, Copenhagen, Denmark, Oslo, Norway dan Turku, Finland, pada hujung Mac 2008 hingga awal bulan April 2008 yang lepas, persediaan rapi sememangnya perlu difikirkan. Ramai orang kata seronok melancong tetapi kena ‘stand-by’ yang paling mustahak ‘ongkosnya’ mahu lebih sedikit. Pada kebanyakan orang berpendapat sebegitu, tetapi padaku seperti mana isteriku, kekerapan melancong seperti kami lakukan di USA dan Canada, ada beberapa perkara patut diambil perhatian.
Pada mereka yang sudah duduk belajar dan bekerja di luar negara sememangnya ada banyak ‘advantageous’ disebabkan kebanyakan merekapun sememangnya kaki berjalan, kami senang mendapat maklumat daripada teman-teman yang terdahulu yang berkesempatan melawat sesuatu tempat tertentu. Kebijaksanaan diperlukan untuk mengetahui soal penjimatan.Ini tidak bermakna, mereka yang datang terus dari Malaysia akan berbelanja lebih besar dan tidak mampu melawat. Ini adalah beberapa ‘tips’ kalau hendak ‘vacation’ ke luar begara yang kami amalkan selama ini.
Pertamanya, mesti mahir ‘serve, search internet’, mengenai tarikh-tarikh penerbangan yang ada ‘promotion’ atau ‘discount’ harga ‘flight’ yang agak murah. Seperti mana yang dilakukan oleh isteriku, sesuatu perjalanan mesti ditetapkan lebih awal, barangkali dua bulan atau tiga bulan dan mesti sentiasa meninjau tarikh ‘promotion/offer’ yang sesuai. Alhamdulillah, isteriku dapat harga tawaran daripada Ryanair, salah satu pakej penerbangan tambang murah di Eropah ini, seperti AirAsia kita. Semasa aku masih di Malaysia isteriku telah ‘booking’ awal ‘flight’ dan hotel-hotel yang turut ada ‘discount’ masa itu, tetapi hotel biasa sahajalah, bukan ada bintang hebat dan bersedia untuk berkongsi sumbat ramai orang di dalam satu bilik. Itupun kena ada strategi. Semua hotel memang ‘very strict’. Satu bilik mesti tidak lebih daripada tiga orang. Pandailah untuk ‘seludup’ orang masuk ke bilik, walaupun terpaksa lalu di hadapan mereka, melainkan ada pintu masuk yang lain atau boleh dicari atau bersedia untuk ‘share apartment’ yang murah. Pada mereka yang datang menerusi penerbangan terus daripada Malaysia, mestilah ada kenalan di sini dan kenalan inilah yang boleh membantu meringankan bebanan kewangan atau kos perjalanan. Soal makan minum dan penginapan cuba diurus seminimum mungkin.
Keduanya, mesti bersedia memandu sendiri dan tentunya perlu menyewa kereta sewa. Di Eropah stering memandu di sebelah kiri, maka pandai-pandailah belajar pandu dengan cepat dan berhimah ketika itu juga. Maka, semua bayaran hendaklah dibuat lebih awal secara internet on-line. Jika tidak berkeluarga, jalan seorang atau tiada anak, padan dengan naik bas atau ‘train’, kerana belanjanya jauh lebih murah, walaupun hakikatnya tambang bas dan ‘train’ di Eropah sebenarnya lebih mahal. Ini termasuklah harga tiket, tol dan sebagainya. Expressway di Perancis sememangnya banyak tol, tetapi tiada di Switzerland dan Belgium. Pada amnya, ‘through internet’ adalah sedikit lebih murah. Pada kami yang berkeluarga besar, maka menyewa kereta ‘seven seater’ atau ‘nine seater’ amatlah diperlukan. Maka, bersedialah untuk belanja minyaknya untuk perjalanan dan mengisi penuh minyak semasa menghantar balik van/kereta ke tempat kereta sewa diambil.
