Saturday, January 24, 2009

Merantau menimba ilmu di UK



Persiapan dan Belajar di UK

Sememangnya aku bercita-cita untuk belajar ke negara atas angin ketika aku masih menuntut di UKM lagi, namun cita-cita tersebut terputus di tengah jalan atas sebab-sebab tertentu. Pada kesempatan kali ini, ingin aku ceritakan bagaimana aku mengambil tindakan sebaik mungkin untuk urusan menyambung belajar ke luar negara. Kepada sesiapa yang berhajat ke UK untuk urusan 'further study', beberapa tindakan lebih awal hendaklah dilakukan.

1. Semasa mencari tempat untuk belajar, aku perlu memastikan kelayakan dan persiapan menduduki peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) untuk tujuan ‘academic’ turut diselesaikan terlebih dahulu. Akupun pergi ke British Council di Wisma Selangor Dredging, Jalan Ampang utuk urusan pendaftaran dan menduduki peperiksaan tersebut pada 25 Mac, 2006 dengan bayaran RM450. Alhamdulillah, aku telah melepasi syarat untuk kemasukan ke universiti yang aku pilih. ‘Test Report Form’ yang diterima hanyalah diperakui sah untuk tempoh dua tahun daripada tarikh ujian tersebut. Kadar yuran peperiksaan ini juga akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Ada juga kawan-kawanku yang tidak dapat melepasi kelayakan dan mereka mengambil beberapa kali sehinggakan perlu belajar atau mencari ‘tuition English class’ untuk memastikan mencapai ‘band’ atau ‘overall band score’ yang telah ditetapkan oleh setiap universiti.

2. Mengenal pasti tempat belajar yang dikehendaki. Pada kami, kami ingin mencari tempat yang tidak terlalu sibuk, mudah mempersekolahkan anak-anak, sewa rumah, belanja hidup yang tidak berapa tinggi dan mudah mencari pekerjaan sambilan atau ‘part time’. Memohon tempat belajar dengan bantuan agen, ‘overseas education advisor’ dengan borang yang telah disempurnakan berserta dokumen-dokumen lengkap, keputusan IELTS dan salinan sijil-sijil kelulusan yang dikehendaki/diperlukan/transkrip yang disahkan, ‘referee’ dan syarat-syarat yang dikehendaki atau berkaitan. Agen akan menguruskannya tanpa apa-apa bayaran daripada pemohon. Aku memohon tiga universiti iaitu University of Birmingham, Metropolitan Leeds dan Hull. Aku menerima ketiga-tiga tawaran daripada universiti tersebut. Memandangkan isteriku menerima tawaran daripada University of Hull, sahaja, maka kamipun bercadang dan membuat keputusan belajar di Hull sahaja. Aku amat berterima kasih atas pertolongan IUACC's Caring Senior Counsellor, Nor’ain daripada IUACC Sdn Bhd yang berpejabat di Megan Ambassy, 25, Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang banyak membantu, berbincang mengenai tempat belajar dan menguruskan permohonan kami. Kami juga amat kerap datang ke pejabat beliau untuk urusan tersebut sehinggakan isteriku rapat dengannnya.

3. Mengetahui dengan pasti badan/institusi yang boleh memberikan biasiswa dan memohon biasiswa berkenaan dengan segera setelah tempat belajar telahpun diperolehi. Adalah juga lebih baik, sekiranya biasiswa boleh diperolehi lebih awal. Dalam hal ini, setelah mendapat maklumat daripada teman-teman yang boleh dipercayai dan membantu, aku memohon biasiswa JPA setelah permohonanku dengan jabatanku sendiri ditolak dengan alasan tidak dibenarkan mengikuti kursus ke luar negara dan tiada kursus tersebut ditawarkan. Alhamdulillah aku dapat ehsan daripada JPA dan terus memohon keizinan cuti belajar daripada jabatanku, lebih awal. Aku dibenarkan cuti belajar tanpa gaji. Sebenarnya aku menerima “ Hadiah Latihan Persekutuan Untuk Mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan Bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan Persekutuan di bawah program, spouse programme”. Aku amat berterima kasih kepada Pn. Saraya Arbi, Encik Mohammad Khidir Razali dan pasukannya yang banyak membantu kami.