Ketiganya, kami bukan kepala ‘shopping’, maka peruntukan kos ini hanyalah sedikit dan amat minimum. Mungkin bolehlah membeli sedikit ‘sorveniour’. Maka kita perlu tetapkan, tujuan melancong tersebut. Pada kami, tujuan kami melancong ialah hendak melihat negara lain dan mengambil apa jua kebaikan negara tersebut seperti menjaga keindahan alam sekitar, kemajuan pesat pengangkutan moden mereka, keindahan negara tersebut dan lain-lainnya yang terlintas di pemikiran kita masa itu. Setidak-tidaknya kita boleh membuat perbandingan dengan yang ada pada diri dan negara kita.
Keempatnya, pemilihan cuaca amatlah penting. Pada pengalaman dan pandangan kami, musim sejuk, walaupun siangnya singkat, amat sesuai untuk berjalan-jalan ke negara-negara sejuk ini. Sebab-sebabnya seperti berikut:-
i) Cuaca sejuk tidaklah terasa meletihkan. Padaku, negara yang dilawati ini amat luas dan perjalanan berjam-jam di dalam kenderaan sememangnya amat meletihkan. Ini memerlukan stamina dan konsentrasi yang lebih, apatah lagi di negara-negara ini, jalannya sememangnya sibuk dan kami pernah tersangkut lama di highway, terutama di Perancis. Jika boleh ada ‘spare driver’, lagi bagus, tetapi perlu diingat, kenderaan yang disewa, hanya penyewa sahaja boleh pandu. Jika keadaan terdesak, ‘second driver’ terpaksalah menggantikan, tetapi perlu pandu hati-hati. Di tengah Bandar Paris, kebanyakan pemandunya sememangnya memandu secara agresif, ‘reckless’ dan laju. Di Perancis boleh dikatakan Expressway boleh dipandu sehingga limit 130 km sejam. Musim sejuk menyebabkan kami terpaksa bekejar-kejar pantas pergi ke satu tempat dan tempat yang lain.
ii) Pelancong tidak berapa ramai semasa musim sejuk berbanding musim panas. Ada teman kami yang pergi ke Disneyland Park, Paris pada musim panas, terpaksa mengharungi cuaca yang lebih panas daripada Malaysia, lagipun penuh sesak dengan orang, amat sukar berjalan, bergerak, terpaksa berlaga-laga bahu macam di Makkah sahaja dan banyak tempat bahu kencing. Pada dirinya, mungkin budak-budak terutama anak ‘Mat Salleh’ ini pancut di mana-mana sahaja, asalkan dapat lepaskan hajat. Menurutnya, satu keluarga terpaksa minum banyak air kerana cepat dahaga dan ramai orang lelaki pakai nipis atau buka baju. Kalau yang perempuan,ramailah juga yang buka-bukaan. Musim sejuk tidak ada lelaki jalang ingin melihat-lihat sesuatu, sebab kebanyakannya berselimut habis, macam diikat di dalam guni.
iii) Aku telahpun menyatakan tadi, harga tempahan tiket, hotel, kereta sewa, kapal terbang, jika bijak melihat ‘offer’, nasib akan menyebelahi dan memperolehi ‘offer’ yang amat menarik dan dianggap mampu dibayar berbanding pada masa musim panas.
Persiapan yang kami lakukan adalah seperti berikut:-
i) Sediakan makanan yang siap-siap dimasak untuk berapa hari seperti gulai ayam, rendang daging sebab di Eropah dan khususnya di bandar-bandar besar seperti Paris, harga barang makanan amatlah mahal berbanding di UK apatah lagi ‘Euro currency’ kini mulai tinggi. Soalnya, adakah kita semua mampu membeli makanan atau makan di restoren di Paris? Pada masa yang sama bawalah periuk, pemanas makanan, ceret masak air, pinggan mangkuk yang seadanya, pisau dan barangan makanan asasi kita seperti beras, roti, buah-buahan, sardin, bawang, cili yang sudah ready-made untuk dimasak. Masukkanlah barang-barang ini di dalam satu beg besar yang tidak melebihi 15 kg. Jika lebih kg, Ryanair akan dikenakan bayaran. Untuk makluman semua teman, apabila cuaca sejuk, makanan yang dibawa tidak mudah basi. Jangan lupa, bawalah ‘adapter traveller’. Why I do need an electrical adapter when I travel overseas? The answer is very simple. Although technology is helping to make the world seem a lot smaller, there are still major differences between countries. Electrical standardization is one area where not much has changed since the original national standards were set by each country.
ii) ‘Tom Tom, portable GPS car navigation system’, cetak google map, peta Eropah untuk memudahkan urusan mencari dan menuju destinasi yang ditentukan. Amat mustahak, ada di dalam kenderaan itu ada orang yang cekap membaca peralatan tersebut.
iii) Kompas, sejadah dan Al-Quran kecil atau Surah Yasin hendaklah dibawa untuk urusan mencari arah qiblat dan menunaikan solat dan zikir mudah. Jangan lupa, cetak jadual solat dan lokasi masjid pada setiap bandar yang kita lawati dan jika ada masa carilah masjid di tengah bandar berkenaan. Di Brussels sahaja terdapat 21 buah masjid dan 350 masjid di seluruh Belgium. Di Paris juga terdapat empat masjid yang besar dan di antara yang ‘top’ iaitu Grande mosquée de paris, Paris. Jangan rasa malu untuk bertanya, sebab di tengah kota besar, seperti ini ramai orang Islam tinggal dan banyak kedai Islam menjual makanan dan minuman halal.
iv) Semua tempahan yang telah dibuat menerusi internet seperti tiket penerbangan, tempahan kereta sewa, hotel dan ‘paper works’ lainnya hendaklah dicetak dan dimasukkan ke dalam ‘clear holder’, hendaklah dibawa bersama-sama dokumen diri seperti passport bagi memudahkan semakan dan urusan di tempat-tempat berkenaan.
v) Peralatan toilet, pakaian atau baju sejuk, kasut, sarung tangan dan kaki yang sesuai dan pastinya boleh memanaskan seluruh badan termasuk kaki dan tangan hendaklah disediakan dan sebaik-baiknya setiap orang membawa ‘hand luggage’ yang tidak melebihi 10 kg. Anak-anak yang kecil mesti diperiksa pakaian yang sesuai untuk beberapa hari tersebut dan jika ada baby, maka peralatan baby seperti kereta sorong, ‘car seat’ hendaklah dibawa dan ini akan dikenakan bayaran tambahan oleh Ryanair. Jangan lupa bawa botol kosong untuk kegunaan di dalam tandas.
vi) Sediakan wang tambahan berbentuk tunai atau credit card, jika berlaku apa-apa kecemasan atau terdesak, bolehlah digunakan dengan serta merta.
vii) Alat perakam video, kamera digital, hand phone, komputer riba dan sebagainya untuk aktiviti mengambil gambar kenang-kenangan.
viii) Sebelum bertolak melancong, pastikan diri cukup bertenaga dan minda bersedia untuk ‘such a long journey’ dan bersolat musafir untuk keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua. Semua ahli rombongan hendaklah bersedia bersabar dan cepat ‘adjust’ dengan semua karenah perjalanan yang akan ditempuhi nanti.
ix) Pelajari sedikit bahasa negara berkenaan. Pada aku sememangnya sukar sedikit untuk berkomunikasi dengan sesiapa, kerana mereka amat gemar dan megah berbahasa mereka sendiri. Jika keadaan terdesak, barulah mereka cuba bercakap dalam bahasa Inggeris.
Aku paparkan coretan ini adalah untuk kenanganku semasa hayat masih ada.
No comments:
Post a Comment