4.Setelah diperakui dapat tempat ‘unconditional offer’ oleh mana-mana universiti dan memperolehi biasiswa, barulah meneliti dokumen-dokumen pengenalan diri dan keluarga. Memohon passport antarabangsa hendaklah diuruskan, jika belum dibuat atau sekiranya sudah tamat, perlulah diperbaharui semula. Uruskan pengenalan diri dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, seperti surat beranak hendaklah dilakukan dan disahkan oleh Pesuruhjaya sumpah. Alhamdulillah, semua perkara ini kami telahpun pernah sediakan dan menyimpannya dengan baik, semasa kami pergi ke USA dahulu.

5.’Medical check-up’ dan laporan perubatan diri dan keluarga yang ikut serta hendaklah diuruskan segera. 'Health Declaration and Medical Examination Form' hendaklah dilengkapkan oleh pegawai perubatan hospital atau klinik kerajaan. Aku menyelesaikan perkara sebulan sebelum berangkat ke UK. Memandangkan aku rasa mudah berurusan di Klinik Seksyen 19, Shah Alam, maka di kilinik inilah aku membuat temujanji dan seterusnya berulang-alik menyelesaikannya.

6.Permohonan Visa. Semasa memohon visa, pastikan semua maklumat lengkap dan dokumen-dokumen sokongan disertakan dengan penuh meyakinkan, seperti gambar, passport, butiran wang di bank /financial statement, butiran wang yang terkumpul di KWSP, Tabung Haji, surat tawaran biasiswa dan jumlah/butiran elaun biasiswa dalam bahasa Inggeris, (financial affidavit), tawaran tempat belajar dan wang bayaran untuk proses visa yang tidak akan dikembalikan sama sekali sama ada berjaya atau tidak. Kami membayar RM650.00 seorang. Sememangnya hendak merantau keluar negara, perlukan banyak belanja. Seperkara lagi yang penting, harus dipastikan sesiapa yang layak untuk dikategorikan sebagai 'student dependent'. Mereka yang berusia melebihi 18 tahun, tidak layak 'student dependent'. Aku telah tersalah masukkan anakku, Fathul untuk 'student dependent' dan visanya kena 'reject' kerana usianya telahpun mencapai 18 tahun. Maka, “hanguslah atau leburlah” wang proses RM650.00 tersebut. Mengapa keadaan hangus ini berlaku, akupun tidak tahu. Aku sememangnya tidak puas hati dan memberanikan diri ‘memprotes’ perkara ini di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British, namun dukacita layananku tidak diterima. Aku pergi ke pejabat berkenaan di Jalan Ampang, namun aku dan isteriku tidak dibenarkan berjumpa dengan pegawai-pegawai kedutaan dan hanya dibenarkan berintercom daripada pagar kedutaan. Sebanyak dua kali, kami berurusan dengan agen yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang terletak di Bangunan MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan visa ini. Ada kawanku, “Uncle Z” terpaksa hangus hampir RM4,500 kerana kesilapan memproses permohonan dan terpaksa mengisi borang semula dan membelanjakan sejumlah wang tersebut sekali lagi. Pengalaman mendapatkan visa belajar ke UK, bukannya mudah seperti yang disangkakan. Sesiapa yang akaun tidak kukuh, bolehlah ‘temporary top up’ dengan meminjam daripada sanak saudara, kaum kerabat terlebih dahulu dan kemudiannya, setelah diterima visa, pulangkan semula. Bukti kewangan yang cukup adalah syarat terpenting untuk memastikan sesiapa yang tinggal di UK mampu menyambung hidup dan tidak menjejaskan kehidupan mereka di sana. Kadar visa ini pula akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

7.Mengikuti kursus wajib Biro Tatanegara (BTN) dan lulus peperiksaan. Sesiapa yang tidak mengikuti kursus tersebut dan tidak lulus periksa, maka tidak layak atau tidak dibenarkan belajar ke luar negara. Kerajaan berhak membatalkan pemergian keluar negara. Aku dan isteriku hanya dapat mengikuti kursus ini pada 7 hingga 11 September, 2006. di Kem Bina Negara Ulu Sepri (B), Rembau , Negeri Sembilan. Itupun setelah kami merayu agar kami dapat mengikuti serta merta, jika tidak terlewat kami berlepas dan mendaftar di UK. Alhamdulillah, kami lulus kursus BTN tersebut. Bayangkan kami kelam-kabut menyelesaikan pelbagai urusan sebelum dua minggu kami bertolak ke UK. Ada beberapa orang peserta yang gagal kerana ‘against the government policies’ dan “bertelagah” dengan fasilitator.

8. Setelah pasti visa selesai dan lulus barulah bercerita untuk ‘preparation for along journey’, seperti pakaian, alat-alatan yang hendak dibawa terbang. Barangan elektrik seperti ‘rice cooker’, blander, lesung batu, ubat-ubat biasa, pakaian kebangsaan hendaklah dibawa terlebih dahulu berserta barang-barang makanan yang sesuai dan ikut selera masing-masing.

9. Selesaikan masalah hutang serba sedikit, menjual atau bersedekah apa yang patut, pesanan kenderaan, rumah sewa, bil-bil dan meninggalkan sejumlah wang kepada sesiapa yang boleh menjaga harta untuk tempoh berada di negara asing. Kereta Avanzaku aku jual dan kereta Kancilku aku tinggalkan kepada abang iparku untuk jaga/pakai.

10. Aku turut membawa sijil-sijil pentingku termasuk dokumen-dokumen penting anakku untuk simpanan. Sesiapa yang ada sijil kemahiran, patut dibawa kerana dengan sijil-sijil ini mempermudahkan untuk mendapat pekerjaan yang bersifat 'handy'.

11. Memperbaharui lesen memandu untuk jangkamasa panjang.

Pada amnya seseorang yang hendak belajar keluar negara dan membawa keluarga sememangnya memerlukan sumber kewangan yang mantap. Walau bagaimanapun, jika kita berazam dan ingin mencuba, bak kata pepatah Melayu, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan”. Aku ikhtiarkan dan ‘korek’ di mana-mana tabungan yang ada untuk menyelesaikan tambang turun naik mengurus dan menduduki peperiksaan IELTS, biasiswa, passport, visa, ‘medical check-up’, urusan anak belajar dan sebagainya. Untuk beberapa bulan, kami terpaksa turun naik dan terpaksalah pandai mengurus hal bersifat peribadi dan pejabat. Mungkin kerja ini sememangnya merumitkan dan meletihkan pada setengah orang, namun inilah sebahagian daripada perkara-perkara yang akan dilalui pada mereka yang hendak “berhijrah”.

Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. dapat menjejakkan kaki, belajar di Hull University. Aku mengambil kursus pengurusan kewangan mulai 25 September 2006 hingga 15 September 2007. Aku lulus dan dianugerahkan Master of Science (Financial Management) pada 26 Oktober, 2007 dan diminta hadir ke majlis konvokesyen pada 24 Januari, 2008. Aku hadir semasa majlis konvokesyen tersebut tanpa kehadiran isteri dan anak-anakku kerana kebetulan, hari berkenaan semuanya pergi sekolah dan isteriku ada urusan dengan penyelianya. Semasa itu aku bercuti rehat mulai 22 Januari hingga 6 Februari, 2008. Business School in Hull University has giving me the opportunity to obtain my qualification in multi-skilled business management. The training I received at the school is very beneficial to me in the practical and theory side of doing business. Special thanks to my supervisor, Prof. Dr. Aydin Ozkan for the final dissertation assessment. Also, the lecturers and tutors are good with the teaching aspects and materials. They also give advice based on the experience they have had in their business careers.

No comments: